KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 04, 2009

PAS nafi kempen pemilihan kali ini kotor seperti dakwaan Khir Toyo

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali menafikan pemilihan PAS esok dicemari dengan kempen kotor melalui fitnah yang dilemparkan terhadap sesetengah pemimpin menerusi laman blog, lapor mSTAR.Online.

Hassan berkata, PAS tidak mengamalkan kempen secara berlebihan sehingga menyerang peribadi mana-mana calon.

"Kekuatan dalaman itu penting. Saya tidak rasa Umno mempunyai kekuatan dalaman ini, mereka hanya nampak luaran termasuk duit-duit. Dalam PAS, duit itu hampir penting. Macam belanja-belanja kita, duitnya adalah yang sahih, yang datang daripada ahli parti, perjuangan dan mereka yang bersimpati.

"Kita tidak guna wang yang datang daripada jabatan kerajaan kecuali yang mengiklankan produk mereka dengan kita," katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi Muktamar PAS Ke-55 di Stadium Malawati di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengatakan kempen pemilihan PAS tahun ini dilihat tercemar apabila ada pihak yang melemparkan fitnah melalui laman blog ke atas pemimpin-pemimpin dalaman parti untuk kepentingan sendiri disebabkan keghairahan merebut jawatan.

Hassan berkata, kenyataan Dr Khir itu mungkin didorong sifat cemburu terhadap cara PAS mengendalikan parti itu.

"Saya percaya, kalau dia datang tengok kita mengendalikan parti kita, dia pun akan masuk PAS," katanya.

Muktamar PAS akan diadakan selama tiga hari bermula esok. Muktamar tahun ini melibatkan pemilihan di peringkat pusat dan sayap-sayap parti termasuk Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat. Hassan berkata, muktamar kali ini adalah yang terbesar dalam sejaran 50 tahun parti itu melibatkan 917 perwakilan dan kira-kira 10,000 penyokong dan pemerhati.

Tiada ulasan: