Oleh kerana terdapat kelemahan serius urus tadbir imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan negara, PAS mahu rombakan besar dibuat terhadap agensi kerajaan itu dan mahu SPRM membuat siasatan penuh kepada agensi ini dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Ekoran penglibatan penguatkuasa imigresen di Pulau Ketam, menunjukkan antara contoh kelemahan sistem pentadbiran negara, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah.
PAS mendesak Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan Pengarah Imigresen mengambil tanggungjawab meletakan jawatan dan penguatkuasa yang tidak amanah terbabit dipecat segera.
Beliau menegaskan kebanjiran warga negara asing tanpa izin yang dilaporkan melebihi 2.1 juta merupakan ancaman besar pada negara dan amat malang kehadiran mereka turut didalangi oleh penguatkuasa Imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warga negara asing ke negara ini.
Jelas Ustaz Idris, PAS yakin rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama awal tahun ini.
Dalam kes tersebut katanya, SPRM seharusnya menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak kepada mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah di kalangan wakil
rakyat dan menteri.
"PAS yakin, begitu banyak amalan rasuah yang berleluasa dalam agensi kerajaan kerana setiap tahun Laporan Audit Negara pasti akan membentangkan kecurangan-kecurangan yang sukar diterima rakyat.
"Oleh itu, setiap kementerian dan Jabatan Penguatkuasaan perlu melantik satu jawatankuasa khas membanteras rasuah bagi membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM serta meningkatkan intergriti jabatan mereka," katanya.
Ustaz Idris menasihatkan agar para penjawat awam meningkatkan intergriti mereka dan menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya walaupun tidak semua penjawat awam mengamalkan rasuah.
"Kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. PAS yakin, amalan rasuah dan kecurangan integriti ini akan dapat dihapuskan jika pemimpin yang menguruskan kerajaan integriti dari orang-orang yang amanah kerana ikan yang busuk hanya bermula dari kepalanya.
"PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah-BPR, Dato' Shafee Yahaya yang mengatakan terdapatnya orang-orang politik dalam pentadbiran kerajaan yang menjadi punca dan mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat," pintanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan