KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 11, 2010

Kelab Penyokong PAS kini diiktiraf sebagai dewan

MUQADIMAH: PAS menempa satu lagi sejarah dalam perjuangan dakwah dan politiknya apabila kini Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diserap menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS bertaraf sayap parti. Dasar-dasar yang telah didrafkan sebagai legitimasi kepada dewan ini memberi kelansungan kepada sinar politik dan pengharapan masyarakat bukan Islam dalam meneruskan sokongan kepada PAS. Mengupas perkembangan terkini, WAN NORDIN WAN YAACOB menemubual Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Boleh Dr jelaskan bila terbentuknya keputusan mengenai Himpunan Penyokong PAS, diperingkat pusat, dan bagaimana ia dipertimbangkan hingga terbentuknya dewan yang bersejarah ini?

Dr MUJAHID YUSUF: Terima kasih kepada pihak Harakah. Ingin saya maklumkan bahawa ia bermula dengan pembentangan awal draf ini pada 'retreat' PAS Pusat Jun tahun 2009 di Alor Setar.Kemudiannya, kali kedua setelah selesai beberapa pilihan raya kecil, dalam dua tiga bulan yang sudah. Selepas itu ia dibincang lagi dalam mesyuarat terakhir baru-baru ini, dibentang lagi.Bermakna dah tiga kali draf ini dibentangkan. Draf ini membawa makna ia legitimasi kepada undang-undang yang menuju kewujudan kelab ini. Contohnya, dia ada struktur sendiri, keahliannya, disiplinnya dan hak keperwakilannya ke dalam muktamar atau mesyuarat-mesyuarat PAS Pusat, negeri, hingga ke kawasan. Ia juga ada syarat-syarat keanggotaan dan sebagainya.

Maknanya ia sudah dipersetujui pada dasarnya?

Draf ini telah dibentang tiga kali dan pada mesyuarat terakhir di peringkat Pusat telah bersetuju dari segi dasarnya. Bagi saya ia hampir selesai. Cuma pembetulan dari segi teknikal bahasa sahaja, iaitu kita akan siapkan sebelum mesyuarat akan datang pada 10 Januari 2010.Dari segi dasar, tiada masalah bahkan pada mesyuarat lalu mereka mahu namanya diberi sedikit kekuatan dengan diberi nama Dewan Perhimpunan Penyokong PAS supaya dilihat ia sayap yang berperanan penting seperti dewan lain. Itu drafnya. Kita telah sediakan dan bekas Senator Ustaz Haji Hassan Shukri dilantik jadi pengerusi.

Baik, bagaimana kedudukan penyokong yang menjadi ahli dewan ini, terutamanya dalam muktamar dan peranan mereka dalam PAS?

Kita cuba elakkan terutamanya soal keahlian. Jika mereka hendak dijadikan ahli penuh maknanya PAS perlu meminda perlembagaan. Ia akan melibatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Pengalaman PAS dalam berurusan dengan ROS ini sebenarnya, jika nak hantar satu pindaan yang besar, melibatkan satu prinsip atau asas dalam perlembagaan, ia akan mengambil masa panjang untuk ROS luluskan.Malah, ia perlu dibawa ke muktamar untuk pindaan. Oleh kerana kita nak elak ia menjadi masalah yang panjang, kita menggunakan peruntukan (klause) yang ada dalam perlembagan kita yang menyatakan AJK PAS Pusat berhak membentuk apa-apa jawatankuasa yang dirasakan perlu.

Jadi keahlian mereka macam mana?

Jadi dengan peruntukan itu, kita telah diberi kuasa menubuhkan jawatankuasa ini dan kita setuju keahlian dewan ini keahlian di peringkat dewan sahaja tak melibatkan ahli menyeluruh kerana berasaskan kepada masalah yang saya sebutkan tadi. Namun demikian, status sebagai dewan perhimpunan ini tetap memberi hak hadir mesyuarat, hadir muktamar dan beri pandangan dan lebih dari itu jadi sayap parti khusus dalam persoalan bukan Islam.

Adakah mereka juga berhak untuk mengundi atau memilih perwakilan?

Oleh kerana macam saya kata tadi, pindaan perlembagaan secara besar-besaran tidak berlaku, yang berlaku hanya klause yang menyatakan jawatankuasa boleh membentuk.Di sana ada isu-isu yang menyentuh hak untuk mengundi di muktamar. Dia tak menyebut nama dewan ini sebab belum dipinda. Kita letak status mereka sebsagai pemerhati rasmi. Mereka berperanan macam perwakilan lain tetapi mereka tak boleh mengundi dan diundi buat masa ini. Namun, status itu tak kekal, maknanya ia boleh berubah tak kekal statusnya setakat itu sahaja.

Ada keperluan diubah pada masa akan datang?

Kemungkinan besar ada keperluannya nanti. Ini kerana kita baharu pada peringkat awal. Ia berpadanan dengan bersifat pemerhati rasmi sahaja, namun bila kita lihat adanya keperluan kita akan pinda lagilah.

Apakah respons penyokong bukan Islam terhadap pembentukan dewan ini?

Sebelum ini, mereka setia dengan Kelab Penyokong PAS (KPP), sudah tentulah gembira bila PAS mengiktiraf mereka jadi dewan dan ada undang-undang sendiri dan boleh hadir muktamar dan mesyuarat. Bagi mereka yang setia bersama KPP, ini satu perubahan besar. Mereka yakin masa depan dengan PAS sangat cerah. Dan bagi mereka yang bukan penyokong, akan dapat melihat ini sebagai satu pembaharuan yang PAS lakukan bukan hanya retorik sahaja.

Timbul persoalan, dalam menyentuh soal calon bagi pilihan raya kecil ataupun umum. Apakah mereka dari kelab boleh bertanding dengan lambang PAS seperti yang pernah dituntut KPP sebelum ini?

Kalau kita tengok dalam draf undang-undang ini, antaranya ada disebutkan mencalonkan ataupun mencadangkan calon-calon untuk pilihan raya apabila dikehendaki atau diminta PAS Pusat. Maknanya potensi mereka jadi calon ada. Namun ianya terpulang kepada pertimbangnan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama yang biasanya menapis calon-calon ini.Malah, ia juga bergantung kepada suatu rundingan dengan sahabat-sahabat dalam Pakatan Rakyat untuk letakkan di tempat yang sesuai. Draf juga menyebut mereka boleh jadi calon kepada kita untuk kita pertimbangkan. Mereka bukan sahaja duduk kekal sebagai dewan tetapi boleh jadi calon untuk mereka. Ini tidak mustahil akan berlaku. Isu ini perlu diperincikan keperluan siapa dan di mana. Secara peribadi saya rasa sangat perlu letak calon bukan Islam kalau tak ramai beberapa indidvidu di kawasan yang staretgik

Dengan kekecamukan parti komponen BN seperti MIC, PPP dan MCA, apakah peranan dewan ini dalam mendepani kemelut yang membadai mereka supaya sokongan bukan Islam akan terarah kepada PAS?

Peranan dewan ini besar walaupun kini kita tumpukan soal penjelmaan dewan ini. Ini bukan mudah. Insya-Allah akan kita selesaikan secepatnya.Tetapi pada waktu yang sama juga apa yang berlaku ialah kekecamukan dalam MIC, MCA dan PPP... di peringkat PAS memerlukan mereka sertai kita. Tetapi ditegaskan mereka yang nak masuk kena yakin dasar dan perjuangan PAS dan ada syarat dalam keahlian. Kita alu-alukan. Kita juga mahu penyertaan mereka dengan keyakinan dengan dasar-dasar PAS. Kita dah siap moduluntuk mereka masuk serap jadi ahli dewan kita dan kita adakan model latihan perkenalkan PAS.

Apakah terbentuknya dewan ini, sokongan kepada PAS akan meningkat, atau rakyat hanya akan melihat ia satu perubahan politik semata?

Sudah tentu meningkat. Salah satu sebab mengapa ditubuhkan atau diangkat jadi dewan ialah kerana aktivis kelab ini...mereka rasa mereka mahu lebih dihargai dan berperanan.Mereka mahu jadi sebahagian dari kita dan seterusnya orang bukan Islam ini bila lihat serap jadi dewan mereka lebih yakin dan bukan retorik lagi. Kita jadikan mereka sebahagian orgnaisasi kita. Ini komitmen PAS yang begitu telus dalam garap persoalan bukan Islam ini. Ini pengiktirafan besar. Kita harap ia berkembang dalam memperkenalkan PAS. Bukan lagi dari mulut orang Islam tetapi dari mulut orang bukan Islam.Saya juga ingin berpesan, Lajnah Perpaduan Nasional mahu minta semua pengerusi lajnah negeri memberi kerjasama erat supaya usaha kelab di negeri masing-masing diberi perhatian dan disokong supaya mereka dapat diserap dengan licin dengan daftar keahlian dan struktur negeri yang lebih tersusun.Beri kerjasama atas arahan lajnah pastikan proses ini berjalan lancar.

Tiada ulasan: