KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mei 04, 2011

Halang rakyat sambut Hari Pekerja 1 Mei, Malaysia kini sedang menuju negara Polis - PAS Batu


PAS Kawasan Batu kesal dengan tindakan pihak Polis yang tidak memberikan kerjasama dalam menjayakan perarakan Hari Pekerja 1 Mei lalu di ibu negara.

Menurut Yang DiPertuanya, Ishak Surin, Malaysia kini seolah-olah sedang menuju negara Polis apabila pasukan keselamatan itu tidak menghormati demokrasi dan cuba menghalang hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Katanya, negara Polis boleh didefinasikan sebagai "sebuah negara yang dikawal oleh sebuah kerajaan yang bersifat menekan dan menindas secara politik, ekonomi dan sosial masyarakat melalui kuasa polis yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengikut nas undang-undang".

Ishak berkata, negara polis jelas menekan dan menindas kebebasan dan hak asasi rakyat walaupun ia telah dijamin dan termaktub dalam perlembagaan demi mengekalkan kuasa pemerintahan yang bersifat kuku besi.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (SUHAKAM) N Siva Subramaniam (gambar kiri) pernah menyatakan bahawa 70% kes yang dirujuk kepada kepada Suhakam adalah berkaitan dengan keganasan Polis yang secara terang melanggar peruntukan undang-undang, norma-norma kebebasan dan hak asasi yang jelas dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu kecewa, kerajaan Umno-BN enggan mengiktiraf himpunan kaum pekerja di negara ini kerana bimbang ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja yang lain di seluruh negara dalam suasana politik yang tidak memihak Umno-BN.

"Harga barang terus naik. Barang dapur, makanan, dan segalanya naik. Tapi gaji tak dikaji. Tak dinaikkan. BN bimbang ini akan memarakkan kebangkitan rakyat sebab itu Polis digunakan untuk kekang himpunan Hari Pekerja," tegas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan.

Pada 1 Mei lalu, Setiausaha PSM, S Arultchelvam dan Bendahari PSM, N Sivarajah serta Ahli Parlimen Sg Siput, Dr Jayakumar turut ditahan Polis bersama 18 peserta himpunan yang lain.

Mengapa Kerajaan Umno-BN takut hapuskan Akta Mesin Cetak 1984?


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menuntut agar Kerajaan Pusat segera memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984  dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) yang terus mengekang kebebasan media bagi tujuan mengekalkan kuasa Umno-BN.

Menegaskan perkara ini, Setiausahanya, Datuk Tarmizi Mohd Jam  (gambar kiri) menyifatkan kuasa penuh Menteri KDN dalam menentukan kelulusan permit baru dan memperbaharui permit asal setiap tahun membuktikan demokrasi di negara ini dikongkong mengikut acuan pemerintah Umno-BN.

Katanya, kuasa penuh kepada pemerintah untuk menggantung atau membatalkan permit tanpa sebarang alasan kukuh juga, bukti lama yang tidak diendahkan oleh Umno-BN.

KAMI dari awal lagi menentang undang-undang yang zalim ini, dan mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan turut dimansuhkan.

Sebaliknya, tegas beliau, suatu Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information (FOI) harus digubalkan untuk menggantikan undang-undang kejam ini yang tidak relevan lagi dalam dunia tanpa sempadan di mana ekonomi kian berteraskan maklumat dan pengetahuan. 

KAMI juga kata Tarmizi kesal, pemecatan Presiden Kesatuan Wartawan (NUJ) Hata Wahari oleh suratkhabarnya Utusan Malaysia, yang juga majikannya, semata-mata kerana beliau menegur pengurusan akhbar itu agar ia tidak menjadi Lidah Pengarang UMNO tetapi harus berdasarkan peristiwa yang berkaitan dengan rakyat.

Beliau terkejut muktakhir ini, media jajahan Umno-BN mengetepikan etika kewartawanan dan bersedia menjadi alat propaganda kerajaan dengan membesarkan agenda menuduh parti pembangkang sebagai pengkhianat dan yang pelik ialah fitnah dan tohmahan video seks dibuat oleh media ini  atas alasan ia adalah kebebasan akhbar. 

KAMI amat yakin, media yang bebas dapat menegakkan demokrasi, keadilan, kebenaran, dan integriti dan mampu mengurangkan rasuah dan penyelewengan. 

"Ini telah dibuktikan dengan perbandingan negara yang mengamalkan kebebasan akhbar juga lazimnya adalah negara yang bersih," tegas Tarmizi lagi.

Selasa, Mei 03, 2011

Demi mencapai cita-cita terdesak politik, Umno-BN hentam undang-undang macam mak pak dia punya!



PAS kesal dengan mainan media perdana yang dikuasai Umno-BN yang tidak beretika menyiarkan gambar lucah di dalam akhbar mereka dan menayangkan klip video melalui tv bagi menanam persepsi buruk terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, ia satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar etika kewartawanan dan tatasusila agama demi mencapai cita-cita politik mereka. 

"Pada mereka soal moral dan etika tidak diperhitungkan lagi.  Apakah negara kita sudah hilang nilai-nilai ketimuran sehingga sanggup mengaibkan individu yang belum lagi dibuktikan bersalah. Sudah dua kali media perdana menyiarkan gambar lucah berhubung dengan video seks yang dituduh pelakunya Dato' Seri Anwar Ibrahim," ujar beliau.

Ustaz Idris berkata, PAS ingin mengingatkan kerja gila ini ialah kerja yang menempah dosa dan akan mendapat pembalasan daripada Allah. Sejak mutakhir ini, tegasnya, media perdana tidak lagi segan silu untuk menyiarkan berita yang tidak layak disiarkan lebih-lebih lagi orang yang dituduh belum lagi diputuskan bersalah oleh mahkamah. 

"Begitu juga  berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian bertajuk "Lelaki Y ialah Anwar". Ini merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan mengenai kes liwat Anwar. Lelaki Y yang dilaporkan ialah hujah pendakwa, yang belum lagi ditentukan kesahihannya. 

"Kenapa hujah balas pembela tidak disiarkan sama di tajuk muka depan? Ini sudah tentu ada agenda jahat yang tersirat," tegas Ustaz Idris.

PAS kata, hairan ke mana pergi peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya pandai memantau penerbitan Pakatan Rakyat sahaja. Apakah semua laporan yang disiarkan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat walaupun fitnah dan menyalahi Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak boleh diambil tindakan, soal beliau.

"Apakah akta ini hanya untuk menjaga parti Umno-BN sahaja?" bidas Ustaz Idris lagi.

Gaji minima: Pekerja di Selangor sudah dapat, Pusat yang diperintah Umno-BN bila lagi?


Kerajaan Pusat perlu menunaikan tanggungjawab serta menunjukkan rasa hormat kepada golongan pekerja yang menyumbangkan sebahagian besar kepada pendapatan negara. Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata sudah sekian lama golongan pekerja di negara ini menanti agar kerajaan menggubal Akta Gaji Minima sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Pusat mempertingkatkan taraf pendapatan pekerja di negara ini dan tidak lagi berada pada takuk lama dalam memastikan pendapatan rakyat terus berada pada tahap yang sama semata-mata hendak mengejar kepentingan pembangunan ekonomi negara," ujarnya kepada Harakah sempena sambutan Hari Pekerja.

Tegasnya, kerajaan tidak seharusnya meneruskan sikap kerasnya dalam meluluskan akta tersebut sebaliknya memberikan tumpuan serius terhadap nasib pekerja yang kian terabai.

"Kerajaan perlu ada rasa hormat kepada pekerja seterusnya mempertingkatkan kira-kira 70 peratus pekeraja di negara ini dengan sasaran sekurang-kurangnya setiap orang mempunyai RM10 dalam poket mereka setiap hari. Kerajaan Selangor telah menetapkan gaji minima pada tahap RM1500 sejak dua tahun lalu - Kerajaan Pusat bila lagi?" soalnya.

Malah Xavier mencadangkan agar diadakan satu sesi perbincangan meja bulat agar akta tersebut menjadi realiti yakni dilaksanakan untuk kebaikan pekerja secara keseluruhannya. "Inilah perkara yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat selama ini," ujarnya lagi.

Rakyat patut membeliakkan mata lihat nasib pekerja: Harga barang naik, gaji bila lagi?



Pelaksanaan gaji minima antara yang tidak putus-putus dituntut kumpulan yang membela nasib pekerja seperti Jerit dan Suaram. Begitu juga Pakatan Rakyat dan ahli ahli parlimennya sering membuat tuntutan ini. Di bawah Jawatankuasa 1 Mei, setiap tahun mereka mengada Himpunan Hari Pekerja. Wartawan NYZA AYOB meninjau sambutan tahun ini bersama jurucakap Jawatankuasa 1 Mei, S. Arutchelvan. 

Saban tahun Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan Himpunan Hari Pekerja. Apa tuntutan jawatankuasa ini pada tahun ini?

S.ARUTCHELVAN: Pada 1 Mei ini, Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan perarakan dari Chow Kit ke Dataran Merdeka bermula apda 10.30 pagi. Pada hari berkenaan kita akan membacakan Deklarasi Hari Pekerja.  Sehingga kini, 60 organisasi terdiri daripada kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik mengesahkan untuk menghadiri perhimpunan tersebut. Pada hari itu, kita juga akan mendengar ucapan daripada pemimpin pekerja peneroka bandar, pekerja kilang serta wakil orang asal. Selepas itu kami akan melancarkan logo Hari Pekerja yang bertemakan 'Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi'. Tuntutan lain kami pada hari itu, agar ISA dimansuhkan. Pakatan Rakyat juga telah mengesahkan deklarasi ini.

Pelaksanaan gaji minima antara tuntutan pelbagai pihak termasuk Pakatan Rakyat bertahun-tahun lamanya. Bagaimana dengan desakan ini?

Setiap tahun seluruh masyarakat di dunia menyambut Hari Pekerja. Jika dilihat sejarah berkaitan dengan pekerja, suatu ketika dahulu ramai pemimpin kesatuan pekerja di tahan di bawah ISA kerana mereka menganjurkan Hari Buruh. Untuk mendapat cuti Hari Buruh, ia jadi satu perjuangan. Oleh itu setiap tahun Jawatankuasa 1 Mei  tetap membuat tuntutan agar kerajaan melaksanakan gaji minima yang dijanjikan kerajaan. Tetapi nampaknya lobi daripada golongan majikan terlalu kuat sehingga kerajaan takut untuk melaksanakannya. Selepas Himpunan 1 Mei ini, kami akan  terus membuat desakan untuk memastikan gaji minima ini dilaksanakan.

Apakah Jawatankuasa 1 Mei juga akan menuntut kerajaan mengembalikan subsidi kepada rakyat?

Ya, kita juga ingin menuntut supaya kerajaan mengembalikan subsidi yang telah diambil. Subsidi ini yang menyebabkan harga barangan ini naik. Subsidi ini untuk golongan rakyat biasa. Seharusnya subsidi golongan korporat dipotong. Kami akan meneruskan kempen berkaitan dua tuntutan utama kami ini.

Saudara ada menyatakan tekanan oleh majikan terhadap kaum pekerja sering kali menggagalkan tuntutan agar Akta Gaji Minima dilaksanakan di parlimen. Boleh saudara jelaskan lebih lanjut.

Tuntutan akta gaji minima ini sudah lama dibuat kesatuan sekerja. Dan pada satu ketika kerajaan ingin melaksanakan Akta Gaji Minima untuk pengawal keselamatan. Tetapi kerajaan berpatah balik dan tidak melaksanakannya. Selepas itu kerajaan menyatakan ingin melaksanakan gaji minima ini kepada pembantu rumah.  Tetapi tetap tidak dilaksanakan. Ini menunjukkan majikan (Malaysia Employee Federation) MAF ini telah mengugut kerajaan dengan mengatakan seandainya kerajaan implementasi Akta Gaji Minima, pelabur akan lari dari negara kita. Kita merasakan hanya dengan ugutan ini kerajaan terlalu memberi muka kepada syarikat-syarikat besar ini. Sebagai contoh di negara Jepun, pelabur asing ini di negara mereka, pekerja dibayar dengan gaji yang baik. Tetapi bagi kilang yang dimiliki di Malaysia, mereka mahu kerajaan kita buat undang-undang supaya pekerja diberikan gaji yang rendah. Ini adalah tidak adil. Kita tidak mahu kerajaan kita menjadi 'lidah' untuk majikan antarabangsa ini.  

Kementerian Sumber Manusia hanya berdiam diri mengenai perkara ini?

Kita lihat Menteri Sumber Manusia, Dato' S. Subramaniam sendiri juga mengakui gaji  pekerja di negara kita sangat rendah. Jauh lebih rendah dari negara-negara lain. Selain itu Malaysia juga antara yang tertinggi di Asia Tenggara, jurang antara kaya dan miskin. Untuk menangani isu seperti ini, jika kerajaan betul-betul serius, kerajaan harus laksana akta gaji minima. Tetapi nampaknya mereka terlalu mengikut dan menjaga hati golongan majikan.

Apakah terdapat penilaian dibuat terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat agar gaji minima ini juga dilaksanakan terhadap pekerja-pekerja dibawah pentadbirannya?

Sekarang ini kebanyakan parti-parti Pakatan Rakyat telah mengesahkan deklarasi Hari Pekerja berkenaan tuntutan kami. Pada masa yang sama kami juga mahukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat melaksanakan gaji minima untuk  pekerja-pekerja kerajaan di bawahnya. Setakat ini, kerajaan Selangor ada memberi komitmen untuk melaksana gaji minima tapi masih belum dilaksanakan. Kami rasakan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah juga harus melaksana gaji minima ini kerana lazimnya apabila kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat melaksana sesuatu perkara, kerajaan pusat akan menurut jejaknya. Sebagai contoh apabila kerajaan Kelantan mengumumkan hari bekerja lima hari seminggu, kerajaan persekutuan juga mengikut jejak langkah tersebut.

Ini bermaksud kerajaan Pakatan Rakyat harus melaksanakan polisi yang membela nasib pekerja agar menjadi pemangkin kepada Kerajaan Persekutuan?

Ya. Kita rasakan ada perkara penting yang harus dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat bagi menunjukkan dirinya membuat polisi-polisi yang betul kepada golongan pekerja. Selain itu kita tahu kerajaan negeri tidak dapat laksana bagi kilang-kilang swasta kerana tidak mempunyai kuasa tetapi untuk pekerja  kerajaan contohnya buruh-buruh yang bekerja dengan PBT dan pejabat tanah, gaji minima RM 900 perlu dilakukan supaya hidup mereka bertambah baik. Apabila kerajaan negeri melaksanakannya, ia akan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk mengikutinya.

Kerajaan Umno-BN suruh rakyat bersyukur, tapi nasib pekerja terus tak terbela!



Para pekerja di negara ini diajar untuk bersyukur. Walaupun mereka bergaji kecil, tetapi mesti bersyukur kerana ada orang yang tidak dapat kerja. Bila ada pekerja yang bersungut kerana harga barang naik, nanti mereka akan dikecam sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur, tidak berjimat dan lebih pentingkan diri daripada mengutamakan kepentingan negara.

Malah, ada yang dituduh, sudah termakan hasutan pembangkang, sering membuat desakan tanpa meningkatkan produktiviti. Jadi, kerajaan mahukan apa daripada pekerja? Berdiam diri sebagai tanda bersyukur, kerana ketika orang lain tidak bekerja, mereka sudah dapat kerja. 

Walaupun gaji mereka kecil, mereka harus berjimat untuk meneruskan kehidupan di zaman yang serba mahal ini. Ketika yang sama, kerajaan terus boros, menghabiskan pelbagai peruntukan untuk memperkuatkan kedudukan mereka dan menarik pengundi menyokong Barisan Nasional (BN).

Jangan langsung bercakap soal menuntut kenaikan gaji. Jangan langsung sebut harga barang naik. Jangan ada sesiapa menyebut harga minyak naik dan jangan sesiapa mahu mempertikaikan soal gaji kecil yang mereka dapat.

Mahu menjadi pekerja di Malaysia, satu hal yang mereka kenal ingat, mesti bersyukur. Kalau tidak minat bekerja, boleh berundur dan ada orang lain mahukan kerja itu. Maknanya, pekerja sentiasa diugut dan ditekan. Jangan komplen dan nantinya akan dicop sebagai termakan hasutan pembangkang.

Siapa yang tersenarai sebagai si muflis jika bukan pekerja? Jumlah mereka besar kerana mereka terpaksa hidup di luar kemampuan. Mereka memang cuba berjimat, tetapi disebabkan desakan hidup, membayar hutang, perbelanjaan anak-anak bersekolah dan sakit-pening, akhirnya golongan ini berhutang dan terus berhutang.

Kerajaan akan memberi pelbagai alasan, negara ini akan muflis jika menurut kehendak pekerja. Tetapi, ketika mereka boros berbelanja, lawatan ke luar negara dan menghabiskan duit untuk kempen 1Malaysia, mereka tidak pernah memikirkan kepentingan dan keperluan pekerja yang hidup di atas sedikit dari paras kemiskinan.

Bagi mereka yang hendak membeli rumah, wang muka dan yuran guaman sahaja sudah cukup menjerut leher. Jika mereka menyewa rumah, wang cengkeram dan bil-bil yang datang setiap bulan, termasuk air dan api, bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan, kecuali mereka bersedia untuk dipotong bekalan.

Mereka akan disuruh bersyukur, kerana ada orang yang masih tidak bekerja. Mereka disuruh bersetuju apa sahaja yang kerajaan putuskan, kerana jika mereka menyatakan mereka tidak bersetuju, bererti mereka sudah termakan hasutan pembangkang.

Nah! Begitu rupa-rupanya nasib pekerja di Malaysia. Mereka tidak boleh langsung bercakap soal gaji mereka yang kecil dan tidak mencukupi kerana jika terdengar pihak berkuasa, nanti mereka akan digelar sebagai golongan pekerja yang tidak tahu bersyukur.

Kalau harga minyak naik, diam sahaja. Kalau harga gula naik, tutup mulut rapat-rapat. Kalau gaji pekerja tak naik, bersyukur dan jika gaji mereka tidak cukup, bandingkan dengan mereka yang tidak dapat kerja.  Maknanya, nasib pekerja tidak dapat dibela. Jika ada sesiapa membela, mereka akan dianggap sebagai tidak mengenang budi, termakan hasutan pembangkang dan golongan yang tidak tahu bersyukur.

Jangan ada sesiapa nak tunjuk perasaan membuat desakan menuntut kenaikan gaji pekerja kerana mereka akan dianggap sebagai golongan yang tidak pernah bersyukur. Jauh sekali, jika ada sesiapa yang berpiket kerana ia akan menyebabkan pelabur takut masuk membuat pelaburan.

Jadi, kalau gaji rendah, diam. Kalau harga barang keperluan naik, anggaplah sebagai sesuatu yang lumrah kerana kemajuan dan perubahan memang menuntut kenaikan harga barang-barang keperluan. Nanti, bila harga sayur naik, menteri yang berkenaan akan menasihatkan rakyat menanam sendiri sayur-sayuran.

Jika harga minyak naik, nanti kerajaan akan mengeluarkan cadangan, gunakan pengangkutan awam. Bila ada komplen mengatakan pengangkutan awam kurang efisen, mereka akan beli bas dan keretapi baru, yang mereka dapat komisen dan serahkan kepada syarikat pasarana negara.

Opp! Jangan kata macam tu kerana itu fitnah. Kerajaan tidak begitu. Kerajaan meletakkan kepentingan rakyat paling utama – slogan yang sedang dikempenkan… rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mereka juga yang kenyang dengan komisen. Ini bukan cerita komisen kapal selam, ini bukan cerita komisen membeli senjata api, ini bukan cerita komisen membeli kapal terbang dan jet pejuang, tetapi ini cerita membeli bas dan keretapi demi kepentingan rakyat terbanyak.

Nanti kerajaan akan memberi nasihat, rakyat kena berjimat. Dalam masa yang sama, kerajaan terus boros. Kerajaan sibuk dengan cerita Menara 100 Tingkat… kerana ia penting untuk sebuah negara bernama Malaysia. Nanti apabila Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menganjurkan peluang mencari kerja, sambutan besar-besaran dihebahkan oleh media massa pro kerajaan.

Padahal, sambutan itu sebenarnya membuktikan bahawa pengganguran cukup buruk di Malaysia. Kebanjiran buruh asing dan mereka yang masuk tanpa permit kerja yang sah sudah tidak terhitung lagi. Kadar jenayah cukup mengerunkan, walaupun polis sering menafikannya.

Pengedaran dadah juga, termasuk keldai dadah terus meningkat, ketika kerajaan bertempik memberitahu bahawa rakyat cukup selesa dengan pendapatan mereka. Apakah mereka yang menjadi keldai dadah terdiri dari golongan yang tidak bekerja? 

Bukan. Mereka adalah kalangan yang mempunyai pekerjaan tetapi disebabkan gaji mereka tidak mencukupi, mereka mengalihkan perhatian kepada usaha menambah pendapatan. Ah! Jangan bising-bising. Jangan cakap soal kerja yang kurang selesa. Jangan bercakap soal gaji kecil, jangan berbicara soal harga barang yang mahal dan jangan sesekali sesiapa bercakap mahu membuat tuntutan kenaikan gaji.

Nanti mereka akan dianggap sebagai tidak tahu bersyukur. 

Sumber > Safar Jumaat penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.

Kuasa luar biasa internet upaya "jahanamkan" BN dalam PRU-13 nanti



Pengakuan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengenai kewujudan media internet menyukarkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak didakwa merupakan alasan dan jawapan terhadap kehilangan kerusi kepada Pakatan Rakyat.

Menurut editor di sebuah syarikat media internet, Onn Yeoh, keputusan yang dicatatkan pada pilihan raya umum kali ini menunjukkan kerusi-kerusi di kawasan bandar beralih kepada Pakatan Rakyat membuktikan keberkesanan media atas talian kepada pengundi.

"Beliau (Najib) berkata demikian sekadar ingin memberikan alasan kepada kehilangan banyak kerusi BN kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Presiden Umno itu ujarnya, perlu mencari sebab kehilangan 15 kerusi kepada Pakatan Rakyat daripada sibuk menunding jari menyalahkan media internet yang terhasil daripada ruang demokrasi yang lebih luas terbuka. Tambah Onn Yeoh, media arus perdana bersifat tradisi lebih mudah dikawal oleh BN dalam menyebarkan segala bentuk propaganda dan bahan-bahan kempen.

"Kita lihat media internet yang hanya terhad kepada penduduk di kawasan bandar memberikan kesan yang sangat ketara apabila Pakatan Rakyat menang di kawasan-kawasan berkenaan. Jika di kawasan pedalaman dan kampung-kampung, mereka tidak ditembusi liputan internet menyebabkan mereka tidak memperolehi maklumat yang banyak untuk membuat penilaian," ujarnya.

Hal tersebut menyebabkan Pakatan Rakyat hanya menang di bandar sahaja dan kalah di kawasan pedalaman. Jelas Onn Yeoh, kawalan yang longgar ke atas media internet sememangnya menyukarkan kejayaan BN untuk membolot lebih banyak kerusi.

Terdahulu, dalam satu laporan Bernama, Najib dilaporkan sebagai berkata kemenangan BN di Sarawak amat bermakna memandangkan kesukaran berdepan dengan demokrasi terbuka. Pengerusi BN itu berkata, kewujudan media internet menjadikan ianya lebih sukar untuk memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, seperti yang berlaku di setengah negara kebelakangan ini.

Hak negeri hanya dihormati dengan perubahan politik



Peruntukan Perlembagaan mengenai hak negeri dan pusat sudah memadai. Meskipun ia menyebelahi pusat, ia tidaklah teruk sangat sekiranya ia benar-benar dilaksanakan. Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam syarahan eksekutif di INSPIN, Alor Setar Ahad lalu. Dalam syarahan yang dihadiri oleh para pegawai kerajaan dan agensi negeri Kedah beliau menghuraikan peruntukan Perlembagaan mengenai konsep federalisme di Malaysia.

Katanya, asas peruntukan yang ada sekarang telah bermula lama dan kerangka moden yang diwarisi sekarang bermula di bawah skima Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sementara itu, jelasnya lagi, Sabah dan Sarawak mempunyai hak yang lebih istimewa kerana kedua-dua negeri ini menyertai Persekutuan lebih kemudian, yakni pada 1963.

Walau apa pun, kata Aziz, hak-hak negeri tidak begitu dihormati kerana mahkamah tidak komited dengan konsep federalisme. 

"Ini mungkin kerana hakim-hakim dilantik oleh Persekutuan", ujarnya. Beliau turut menyentuh isu royalti minyak Kelantan di mana Kerajaan Pusat memohon untuk disaman bersama Petronas. "Ini satu perkembangan yang pelik", tambahnya.

Syarahan itu diakhiri dengan sesi soal jawab selama hampir dua jam apabila para peserta mengajukan pelbagai soalan mengenai Perlembagaan Negara.


Projek mundur "E-Mel 1Malaysia" untuk selamatkan Tricubes Berhad atau gula-gulakan rakyat dengan emel percuma!




Dalam keadaan kelajuan internet amat perlahan berbanding negara lain, Malaysia berbangga dengan projek "E-Mel 1Malaysia" yang menelan kos RM50juta. Pelaburan sebesar ini bukan untuk email percuma sebaliknya dimanfaatkan untuk mencipta laman sosial baru atau teknologi terkini.

Kajian antarabangsa menunjukkan Malaysia berada di kalangan negara rendah kelajuan internetnya dan lebih baik ia diselesaikan segera supaya negara sama kedudukannya dengan Korea, Sweden atau sekurang-kurangnya Singapura yang kini di tangga ke-16. 

Pemandu akhirnya mengaku telah menukar projek "E-mel 1Malaysia" dari inisiatif kerajaan kepada inisiatif swasta dalam lamannya, setelah didedahkan satu laman internet, GreyReview. GreyReview mendedahkan, Pemandu secara senyap-senyap menukar projek "E-mel 1Malaysia", dari projek "Government Initiative" pada 19 April, kepada projek "Private Sector Initiative" yang diterajui Tricubes Bhd pada 20 April.  

Malah, GreyReview menunjukkan perubahan ini melalui gambar yang diambil dengan "print screen" dari laman Pemandu. Lingkungan fungsinya juga turut diperkecilkan. "E-mel 1Malaysia" adalah satu projek bernilai RM50 juta, diperuntukkan kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan, iaitu Tricubes Bhd.  

Projek ini dipertikai dalam ruang internet, sehingga Perdana Menteri, terpaksa menjelaskan pada malam 19 April, bahawa ia adalah pelaburan sektor swasta. Sebelum itu, Najib mengumumkan kerajaan telah beri projek ini kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email iaitu "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun, maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist". Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Apakah ada kaitan perkara ini dengan projek "E-Mel 1Malaysia" yang dianugerahkan Najib kepada Tricules yang dikuasai adik beliau sendiri ini? Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Pada saat-saat yang genting inilah, Najib membawa cahaya kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek "E-Mel 1Malaysia" bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, Pemandu yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, telah melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini. Kini, timbul pelbagai percanggah tentang projek yang dianggap Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai mundur 20 tahun ke belakang.

Mohd Najib menulis dalam akaun Twitternya: Biar saya jelaskan yang "E-Mel 1Malaysia" adalah projek sektor swasta. Tidak ada wang awam terbabit, dan ia adalah sepenuhnya sukarela. Tetapi Pengarah Perkhidmatan NKEA bagi Pengisian dan Infrastruktur Komunikasi, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, pula berkata kerajaan akan membayar 50 sen bagi setiap emel kepada pemenang konsesi iaitu Tricubes Bhd.

Sebenarnya bukanlah emel percuma diimpikan rakyat, tetapi kemudahan internet percuma. Bagaimana rakyat ingin menggunakan emel percuma sekiranya perkara asas untuk menggunakan emel iaitu internet tidak disediakan?  Kerajaan Malaysia seolah-olah tidak tahu apa yang lebih penting untuk rakyat dan tidak tahu apa keperluan dan kehendak rakyat di bawah selain dari menjaga kroni.                 

Macam cacing kepanasan Adnan Yaakob hadapi tentangan rakyat projek Lynas



Dalam isu kilang nadir bumi (tanah jarang) Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, sepatutnya sejak awal lagi pandangan rakyat harus didahulukan dan keselamatan mereka diutamakan sebelum kelulusan untuk membina kilang tersebut diberi, kata Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ekoran bantahan hebat daripada semua lapisan masyarakat di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob telah menukar pendirian sejajar dengan peningkatan bantahan daripada rakyat yang memuncak dari hari ke hari.

Daripada memberi jaminan kilang Lynas selamat kepada melenting untuk menutup semua kilang di Gebeng jika Lynas Corporation yang memproses "rare earth" tidak dibenarkan beroperasi kepada mengalihkan masalah kepada Putrajaya dengan berdalih kononnya bukan kerajaan Pahang yang memberikan kelulusan.

"Silat" Adnan yang menepis masalah panas ini ke Putrajaya ternyata berhasil apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mustapa Mohamed, mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menubuhkan satu panel bebas secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

"Sepatutnya pandangan pakar diminta dari awal lagi, dan bukan setelah rakyat bangun membantah. PAS cukup kesal dengan sikap dolak dalik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, sehingga terkini MB Pahang dan Kementerian barulah kata nak meminta pandangan pakar sebelum membuat sesuatu keputusan," ujar Ustaz Tuan Ibrahim sebagai respons kepada tindakan Kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyoal maksud di sebalik kenyataan Adnan di sidang Dun Pahang beberapa hari yang lepas, di mana Adnan menyatakan bahawa kalau  Lynas ditutup sekalipun, ianya bukan berpunca daripada tekanan pembangkang.

"Jadi kalau bukan kerana tekanan pembangkang, maka atas alasan apa Lynas akan ditutup?" soalnya atas hujah bahawa Lynas sememangnya mendapat lampu hijau untuk beroperasi daripada kerajaan negeri dan kementerian yang berkenaan.

"Dalam keadaan bangunan sedang dalam proses untuk disiapkan, dan Lynas dijangka akan memulakan operasinya hujung tahun ini - kerajaan masih gagal memberi kata putus untuk tutup segera – jadi sekarang kita menunggu samada kerajaan hendak membuat sesuatu berdasarkan kehendak rakyat atau sebaliknya dan menanggung risiko dihukum rakyat pada Piliha Raya Umum ke-13," tegurnya.

Secara logik, tambahnya, rakyat kini sudah matang dan pandai berfikir bahawa mengapa kerajaan Australia hendak menolak projek Lynas yang bakal mendatangkan keuntungan lumayan setahun sekiranya tiada risiko sampingan.

"Takkanlah projek yang berdaya maju begini tiada negara akan sanggup menerimanya, lalu di saat negara lain menolak kerana takut akan risikonya, mengapa pula Pahang terima?" soal Ustaz Tuan Ibrahim lagi. Menurut Mustapa, seramai lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel bebas bagi membantu menangani keresahan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar kesan daripada kilang Lynas di Gebeng.

Kajian yang bakal mengambil masa sebulan itu akan menjadi penentu samada lesen pengoperasian akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB). Lynas turut dihalang untuk mengimport bahan mentah dari Australia selagi kerajaan belum membuat keputusan terhadap kajian itu.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, dan  semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa," kata Mustapa, dan menambah bahawa kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar akan terus diutamakan oleh kerajaan.

Sementara itu, radiasi sifar dari loji nadir bumi, kata Lynas syarikat perlombongan gergasi Australia, Lynas Corporation Ltd tetap dengan keyakinannya bahawa orang awam akan berdepan dengan pendedahan radiasi "sifar" apabila loji nadir bumi miliknya beroperasi di Gebeng, Pahang.

Dalam dokumen bertarikh 23 Mac lalu, yang diberikan kepada Malaysiakini oleh wakil perhubungan awam Lynas, Ogilvy Worldwide - syarikat itu mendakwa, walau apa pun radiasi tambahan dari operasi loji tersebut, hanya akan dialami oleh pekerjanya, dan itupun pada tahap yang rendah sekali.

Memetik hasil Penilaian Impak Radiologi (RIA) yang dijalan dan dibentangkan oleh agensi nasional Nuklear Malaysia pada 2009, Lynas berkata simpanan bahan "sisa" atau produk sampingan operasi mereka ialah "selamat dan tidak menimbulkan risiko kepada orang awam".

"Bagaimanapun, Lynas telah mengambil langkah keselamatan tambahan dengan menempatkan sisa tersebut dalam sel simpanan kejuruteraan yang selamat, yang direka supaya tiada kemungkinan untuk berlaku kebocoran bahan ke persekitarannya," kata syarikat itu dalam satu daripada tiga dokumen untuk menjelaskan mengenai projek tersebut.

Merujuk kepada laporan Nuklear Malaysia, syarikat itu berkata setiap orang menerima purata 2.4 millisieverts (mSv) radiasi dari persekitaran semula jadi mereka setiap tahun. Lynas juga menyatakan bahawa "had pendedahan tambahan boleh diterima" ke atas orang awam adalah pada 1 mSv setahun dan 50 mSv setahun untuk pekerja - termasuk radiasi latar atau radiasi yang berlaku secara semulajadi dalam persekitaran.

Berlainan bagi Sahabat Alam Malaysia (SAM). NGO itu terus menggesa Putrajaya agar membatalkan terus projek loji nadir bumi itu bagi mengelak nasib Bukit Merah, Ipoh dua dekad lalu berulang.

"Putrajaya sudah terbukti salah di Bukit Merah dan ia telah memberikan kesan besar kepada masyarakat di kawasan itu selain turut menghidapi penyakit ekoran terdedah kepada radiasi. Kami tidak mahu satu lagi insiden sama berlaku. Kami menggesa Putrajaya membatalkan projek Lynas Corporation di Gebeng," kata Presiden SAM, S. M. Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, masyarakat yang tinggal di Gebeng akan menerima kesan yang sama seperti di Bukit Merah ekoran terdedah kepada kadar radiasi yang boleh menjejaskan tahap keselamatan mereka.

"Mengikut pengalaman kami yang telah mengendalikan kes nadir bumi di Bukit Merah menunjukkan pakar-pakar yang diambil Putrajaya dan syarikat itu telah memastikan semua aspek keselamatan diambil kira. Bagaimanapun pakar-pakar yang dilantik masyarakat mendapati ia tidak selamat dan merekodkan bacaan sinaran radioaktif yang tinggi di kawasan itu. Justeru masyarakat di Gebeng yang sudah terdedah kepada radiasi akan berhadapan dengan risiko lebih besar sekiranya projek ini diteruskan," katanya.

Lynas Corporation, sebuah syarikat dari Australia dijangka memulakan operasi loji pembersihan nadir bumi di Gebeng ini - yang mana proses pembinaan loji memprosesan sedang dibina. Tindakan Putrajaya mahu membina kilang nadir bumi di Gebeng mendapat tentangan banyak pihak.

Mengulas cadangan Putrajaya mahu mewujudkan satu panel bebas mengkaji tahap keselamatan projek nadir bumiitu, Mohamed berkata ia hanya untuk mententeramkan kebimbangan masyarakat yang tinggal di kawasan itu. Tambah Mohamed, hasil kajian itu perlu diumumkan secara terbuka kepada masyarakat setempat agar mereka boleh membuat penilaian berhubung status projek nadir bumi itu.

"Kami rasa kajian ini adalah satu lakonan untuk mengurangkan desakan rakyat. Kenapa tidak hentikan sahaja projek ini? Kenapa perlu adakan projek yang tidak selamat ini? Adakah pelaburan asing tidak mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan penerimaan mereka?” kata beliau sambil menambah, "sudah tentu, aspek kesihatan dan keselamatan dan persekiran harus diambil kira termasuk dalam projek komersial."

Kata beliau, masyarakat sekitar Kuantan dan Gebeng mempunyai hak untuk mengetahui individu yang akan membuat kajian tersebut. "Kami mahu menentukan objektif kajian itu dan apa impaknya dan hasil kajian juga harus diumumkan secara terus kepada masyarakat agar mereka boleh buat penilaian," katanya.

Kesian Ahmad Basha terkontang-kanting kemudi Umno Kedah. Mampukah hadapi PAS dalam PRU-13 tak lama lagi?



UMNO Kedah terpingga-pingga. Mereka sudah tahu siapa yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, tetapi mereka tidak nampak apakah peranan sebenarnya. Sehingga hari ini, sejak ia diumumkan dua bulan yang lalu, Dato' Ahmad Basha Md Hanipa hanya memanggil mesyuarat Badan Perhubungan dan tidak langsung mempunyai gerak kerja yang teratur.

Malahan, Ahmad Basha dilihat berseorangan. Dia tidak mempunyai kawan-kawan di Kedah sekarang jika dibandingkan dengan rakan-rakan sejawatan di negeri lain, sama ada di negeri yang BN menang atau pun di negeri yang BN kalah. Khabarnya, perlantikan Ahmad Basha dibuat oleh Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana mengenangkan Ahmad Basha adalah penyokong Najib. Bukan kerana kemampuan dan kewibawaan Ahmad Basha.

Peringkat awalnya, banyak pihak di Kedah mahukan Najib mengekalkan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mhdzir Khalid sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri tetapi, disebabkan bekas Perdana Menteri (PM) tidak berminat dengan Mhdzir, maka Najib tidak berani menghadapi risiko membuat perlantikan tersebut terhadap Mhdzir.

Kenapa Dr. Mahathir kurang berminat dengan Mhdzir? Ini disebabkan Mhdzir dikatakan memainkan peranan penting memastikan Dr. Mahathir tidak menang bertanding menjadi perwakilan tujuh (G7) Umno Bahagian Kubang Pasu – dalam era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno.

Kalau betul cerita ini, nampaknya Dr. Mahathir masih berperanan dalam politik Umno dan politik Barisan Nasional (BN). Malahan, perlantikan anaknya, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah jelas membuktikan Najib mahu selamat dari serangan Dr. Mahathir.

Umum tentunya mengetahui, Dr. Mahathir suka menyerang sesiapa yang tidak disukainya. Tun Abdullah Ahmad Badawi  adalah salah satu contoh, jika akhirnya Abdullah terpaksa berundur kerana desakan dari Dr. Mahathir.

Ketika ini, khabarnya Ahmad Basha hanya membenarkan Mukhriz berurusan dengan tiga sayap parti di Kedah, iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri. Maknanya, Mukhriz jangan cuba memandai-mandai mahu campur tangan dalam soal ketua-ketua bahagian yang secara otomatik menjadi Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno.

Ahmad Basha juga bimbang dengan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah yang dikatakan aktif bergerak ke seluruh bahagian-bahagian. Walaupun sudah ada ikrar dari kepimpinan Mubarak Kedah yang diketuai Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim bahawa mereka tidak berminat untuk ditawarkan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, namun gesaan dan cadangan yang diutarakan kepimpinan Mubarak masih diperap.

Mukhriz juga menghadapi masalah sebenarnya di Kedah. Pertama dia bukan berjawatan di peringkat bahagian. Sukar juga baginya untuk memulakan langkah kerana pengalaman tidak ada untuk bekerja. Mukhriz tidak pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian walaupun pernah bertanding, namun dia tewas.

Ketika Ahmad Basha terkial-kial mahu memulakan langkah, nasib baik Naib Cencelor Universiti Utara Malaysia (UUM) membantu untuk memburuk-buruk imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak – dengan mengaitkan kononnya cukai tanah UUM dinaikkan.

Namun, Menteri Besar sudah memberikan penjelasan walaupun akhbar arus perdana menjadikan ia sebagai isu besar yang bertujuan menaikkan perasaan marah rakyat di Kedah terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat. Mereka timbulkan cerita UUM kurang air sedangkan kegagalan UUM menaik taraf infrastruktur bekalan air adalah punca sebenar mengapa berlaku kekurangan air. 

Ketika mereka di UUM sibuk mahu membantu Umno-BN dan dalam masa yang sama menjejaskan imej kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat, mereka sendiri tidak tahu apa peranan mereka di UUM dan apa yang patut mereka buat, jika tidak mahu berlaku tekanan air rendah di UUM.

Jika masa yang mereka ada digunakan untuk melihat sendiri infrastruktur di UUM, tidak sibuk mengulas isu-isu politik dan tidak sibuk mahu menonjolkan populariti dengan kerap menjadi tetamu di televisyen, nescaya tekanan air rendah tidak berlaku di UUM.

Ahmad Basha usah terkejut jika jawatan yang disandangnya terlepas kali ini kerana Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tentunya berazam untuk merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat. Jika Najib tidak berkeyakinan, Ahmad Basha mempunyai kemampuan, walaupun mereka adalah kenalan lama, dan mempunyai sejarah kekeluargaan yang intim, Umno Kedah mungkin akan mempunyai Pengerusi BPUN yang baru tidak lama lagi.

Setakat ini, dua nama disebut-sebut. Pertama Mhdzir Khalid akan dilantik semula dan kedua, Mukhriz. Jika diukur dari dua nama ini, nama Mhdzir Khalid terkehadapan kerana kemampuannya sudah terbukti dan pengalamannya tidak boleh dipandang remeh. 

Tetapi halangan yang bakal Mhdzir dan Najib hadapi ialah, serangan dari Dr. Mahathir jika perlantikan ini dibuat oleh Najib. Kata mereka yang mengenali Dr. Mahathir dari dekat, Dr. Mahathir boleh menerima sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah asalkan jangan Mhdzir. 

Jadi, Najib kenalah mempunyai sedikit keberanian tetapi keberanian yang sedikit itu mestilah keberanian yang luar biasa, untuk bercanggah dengan kehendak Dr. Mahathir. Pernah sekali Najib bercanggah dengan Dr. Mahathir ialah ketika memilih Tan Sri Mohd Isa Abd Samad sebagai calon mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bagan Pinang, tidak lama dahulu.

Dr. Mahathir tidak mahu Mohd Isa dicalonkan tetapi Najib tidak akur dengan kehendak Dr. Mahathir itu.  Adakah keberanian Najib akan dibuktikan sekali lagi kali ini dengan menukarkan Ahmad Basha dengan Mhdzir?

Atau, Najib mahu Dr. Mahathir senyap dengan melantik Mukhriz menggantikan Ahmad Basha kerana Najib sudah diberitahu bahawa Ahmad Basha tidak mempunyai kemampuan untuk mengorak langkah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya?

Kali ini, sekali lagi Kedah akan bergelora dan cita-cita mereka untuk merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat akan hampa dan dihampakan oleh pengundi. Mereka akan terus bergaduh dan masa banyak mereka buang hanya kerana mereka sibuk bergaduh sama-sama sendiri.

Sumber >> Safar Jumaat seorang penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.

Osamah bin Laden yang terbunuh, kenapa Polis Malaysia tingkat kawalan di lokasi berkepentingan?


Apakah Keduataan Amerika di Malaysia akan jadi sasaran pengikut Osamah?

Polis kini meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi penting di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga berikutan laporan kematian pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden. Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata langkah itu bagi memastikan rakyat negara ini bebas daripada sebarang ancaman keselamatan yang mungkin timbul ekoran laporan tersebut.

"Pihak polis telahpun meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan di kawasan berkepentingan dan sensitif," katanya ketika dihubungi Bernama, di Kuala Lumpur semalam. Beliau diminta mengulas laporan bahawa kerajaan Amerika Syarikat kini meningkatkan kawalan dan langkah berjaga-jaga di kedutaannya di seluruh dunia berikutan kematian Osama. 

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dilaporkan berkata pada Ahad, bahawa Osama terbunuh dalam satu operasi oleh pihak keselamatan negara itu di Islamabad, Pakistan dan mayatnya kini berada di bawah kawalan mereka.

Benarkah Osamah ben Laden mati dibunuh oleh Laknatullah Amerika atau sekadar strategi kempen Obama?



Musuh nombor satu Amerika Syarikat, Osama Laden (gambar kanan) meninggal dunia dan pengumuman rasmi berhubung perkara telah dibuat oleh Presiden Barack Obama. Wartawan Al Jazeera di Kabul berkata, pihak berkuasa Afghanistan mengesahkan kematian pemimpin Al Qaeda itu dan mayat Osama kini berada dalam tangan Amerika Syarikat.

Allahyarham dibunuh di Pakistan dalam serangan pada Ahad. Osama, hartawan kelahiran Arab Saudi itu menjadi buruan Amerika Syarikat apabila dikatakan terlibat dalam perjuangan bersenjata di seluruh dunia.

Antaranya, beliau dilaporkan sebagai pihak di belakang serangan 11 September ke atas negara kuasa besar dunia itu. Osama dilaporkan dibunuh dalam satu operasi ketika anggota risikan Amerika Syarikat menyerbu sebuah rumah agam di luar Islamabad.

Tentera Amerikat Syarikat memburu Osama bertahun-tahun, yang kemudiannya digandakan berikutan serangan pesawat terhadap Pusat Perdagangan Sedunia di New York dan Pentagon yang dilaporkan menyebabkan 3,000 terkorban orang pada 2001. Bagaimanapun Osama berupaya melepasi pemburuan tentera Amerika Syarikat dan sering dipercayai bersembunyi di kawasan sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Sementara itu, Reuters melaporkan doktor dan pakar bedah kelahiran Mesir Ayman al-Zawahri (gambar kiri bawah), orang kedua rangkaian Al-Qaeda dijangka akan menggantikan Osama bin Laden ekoran kematiannya. Ayman menjadi nadi bagi pergerakan Osama dan juga rangkaian Al-Qaeda dan seringkali mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengecam Amerika Syarikat dan sekutunya menerusi mesej- mesej video.

Dalam kenyataan terbaru yang dipantau SITE Intelligence Group bulan lalu, Ayman menggesa umat Islam menentang tentera Nato dan Amerika Syarikat ekoran serangan ke atas Libya yang masih berterusan. Lahir dalam keluarga kelas atasan yang terdiri daripada sarjana dan doktor di Kaherah, Ayman yang kini berusia lewat 50 merupakan individu kedua selepas Osama diletakkan dalam senarai orang paling dikehendaki FBI.

Kedua- dua Osama dan Ayman membolosi tentera Amerika Syarikat yang menggulingkan kerajaan Taliban di Afghanistan pada akhir 2001 ekoran serangan 11 September. Ayman, pemimpin yang berkaca mata dengan rambut kelabu, mendapat perhatian pada November 2008 apabila Obama yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat sebagai “house Negro”, istilah yang digunakan oleh pemimpin Amerika Muslim berkulit hitam pada 1960-an, Malcolm X untuk menggambarkan hamba kulit hitam yang setia kepada golongan berkulit putih.

Kemudian dalam kenyataan video pada September 2009, Ayman kembali menyerang Obama dengan menyifatkan kepimpinannya tidak jauh berbeza daripada George W Bush. Seperti Osama, Ayman dipercayai berlindung di kawasan sempadan Afghanistan-Pakistan. Rakaman video kedua-dua mereka bersama disiarkan oleh stesen TV Al-Jazeera pada 10 September 2003.

Ia menunjukkan kedua-dua mereka berjalan di kawasan pergunungan dan melaungkan jihad dan memuji mereka yang melakukan serangan 11 September. Penganalisis menggambarkan Ayman sebagai ketua pengurusan Al-Qaeda dan mentor rapat Osama.

“Ayman seperti otak dan badan bagi Osama,” kata peguam Montasser al-Zayat dari Kaherah yang pernah mewakili Ayman.

Kenyataan Najib "Dunia lebih selamat dengan kematian Osama" bakal undang dendam para pengikut Osmah ben Ladin?



Apakah kenyataan Perdana Menteri tentang kematian Osamah ben Ladin akan menjadikan Malaysia lebih selamat? Tidakkan kenyataan itu akan membarakan rasa dendam para pengikut Osamah terhadap negara ini?

Semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata dunia akan lebih selamat dan aman berikutan kematian pemimpin pengganas Al-Qaeda, Osman bin Laden, dalam satu operasi oleh pihak keselamatan Amerika Syarikat bersama Pakistan di luar Islamabad 2 Mei lalu.

Perdana Menteri berkata kematian Osama adalah juga satu pengajaran bahawa keganasan tidak membuahkan sesuatu kebaikan sebaliknya membawa kemudaratan kepada semua pihak.

"Saya berharap bahawa pada masa akan datang, dunia akan lebih sedar bahawa keganasan bukanlah satu pendekatan yang patut dilakukan untuk mencapai apa juga tujuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi 1Malaysia di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur.

Najib berkata kerajaan Malaysia telah mengambil sikap menentang sebarang bentuk keganasan dan kefahaman yang keterlaluan ataupun ekstrem. 

"Ini adalah selaras dengan prinsip agama Islam di mana perbuatan membunuh orang awam adalah dilarang dan ditegah dengan kerasnya oleh agama Islam," katanya.

Najib berkata Osama telah menggunakan Islam dalam perjuangannya dan telah memberi imej yang cukup negatif dan buruk terhadap Islam.

"Sebab itulah, sebagai negara di mana majoritinya umat Islam, kita mesti juga menunjukkan pendirian kita yang mana dalam kita memartabatkan Islam, dalam kita memperjuangkan ketidakadilan dan sebagainya, kita mesti berpegang pada prinsip yang dibenarkan atau selaras dengan kehendak Islam." katanya.

Perdana Menteri berkata serangan 9/11 di bangunan Pusat Dagangan Dunia New York pada 2001 yang dirancang oleh Osama tidak boleh diterima oleh sesiapa yang mempunyai nilai ketamadunan dan juga tidak boleh diterima di sisi agama Islam.

Katanya ketidakadilan tidak boleh diperjuangkan menerusi penggunaan ekerasan atau melalui perbuatan membunuh orang awam yang tidak berdosa. Katanya rakyat negara ini perlu menolak sebarang bentuk keganasan kerana kebijaksanaan berdasarkan pendekatan Wassatiah atau kesederhanaan dapat mencapai esuatu yang diperjuangkan.

Mengulas tindakan pihak Amerika Syarikat itu, Najib berkata walaupun engambil masa 10 tahun, pihak yang menjadi mangsa akan tetap tuntut pembalasan erhadap keganasan yang dilakukan ke atas orang awam yang menjadi mangsa embunuhan.

Menyentuh tindakan rangkaian Al-Qaeda ke atas ancaman keselamatan negara, Najib berkata pada masa ini, tiada ada tanda-tanda yang anggota kumpulan itu berada di dalam negara. Bagaimanapun, katanya polis akan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengesan mana-mana kumpulan yang mahu mengancam keselamatan negara kerana simpati dengan kematian pengasas kumpulan A-Qaeda itu.

"Ini satu tamparan yang hebat kepada Al-Qaeda, ini bukan bererti mereka akan terkubur sama sekali, kita tidak boleh anggap bahawa segala-galanya sudah pun tamat. Tetapi jelas bahawa kumpulan itu hilang kekuatan dengan kehilangan Osama bin Laden yang merupakan sumber inspirasi kepada pergerakan itu," katanya seperti dilaporkan Bernama.