Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato' Mohamad Khusrin Munawi disifatkan sebagai 'talam dua muka' dan telah membelakangkan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid bagi tujuan politik.
Sebaliknya, Khusrin sedaya upaya cuba memujuk nazir Masjid Nurul Ehsan di Taman Medan, Petaling Jaya agar memberi laluan kepada Presiden Umno untuk berbuka puasa bersama masyarakat setempat di kawasan perumahan Melayu itu.
Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad ketika mengulas isu ini mendakwa tindakan Khusrin itu dikesan melalui satu permohonan yang dihantar JAIS kepada nazir Masjid Nurul Ehsan di Taman Medan.
Katanya, nazir itu bagaimana pun enggan meluluskan penganjuran majlis berbuka puasa bersama Najib Razak kerana permohonan dibuat atas nama Umno (parti politik) dan bukannya kedatangan Najib sebagai seorang Perdana Menteri.
Surat permohonan menganjurkan majlis itu yang dijadualkan pada 17 Ogos lalu, telah dihantar oleh Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri.
Jelas Khalid, permohonan itu juga dibuat menggunakan kepala surat Umno Selangor dan tindakan itu dengan jelas bercanggah dengan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid bagi tujuan politik.
Kata, Khusrin didakwa telah berusaha untuk mendapatkan persetujuan nazir masjid berkenaan bagi membolehkan Umno Selangor meraikan Najib di masjid berkenaan.
Sambil menyifatkan Khusrin sebagai ejen Umno yang menyalahgunakan kedudukannya dalam JAIS, Khalid semakin percaya Khusrin amat berperanan dalam mempropagandakan isu-isu Pakatan Rakyat kononnya berpolitik dalam masjid.
Beliau turut menyelar alasan yang diberikan Khusrin sebelum ini dalam menjelaskan halangan kepada orang bukan Islam memasuki surau dan masjid.
Jelasnya, alasan kononnya orang bukan Islam berada dalam keadaan hadas besar adalah 'tidak masuk akal' dan tambah Khalid hanya orang Islam sahaja yang diwajibkan mandi hadas.
"Masalahnya bila ada Pengarah JAIS yang ada agenda politik dan tak ada ilmu, memberi alasan memalukan sehingga orang bukan Islam hilang minat untuk mendampingi Islam," katanya.
Khalid juga mendakwa, Sultan Selangor juga dimaklumkan dengan maklumat yang salah berkenaan kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Husna di Kajang pada Ramadan lalu.
"Teo Nie Ching difitnah untuk beri tazkirah, ini disalahmaklumkan kepada Baginda Sultan sehingga Sultan murka," katanya lagi.
Khalid juga membidas pandangan yang ditimbulkan kononnyaorang-orang Islam tidak suka sekiranya ada orang bukan Islam memasuki rumah ibadat seperti surau dan masjid.
"Kelangsungan Umno atas dasar perbezaan dan perbalahan (supaya) ada buruk sangka, takut dan tak yakin kepada pihal lain. Tujuannya supaya orang sokong mereka (Umno)," katanya lagi.
Dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, satu "Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Untuk Calon BN Pilihan Raya Kecil P.094 Hulu Selangor" telah diadakan di sebuah masjid di Kuala Kubu Baru selepas solat Maghrib (23 April 2010) bagi memenangkan calon bukan Islam (MIC) sekutu Umno.
Dengan jelas, BN memperalatkan masjid untuk tujuan politik dengan memaparkan gambar Najib dan calon BN, P Kamalanathan, tetapi tiada 'surat amaran' dari Khusrin sebaliknya masjid dan surau bebas digunakan oleh Umno untuk berpolitik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan