SHAH ALAM: PAS harus diterajui oleh golongan ulama bagi memastikan pergerakan, dasar pelaksanaan dan keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam, lapor mSTAR.Online.
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Muhammad Daud Iraqi berkata, walaupun PAS bukanlah sebuah parti yang memerintah negara namun realiti politik semasa memerlukan PAS terus dipimpin oleh golongan itu.
"Kepimpinan ulama bukanlah idea daripada ulama, pemuda atau golongan tertentu dalam parti tetapi asal mata air kepimpinan ulama ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri.
"Ianya adalah mata rantai kepimpinan Anbiyak," katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama ke-48 di sini, hari ini.
Muhammad Daud berkata, beliau berasa kesal dengan segelintir pihak yang mempertikaikan kepimpinan ulama dalam mentadbir dan dakwaan yang mengatakan golongan itu ingin membolot kepimpinan parti dan enggan berkompromi dengan golongan profesional.
Justeru katanya, usaha memprofesionalkan golongan ulama perlu dilakukan dengan usaha meningkatkan ilmu agama dan pengurusan supaya mereka menjadi golongan yang mempunyai ilmu yang tinggi dan tahu mentadbir.
"Jika ulama dalam keadaan tertentu masih belum dapat mentadbir dengan baik, adalah menjadi tugas rakan-rakan professional dalam PAS atau ulamak yang kurang ilmunya tetapi boleh mentadbir bersama-sama mendokong kepimpinan ulama," katanya.
Selain itu, Muhammad Daud berkata, PAS sedang dalam agenda untuk mengadakan garis panduan pelaksanaan Islam di negeri Pakatan Rakyat supaya ajaran agama itu dapat dilaksanakan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan setempat.
"Walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat sehingga para penyokong.
"Pelaksanaan itu juga akan membolehkan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan