KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 11, 2010

Perkasa masuk daud, MB Perlis makin cemas pertahan kuasa

Oleh Idris Samad

APABILA Ustaz Hashim Jasin (PAS–Sanglang) melihat tiada elemen pembinaan insan yang disentuh Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Dr. Md Isa Sabu ketika membentangkan Bajet 2010 baru-baru ini yang mempunyai defisit sebanyak RM75.6 juta, ramai yang tersenyum sinis.

Orang ramai tersenyum sinis kerana Md Isa yang khabarnya mendapat bantuan mentadbir negeri dari seorang yang pernah menjadi menteri dan Setiausaha Agung Umno, sepatutnya menunjukkan kelebihan yang lebih ketara dari bekas-bekas Menteri Besar sebelumnya.

Malangnya, apa yang heboh diperkatakan di Kangar sekarang, apabila orang bercakap pasal politik Umno, mereka tersenyum sinis, macamlah gambar Menteri Besar yang tersenyum di bulatan dekat Hotel Putera Palace – senyuman mengejek!

Jangan salah faham. Bukan Menteri Besar yang mengejek tetapi senyuman sinis orang ramai, senyuman sinis itu senyuman yang penuh makna.

Baru-baru ini, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Ameir Hassan dilantik menjadi YDP Perkasa – sebuah pertubuhan NGO mengejutkan Menteri Besar.

Md Isa yang kesihatannya sering terganggu, memang tidak boleh sering terkejut. Ia akan menyebabkan tekanan darahnya menjadi tidak stabil.

Khabarnya, ada usaha menghalang majlis perlancaran Perkasa peringkat Negeri Perlis ketika mahu diadakan.

Timbalan Presiden Perkasa, Dato' Fuad Tan Sri Hasan yang juga Ketua Pengarah JASA diberitahu oleh pihak-pihak tertentu bahawa orang Melayu Perlis tidak memerlukan Perkasa. Kalau boleh, batalkan sahaja hasrat untuk menubuhkan cawangan Perkasa di Perlis kerana kehadirannya tidak dialu-alukan.

Kata sumber itu lagi, orang Perlis sudah ada Pemanis – satu pertubuhan orang-orang Melayu Perlis yang memperjuangkan nasib orang Melayu, mungkin selepas Umno sudah tidak mampu diharapkan melakukan sesuatu yang menyakinkan.

Namun, pemimpin Pemanis sendiri khabarnya bertemu dengan Md Isa memberitahu bahawa Pemanis perlu bersama-sama Perkasa kerana Pemanis hanya di peringkat negeri tetapi Perkasa di peringkat nasional.

Walaupun tidak berlaku pertengkaran antara Ameir Hasan dengan Md Isa, tetapi majlis perlancaran yang dijadualkan berlangsung di Dewan Sivik di Arau terpaksa dipindahkan di sebuah dewan di Hotel Putera Palace.

Nampaknya, Md Isa bukan sahaja bermasalah dengan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim tetapi turut bermasalah dengan bekas Setiausaha Politiknya sendiri yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Arau.

Dulu, heboh orang Perlis menceritakan bahawa tujuan Md Isa melantik Ameir menjadi Setiausaha Politiknya kerana mahu mengendurkan pengaruh Shahidan Kassim di Perlis – tetapi langkah mencabar Shahidan sebagai Ketua Umno Bahagian Arau gagal dilakukan.

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Umno Negeri Perlis, Dato' Hashim Suboh yang juga pemimpin besar 4B Kebangsaan berkali-kali mengeluarkan kenyataan ramai ahli-ahli Umno di Kangar sedang menimbangkan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR kerana kecewa dengan kepimpinan Umno Perlis.

Hashim dikatakan orang kuat Shahidan di Perlis dan suatu ketika dikatakan cukup berpengaruh di Bahagian Kangar. Tidak pula diketahui sejauh mana pengaruhnya sekarang selepas Md Isa berjaya menjadi Ketua Umno Bahagian Kangar, mengambil tempat Dato' Bakri Ali yang memberi laluan kepadanya.

Kalau Pakatan Rakyat dapat menyusun gerak kerja yang padu di Perlis, PRU 13, Pakatan Rakyat tidak ada masalah untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri ini.

Rakyat bukan sahaja sudah meluat dengan pertelagahan demi pertelagahan kepimpinan Umno di Perlis, malahan, mereka sudah mula terasa bahawa kepimpinan negeri sibuk dengan perbalahan tetapi perkhidmatan kepada rakyat, dipinggirkan.

Di seluruh simpang-simpang dari Arau ke Kangar, Arau ke Kuala Perlis, Kangar ke Padang Besar dan sekitar Jejawi, poster-poster besar gambar Menteri Besar terpampang. Bukan sedikit belanja digunakan untuk tujuan tersebut tetapi lihatlah longkang dan parit di kawasan-kawasan tersebut penuh dengan sampah dan longkang tersumbat.

Jangan sesiapa yang ingin ke Perlis tidak dapat mencari sebuah pun warung atau restoran yang boleh dikatakan bersih kerana PBT dikatakan tidak mengambil berat soal-soal kebersihan tempat makan di sekitar Kangar, Arau, Jejawi dan Padang Besar.

Dengan kehadiran Perkasa di Perlis dengan YDPnya bekas Setiausaha Politiknya, Md Isa akan lebih sibuk sekarang ini untuk mengekalkan kuasa selain musuh-musuh politik yang sedia ada, Hashim Suboh, Shahidan dan mereka yang tidak sebulu dengannya dan dengan bossnya, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Jika ketika Shahidan menjadi Menteri Besar, secara terbuka Shahidan menyebut dia bermasalah dengan Radzi dan bekas seorang lagi Menteri Kabinet, Dato' Seri Azmi Khalid, kini, Md Isa terpaksa mengaku bahawa sebelum dia menjadi MB Perlis, mungkin dialah yang menjadi sebab mengapa Shahidan dengan Radzi tidak pernah berdamai.

Bertanyalah dengan sesiapa sahaja orang-orang Umno, bukan sahaja di Perlis malahan dari luar Perlis juga tahu bahawa Radzi dilihat adalah Menteri Besar di belakang tabir di Perlis manakala Md Isa tidak berperanan apa-apa sebenarnya jika tanpa restu Radzi.

Md Isa pernah menafikan bahawa Radzi lebih berkuasa darinya di Perlis tetapi sebagai bekas Setiausaha Sulit Radzi ketika Radzi menjadi Timbalan Menteri suatu ketika dahulu, tiada siapa percaya yang Md Isa mentadbir Negeri Perlis tanpa tangan-tangan ghaib membantunya.

Dari segi politik nasional, peranan Umno Perlis seperti tidak langsung dihargai oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana tiada seorang pun, dari ketiga-tiga Ahli Parlimen Perlis dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kabinet.

Tiada ulasan: