KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 05, 2011

PAS sokong sebab tuntutan Bersih 2.0 tidak bercanggah dengan Islam - Ustaz Nik Zawawi




HIMPUNAN Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu mengundang kontroversi. Ekoran itu PAS dituduh dan dilebelkan dengan bermacam-macam gelaran. Malah ada yang berani mendakwa, himpunan aman itu haram menurut Islam kerana ia diketuai Dato' S Ambiga, pemimpin bukan Islam. Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan, MOHAMAD SHAFRI SHAMSUDIN mendapatkan penjelasan daripada Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh berhubung perkara ini. Ikuti butirannya.

Berdasarkan Islam, adakah Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu diizinkan? 

USTAZ NIK ZAWAWI SALLEH: Dalam Islam, kita  diajar apabila melihat sesuatu perkara yang tidak betul berlaku maka satu tindakan mesti diambil. Ini seiring sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Apabila kamu melihat kemungkaran atau ketidak adilan berlaku, maka kamu dikehendaki ubah dengan tangan atau kamu mengubah dengan mulut atau kamu mengubahnya dengan hati, jika tidak berkuasa. Itu adalah selemah-lemah iman". 
Jadi, hadis ini memberi gambaran bahawa tindakan atau respons daripada melihat penyelewengan ini adalah satu kewajipan. Kewajipan ini bermula daripada cara yang aman dan ia berakhir dengan peperangan. Demonstrasi merupakan jalan tengah dan himpunan yang dibuat adalah aman. Sudah tentu ia tidak bercanggah dengan agama malah ia merupakan satu tuntutan dalam Islam.

Umno-BN cuba mengaitkan PAS tunduk kepada Pengerusi Bersih 2.0, Dato' Ambiga yang bukan Islam dan anti-Islam. Salahkah PAS bergabung dengan Ambiga dalam isu bersama yg dituntut Bersih?

Sebenarnya tidak timbul masalah PAS tunduk kepada Ambiga. Sekarang ini kita mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana dia sedar tentang masalah keadilan. Kesedaran Ambiga itu adalah lebih baik daripada Umno itu sendiri. Umno yang tidak sedar dengan kezaliman yang dilakukan, walaupun dia mengaku beragama Islam.
Sedangkan Ambiga yang beragama Hindu mempunyai kesedaran ini. Kita mahu bersama dengan mana-mana kaum atau agama dalam perkara yang dituntut oleh agama masing-masing, merupakan satu tuntutan juga di dalam Islam. Sebab itu Rasulullah SAW menyebut dalam Al- Fulfudur. Al- Fulfudur adalah peristiwa yang berlaku sebelum Rasulullah menjadi nabi. 
Sabdanya sekiranya Al- Fulfudur berlaku dalam Islam, nescaya aku akan mewajibkan kepada umat Islam untuk bersama-sama. Ini menandakan bahawa Islam adalah agama yang terbuka, sebuah agama yang berinteraksi dengan agama yang lain. Mana-mana perkara yang mempunyai kepentingan bersama, Islam meletakkan kerja sama yang erat. Masalah yang ada bukan kita tunduk kepada Ambiga atau Ambiga tunduk kepada Islam. Tetapi kita mempunyai persamaan disudut perkara yang kita perjuangkan.   

Bukankah ada perbezaan antara menyokong Ambiga dgn menyokong tuntutan Bersih?

Kita bukan masalah Hindu, Kristian atau apa. Jadi, sekarang ini mana-mana orang yang membawa masej tuntutan Bersih 2.0 maka kita boleh bersama.  Jadi, kita dengan Bersih 2.0 berbeza dengan kita dengan agama lain. Kita dengan Bersih 2.0 biasa sahaja dan oleh kerana mesej dalam Bersih 2.0 jelas sesuatu yang baik dilihat oleh Ambiga, agama Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain menyebabkan kita boleh bersama. 
Apa yang ada dalam Islam sama sekali tidak bercanggah dengan agama yang ada disudut prinsip keadilan dan sebagainya.  Ia berbeza dari sudut kaedah penyembahan dan konsep ketuhanan. Selain daripada itu tidak ada perbezaan, tetapi kelebihan Islam ia adalah lengkap (syumul).

Ada lapan tuntutan Bersih 2.0. Berdasarkan rekod apakah tuntutan ini selari dgn kehendak Islam?

Tuntutan Bersih 2.0 memang selari dengan Islam. Semua tuntutan yang dibuat adalah untuk memastikan perjalanan sistem pilihan raya berlaku dengan bersih dan adil. Jadi, setiap benda yang bersih dan adil ini merupakan satu juzuk daripada agama. Jadi apa yang dituntut bertepatan dengan agama. (Gambar: Mohamad Sabu bersamalam dengan para penyokong Bersih sebaik beliau dibebaskan dari tahanan polis).
Adalah wajib bagi kerajaan untuk tunduk kepada agama. Masalah ini bukan tunduk kepada Bersih 2.0. Sepatutnya perkara seperti kepincangan pilihanraya ini tidak berlaku. Tuntutan lapan perkara itu juga tidak seharusnya dituntut oleh rakyat. Tuntutan itu sepatutnya telah lama dilaksanakan oleh kerajaan. Ini adalah kerana ia melibatkan keadilan dan kesejahteraan bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlaku dengan baik. Ini adalah satu kewajipan dalam agama.

Ada orang persoal, tuntutan ini berkait dengan demokrasi, sedangkan pilihanraya itu tidak Islamik. Bagaimana PAS menyangkal dakwaan ini?

Sebenarnya orang yang menyatakan pilihan raya ini tidak Islamik, orang itu tidak belajar agama dan jika belajar pun sekadar boleh sahaja. Orang ini juga mempunyai pemikiran yang kolot kerana sebagai mana yang saya tegaskan agama kita ini adalah terbuka dan Islam mengajar kita kita mengambil apa sahaja teori di dunia yang tidak bercanggah dengan agama. Kita boleh ambil.
Jadi sistem demokrasi berparlimen, walaupun ia datang daripada negara Barat tetapi ciri-ciri yang ada juga wujud di dalam Islam. Sebab itu pilihan raya itu tidak bercanggah dengan agama dan kita lihat kemenangan di Kelantan berpihak kepada Islam. Semua ini memberi gambaran pilihan raya itu boleh diterima dalam Islam. Bagaimanapun ia bukanlah satu-satunya jalan. Sekiranya pilihan raya ini berlaku dalam keadaan baik maka diwajibkan kepada umat Islam utuk bersama-sama di dalam pilihan raya.
Tetapi, jika pilihan raya ini sudah meyeleweng terlalu jauh maka diwaktu itu umat Islam diharamkan untuk mengikutinya sebagai mana yang berlaku di Palestin sebagai contoh. Sebelum ini mereka tidak masuk pilihan raya tetapi apabila perubahan berlaku maka mereka kembali semula kepada pilihan raya kerana tabiat Isla itu memang begitu. Ini kerana dari sudut fekahnya "hukum itu boleh berubah disebabkan suasana dan masa". Jika suasana itu memberi ruang kepada Islam, ia boleh bersama tetapi jika berlaku sebaliknya maka Islam mengharamkan kaedah tersebut. 
Jadi, tidak timbul sama ada pilihan raya itu Islamik atau tidak. Sebenarnya orang yang bercakap sebegini kita dukacita kerana mereka ini tidak mengkaji sirah secara dalam dan tidak membaca kitab secara bahasa kasarnya. Tidak menghayati kitab-kitab yang dikarang oleh ulama Islam.   

Pada pemerhatian Ustaz, apa impaknya Himpunan Aman Bersih 2.0 baru-baru ini terhadap PAS dan Pakatan Rakyat?

