KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 13, 2008

Karpal Kena Mohon Maaf Elak Pergeseran - PROF DR. AZIZ BARI

Karpal perlu membuat penjelasan dan membuat kenyataan umum memohon maaf. Beliau juga perlu mengakui kesilapannya dalam memahami Perlembagaan dalam konteks pegawai jabatan agama - Dr. Aziz Bari

Muqqaddimah: TINDAKAN Pengerusi DAP, Karpal Singh, mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury, mengundang kritikan dari pelbagai pihak. Tidak cukup dengan itu, beliau mempertikaikan pula titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-12. Apakah tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menyalahi undang-undang atau ada sesuatu di sebaliknya? Berita Minggu mengupas isu ini dengan Mohd Azis Ngah mendapatkan pakar undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Kenyataan Karpal Singh mencetuskan perasaan tidak puas hati rakyat kerana menyentuh kedudukan Raja Melayu. Pandangan Prof.

Masalah Karpal ialah sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan yang menyentuh kedudukan Raja - walaupun secara tidak langsung. Contohnya apabila beliau mendakwa bahawa Malaysia adalah negara sekular, ini sebenarnya membabitkan kedudukan Raja.

Jika Malaysia benar-benar negara sekular, bagaimana dengan kedudukan Raja sebagai ketua agama?

Jadi, apabila beliau membuat komen mengenai kedudukan Sultan Perak dan menyinggung negeri lain, ia sebenarnya membangkitkan semula ingatan dalam benak rakyat mengenai apa yang perlu beliau katakan sebelum ini.

Karpal juga pernah menyaman Almarhum Sultan Selangor pada 1987 ekoran kenyataan baginda yang dilaporkan tidak akan berkenan untuk mengampunkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.

Jadi walaupun kenyataan Karpal, khususnya mengenai titah Agong masih boleh diterima kerana ia pandangan seorang peguam, rekod beliau memberi gambaran negatif. Sebagai seorang ahli politik, Karpal perlu lebih berhati-hati.

Wajarkah titah Yang di-Pertuan Agong dipersoalkan.

Soal wajar atau tidak perlu dilihat dalam konteks demokrasi berparlimen iaitu ucapan pembukaan, baik oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja atau Yang di- Pertua Negeri adalah ucapan kerajaan. Ia bukan ucapan peribadi Raja. Titah itu sekadar lambang; ia adalah dasar kerajaan.

Apakah kesan perbuatan ini kepada institusi beraja dan rakyat.

Sukar untuk menentukan kesan tindakan itu kerana ia tidak semestinya menunjukkan bahawa institusi raja lemah. Kritikan kadang-kadang menunjukkan bahawa institusi berkenaan berkesan dan ada pihak yang tidak senang hati.

Apa pun institusi beraja sudah berakar lama dan dilindungi Perlembagaan dan undang-undang. Tidak mudah untuk menggugatnya.

Ia mungkin menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sebahagian rakyat, terutama jika mereka mentafsirkan kritikan sedemikian sebagai mewakili perasaan dan tanggapan golongan bukan Melayu terhadap institusi yang umumnya melambangkan keMelayuan dan keIslaman.

Adakah peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabar dan mempersoalkan kewibawaan institusi beraja.

Bergantung setakat mana dan apa yang dilakukan dengan mencabar dan mempersoalkan institusi beraja. Jika ia merujuk kepada perbuatan membabitkan senjata dan kekerasan, kita ada peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan ini boleh dihukum mati seperti yang kita lihat dalam kes pengikut al-Maunah di Perak.

Mempersoal wibawa pula kalau ia termasuk di dalam ruang lingkup yang dilarang oleh Akta Hasutan, mereka yang melakukannya boleh didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut. Perlembagaan, bagaimanapun membenarkan Ahli Parlimen mengkritik Raja-Raja asalkan tidak sampai hendak menghapuskan institusi beraja.

Adakah Yang di-Pertuan Agong dilindungi oleh imuniti atau kekebalan yang menghalang mereka daripada dikritik atau dipersoalkan termasuk oleh wakil rakyat.

Ya. Perlembagaan masih melindungi mereka dengan menjamin kekebalan atau imuniti. Pindaan Perlembagaan pada 1993 hanya membataskan imuniti; ia tidak menghapuskan imuniti kerana Raja-Raja hanya boleh didakwa di Mahkamah Khas, bukan mahkamah biasa.

Kritik dan persoalan bukan ancaman. Ia dibenarkan Perlembagaan serta dikecualikan oleh Akta Hasutan. Tetapi jika persoalan yang dibangkitkan ialah isu yang mengarut dan tidak masuk akal, saya fikir kita boleh gunakan Akta Hasutan.

Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap Karpal.

Setakat ini apa yang perlu ialah siasatan saja dan selepas itu, buat keputusan selanjutnya. Siasatan ini perlu untuk memastikan apa yang sebenarnya beliau katakan. Dengan demikian implikasinya boleh dikaji dan kemudian tentukan sama ada itu semua masih berada di dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh undang-undang atau sebaliknya.

Karpal sebelum ini mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jaip. Adakah tindakan itu dianggap menghina Sultan Perak.

Ini perlu dihalusi dengan lebih lanjut kerana Perlembagaan membenarkan kritikan terhadap Raja asalkan tidak mencadangkan penghapusan sistem beraja. Ramai ahli politik sebenarnya boleh ditafsirkan sudah membuat tindakan seperti itu. Saya tidak pasti apakah Karpal berniat dan boleh ditafsirkan begitu.

Perlukah Karpal memohon maaf.

Ini bukan soal undang-undang. Tetapi sebagai ahli politik mungkin Karpal perlu membuat penjelasan dan membuat kenyataan umum memohon maaf. Beliau juga perlu mengakui kesilapannya dalam memahami Perlembagaan dalam konteks pegawai jabatan agama.

Karpal Singh mendakwa Sultan tidak mempunyai kuasa ke atas kakitangan awam yang bertugas di negerinya. Contohnya dalam soal memindahkan kakitangan awam ke negeri lain atau jabatan lain.

Ini kenyataan yang terlalu umum dan tidak begitu tepat di sisi Perlembagaan. Raja adalah ketua negeri dan mempunyai peranan tertentu. Contohnya Perlembagaan negeri memberi peranan dan budi bicara dalam pelantikan pegawai kanan negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Penukaran pegawai memang secara umum terletak di tangan kerajaan, tetapi dalam kes Jaip, pegawai berkenaan tertakluk kepada kuasa Sultan selaku ketua agama dan baginda boleh bertindak mengikut budi bicara.

Tiada ulasan: