Peruntukan Perlembagaan mengenai hak negeri dan pusat sudah memadai. Meskipun ia menyebelahi pusat, ia tidaklah teruk sangat sekiranya ia benar-benar dilaksanakan. Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam syarahan eksekutif di INSPIN, Alor Setar Ahad lalu. Dalam syarahan yang dihadiri oleh para pegawai kerajaan dan agensi negeri Kedah beliau menghuraikan peruntukan Perlembagaan mengenai konsep federalisme di Malaysia.
Katanya, asas peruntukan yang ada sekarang telah bermula lama dan kerangka moden yang diwarisi sekarang bermula di bawah skima Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sementara itu, jelasnya lagi, Sabah dan Sarawak mempunyai hak yang lebih istimewa kerana kedua-dua negeri ini menyertai Persekutuan lebih kemudian, yakni pada 1963.
Walau apa pun, kata Aziz, hak-hak negeri tidak begitu dihormati kerana mahkamah tidak komited dengan konsep federalisme.
"Ini mungkin kerana hakim-hakim dilantik oleh Persekutuan", ujarnya. Beliau turut menyentuh isu royalti minyak Kelantan di mana Kerajaan Pusat memohon untuk disaman bersama Petronas. "Ini satu perkembangan yang pelik", tambahnya.
Syarahan itu diakhiri dengan sesi soal jawab selama hampir dua jam apabila para peserta mengajukan pelbagai soalan mengenai Perlembagaan Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan