KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 03, 2011

Rakyat patut membeliakkan mata lihat nasib pekerja: Harga barang naik, gaji bila lagi?



Pelaksanaan gaji minima antara yang tidak putus-putus dituntut kumpulan yang membela nasib pekerja seperti Jerit dan Suaram. Begitu juga Pakatan Rakyat dan ahli ahli parlimennya sering membuat tuntutan ini. Di bawah Jawatankuasa 1 Mei, setiap tahun mereka mengada Himpunan Hari Pekerja. Wartawan NYZA AYOB meninjau sambutan tahun ini bersama jurucakap Jawatankuasa 1 Mei, S. Arutchelvan. 

Saban tahun Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan Himpunan Hari Pekerja. Apa tuntutan jawatankuasa ini pada tahun ini?

S.ARUTCHELVAN: Pada 1 Mei ini, Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan perarakan dari Chow Kit ke Dataran Merdeka bermula apda 10.30 pagi. Pada hari berkenaan kita akan membacakan Deklarasi Hari Pekerja.  Sehingga kini, 60 organisasi terdiri daripada kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik mengesahkan untuk menghadiri perhimpunan tersebut. Pada hari itu, kita juga akan mendengar ucapan daripada pemimpin pekerja peneroka bandar, pekerja kilang serta wakil orang asal. Selepas itu kami akan melancarkan logo Hari Pekerja yang bertemakan 'Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi'. Tuntutan lain kami pada hari itu, agar ISA dimansuhkan. Pakatan Rakyat juga telah mengesahkan deklarasi ini.

Pelaksanaan gaji minima antara tuntutan pelbagai pihak termasuk Pakatan Rakyat bertahun-tahun lamanya. Bagaimana dengan desakan ini?

Setiap tahun seluruh masyarakat di dunia menyambut Hari Pekerja. Jika dilihat sejarah berkaitan dengan pekerja, suatu ketika dahulu ramai pemimpin kesatuan pekerja di tahan di bawah ISA kerana mereka menganjurkan Hari Buruh. Untuk mendapat cuti Hari Buruh, ia jadi satu perjuangan. Oleh itu setiap tahun Jawatankuasa 1 Mei  tetap membuat tuntutan agar kerajaan melaksanakan gaji minima yang dijanjikan kerajaan. Tetapi nampaknya lobi daripada golongan majikan terlalu kuat sehingga kerajaan takut untuk melaksanakannya. Selepas Himpunan 1 Mei ini, kami akan  terus membuat desakan untuk memastikan gaji minima ini dilaksanakan.

Apakah Jawatankuasa 1 Mei juga akan menuntut kerajaan mengembalikan subsidi kepada rakyat?

Ya, kita juga ingin menuntut supaya kerajaan mengembalikan subsidi yang telah diambil. Subsidi ini yang menyebabkan harga barangan ini naik. Subsidi ini untuk golongan rakyat biasa. Seharusnya subsidi golongan korporat dipotong. Kami akan meneruskan kempen berkaitan dua tuntutan utama kami ini.

Saudara ada menyatakan tekanan oleh majikan terhadap kaum pekerja sering kali menggagalkan tuntutan agar Akta Gaji Minima dilaksanakan di parlimen. Boleh saudara jelaskan lebih lanjut.

Tuntutan akta gaji minima ini sudah lama dibuat kesatuan sekerja. Dan pada satu ketika kerajaan ingin melaksanakan Akta Gaji Minima untuk pengawal keselamatan. Tetapi kerajaan berpatah balik dan tidak melaksanakannya. Selepas itu kerajaan menyatakan ingin melaksanakan gaji minima ini kepada pembantu rumah.  Tetapi tetap tidak dilaksanakan. Ini menunjukkan majikan (Malaysia Employee Federation) MAF ini telah mengugut kerajaan dengan mengatakan seandainya kerajaan implementasi Akta Gaji Minima, pelabur akan lari dari negara kita. Kita merasakan hanya dengan ugutan ini kerajaan terlalu memberi muka kepada syarikat-syarikat besar ini. Sebagai contoh di negara Jepun, pelabur asing ini di negara mereka, pekerja dibayar dengan gaji yang baik. Tetapi bagi kilang yang dimiliki di Malaysia, mereka mahu kerajaan kita buat undang-undang supaya pekerja diberikan gaji yang rendah. Ini adalah tidak adil. Kita tidak mahu kerajaan kita menjadi 'lidah' untuk majikan antarabangsa ini.  

Kementerian Sumber Manusia hanya berdiam diri mengenai perkara ini?

Kita lihat Menteri Sumber Manusia, Dato' S. Subramaniam sendiri juga mengakui gaji  pekerja di negara kita sangat rendah. Jauh lebih rendah dari negara-negara lain. Selain itu Malaysia juga antara yang tertinggi di Asia Tenggara, jurang antara kaya dan miskin. Untuk menangani isu seperti ini, jika kerajaan betul-betul serius, kerajaan harus laksana akta gaji minima. Tetapi nampaknya mereka terlalu mengikut dan menjaga hati golongan majikan.

Apakah terdapat penilaian dibuat terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat agar gaji minima ini juga dilaksanakan terhadap pekerja-pekerja dibawah pentadbirannya?

Sekarang ini kebanyakan parti-parti Pakatan Rakyat telah mengesahkan deklarasi Hari Pekerja berkenaan tuntutan kami. Pada masa yang sama kami juga mahukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat melaksanakan gaji minima untuk  pekerja-pekerja kerajaan di bawahnya. Setakat ini, kerajaan Selangor ada memberi komitmen untuk melaksana gaji minima tapi masih belum dilaksanakan. Kami rasakan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah juga harus melaksana gaji minima ini kerana lazimnya apabila kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat melaksana sesuatu perkara, kerajaan pusat akan menurut jejaknya. Sebagai contoh apabila kerajaan Kelantan mengumumkan hari bekerja lima hari seminggu, kerajaan persekutuan juga mengikut jejak langkah tersebut.

Ini bermaksud kerajaan Pakatan Rakyat harus melaksanakan polisi yang membela nasib pekerja agar menjadi pemangkin kepada Kerajaan Persekutuan?

Ya. Kita rasakan ada perkara penting yang harus dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat bagi menunjukkan dirinya membuat polisi-polisi yang betul kepada golongan pekerja. Selain itu kita tahu kerajaan negeri tidak dapat laksana bagi kilang-kilang swasta kerana tidak mempunyai kuasa tetapi untuk pekerja  kerajaan contohnya buruh-buruh yang bekerja dengan PBT dan pejabat tanah, gaji minima RM 900 perlu dilakukan supaya hidup mereka bertambah baik. Apabila kerajaan negeri melaksanakannya, ia akan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk mengikutinya.

Tiada ulasan: