MUQADIMAH: Isu pokoknya ialah soal keselamatan. Dalam kes yang besar mencuri dua enjin Jet F-5E milik TUDM bernilai ratusan juta ringgit dianggap sudah selesai hanya menyeret dua individu Sarjan TUDM N Tharmendran dan ahli perniagaan K Rajandran Prasad. Belum lagi disiasat bagaimana bom C4 boleh diseludup keluar, seperti senjata dalam Tragedi Sauk. Sejauh mana ketahanan keselamatan negara, apabila melihat kebanjiran pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara? Ikuti interbiu SALMIYAH HARUN bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Abdul Khalid Samad bagi melihatnya dari dekat.
Menteri Pertahanan, Dato Seri Zahid Hamidi berpuas hati dengan pendakwaan terhadap dua orang pegawai bawahan berhubung kehilangan dua enjin jet TUDM. Mengapa dalam kes sebesar ini 'ikan bilis' sering menjadi mangsa?
IR ABDUL KHALID SAMAD: Nampaknya kes ini tidak ubah seperti kes pembunuhan Altantuya. Sekali lagi orang yang merupakan dalang utama terlepas kerana dalam kes seperti ini tidak mungkin ianya mampu dilaksanakan oleh seorang sarjan dan seorang prebet semata-mata. Kelulusan untuk membawa keluar enjin jet berkenaan sudah pasti datang dengan arahan daripada 'orang atasan'. Kawalan terhadap barangan yang bernilai puluhan juta, mungkin langsung tidak ada oleh pihak pengurusan dan pentadbiran atau dipejamkan mata sahaja oleh pihak tertentu.
Tidak mungkin TUDM yang begitu profesional dan dibangga-banggakan terlibat bermacam-macam program, menyerahkan soal pengurusan, pemantauan dan pengendalian barang yang begitu bernilai kepada seorang sarjan atau prebet semata-mata?
Sungguh menakjubkan. Saya pertikaikan hal ini kerana kejadian ini amat memalukan.
Peguam Negara turut menegaskan kehilangan enjin itu kerana kecurian, dan tidak semestinya ada pembabitan 'orang besar'... Ini macam mana pula?
Ini bermakna kes-kes kecurian enjin sebesar dan setinggi itu nilai RMnya, boleh dikeluarkan tanpa 'orang besar' seperti mencuri skru yang boleh diletakkan di dalam kocek. Jawapan Zahid Hamidi berhubung curi skru itu saya boleh diterima.
Tetapi dalam kes ini, ia melibatkan peralatan yang besar. Enjin ini sudah tentu tidak boleh bergerak atau diangkat tanpa menggunakan lori dan jentera pengangkut, untuk dibawa keluar daripada pagar atau pintu. Tentu ada kawalan keselamatan pihal lain di kawasan terbabit.
Mengikut ceritanya, enjin itu dikeluarkan oleh 'arahan pihak tertentu' tetapi tidak sampai ke tempat yang sepatutnya. Ini tidak pasti sejauhmana kebenaran ceritanya.
Tetapi kalau itulah caranya, maka ia menunjukkan kepada kita tentang satu pengawalan dan pengurusan aset yang bernilai melalui kaedah yang cukup cuai dan tidak selamat.
Misalnya kita poskan surat. Kita akan pastikan surat itu sampai, seperti juga kita fakskan dokumen, kita akan hubungi sama ada terima atau tidak.
Apatah lagi, kita hendak hantar enjin jet! Keadaan yang sukar dipercayai sekiranya benar-benar ini terjadi. Ia menunjukkan betapa teruknya TUDM dan sistem keselamatan negara di tempat pertahanan.
Adakah soal keselamatan negara berada pada tahap rendah?
Menteri Pertahanan sepatutnya meletakkan jawatan kerana memalukan TUDM. Tragedi ini membuktikan TUDM tidak mempunyai sistem pengawalan yang canggih dan boleh ditipu oleh seorang sarjan atau prebet dengan begitu mudah sekali.
Bagi saya, mesti ada 'orang besar' terbabit kerana alasan yang diberi itu memalukan seluruh anggota dan bekas anggota TUDM. Mustahil tahap keselamatan atau kawalan TUDM sedhaif itu.
Saudara berpuas hati dengan alasan Peguam Negara yang mendakwa enjin tersebut telah dijual sebagai besi buruk atau batu ladung?
Ini tidak mungkin berlaku. Orang yang mengambil barang bernilai itu sudah tentu amat memahami tentang risikonya yang tinggi, dan tidak mungkin hanya dijadikan besi buruk atau batu ladung untuk memancing.
Takkan orang yang mencurinya untuk dijadikan besi buruk lebih berani kerana barang tidak bernilai dan berisiko tidak tinggi. Sebab itu apabila dia mencuri enjin jet yang bernilai dan melibatkan keselamatan negara serta perkara ini bukan sahaja membabitkan kes jenayah tetapi ia adalah kes pengkhianatan terhadap negara.
Peguam negara tidak sepatutnya mengemukakan alasan 'bodoh' seperti itu. Harga jutaan ringgit, hanya untuk dijual sebagai besi buruk...
Kehilangan enjin ini menjejaskan keselamatan negara?
Ia menjejaskan kemampuan kerajaan mempertahankan negara apabila enjin jet ini tidak ada, kecuali apa yang dimaksudkan oleh Zahid Hamidi bahawa memang enjin jet ini memang tidak bernilai.
Tetapi kalau dia kata tidak bernilai maka mengapakah dia sebut harganya bernilai RM20 juta. Melainkan enjin jet sudah memang tidak berguna dan rosak sebagainya. Maklumat sepatutnya perlu dimaklumkan. Saya menolak ianya adalah besi buruk.
Kalau kita masih ingat C4 diseludup dan digunakan untuk membunuh Altantuya begitu juga senjata canggih diseludup dalam Tragedi Sauk. Sekaligus memperlihatkan tentang keadaan keselamatan negara yang memang boleh dibolos. Apa reaksi saudara?
Mungkin benar. Zahid sendiri mengesahkan memang mudah berlaku kecurian. Ini dibuktikan dengan penyeludupan keluar bom C4 dalam kes Altantuya dan banyak senjata diangkut keluar kem dalam Tragedi Sauk. Mungkin ada lagi yang kita tak tau.
Ia cukup mencurigakan. Menterinya yang dipertanggugjawabkan patut letak jawatan. Sebab ini soal membabitkan keselamatan negara. Jika tahap kawalan dan keselamatan pusat-pusat pertahanan begitu dhaif, apa jadi kepada peralatan senjata dan lain-lain alat pertahanan?
Adakah terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes-kes yang membabitkan keselamatan negara dan bolehkah keadaan ini terjadi?
Memang... dalam semua hal yang membabitkan kes seperti ini kemungkinan terlibatnya rasuah orang atasan. Ianya tidak boleh kita tolak mentah-mentah.
Itulah sebabnya saya rasa kerajaan Malaysia sudah lama hilang integriti dan kes-kes seperti ini memang sepatutnya disiasat oleh satu Suruhanjaya Di Raja yang turut dianggotai pihak pembangkang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan dan suasana keselamatan dalam negara kita.
Tidak boleh kita pandang remeh dan memberi jawapan-jawapan yang mudah kerana akhirnya persoalan keselamatan akan terbabit sama. Kalau perkara itu boleh berlaku begitu sahaja mesti akan menimbulkan kekhuatiran di kalangan rakyat kemudian persoalkan keselamatan.
Dalam kes-kes yang lain contohnya membabitkan komisyen melampau pembelian kapal selam Scopene RM540 juta juga dibimbangi sebagai memperjudikan keselamatan negara...
Kalau kita terima apa yang disebut oleh Zahid Hamidi nampaknya seolah-olah soal pengurusan dan pentadbiran angkatan tentera Mindef keseluruhannya boleh dipersoalkan.
Maka apa jaminan bahawa kapal selam itu memang dalam keadaan sepatutnya dan apa lagi jaminan perkara-perkara yang telah dihapuskan dan dijual dan sebagainya.
Semua ini boleh dipertikaikan?
Ya... Mengapa persoalan hendak mengembalikan integriti, kredibiliti anggota angkatan tentera itu amat diperlukan. Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa satu dua individu yang terlibat itulah asas penting, disamping kredibiliti dan integriti angkatan tentera khususnya kementerian haruslah telus, penuh amanah dan tanggungjawab perlu dilakukan. Orang yang terbabit tidak wajar diberikan perlindungan ataupun keselamatan.
Selain daripada masalah dalam sistem pertahanan negara yang diheboh kini, masalah kebanjirann warga asing juga satu lagi bukti keselamatan negara bolos dengan mudah. Sejauhmana saudara melihat situasi ini?
Pendatang yang datang melalui proses yang sah memang tidak dinafikan terlalu ramai dan boleh mengundang pelbagai masalah. Ini sudah menjadi perkara biasa tetapi harus dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun pendatang asing tanpa izin masuk ke negara ini sama ada di Sabah atau Sarawak, memang perlu di pantau dan diatasi kerana jika tidak boleh menimbulkan ancaman keselamatan negara. Soalnya menagapa terlalu mudah mereka menyeludup masuk ke negara ini? Macam mana pantauan pasukan keselamatan? Ini yang membimbangkan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan