KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 13, 2007

Lapor (33): Mohd Sabu Ingatkan Jangan Bagi Kerajaan Jakun Terus Berkuasa Di Malaysia



By HARAKAHDAILY

"JANGAN biarkan kerajaan 'jakun' terus bermaharajalela sebaliknya bina kerajaan bertamadun yang boleh menjamin perlembagaan," tegas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu sejurus meninggalkan pintu utama perkarangan Mahkamah Majistret Jawi, Nibung Tebal pagi tadi.

Beliau sempat memberikan ucapan hampir 10 minit kepada hadirin yang menunggu kerana kesalahan di bawah 186 Seksyen 34 mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Jelasnya, menjadi tanggungjawab rakyat untuk menegakkan kerajaan yang benar-benar adil, saksama dan menghargai suara rakyat.

Kerajaan yang telus katanya, amat penting diwujudkan segera untuk menganti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap tidak bertamadun dengan era perkembangan politik dunia hari ini.

"Apakah salah kita berhimpun untuk menyuarakan pandangan yang baik. Itu teguran kita tetapi memandangkan kerajaan yang ada tidak mahu mengaku kesalahan mereka buat tindakan yang boleh merosakkan identiti negara demokrasi, " ujarnya.

Seterusnya Haji Mohamad yang juga dituduh menyertai perhimpunan haram di Mahkamah Jalan Duta semalam menyeru rakyat agar bangun memberi tentangan kepada kerajaan BN kerana tidak lagi menghormati perlembagaan yang membolehkan perhimpunan aman.

Kepimpinan Umno dan BN sambungnya, terus memperkudakan pasukan polis bila terasa bahang kebangkitan rakyat terutamanya menjelang tarikh pilihan raya umum ke-12.

PAS dan Barisan Alternatif (BA) akan berjuang untuk mempastikan demokrasi di negara ini terjamin adil, telus dan dihormati di mata dunia bukan seperti hari ini sudah tercalar dan rosak.

"Kerja kita bukan setakat menang pilihanraya malahan mempastikan perhimpunan aman yang diharamkan selama ini dihalalkan," katanya.

Turut memberi sokongan padu terhadap beliau pagi tadi ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man; Setiausaha Perhubungan, Fadhil Kemi; Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman; Ketua Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Soid Mohd Amin; Setiausaha PAS Kuala Kedah, Nasir Mustaffa dan Ahli Jawatankuasa PAS Kedah, Haji Adnan Saad.

Beliau dibebaskan jam 11.40 pagi tadi oleh Mahkamah Majistret Jawi, Mohd Izham Ali dan disaksikan oleh pendakwaraya, Zalina Haji Awan di samping enam peguam tertuduh Asmuni Alwi, Darshan Singh, Mohamad Afif Abdullah, Abdul Halim Mohd Noor, Aqbal Shifudin Adnan Sallehudin dan Yusnita Mohd Yusuf.

Beliau akan dibicarakan bersama sembilan pesalah yang sama iaitu Fauzi Saharat, Mohd Saleh, Mohd Lazim Osman, Abdul Rahim Mohd Arif, Zairul Azrun Zainal Abidin, Mohd Subri Mohd Said, Abdul Razak Ramli, Mohd Biyamin Ishak dan Zamarul Aini Abdul Malek pada 13 Februari 2008 di Mahkamah Majestrit Jawi jam 9.00 pagi.

Tiada ulasan: