KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Sasterawan Negara jengah sendiri sekolah bawah flat SK Sri Perak

KUALA LUMPUR: Nasib 204 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Perak, Bandar Baru Sentul yang masih meneruskan persekolahan mereka di bawah flat 17 tingkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mendapat perhatian Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.

Selasa lalu, Samad yang lebih dikenali sebagai Pak Samad turun padang untuk melihat dari dekat suasana sekolah itu setelah membaca pendedahannya dari Harakah. Beliau diiringi Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Peneroka Bandar PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin, dan Tarmizi Mohd Jam, Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) Husni Abas dan beberapa Exco PAS Kawasan Batu.

Mereka sempat bertanya khabar dari beberapa guru di sekolah itu dan meninjau persekitaran yang kurang selesa yang tidak mencerminkan ia sebagai sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Ketika kunjungan, semua pelajar dan guru sedang bersiap untuk latihan menyambut Hari Anugerah Pelajar.

Pak Samad melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan nasib pelajar Melayu di sekolah itu, seolah-olah tanpa pembelaan untuk mendapatkan sekolah yang baru dan selesa. Beliau melihat sendiri keadaan yang tidak enak, sesak, bising dan mempersoalkan tahap keselamatan sekolah tersebut, baik di dalam bangunan mahupun di luar.

"Kami tidak sempat berjumpa dengan Guru Besar. Begitu juga Penolong Guru Besar. Kami hanya sempat bercakap dengan guru biasa di pejabat. Dia memang tidak boleh beri apa-apa ulasan. Itu kita tahu," katanya ketika ditemui sejurus melawat pejabat sekolah berkenaan.

Menurut Pak Samad, masalah sekolah ini wajar diambil perhatian yang serius oleh Kementerian Pelajaran memandangkan ia sudah lebih 20 tahun beroperasi.

Sebagai budayawan, mereka harus mengambil berat masalah ini kerana ia membabitkan orang Melayu tambahan pula para pelajar dan ibubapa mereka ini adalah rakyat yang bermaruah di negara ini.

"Kalau betul konsep 'Rakyat Didahulukan', inilah masanya. Rakyat kena didahulukan. Kecuali mereka (kerajaan) tidak merasakan pelajar-pelajar di sini adalah rakyat. Kalau mereka rasa, pelajar ini adalah rakyat, kenalah rakyat di dahulukan," tegas beliau.

Kata Pak Samad, budayawan cuma datang untuk berbincang dan mengingatkan dan memberi kesedaran kepada pihak yang bertangungjawab bahawa masalah sekolah ini adalah isu besar dan tidak patut dibiarkan berlarutan hingga lebih 20 tahun sekolah di bawah flat.

"Kalau ada aliran lain, politik masuk (kawasan sekolah), budayawan masuk menunjukkan perhatian kita terhadap masalah ini amat besar, cukup serius" katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah, Ishak Surin dalam kenyataan medianya mendesak agar Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak agar datang melawat ke sekolah ini bagi meninjau suasana sebenar dan tahap prasarana serta keselamatan di sini.

Beliau juga mendesak kedua-dua mereka, mengadakan rundingan semula, mengkaji pembatalan projek pembinaan sekolah yang baru bagi menggantikan penempatan Sekolah Kebangsaan Sri Perak yang kini berada di bahagian bawah empat blok flat 17 tingkat milik DBKL itu.

Terdahulu, PAS Kawasan Batu telah menghantar memorandum berkaitan isu ini kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dan mendedahkan 'kepincangan' sekolah ini melalui media.

Ekoran itu, lima Ahli Parlimen PAS termasuklah Dato Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Firdaus Jaafar (Jerai), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) dan Dr' Lo'Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), turut melawat dan tersentak untuk meninjau sendiri sekolah yang tidak menepati piawaian sekolah sebenar.

Sekolah ini ditubuhkan sekitar tahun 1987 bagi menampung murid yang terlalu ramai. Bersebelahan flat ini terdapat satu lagi sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul yang sarat dengan pelajar.

Terdapat 32 orang guru yang mengajar di sekolah ini, walaupun dalam suasana sekolah yang tidak memenuhi piawaian sistem pendidikan sebenar. Sekolah ini diklasifikasikan sebagai gred A iaitu memiliki 700 orang murid dan ke atas.

Sebelum ini, cadangan membina dan menyiapkan sekolah mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Sekyen 85A Kuala Lumpur itu telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut papan tanda projek sekolah itu dijangka siap pada 30 September 2009 dan dimulakan pada 1 April 2008 kira-kira setahun yang lalu. Bagaimanapun, ianya dibatalkan enam bulan yang lalu tanpa sebarang alasan.