Kita memperolehi banyak kelebihan terutama kepada PAS. Jadi, tuntutan Bersih 2.0 kita buat secara aman. Bila kerajaan berkeras dan bertindak sehingga ada yang menyebabkan kecederaan dan kematian, kita memperolehi untung politik yang tinggi di mana rakyat mula melihat, Bersih 2.0 mahu kepada kebaikan, keadilan dan kesejahteraan. (Gambar: Pak Jabit atau L Man Kadir Shamsi (kanan) pelakon filem turut memberikan sokongan padu kepada Bersih)
Tetapi, teroris ini daripada kerajaan sendiri. Sebelum ini mereka banyak menuduh terdapat kumpulan teroris, pengganas dan sebagainya. Tetapi, apa yang terjadi dalam Himpunan Aman Bersih 2.0 itu yang mengganasnya adalah kerajaan. Ia juga jelas rakyat yang menyertai himpunan itu mahukan keamanan dan kedamaian. Kita juga berjaya merapatkan hubungan sesama kaum dan agama melalui himpunan ini. Kita juga melantik Ambiga sebagai pengerusi. Ia turut disertai wakil parti dan NGO. 
Malah kita kagum dengan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said yang menunjukkan kesedaran sebagai warganegara. Walaupun dia seorang yang bebas tetapi sanggup bersama begitu juga dengan masyarakat Cina dan India. Jadi, mereka yang memahami tuntutan Bersih 2.0 ini adalah aman tetapi tiba-tiba mereka mendapat tentangan daripada kerajaan dan polis begitu rupa menyebabkan hubungan silaturahim, persahabatan, persefahaman berlaku dalam PAS. Apa yang disebut sebagai 1Malaysia oleh Umno terbukti gagal. Kita yang meletakkan "Ummatan Wahidah" bermaksud umat yang satu, alhamdulillah berpihak kepada kita.  

Bagaimana kesedaran orang-orang Melayu di luar bandar?

Dalam tinjauan saya, masyarakat Melayu di luar bandar, khususnya generasi anak mereka yang memiliki facebook, twitter, blog dan sebagainya sangat positif dengan tercetusnya Bersih 2.0. Perkembangan menarik dikalangan anak muda. Mereka boleh mempengaruhi generasi yang lebih tua terutama keluarga dan ibu bapa. Bersih 2.0 yang ditonjolkan di dalam tv sebagai perhimpunan haram dan ganas, mula mendapat perhatian masyarakat luar bandar dan mereka tahu tidak sedemikian. 
Yang mengganasnya adalah kerajaan. Rakyat yang menuntut, melakukannya dengan aman. Malah pada hari himpunan itu ada kedai yang dibuka kehabisan tisu dibeli oleh peserta Bersih 2.0. Ada satu restoran pula nasinya masih mentah tetapi habis dijual. Maknanya tidak timbul pekedai perlu tutup kedai. Demonstrasi ini tidak mengganggu soal ekonomi, pekerja atau sebagainya dan mula disedari oleh semua pihak. InsyaAllah ada kebaikannya. 

Macamana Pakatan Rakyat nak bolos di kawasan Melayu yang masih kekal dalam genggaman Umno-BN?

Sekarang ini kita lihat mana-mana tempat bukan sahaja orang Melayu tetapi rakyat yang tidak menerima maklumat termasuk India di estet dan sebagainya telah diperbodohkan media massa yang ada. Kita cuba menembusi benteng ini dengan beberapa strategi dan perancangan. Ini termasuk memperkenalkan rakan facebook dengan masyarakat luar bandar dan kita akan menghidupkan program seperti Anak. 
Maknanya Anak ini selain dari memberi penjelasan isu berhubung dengan Felda, tetapi dia juga mengorak langkah memberi kesedaran lain termasuk agama dan sebagainya. Dewan Ulama juga menyusun progran dengan turun ke peringkat akar umbi dan alhamdulillah kita mendapat sambutan yang cukup baik. Bila kita turun dengan membawa hidangan ilmu kita dapati masyarakat luar bandar ini semacam tidak pernak mendengar ilmu yang menyentuh politik, pentadbiran, isu pendidikan, ekonomi, kesejahteraan. 
Apa yang biasa mereka dengar tentang Islam hanya menyentuh soal ibadat sembahyang dan zakat sahaja. Seolah-olah semacam Islam itu agama yang tidak lengkap. Bila kita sebut Islam itu agama yang syumul kepada mereka, alhamdulillah cukup menarik dan mereka mula sedar dan insyaAllah perubahan boleh berlaku.

Tiada ulasan: