KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Disember 11, 2007

Penarik Beca Menceritakan Resah Menunggu Pendakwaan Mohd Sabu Di Mahkamah Jalan Duta 10 Dis 2007!

By PENARIK BECA

Seawal pukul 9.00 pagi lagi Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar; 'tok penghulu' Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Mohd Zain Hashim dan kutu ini sampai di kompleks mahkamah di Jalan Duta untuk menghadiri pendakwaan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua yang ditangkap semalam serta 14 yang lain yang ditangkap ketika Gelombang Kuning 10-Eleven.

Ketika kami sampai, lebih 100 orang sudah berkumpul di lobi kompleks tersebut. Setelah lama menanti, saya naik ke tingkat empat kerana perbicaraan dikatakan akan bermula.

Di dalam lif, saya bertemu
Ketua Penerangan Wanita Keadilan, Elizabeth Wong. Saya kenal dia. Dia mana nak kenal saya. Setelah agak lama menunggu dan berpusing-pusing, barulah perbicaraan mereka yang ditangkap dalam People's Freedom Walk bermula.

Kami tetap menunggu perbicaraan ke atas Mohamad Sabu, Tian Chua dan 14 yang lain bermula. Tak sangka, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan, N Gobalakrishnan juga dibicarakan bersama-sama mereka.

Di dalam ruang mahkamah yang dijangka akan berlangsung perbicaraan ke atas Mohamad Sabu dan rakan-rakan lain itu, saya bertemu Soon Li Tsin yang selalu saya panggil Amoi Comel.

Mungkin dia hadir atas tugasnya sebagai wartawan Malaysiakini. Selepas itu, bermulalah babak menunggu yang amat panjang dan mendera. Sambil itu, saya cuba mengintai kalau-kalau ada rakan-rakan blogger yang lain.

Tak jumpa, kecuali Elizabeth yang lebih mesra dipanggil Eli, Amoi Comel dan Tarmizi Mohd Jam yang mengendalikan blognya sanggahtoksago.com. Beberapa kali saya cuba juga berbual dengan Eli dan Amoi Comel.

Tetapi, oleh kerana penampilan saya memang penampilan kutu (orang ingat saya mengada-ngada menggunakan nama sangkutu untuk email saya. Bila mereka jumpa saya, barulah mereka tahu, itulah seadanya), kedua-dua mereka tidak mampu dan tidak berdaya memberikan perhatian yang lebih lama sedikit (sedikit sahaja) kepada saya. Saya juga berbual-bual dengan Haji
Saari Sungib.

Bagai biasa, saya kenallah dia. Dia mana nak kenal saya. Memang lama sungguh menunggu. Kira-kira pukul 4.00 petang barulah perbicaraan bermula. Saya tidak lama menyaksikan perbicaraan itu kerana hendak ke surau.

Bagaimanapun, saya puas hati kerana dapat mengajak mereka di dalam mahkamah itu bertakbir sebanyak tiga kali (sayalah yang menjeritkan takbir, takbir, takbir!) dan kemudian kami sama-sama bertepuk tangan dengan kuat (merah tangan aku!) apabila Mohamad Sabu, Tian Chua dan lain-lain masuk ke dalam mahkamah.

Setelah hampir Maghrib, barulah keputusan diberikan oleh hakim. Mohamad Sabu dan rakan-rakan yang lain dibebaskan dengan ikat jamin. Selepas itu, kami terpaksa cepat-cepat balik kerana Salahuddin dan Mahfuz hendak berceramah di Markaz Tarbiyyah.

Setakat itu sahaja. Letih ni!

1 ulasan:

Unknown berkata...

Nampaknya AG benar-benar mahu pengaruhi Hakim agar tidak beri hukuman mudah kepada Mat Sabu, Tian Chua dan Gobala Krisnan.
Sebab 14 aktivis lain hukumannya normal berbanding Mat Sabu RM7 ribu, Tian RM5 ribu dan Gobala RM3 ribu. Apa agenda AG dan kaitannya dgn kepentingan Umno?