Maria Chin Abdullah, AJK Pemandu Bersih 2.0
BERSIH 2.0 akan meneruskan agenda mereka menuntut pilihan raya yang adil, dan mereka juga memberikan tempoh selama tiga bulan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan lapan tuntutan itu. Rakyat tahu SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan tuntutan Bersih. Ikuti wawancara Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan, SALMIYAH HARUN bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah baru-baru ini berhubung tindakan lanjut Bersih 2.0 bagi menghadapi PRU-13 nanti.
Apakah memorandum Bersih 2.0 sudah diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong?
Ya, sudah diserahkan pada Khamis 21 Julai yang lepas. Sehingga kini masih belum ada respons daripada Yang DiPertuan Agong.
Selepas 9 Julai, apa tindakan susulan Bersih dalam memberikan tekanan kepada pihak kerajaan agar memenuhi lapan tuntutan Bersih?
Dalam Debat "Apa Selepas 9 Julai?" di Shah Alam baru-baru ini, kita bagi tempoh tiga bulan kepada SPR untuk memenuhi tuntutan rakyat kerana suruhanjaya itu ada kuasa untuk melaksanakan tuntutan Bersih sebagaimana dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagi Bersih, SPR sepatutnya menerima semua laporan yang dituntut oleh Bersih termasuklah undi pos atau pengundi hantu dan sebagainya, dalam masa yang sama laporan itu perlu diambil berat oleh SPR.
Namun, sekarang ini SPR menegaskan mereka tidak ada kuasa untuk menggubal undang-undang. Tetapi kita tegaskan SPR tidak perlu menggubal undang-undang tetapi membina tuntutan rakyat dan masyarakat. Buat satu penyiasatan bahawa parti politik dan masyarakat sivil boleh hantar pemerhati dan pemantauan kepada mereka. Bersih akan meneruskan perjuangannya, dengan lapan tuntutan segera itu walaupun pada awalnya kita ada 15 tuntutan dan yang selebihnya mungkin mengambil masa yang panjang.
Apakah tempoh tiga bulan itu mencukupi?
Kita akui kita bagi tempoh yang agak panjang kepada SPR untuk meneliti tuntutan Bersih walaupun PRU-13 dijangka akan berlaku bulan November ini. Kita tahu, mereka adalah sebuah institusi yang mungkin mengambil masa yang lama untuk meneliti tuntutan kita. Walaupun, kita sudah bincang dengan mereka sudah lama sejak tahun 2005 sehinggalah kita bina Bersih 2.0 dan terus mendesak tuntutan yang sama bagaimanapun, SPR masih tidak mampu melaksanakan tuntutan Bersih sebelum ini. Kita bagi tiga bulan. Kita lihatlah macam mana reaksi SPR nanti. Dalam pertemuan di wacana baru-baru ini SPR ada berjanji akan kaji semula tetapi tidak ada perjanjian bila masanya.
Debat antara Pengerusi Bersih 2.0 Dato' Ambiga dengan Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar di Shah Alam 26 Julai menjelaskan kepada rakyat tentang tidak seriusnya SPR untuk melakukan reformasi. Apa komen Puan?
Saya rasa, dia (Wan Ahmad) tidak ada jawapan untuk soalan yang dikemukakan pada hari itu berkenaan tuntutan-tuntutan Bersih 2.0. Dia tidak ada penjelasan apa respons SPR terutama membersihkan daftar pemilih, mereformasikan undi pos, memanjangkan tempoh berkempen. Saya harap selepas wacana itu SPR ambil perhatian. Kalau tidak, kita masih ada tiga bulan bagi SPR buat reformasi apa yang kita tuntut.
Wan Ahmad cuba menyalahkan BN kerana enggan memberi kerjasama untuk reformasi dalam sistem pilihan raya. Apa patut SPR lakukan?
Isu ini bukan timbul pada hari ini sahaja, tetapi sudah lama 50 tahun. Tetapi SPR pula menyalahkan kerajaan kerana enggan memberi kerjasama, sedangkan dalam Perlembagaan SPR ada kuasa untuk mengumpulkan semua institusi yang terlibat dalam pilihan raya. SPR mempunyai kuasa dan boleh membuat arahan misalnya, akses kepada media yang adil untuk semua parti. SPR boleh buat!
SPR boleh kata dalam masa tiga bulan kami boleh bersihkan senarai pemilih. Dia ada kuasa tidak perlu tangguh-tangguh. Bagi saya SPR sengaja bagi alasan untuk tidak mahu bertindak. Kuasa yang ada pada dia, malangnya dia tidak guna. Akhirnya memberi alasan tidak ada kerjasama dengan BN.
Baik contoh kuasa yang SPR ada?
SPR ada kuasa untuk berbincang dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan menegaskan semua parti politik mesti ada akses dengan media. Dan bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah ini. Bila ada masalah SPR mesti fikir bagaimana hendak mengatasi masalah itu.
Apakah Puan berpuashati dengan sokongan rakyat terhadap Himpunan Aman Bersih 9 Julai lalu? Kenapa?
Lebih daripada puas hati. Pada 9 Julai sebenarnya menunjukkan himpunan rakyat Malaysia dan ia tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi di luar negara. Ini menunjukkan rakyat mempunyai kesedaran politik yang baru, sebagaimana mereka mahu melibatkan diri dalam proses-proses membuat keputusan. Mereka tidak mahu politik perkauman dan tidak mahu keganasan sebagaimana dalam himpunan itu. Politik perkauman sudah tidak diperlukan. Kerajaan harus sedar rakyat hari ini mahukan politik baru
Himpunan Bersih 3 ada ditanya dalam debat di Shah Alam. Apa cadangan Bersih jika lapan tuntutan ini tidak diberi perhatian langsung oleh SPR?
Kalau tidak ada 'advance' dalam tuntutan Bersih itu. Kita kembali kepada rakyat untuk mempersoalkan mereka (SPR). Saya tidak kata 'ya' atau 'tidak' untuk Bersih 3, kerana bila kita menggerakkan himpunan seperti itu kita mestilah betul-betul bersedia dan perlu ada kekuatan. Tarikh 9 Julai mempunyai kekuatan tersendiri. Jadi apa yang berlaku pada 9 Julai adalah kekuatan daripada rakyat bukan daripada kami. Jadi, rakyat telah membuat keputusan dan mempunyai kesedaran diri sendiri.
Masyarakat di bandar sangat celik dengan Bersih. Isunya sekarang, apa tindakan Bersih bagi memahamkan masyarakat di kampung dan pendalaman?
Kita ada rancangan untuk mengadakan sesi perbincangan dengan NGO di setiap negeri. Kita mulakan di sini.
Dan kita adakan pertemuan dengan masyarakat di pendalaman di seluruh negara. Supaya mereka juga faham dengan tuntutan dan hak mereka untuk pilihan raya bersih dan adil.
1 ulasan:
ӏ аm suгe thіs аrticle has tοuched all the internet vіsitors,
іts really reаlly fastiԁious ρaragrаph оn buіlding up neω blog.
Hеге is my ωeb-site; payday loans
Catat Ulasan