KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 18, 2009

Dato Kadir Jasin sifatkan lawatan Lee Kuan Yew risik kekuatan PAS di Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Dato' A. Kadir Jasin meragui kunjungan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew ke Malaysia minggu lalu.

Sambil menyifatkan kunjungan tersebut seperti lawatan seorang Maharaja China yang diberi sambutan istimewa, beliau menyifatkan kunjungan Kuan Yew bukan hanya sekadar untuk bernostalgia dan mengubati rindu.

Sebaliknya kata beliau, kunjungan Menteri Mentor Singapura itu mempunyai mempunyai motif tertentu.

"Singapura bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia, khasnya kelemahan Umno dan Barisan Nasional dan kemungkinan kemunculan PAS sebagai parti induk politik Malaysia. Singapura bimbang sokongan orang bukan Melayu, khasnya pengundi Cina, kepada Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan kedudukan dan peranan PAS," tulis beliau menerusi blognya.

Selain itu beliau juga berpendapat Kuan Yew mahu mempengaruhi masyarakat Cina Malaysia supaya kembali menyokong BN kerana Malaysia yang stabil adalah penting kepada kestabilan politik dan ekonomi Singapura.

Singapura, kata Kadir, memerlukan jiran-jiran yang baik dalam keadaan ekonominya yang lemah.

"Kuan Yew sedar pembatalan rundingan isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara seperti Perjanjian Bekalan Air, Tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura dan simpanan rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura akan menjejaskan perhubungan jangka panjang," tulis beliau lagi.

Seterusnya Kadir menjelaskan, Singapura menaruh harapan yang Malaysia pada suatu hari nanti bersedia memulakan semula penjualan pasir kepadanya dan membuka ruang udaranya kepada kapal terbang tenteranya.

Justeru kata beliau, lawatan Lee Kuan Yew bukanlah lawatan nostalgia sebaliknya lawatan mencari maklumat dan risikan, untuk mengenali dan mengukur kepintaran para pembesar Malaysia dan untuk mengajar anak buahnya mengenali barisan baru kepemimpinan Malaysia.

Tiada ulasan: