KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 13, 2008

NASHARUDIN Sifatkan LOMPAT PARTI Tak Bermaruah!

Menurut Nasharuddin, usaha PKR untuk menarik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang tidak lagi dibincangkan secara rasmi oleh parti itu.

By AGENDADAILY

GAMAT mengenai isu lompat parti selama ini hanya kedengaran daripada sebelah pihak Parti keadilan Rakyat (PKR). Sekutu rapat PKR iaitu PAS nampaknya sehingga kini masih belum membuat sebarang pendirian.

Bagi mendapatkan gambaran apakah sentimen sebenar PAS, Agendadaily hari Isnin telah menemui Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Md. Isa yang dalam perbualan ringkas dengannya, beliau berkata: “Secara peribadi saya berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat”.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menyifatkan perbuatan melompat parti sebagai tindakan yang tidak bermaruah.

‘‘Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat... mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu, dia main-main lompat. Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti dia tak lompat, orang yang faham tak buat macam itu,” katanya pada 22 Mac lalu di Kota Bharu.

Menurut Nasharuddin, secara keseluruhannya usaha PKR khususnya penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang tidak lagi dibincangkan secara rasmi oleh parti itu.

Malah kata beliau, pihaknya masih lagi meneliti perkembangan tersebut secara teliti sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya.

“Kita akan lihat dan kaji dahulu sama ada perubahan tersebut membawa kebaikan atau tidak,” jelasnya.

Ditanya apakah penada aras bahawa melompat parti itu membwa kebaikan, Nasharuddin berkata, ia sesuatu yang agak sukar untuk ditentukan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai perkara yang sama memberitahu Agendadaily di lobi bangunan Parlimen, pihaknya akan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat berhubung dengan isu melompat parti ini.

Katanya, belum ada pendirian rasmi PAS mengenai perkara berkenaan kerana semua aspek yang melibatkan isu tersebut sedang diteliti.