KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mei 25, 2008

Apabila Selangor Sendiri RAGUI KEBERSIHAN Pimpinan Pakatan Rakyat!

Tetapi kalau sekadar cabut dan tampal atau cabut dan buang sebagaimana amalan MB yang lalu (yang kebetulan seorang doktor gigi) saya bimbang ianya akan mengundang lebih banyak masalah terhadap kerajaan baru ini.

By ROSLAN SMS
Setiausaha Akhbar Kepada Presiden PAS

Pegawai kerajaan warisan BN lebih dipercayai berbanding Adun, Exco KeADILan, PAS dan DAP? Pengumuman Ronie Liu dipersoal!

DALAM satu majlis yang dihadiri MB Perak baru-baru ini, Datuk Seri Ir Nizar telah menyarankan kepada para juru blog (bloggers) agar terus mengkritik termasuklah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang baru dengan harapan kepentingan, nasib dan kebajikan rakyat dan negeri akan terus dibela.

Atas dasar ini saya menyahut cabaran beliau dan merasakan terpanggil untuk mengkritik apa yang saya baca dalam Metro (sisipan akhbar The Star) hari ini (18 Mei 2008).

Pakatan Rakyat baru memerintah Selangor dan tiga negeri lain selama 2 bulan. Dan kita faham banyak perubahan yang mahu diperkenalkan untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan BN selama berpulu-puluh tahun lalu.

Di Selangor umpamanya kelihatan kerajaan baru sungguh berhati-hati dalam memastikan yang segala amalan buruk dan tidak bermoral kerajaan yang lalu tidak diteruskan, semestinya ini sesuatu yang baik dan perlu dipuji.

Cumanya janganlah kerana niat yang baik ia menjadi terlalu “overzealous”, keterlaluan sehingga nanti membawa kesan yang buruk pula ke atas kita.

Diperingkat PBT, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah pun memperkenalkan pembaharuan, mahu memasukkan sejumlah wakil dari badan professional dan wakil-wakil NGO untuk duduk sebagai ahli-ahli majlis mewakili profesion dan kepentingan NGO masing-masing.

Bermakna ahli-ahli majlis PBT nanti bukan hanya terdiri dari wakil parti-parti politik tetapi juga yang bukan politik.

Juga diumumkan baru-baru ini ADUN Selangor tidak akan duduk sebagai ahli majlis.

Dan hari ini EXCO berkenaan, Sdr Ronnie Liu mengumumkan suatu lagi pembaharuan.

Kata beliau ADUN dan ahli-ahli majlis yang terdiri dari wakil-wakil politik tidak akan dibenarkan duduk dalam “tender board” atau lembaga tender PBT.

Kononnya usaha ini bagi memastikan tiada lagi unsur rasuah berlaku dalam lembaga tender. Sebaliknya lembaga tender nanti akan diwakili oleh ahli-ahli majlis bukan politik dengan Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis mempengerusikannya.

Beginikah cara penyelesaian yang terbaik?

Apakah Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis serta ahli-ahli majlis yang bukan politik itu nanti dapat dipastikan kebersihannya?

Apakah kerajaan negeri menganggap wakil-wakil politik Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS sama nilai moralnya dengan wakil-wakil BN?

Kalau rasuah menjadi kebimbangan kerajaan negeri, EXCO berkenaan sepatutnya menyemak semula amalan atau prosedur lembaga tender yang lepas dan memperkenalkan satu “Standard Operating Porcedure” baru yang telus, tuntas serta meyakinkan.

Bukannya menghalang orang-orang politik dari terlibat dalam lembaga tender sebegini. Bagi saya ini suatu keputusan yang sangat lemah kerana menyamakan ahli-ahli politik PR dengan BN.

EXCO berkenaan perlu ingat Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis yang dikekalkan itu telah lama berkhidmat di bawah BN (saya yakin kasih sayang mereka kepada pimpinan BN masih kekal bertapak sehingga kini lantaran kemesaraan itu), mereka itu yang patut lebih diragui dan dipantau bukannya ahli-ahli politik PR yang masing-masing bersemangat mahu bersama memperjuangkan kerajaan yang bersih dan adil.

Kalau beginilah sikap kerajaan negeri, mungkin selepas ini semua tender dan kontrak kerajaan negeri jangan juga libatkan EXCO dan MB. Biar sahaja pegawai-pegawai kanan kerajaan yang duduk membuat keputusan, begitukah yang kita mahu?

Memang “prevention is better than cure” tetapi bagi saya keputusan ini seolah mencampakkan jaringan syak wasangka dan keraguan keterlaluan terhadap orang-orang kita sendiri.

Berilah peluang kepada pimpinan parti diperingkat kerajaan tempatan untuk menunjukkan kemampuan dan iltizam mereka untuk turut menyumbang ke arah cita-cita murni kerajaan yang baru ini.

BN memang telah gagal lantaran amalan-amalan buruk pimpinan mereka dari peringkat tertinggi sehinggalah yang di akar umbi, tetapi itu BN, bukan kita.

Jika garispanduan yang baik dan berkesan diperkenalkan sehingga menutup segala lubang dan ruang untuk rasuah dalam lembaga tender, letaklah siapa pun saya tidak nampak yang gejala ini akan merebak.

Tetapi kalau sekadar cabut dan tampal atau cabut dan buang sebagaimana amalan MB yang lalu (yang kebetulan seorang doktor gigi) saya bimbang ianya akan mengundang lebih banyak masalah terhadap kerajaan baru ini.

Diharapkan MB Selangor akan mengakaji dan menyemak semula keputsan ini agar nampak lebih kemas dan praktikal.

Tiada ulasan: