KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 11, 2010

Zahid Hamidi tewas bersilat di Pulau Pinang tuntut Pengerusi BN dari gerakan

Oleh Idris Samad

TIBA-TIBA Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan mahu jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang diserahkan kepada Umno dan dilucutkan dari Gerakan.

Serta-merta Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menepis dengan mengatakan sudah 35 tahun jawatan itu disandang partinya kenapa sekarang Umno memintanya?

Di bawah, cakap-cakap mengenai isu ini merebak dengan begitu pantas. Rata-rata menganggap Ahmad Zahid sebagai tok dalang dalam persembahan wayang kulit ini, kerana selepas Datuk Ahmad Ismail dibebaskan dari hukuman penggantungan, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera ini tentunya masih berdendam dengan Gerakan yang menjadi salah satu sebab mengapa dia dikenakan tindakan disiplin parti dahulu.

Ketika Umno meminta jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepadanya, apakah kejayaan Umno di Pulau Pinang yang sudah dibuktikan setakat ini?

Adakah Umno pernah memenangi mana-mana pilihan raya kecil di Pulau Pinang selepas PRU 12 yang lalu?

Untuk catatan, Umno tewas dua kali pilihan raya kecil di Pulau Pinang dan satu pilihan raya kecil tidak ditandingi kerana bimbang termasuk perangkap Pakatan Rakyat.

Umno tewas di Permatang Pauh dan Pematang Pasir manakala di Dun Penanti, Umno enggan meletakkan calon.

Kedengaran amaran Ahmad Zahid ketika mahu menghadapi pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir bahawa Umno tidak akan teragak-agak memecat mana-mana ahlinya yang mensabotaj calon BN – tetapi sehingga rencana ini ditulis, tiada seorang pun yang dihukum, mungkin kerana tiada seorang pun ahli Umno yang mensabotaj calon BN yang kalah teruk di situ.

Sebelum orang lain bercakap soal prestasi Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang, adalah lebih baik jika timbulkan cerita menuntut jawatan Pengerusi BN negeri.

Ada isu yang mampu melindungi Ahmad Zahid yang belum membuktikan apa-apa di dalam Umno Pulau Pinang, selain rekod PRU 12 yang lalu, menang 11 kerusi Dun.

Kedudukan 11 kerusi Dun bukan kerana Ahmad Zahid dan jika ada satu atau dia kerusi lagi yang Ahmad Zahid dapat tambahkan di Dun Pulau Pinang, alangkah baiknya tuntutan itu dibuat.

Ini, belum lagi membuktikan apa-apa kejayaan sebagai Pengerusi Umno negeri, tiba-tiba mengejar jawatan Pengerusi BN negeri. Walaupun Ahmad Zahid berkata ini bukan kehendaknya tetapi kehendak ketua-ketua Umno bahagian, tetapi kalau Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan kehendak itu, mana mungkin ia terkeluar dari bilik mesyuarat?

Menoleh sejarah politik Ahmad Zahid, Gerakan tidak perlu risau. Jika Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak bersetuju, serta-merta Ahmad Zahid akan menarik balik kenyataannya itu. Ingat ketika dia mengeluarkan kenyataan mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno?

Apabila Najib memanggilnya ke pejabat, serta-merta dia menarik diri. Dulu, ketika dia mengeluarkan kenyataan keras terhadap Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, tidak lama selepas itu dia menyusun sepuluh jari, memohon maaf.

Begitu juga dengan isu nepotime, kronisme dan korupsi yang pernah dilaungkannya ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Apabila berdedai-dedai masuk ke tahanan ISA, termasuk Ahmad Zahid – dia melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Jadi, jika sesiapa mengenali Ahmad Zahid dan sejarah politiknya, tiada apa yang perlu dibimbangkan – kerana kalau kena gayanya, dia akan menarik balik kata-katanya itu dan mungkin dengan jawatan Pengerusi Umno negeri pun dilepaskannya.

Dalam politik Umno, memang ramai pelawak. Cuma, apakah senarai mereka masih dalam senarai lama, atau sudah dikeluarkan dari senarai itu dan dimasukkan ke senarai baru pula.

Pelakon-pelakonnya, orang-orang biasa sahaja dan bukan orang baru.
Satu legasi meminta maaf yang Ahmad Zahid tinggalkan, diwarisi penggantinya, Dato' Seri Hishammuddin Hussein yang turut meminta maaf (tetapi tidaklah sampai mencium tangan) kepada MCA kerana isu menghunuskan keris di Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno yang dikatakan menjadi sebab mengapa pengundi Cina tidak mengundi BN dalam PRU 12 yang lalu.

Apa buktinya pengundi Cina tidak mengundi BN dalam PRU 12 yang lalu disebabkan isu menghunus keris, tidak pula dibuktikan. Cuma, kerana mahu menjaga hati Pemuda MCA, cepat-cepat Hishammuddin memohon maaf.

Isnin lalu, Najib sudah memberi amaran, hentikan perdebatan mengenai jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang. Jika Najib memanggil Ahmad Zahid nanti kerana isu ini, dengan serta-merta Ahmad Zahid akan mengadap Tsu Koon untuk meminta maaf. Jika Najib berdiam diri dalam isu ini, Ahmad Zahid juga akan berdiam diri.

Kalau dia melayan karenah ketua-ketua Umno bahagian di Pulau Pinang yang banyak bercakap dari bekerja Ahmad Zahid akan keletihan. Kalau pasal bercakap, berilah pembesar suara kepada mereka. Mereka akan bercakap tanpa berhenti macam orang memimpin pasukan boria.

Dari 15 kerusi Parlimen, Umno bertanding di empat kawasan iaitu Permatang Pauh, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau.

Umno menang dua iaitu di Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamad Yakcob manakala dua lagi kawasan, Permatang Pauh dan Balik Pulau dimenangi KeADILan.

Melihat isu ini secara dekat, sama-sama kita nantikan apakah berjaya perjuangan Umno Pulau Pinang yang mahukan jawatan Pengerusi BN atau, Umno Pulau Pinang akhirnya mendapat seorang Pengerusi Umno negeri dari kalangan orang Pulau Pinang sendiri dengan Ahmad Zahid diundurkan.

Biasanya, politik Ahmad Zahid dia akan menang untuk politik peribadi tetapi perjuangan untuk orang ramai – habis bergitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian.

Tiada ulasan: