KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Disember 14, 2007

Tarmizi Cabar Rashid Tolak Tawaran Anak Badawi Jadi Pengerusi SPR, Jika Bermaruah!

Dengan kenyataan yang berdolak-dalik dan berbelit-belit Tan Sri Rashid, Tarmizi menyifatkan “konspirasi khas” pada 12 Disember lalu mempunyai asas dalam pakatan sulit anak Badawi dan menguasai permainan tidak rata sewaktu pilihan raya ke 12 nanti!

Oleh ABDUL HADI TULIS

Kuala Lumpur: PAS Kawasan Batu mencabar Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar menolak terus tawaran Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menyambung khidmatnya selaku Pengerusi SPR setahun lagi, sebaik Rang Undang-Undang (Pindaan) 2007 diluluskan Dewan Rakyat, 12 Disember lalu, jika beliau benar-benar bermaruah.

Ketua Peneranganya, Tarmizi Mohd Jam tidak yakin Rashid akan menolak tawaran itu kerana pindaan Rang Undang-Undang 2007 dibuat khas untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya bersama BN dalam menyelenggarakan pilihan raya di padang “tidak rata” tahun depan.

Beliau mengulas kenyataan dolak-dalik Rashid dalam Utusan Malaysia hari ini, kononnya pindaan perlembagaan itu tidak dikhususkan untuknya (Rashid) tetapi beliau mengakui terdapat tanda-tanda yang kerajaan BN mahukan beliau menyambung tugasnya itu memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

“Siapa nak kerja macam ini, asyik kena maki hamun tanpa sebarang sebab jelas,” ujar Rashid dipetik sebagai berkata.

Menurut Rashid dalam kenyataannya itu, keputusan untuk meneruskan perkhidmatannya terserah kepada beliau sama ada mahu menerima ataupun menolak. Beliau akan memikirkannya kerana ia bukan sesuatu yang automatik.

Menurut Tarmizi ketika dihubungi Harakahdaily, Rashid yang akan bersara wajib pada 31 Disember ini pasti akan menerima tawaran tersebut bagi membayar harga “konspirasi mengejut” dalam meminda perlembagaan yang kini telah membolehkan anggota SPR yang berumur 65 tahun dilanjutkan khidmatnya setahun lagi kepada 66 tahun.

“Mereka ingat saya akan meraikannya dengan potong (sembelih) lembu dan kambing kerana saya disambung (perkhidmatan). Mereka ingat saya nak sangat kerja ini (jawatan Pengerusi SPR). Saya boleh tidur lena dan bermain dengan anak serta cucu (jika tidak disambung). Gajipun saya tidak tengok. Saya tidak perlu banyak wang untuk meneruskan hidup ini,” ujar Rashid sebagai berkata.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang sama, Rashid telah menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat atas alasan pilihan raya sudah hampir dan beliau khuatir akan dituduh penakut jika tidak melanjutkan khidmatnya sebagai Pengerusi SPR.

“Saya bukan penakut kerana pilihan raya adalah sebahagian dari kehidupan saya,” katanya sambil menambah khidmatnya untuk adalah negara.

Dengan kenyataan Rashid itu, Tarmizi menyifatkan “konspirasi mengejut” pada 12 Disember lalu mempunyai asas dan sekaligus pindaan Rang Undang-Undang 2007 hanya melanjutkan suatu permainan yang tidak telus, tidak adil, berat sebelah dan kuku besi dalam pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: