KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 22, 2009

Sejak diminta letak jawatan oleh Tok Guru Nik Aziz, Nasharuddin menghilangkan diri?

KUALA LUMPUR: Kehilangan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menimbulkan kontroversi dalam isu kerajaan perpaduan bersama UMNO terus menjadi misteri.

Anak kelahiran Negeri Sembilan berusia 47 tahun itu gagal dikesan malah rumahnya di Bukit Mahkota di sini terkunci rapat tanpa penghuni ketika dikunjungi Utusan Malaysia.

Malah kedua-dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar yang cuba menghubungi telefon beliau berkali-kali juga gagal dijawab. Begitu juga beberapa wartawan Harakah yang cuba untuk mendapatkan komen beliau, gagal dihubungi.

Keputusan Nasharudin menyokong idea Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kerajaan perpaduan mendapat tentangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan Ahli Parlimen Bachok itu sebagai 'sampah' dalam parti.

Nik Abdul Aziz dilaporkan turut menyarankan agar Nasharudin keluar parti dan menyertai UMNO kerana tindak-tanduknya itu didakwa lebih banyak menimbulkan kecelaruan kepada ahli PAS.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksinya terhadap saranan Abdul Hadi menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan PAS bagi membincangkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Najib percaya sesuatu perkara yang baik seperti cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bukan sahaja harus malah boleh disifatkan sesuatu yang wajib untuk dilakukan.