KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 22, 2009

Tok Guru Nik Aziz: Keputusan Muktamar di Ipoh jangan ketepikan, boleh bincang kena libatkan Pakatan!

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan persetujuan mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, tetapi ia perlu dibincang serta diputuskan melalui saluran parti dan juga pakatan pembangkang.

Beliau yang sebelum ini dengan keras menyanggah cadangan tersebut dalam nada lebih lembut tetapi tegas hari ini berkata, perkara yang diputuskan dalam muktamar di Ipoh tahun lalu itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Katanya, sebarang kata putus mengenai cadangan yang dicetuskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibincangkan secara bersama dengan turut melibatkan pakatan pembangkang bagi mengelak kekacauan dalam hubungan antara mereka.

"Jadi, bila ada pihak dalam PAS (timbulkan cadangan), pakatan rakyat pun nak jaga, dengan UMNO pun nak jaga, itu sudah kacau. Jadi saya nasihat jangan buat begitu.. kalau nak juga, kita mesti buat mesyuarat. Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepi keputusan mesyuarat dengan 'pandai-pandai', kita tak boleh... dan tambah lagi kenapa tidak ada orang PAS jumpa dengan UMNO pujuk dia supaya tukar dasar kebangsaan jadi dasar Islam.

"Kita dalam pakatan ini telah berjaya meredakan Islamofobia. Kalau nak buat, bawa dalam PAS Pusat, di peringkat negeri-negeri dan kemudian bawa dalam pakatan. Ini tidak, pakatan pun marah kepada kita. Dia buat kenyataan bahawa Pas mesti jawab kepada DAP," tegas beliau.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan perbincangan empat mata dengan ketua pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman rasminya di JKR 10 di sini hari ini.

Mengulas mengenai tentangan kerasnya selama ini berkenaan cadangan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan UMNO, Nik Aziz berkata, itu bukan bermaksud beliau berdegil tetapi lebih kepada beristiqamah atau menegakkan sesuatu yang benar.

"Ada pihak yang mengatakan saya berdegil tak mahu bincang mengenai kerajaan perpaduan. Saya nak jawab bukan berdegil, tetapi beristiqamah.

"Degil ini bermaksud kita mempertahankan barang salah mati-matian, itu kita panggil degil. Tahu benda salah, pertahan juga, tetapi bila kita pertahankan barang betul itu namanya istiqamah, istiqamah ini dipuji dalam al-Quran," jelas beliau.

Sementara itu, diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau melupakan sengketa lama dan membuka lembaran baru dalam hubungan dua parti Melayu itu beliau menjawab:

"Suruh lupa? Senang je lupa? Adakah makna saya boleh lupa? Ingat, ini barang automatik. Kalau lupa, takdelah sejarah" ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau sanggup bermaaf-maafan dengan UMNO dan memperbaiki semula hubungan, Nik Aziz menggesa supaya UMNO terlebih dahulu meminta maaf.

"Biar dia mengaku dulu salah. Kalau orang yang salah dengan saya, saya boleh maafkan, tetapi mengaku dulu. Saya minta maaf dan saya mengaku salah, takpa. Mana UMNO mengaku salah," tambahnya. Sementara itu, ketika ditanya tujuan Anwar datang berjumpa dengannya, beliau enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: