Perdana Menteri semakin resah dengan trend rakyat menolak kerajaan Umno-BN apabila mereka tidak lagi percaya kepada media arus perdana (konvensional) yang pro Umno-BN, sebaliknya rakyat begitu peka dan serius menilai maklumat dari media baru seperti blog, facebook, twitter dan pelbagai laman sosial lain.
Keresahan Dato' Seri Najib Tun Razak itu jelas dibayangnya dalam ucapan beliau pada majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), di ibu Pejabat NSTP, di sini, 2 September lalu.
"Kalau kita baca media arus perdana, ia laporan yang tidak boleh disangkal, ada pendapat dan kecenderungan memberi pendapat, tetapi mempunyai prinsip berdasarkan fakta.
"Ini berbeza dengan blog dan laman web yang boleh dibangunkan secara peribadi dan dikendalikan berseorangan dengan laporan kebanyakannya berasaskan pendapat (penulis) dan menggunakan pendapat orang lain," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Najib makin resah dan lemas dengan penolakan rakyat terhadap media kongkongan Umno-BN yang selama ini jadi perkakas dan alat propaganda parti itu memancing undi dan meruntuhkan imej Pakatan Rakyat.
Tegasnya, Najib seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, supaya semua media mencontohi media perdana yang melaporkan dengan fakta, berbeza dengan media baru, walhal media yan dianggap Najib beretika ini terang-terang melemparkan berita fitnah bagi membentuk persepsi buruk terhadap Pakatan Rakyat dan membina imej BN.
Bukti terkini, dalam isu doa khutbah yang kononnya dirancang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuang doa untuk Yang DiPertuan Agong dan menggantikan doa untuk beliau.
Beberapa hari lalu pula, Utusan Malaysia sekali lagi mencipta fitnah dengan melaporkan kononnya Ahli parlimen Serdang dari DAP, memberikan tazkirah di dalam Surau Al-Husna Kajang.
Ustaz Idris berkata, PAS cukup sangsi dengan kenyataan Najib kononnya media arus perdana pada hari berada di dalam landasan yang betul, manakala yang salah ialah media baru seperti blog, twiter, facebook dan sebagainya.
"Ceritanya mungkin kurang benar dan kurang tepat, tetapi disiarkan. Inilah yang mesti dibezakan masyarakat. Kita mesti ada keupayaan membuat penilaian dan tahu membezakan kekuatan media arus perdana yang masih ada tempat pada era teknologi maklumat hari ini.
"Kalau kita mengetahui dan mengenali perbezaannya, jika media arus perdana sentiasa buat perubahan berdasar kreativiti dan inovasi, saya percaya masa depan media arus perdana akan mendapat tempat di kalangan masyarakat. Sebagai ketua kerajaan saya komited untuk transformasi besar kepada negara," kata Najib dalam ucapannya itu.
PAS yakin inilah keresahan yang melanda di kalangan pemimpin kerajaan pada hari ini yang cuba hendak meletakkan media baru di kandang orang salah supaya rakyat sangsi terhadap pemberitaan media baru.
Najib katanya, harus berfikir kenapa rakyat lebih percaya media baru daripada media perdana. Sebabnya rakyat pada hari ini sudah tahu membezakan antara kaca dan permata.
"Sebaik sahaja satu laporan yang dibuat oleh media perdana, maka selang beberapa minit sahaja laporan itu diperbetulkan kembali dengan fakta dan gambar," ujarnya.
Contoh yang terbaru, dedah beliau, sikap yang ditunjukkan oleh media ayam daging Umno ketika melaporkan apa yang berlaku di Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 22hb Ogos 2010.
Utusan Malaysia melaporkan Teo Nie Ching sedang memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS. Tetapi apa yang berlaku ialah Teo sedang memberi taklimat mengenai skim pendidikan Kerajaan Selangor dan beliau menghulurkan bantuan kepada surau sebanyak RM1,000.
"Ini hanya satu contoh fitnah yang jahat untuk memburukkan PAS dan YB daripada DAP. Apakah ini yang Najib suruh media baru tiru cara laporan media perdana yang penuh dengan fitnah," tegas beliau.
Ustaz Idris yakin, Najib kini sedang memulihkan kepercayaan rakyat terhadap media kongkongan Umno-BN yang kini tidak lagi dipercayai laporannya.
Hilangnya kepercayaan rakyat terhadap media ini, sekaligus memberikan tamparan hebat kepada kepimpinannya kerana rakyat telah memberi signal tidak lagi yakin dengan kerajaan Umno-BN.
Ustaz Idris berkata, sikap yang ditunjukkan oleh media perdana mereka tidak memperdulikan soal saman malu dan balasan Allah SWT, yang penting bagi mereka ialah dapat memuaskan golongan yang menzalimi dan menipu rakyat.
Tujuan laporan yang berupa fitnah itu dibuat supaya persepsi rakyat terhadap PAS dilihat sebagai jahat, memperalatkan Islam dan bersekongkol dengan DAP atau kaum Cina untuk meragut kuasa orang Melayu.
PAS bukan meminta media ini memuji PAS dan Pakatan Rakyat dalam pemberitaan mereka tetapi mahu media ini kembali kepada etika kewartawanan sebenar dengan melaporkan apa yang PAS buat, jangan pula sanggup melaporkan berita fitnah terhadap PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan