KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, September 28, 2010

Tuntut merdeka kedua dari 'cengkaman' BN - Mohamad Sabu





SETIAP tahun negara akan merayakan ulang tahun kemerdekaan negara dari penjajahan British pada tarikh bersejarah 31 Ogos 1957. Tahun ini, negara kita merayakan ulang tahunnya yang ke-53. Apakah, rakyat di negara ini benar-benar bebas dan merdeka dari segi minda serta pemikirannya. Wartawan Harakah Terengganu, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD dan SAZALI MOHD NOOR cuba merungkai permasalahan tersebut bersama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu ketika beliau mengisi program parti di Terengganu, di Kampung Maras, Batu Rakit, Setiu.  


Negara telah menyambut hari kemerdekaan negara ke-53. Apa makna kemerdekaan yang diharapkan sebenarnya?

MOHAMAD SABU: Kemerdekaan sebenar ialah rakyat yang ada kebebasan untuk hidup, kebebasan untuk melaksanakan hak asasi manusia dan kebebasan untuk memilih pemimpin dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Oleh itu, kemerdekaan bukanlah untuk pembangunan semata-mata. Kalaulah pembangunan itu menjadi isunya lebih baik British yang memerintah dan saya yakin pembangunan lebih hebat. 

Apa maksud sauadra berada di bawah British lebih baik?

Maksud saya begini. Contohnya, Pulau Pinang sebelum negara kita (Malaysia) mencapai kemerdekaan dahulu dia (Pulau Pinang) ada bas dua tingkat dan dia (Pulau Pinang) ada 'tream' jalan ikut tengah bandar. Selepas merdeka terhenti. Jalan keretapi dari Johor Bharu ke Kangar dibuat di  zaman British. Kita (kerajaan Malaysia) hendak buat satu lagi pun tidak boleh. Sampai merdeka sudah 50 tahun lebih hendak buat satu lagi landasan keretapi baru pun tidak berupaya. Maksud saya, kalaulah pembangunan lebih baik British yang memerintah kita (negara) jauh lebih membangun berbanding dengan pemerintah kita. 

Maknanya, negara merdeka tetapi pemikiran rakyat tidak bebas?

Ya! Merdeka ialah rakyat diberi kebebasan untuk memilih dan yang paling penting untuk orang Melayu tujuan kemerdekaan supaya mereka (rakyat) dapat merealisasikan ugama mereka iaitu Islam. Jika merdeka semata-mata hendak halau penjajah seperti yang saya sebutkan tadi, seolah-olah Nabi Muhamad SAW seorang penjajah.  Kerana, dia (Nabi SAW) orang Mekah dan pergi memerintah di Madinah menjadi Ketua Negara di negeri lain. Tetapi Nabi SAW, bukan menjajah tetapi dia (Baginda Nabi SAW) pergi memerdekakan Madinah iaitu rakyat Madinah diberi kebebasan, tidak menekan dan tidak menindas lagi orang ramai (penduduk). Inilah tujuan merdeka. Jadi, saya fikir sekarang ini, kita (rakyat) kena berjuang untuk 'kemerdekaan kedua' iaitu terlepas daripada 'cengkaman' pemerintah Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apa maksud 'cengkaman' oleh Barisan Nasional?

Cengkaman dari segi media, kebebasan media, macam kita (rakyat) himpunan aman masih lagi tidak boleh dan terus dibelasah dengan gas dan sebagainya. Sepatutnya, negeri yang merdeka perhimpunan aman ini perkara biasa. Kecuali, himpunan itu menggunakan senjata, memecahkan harta awam dan sebagainya.
Mereka (Umno-BN) 'menyerang' khutbah yang dibaca oleh ulama muktabar. PAS hendak jawab balik agak sukar dari tempat ke tempat untuk memberi penerangan. Kita (PAS) tidak ada media. Jadi rakyat mendapat maklumat dan ulasan yang dibuat atas fitnah mereka (BN) itu diulang kononnya, Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) menggantikan khutbah doa Guan Eng dengan Yang DiPertuan Agong. Sedangkan, Khatib itu mendoakan supaya Guan Eng memeluk Islam dan tidak timbul langsung untuk menggantikan doa Agong kepada Guan Eng. Dia (khatib) mendoakan untuk kebaikan muslimin dan muslimat serta dia (khatib) khaskan supaya Guan Eng (Ketua Menteri) memeluk Islam. Sebab, bagi dia (khatib) rugilah orang seperti Guan Eng yang telah melaksanakan beberapa perkara yang dikehendaki oleh Islam tetapi tidak memeluk Islam dan mengucap dua kalimah Syahadah.  Dan Guan Eng pun tidak marah sebab itu bukan teks yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi individu. Sepatutnya, dia (Umno-BN) mengecam orang yang berkhutbah (khatib) itu dan bukan kerajaan negeri Pulau Pinang. Sehingga, ada di kalangan orang Melayu yang naik semangat Nasionalisme ini hendak pukul Lim Guan Eng (Ketua Menteri). Ini yang mereka (Umno-BN) cipta isu soal 'api' perkauman itu.

Kebebasan yang macam mana dikehendaki dari kemerdekaan?

Kita (PAS) lihat pergantungan mereka (Umno-BN) masih lagi di tempat yang kita (PAS-Pakatan Rakyat) tidak dapat 'exsas' demokrasi khasnya undi pos dan Felda yang ada di beberapa tempat kita (pembangkang) dilarang masuk. Sedangkan peneroka Felda itu juga mesti mendengar pandangan kita (Pakatan Rakyat) kenapa dia (Felda) menuju 'bankrap', kenapa rugi? Macam juga dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jalal yang mengatakan 9 tahun lagi negara kita (Malaysia) akan bankrap.  Sepatutnya, Idris diminta beri ulasan kenapa dia berkata demikian. Tetapi, pandangannya disekat bahkan ada pihak tertentu mahukan Idris dikenakan tahanan ISA atau dipecat dari kabinet. Dia memberi pandangan berdasarkan hujah ilmu ekonomi dia. Jadi kebebasan seperti ini tidak ada lagi di Malaysia. Rakyat masih lagi berfikir secara 'one way' apa yang disogok oleh pemerintah Barisan Nasional. Kita (PAS) memang beri pandangan kedua, tetapi macam inilah dan berapa ramai sangat yang boleh hadir dan mendengar ceramah kita (PAS-Pakatan Rakyat). Mereka (BN) ada maklumat lengkap dengan tv dan radio. Kita (PAS) pula terpaksa kerja kuat 10 kali ganda dari mereka untuk buat perubahan di Malaysia, Insya’Allah. 

1 ulasan:

IzzIbnIbr berkata...

semoga PR yang menjelang menghasilkan kerajaan yang lebih mementingkan kepentingan bersama