KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, September 28, 2010

Umno-BN tak akan dapat undi Cina - MP Serdang Teo Nie Ching


Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yakin dan percaya Umno tidak akan mendapatkan undi masyarakat Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ini kerana tegasnya, Umno kini sedaya upaya membangkitkan isu-isu sensitif termasuklah isu agama dan perkauman bagi mengekalkan undi dari kaum Melayu, tetapi dalam masa yang sama, menjarakkan sokongan pengundi bukan Melayu.

"Umno tidak berharap kepada undi Cina, mereka akan memperalatkan isu agama dan bangsa untuk mendapat sebanyak mungkin undi dari bangsa Melayu," katanya ketika mengunjungi Pejabat Harakah.

Terkini, Umno cuba mempolitikkan lawatan dan sumbangan derma Nei Ching di Surau Al-Huda, Kajang Sentral yang mencetuskan kontroversi ekoran stigma masyarakat yang beranggapan bahawa 'Islam itu untuk Melayu semata-mata'.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng yang membaca sepotong ayat Al-Quran juga turut menjadi isu panas kepada Umno, bagaimanapun ia dapat diselesaikan oleh Pakatan Rakyat sehingga Umno diam membisu. 

Ini berikutan Umno semakin terdesak apabila mereka kalah di lima buah negeri menyebabkan parti itu cuba menimbulkan pelbagai isu untuk meraih simpati daripada orang Melayu.

Mengulas lanjut, Nei Ching juga mengakui pelbagai usaha dilakukan oleh Umno untuk memecahbelahkan PAS dengan DAP bahkan suasana ini dilihat semakin ketara termasuklah membangkitkan isu-isu perkauman. 

Beliau juga berharap sebelum PRU-13, PAS, KeADILan dan DAP membuktikan kepada orang Melayu bahawa mereka tidak akan menindas mana-mana kaum termasuklah bangsa Melayu.

"Dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat, hak-hak orang Melayu tidak akan terjejas. Saya rasa ini adalah mesej Umno cuba sampaikan kepada masyarakat Melayu. Mereka nak cakap sekiranya orang Melayu undi KeADILan dan DAP, hak Melayu mungkin akan hilang," jelasnya.

Tegas beliau, Pakatan Rakyat mesti menghadapi cabaran ini dengan menunjukkan kepada rakyat banyak rezeki orang Melayu hilang kerana amalan rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam pemerintahan Umno.

"Kenapa orang Melayu masih di tahap kemiskinan, bukan orang Cina meragut rezeki mereka tetapi ia adalah kerana rasuah dan penyelewengan (ketirisan) kuasa dan inilah yang menjejaskan rezeki mereka," dakwanya.

Tiada ulasan: