KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Disember 11, 2007

Lapor (5): Sekatan Polis Menyebabkan Jalan Raya Kuala Lumpur Sesak


By TRANUNGKITE

Pihak berkuasa telah memperketatkan kawalan di hampir semua jalan yang menghala ke bangunan Parlimen hari ini untuk menghalang Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk berarak bagi membantah pelanjutan tempoh perkhidmatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Wartawan Azamin Amin dari Harakahdaily, yang melaporkan dari bangunan parlimen memberitahu pihak polis telah mengadakan sekatan sejauh 500 meter dari bangunan Parlimen dengan menyediakan lebih 200 anggota, beberapa trak dan kawat berduri.

Setiap kenderaan yang memasuki kawasan parlimen dikawal dengan ketat dan semua butir peribadi pengunjung termasuk wartawan telah dicatat oleh pihak polis.

Selain itu, Harakahdaily yang menerima panggilan daripada orang ramai menyatakan rasa kesal dengan sikap pihak berkuasa yang cuba menunjukkan kuasa dengan menakut-nakutkan rakyat apabila hampir semua jalan yang menghala ke Kuala Lumpur diadakan sekatan jalan raya.

Keadaan ini telah menyebabkan kesesakan luar biasa di sekitar jalan utama ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob dalam satu kenyataan sebelum ini menentang sekeras-kerasnya hasrat kerajaan untuk meminda perkara 114 Perlembagaan Negara dalam fasa 3 dengan menggantikan perkataan 65 tahun kepada perkataan 66 tahun.

Ini kerana tegas Salahudin, pindaan tersebut jelas mempunyai motif tertentu iaitu bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid yang sepatutnya bersara wajib pada penghujung tahun ini.

Semalam, Pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) daripada mengadakan perhimpunan di Parlimen.

Ketua polis daerah Sentul telah mendapatkan perintah tersebut daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Perintah itu - yang kedua selepas perhimpunan Hindraf pada 25 November - melarang empat individu serta penyokong Bersih yang lain daripada menghadiri atau menyertai perhimpunan tersebut.

Empat individu tersebut ialah pemimpin PAS - Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Mohamad Sabu dan Adenaan Saad - serta Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Perintah itu juga menyatakan bahawa pihak-pihak berkaitan yang lain juga dilarang sama daripada menyertai perhimpunan tersebut.

Tiada ulasan: