KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Disember 31, 2007

Temberang Tan Sri Rashid Dan Asakan Yang Tidak Tertanggungnya!


By AHMAD LUTFI OTHMAN

SEMASA terus mempertingkatkan tekanan kepada SPR, Rashid dan juga pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mewujudkan situasi lebih kondusif dalam pilihan raya, aktivis pembangkang tentu sudah bertungkus-lumus menyediakan prasarana berdepan "peperangan besar" ini.

Ada aspek-aspek tertentu yang mana BN juga mempunyai kelemahan dan kedaifan, terutama apabila isu-isu semasa lebih memihak oposisi. S

Semua maklum bahawa wang, janji dan agihan projek pembangunan di saat-saat akhir kempen tidak boleh mengubah segalanya jiwa pendapat awam berjaya didekati.

Mendengar 'temberang' dan lenggok badan Rashid semasa memberikan ucaptama kursus anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Universiti Malaya, bertajuk "Memahami Perjalanan dan Proses Pilihan Raya Umum di Malaysia, 4 Dis lalu, saya dapat rasakan beliau menghadapi asakan yang agak tidak tertanggung.

Berulang kali beliau cuba menunjukkan bahawa segala serangan pembangkang terhadapnya langsung tidak meninggalkan kesan, namun lebih kerap Rashid bercerita bahawa tidurnya tidak terusik dengan hentakan Bersih itu, maka saya lebih percaya apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

Beliau turut meluahkan rasa tertekan dengan kritikan pihak antarabangsa terhadap sikap berat sebelah media sedangkan, katanya, SPR tiada kena mengena dengan apa yang dilaporkan itu.

Justeru, saya kira, pembangkang dan juga gabungan Bersih harus terus-menerus menggandakan kempen penerangan kerana perubahan dalam sistem pilihan raya kita boleh dicapai jika asakan tidak terputus begitu sahaja.

Biarpun tarikh pilihan raya dijangka diumumkan dalam waktu terdekat, kempen "menjatuhkan" Rashid usah berkubur. Kita mesti membentuk satu penanda aras dan merakam sejarah bahawa keceluparan Rashid harus dihukum agar memberi teladan untuk pengerusi SPR berikutnya.

Saya turut tertarik dengan beberapa idea besar reformasi sistem pilihan raya kita, misalnya dengan merombak sistem First-Past-The-Post (FTPT) yang diamalkan sekarang, bagi mengelak manipulasi gerrymandering, kepada sistem alternatif yang mengambil kira nilai setiap undi, iaitu sistem Mixed Member Proportional (MMP) yang antara lain diamalkan di New Zealand dan Jerman.

Memang untuk menyebut nama-nama sistem ini pun agak mengelirukan, tetapi untuk jangka panjang, dalam dua atau tiga kali pilihan raya akan datang, aktivis pembangkang dan NGO harus bersedia untuk melakukan kempen besar-besaran bagi melaksanakan perubahan lebih mendasar.

Pengkaji seperti Wong Chin Huat adalah orang yang sepatutnya dirujuk dalam hal ini.

Amat tidak berbaloi apabila sebahagian besar tenaga, kudrat, fikiran dan wang ringgit dihabiskan pihak pembangkang hanya untuk memastikan mereka tidak ditipu oleh BN dan juga SPR.

Sepatutnya tumpuan untuk membersihkan Daftar Pemilih dan mengenal pasti taktik penipuan lawan - daripada hari penamaan calon sehingga masa mengira undi - boleh dialihkan kepada kerja-kerja asas kempen, terutama untuk membentangkan manifesto, mewajarkan program alternatif, menjelaskan isu-isu dan menyanggah kritikan BN.

Inilah bahananya apabila SPR menjadi perkakas buat Umno-BN, bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara, pihak polis dan lain-lain jabatan kerajaan.

Sebenarnya pembangkang juga terpaksa menghanguskan begitu banyak dana bagi menghadapi pilihan raya yang penuh ketempangan ini. Mungkin kehilangan wang ringgit itu tidak terasa kerana ia dikutip daripada "poket ahli-ahli parti" dan sumber-sumber tentu.

Idealnya, lebih baik sejumlah besar dana dan keringat aktivis itu , secara terancang, dikumpul dan digembleng lebih awal bagi menekan kerajaan untuk membuat perubahan sistem pilihan raya.

Harus diingat, tidak cukup dengan itu, tanpa pengorbanan besar (kita baru dikhutbahkan tentang korban Ibrahim dan Ismail), impian hanya layak menjadi mainan tidur sahaja.

Mungkin ada pihak akan menempelak saya bahawa sekarang bukan masa untuk kita bertegang leher soal tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Kini masa cukup suntuk untuk membina persiapan selengkapnya, bukan sekadar berdepan gabungan parti-parti politik tetapi satu ketumbukan padu pemerintah-kerajaan yang terjalin secara tidak bermoral.

Tiada ulasan: