KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 11, 2010

Anak muda India yakin dasar-dasar PAS dan kepimpinan ulama

MUQADIMAH: Keahlian Kelab Penyokong PAS Kaum India telah mencecah 22,096. Sebahagian keahlian itu terdiri daripada golongan muda. Dengan pengiktirafan yang diberikan PAS, kepimpinan Kelab Penyokong PAS Kaum India berkeyakinan, sokongan terhadap PAS yang merentasi kaum dan agama akan bertambah. NYZA AYOB mendapat pandangan Ketua Pemuda, Kelab Penyokong PAS Kaum India, Balendran mengenai perkara ini.

PAS telah mengiktiraf Kelab Penyokong PAS dengan menaik taraf kepada Dewan Perhimpunan Penyokong PAS. Apa reaksi saudara?

BALENDRAN: Memang inilah yang kita tunggu selama ini. Sebab jika sekadar diikitiraf sebagai kelab, kami hanya berperanan sebagai ahli bersekutu dan bukan ahli penuh. Jadi, apabila dijadikan sebagai dewan, kita percaya PAS mengambil perhatian terhadap golongan bukan Islam serta meningkatkan lagi sokongan terhadap PAS.
Sekarang apabila kita diiktiraf sebagai dewan, kita mempunyai hak untuk sama-sama memberi idea dalam setiap perbincangan yang dilakukan. Jika sebelum ini, apabila diadakan mesyuarat Dewan Harian atau di Peringkat Pusat, kami tidak terlibat.

Golongan muda dilihat lebih berfikiran progresif. Pada pandangan saudara, adakah sokongan golongan muda di kalangan bukan Islam berdasarkan keputusan politik semata-mata atau kerana benar-benar mengiktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam untuk semua kaum dan agama?

Berdasarkan maklumat yang saya terima terutama apabila mereka mengisi borang keahlian, penyertaan mereka atas dasar PAS sendiri dan bukannya bergantung kepada isu semasa.
Mereka percaya kepada dasar Islam yang diperjuangkan PAS. Sebab itu mereka dapat memberi sokongan penuh terhadap PAS. Jika tidak, tidak ada sebab untuk mereka menyertai kelab penyokong ini.
Selain itu, mereka meyakini dengan kepimpinan PAS yang juga dipimpin golongan ulama. Semua ini telah jelas bagi kami. Kami juga tahu perjuangan PAS untuk semua kaum sesuai dengan fungsi Islam itu iaitu 'membawa kerahmatan' kepada semua.

Sehingga kini berapakah jumlah keahlian Kelab Penyokong PAS Kaum India?

Sehingga kini, borang keahlian yang telah diserahkan kepada Presiden PAS ialah 22,096. Keahlian tersebut daripada penyokong-penyokong India di Pahang, Perak dan Kedah. Sehingga kini kami belum menerima borang-borang keahlian dari negeri lain.

Secara peribadi, bagaimana saudara tertarik menyertai Kelab Penyokong PAS dan seterusnya 'bersusah payah' memimpin golongan muda di kalangan kaum India?

Sebagaimana yang saya tegaskan, Islam membawa kebaikan kepada semua isi alam. Jadi, dasar yang dibawa PAS itu juga membawa kebaikan kepada semua. Saya juga berkeyakinan dengan kepimpinan PAS.
Sebelum ini, sebelum kita mengenali PAS, kita rasakan jurang antara Islam dan bukan Islam agak jauh. Tetapi setelah mengenali PAS, kita merasa senang dan berkeyakinan satu kepimpinan yang boleh membawa kebaikan kepada semua.
Dan saya juga ingin tegaskan... saya tidak rasa 'susah' apabila cuba menarik golongan India menyertai PAS. Apabila sokongan terhadap PAS meningkat, saya yakin kita semua dapat mengecapi 'kesenangan' bersama. Perjuangan kita bersama-sama demi masa depan negara.

Komponen Barisan Nasional (BN), MIC juga mempunyai kepimpinan muda. Adakah saudara yakin PAS berupaya untuk menarik golongan muda di kalangan mereka?

Setiap individu yang menyertai Kelab Penyokong PAS, mereka datang dengan sendiri. Mereka datang, bukan kerana imbuhan tertentu. Tetapi jika kita bandingkan penyertaan mereka dalam Briged Muda MIC atau Makkal Sakti, jelas mereka mempunyai 'sifat kebendaan' dan mereka tahu, mereka akan mendapat sesuatu daripada MIC.
Seperti Makkal Sakti yang ditubuhkan secara tergesa-gesa untuk menarik sokongan India, akhirnya mempunyai masalah dan akhirnya mereka berpecah diantara Presiden dan Timbalan Presiden. Jika individu ini benar-benar mendekati PAS tanpa sifat kebendaan, itu yang membezakan tarikan PAS dengan parti-parti lain.

Tiada ulasan: