BELUM pun usai Perdana Menteri mengajak rakyat menolak media baru, media kongkongan Umno-BN terus gagal membuktikan ia melaporkan perkara benar, berfakta dan tepat. TV3 secara tiba-tiba menarik balik sebuah iklan Aidilfitri yang dipersoal banyak pihak kerana ia tidak tepat, tidak berfakta dan sarat dengan unsur-unsur syirik.
Ia diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 yang banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer atau 'computer generated imaging' (CGI).
Ketika Najib mahu rakyat kembali percaya dan yakin dengan media kuasaan Umno-BN yang dianggap mainstream, Utusan Malaysia pula terus menabur fitnah dan sedia menjadi alat mencetak fitnah tanpa menghiraukan Ramadan yang mulia, dan mengetepikan sensitiviti agama.
Muka depan akhbar itu memaparkan kononnya Lim Guan Eng yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengganti doa khutbah kedua untuk Yang DiPertuan Agong, kepada doa kesejahteraan untuk dirinya.
Laporan itu menggambarkan seolah-olahnya ada arahan dari Kerajaan Negeri agar menggantikan khutbah itu. Namun, faktanya, tiada arahan dan tiada doa yang didakwa Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi.
Disusuli lagi, pada muka depan Utusan Malaysia, kononnya Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching telah memberi tazkirah dan memasuki Surau Al-Husna Kajang Sentral tanpa menutup aurat. Itulah faktanya, pada persepsi Umno ketika memanaskan isu ini.
Realitinya, seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Nie Ching, tiada tazkirah, hanya ucapan sekitar lima minit menerangkan mengenai skim pendidikan Kerajaan Selangor dan kemudian menyampaikan bantuan Kerajaan Negeri kepada surau itu sebanyak RM1,000.
Cuba bayangkan, iklan Aidilfitri yang disiarkan sejak 2 September, dengan gambaran seorang Pak Haji mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan, boleh diluluskan semudah itu.
Apa perlu iklan itu menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak?
Dimanakah sensitiviti TV3? Dan dimanakah rasa peka Utusan Malysia? Paling penting, bagaimana Najib melihat etika kewartawanan media mainstream yang diagung-agungnya itu, sebagai benar, tepat dan berfakta?
"Kalau kita baca media arus perdana, ia laporan yang tidak boleh disangkal, ada pendapat dan kecenderungan memberi pendapat, tetapi mempunyai prinsip berdasarkan fakta.
"Ini berbeza dengan blog dan laman web yang boleh dibangunkan secara peribadi dan dikendalikan berseorangan dengan laporan kebanyakannya berasaskan pendapat (penulis) dan menggunakan pendapat orang lain," ujar beliau pada majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), di ibu Pejabat NSTP, di sini, 2 September lalu.
Najib menanam persepsi kononnya media kongkongan Umno-BN itu berada pada landasan yang betul, manakala yang salah ialah media baru seperti blog, twitter, facebook dan lain-lain.
"Ceritanya (media baru) mungkin kurang benar dan kurang tepat, tetapi disiarkan. Inilah yang mesti dibezakan masyarakat. Kita mesti ada keupayaan membuat penilaian dan tahu membezakan kekuatan media arus perdana yang masih ada tempat pada era teknologi maklumat hari ini," tegasnya.
Resah Najib dan Muhyiddin Yassin gagal dibungkus apabila menyeru Suruhanjaya Multimedia mengambil tindakan tegas terhadap pengamal media baru, yang tak hormati sensitiviti agama dan kaum. Soalnya, adakah ia benar?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan