KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 05, 2011

PRU 13: Berkesankah "Tsunami politik 2.0" merusuh di kawasan luar bandar?


MESKIPUN perhimpunan Bersih 2.0 belum membawa perubahan sistem pilihan raya dalam masa yang singkat, namun tetap memberi impak terhadap senario politik dan minda rakyat. Penganalisa menganggap gelombang kuning ini sekadar membadai di kawasan bandar.  

Oleh itu, kemampuan fenomena ini menembusi kawasan desa menjadi faktor penentu sama ada Tsunami Politik 2.0 bakal tercetus daripada gelombang ini.

Perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 telah menarik penyertaan kira-kira 40,000 orang, ditafsir sebagai antara faktor tercetusnya tsunami politik pada 8 Mac 2008 - dengan kejayaan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen, dan menguasai lima kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Bersih kini kembali sebagai Bersih 2.0, menganjurkan perhimpunan pada 9 Julai 2011 - dengan kehadiran kira-kira 50,000 orang - meskipun diisytiharkan Kementerian Dalam Negeri sebagai pertubuhan haram, ditambah pula dengan penangkapan polis, ugutan, sekatan jalan dan sebagainya.

Jikalau dibandingkan, kehadiran peserta lebih ramai berbanding empat tahun lalu, di samping sekatan polis yang lebih mencengkam.  Kini, walaupun sudah 10 hari berlalu, namun "impak" ini terus menular d laman internet, menjadi nostalgia sama ada pembangkang mahupun warga internet.

Impak "kuning" di luar jangkaan

Pengkaji politik, Ong Kian Ming mengakui bahawa dirinya menjangka fenomena 709 akan dilupai dalam masa yang singkat. Tapi beliau terpaksa mengubah fikirannya selepas tempoh seminggu. Beliau berkata, perhimpunan Bersih 2.0 telah menggarap imaginasi golongan muda, sehingga mereka teruja dengannya.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian (gambar) turut terperanjat dengan bagaimana impak Bersih2.0 ini dikekalkan, dan tidak hilang selepas tamatnya perhimpunan.  

Beliau berkata, ramai peserta yang memuat-naikkan gambar, klip video mahupun tulisan mereka untuk disebarkan secara meluas di ruang internet, sehingga impaknya menular, dan mengubah pemikiran rakyat.

Ibrahim Suffian menambah, ia memberi makna bahawa rakyat tidak takut, tetap memuat-naikkan dan menonton klip video ini, meskipun diisytiharkan bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.  

Selain itu, tidak kurang parti politik dan pertubuhan yang menganjurkan aktiviti berkenaan Bersih 2.0, menjurus kepada merebaknya impak Bersih 2.0.

"Biarpun seminggu telah berlalu selepas 9 Julai, namun banyak lagi parti politik, pertubuhan, NGO yang menganjurkan kegiatan berkenaan.  Dari emosinya, jelas ia amat memberangsangkan, dan dari psikologinya, ia positif," katanya.

Ibrahim Suffian menambah, perhimpunan Bersih 2.0 menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia turun ke jalan raya untuk menyatakan ketidakpuasan mereka, dan mereka juga di"empower"kan dalam proses ini.  

Beliau menekankan, bahkan kaum bukan Melayu yang paling bimbang dengan huru-hara tampil ke depan untuk menyatakan protes, memperlihatkan kekhuatiran mereka terhadap tragedi 13 Mei 1969 semakin terhakis.

Kerajaan gagal mengendalikan perhimpunan

Sementara itu, pengkaji politik Ngeow Chow Bing (gambar) menganggap kebangkitan rakyat pada 9 Julai sebagai kebangkitan masyarakat sivil. Beliau mempertikaikan cara kerajaan mengendalikan perhimpunan kali ini, sama ada sebelum, semasa malah selepas perhimpunan berlangsung. "Masih tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya sehingga hari ini," katanya.

Ngeow Chow Bing mengambil contoh bagaimana sesetengah negara di Timur Tengah akan meneliti dan mengkaji tujuan, tuntutan perhimpunan, walaupun pada masa yang sama akan menekan pemimpin perhimpunan tersebut.  Dengan kata lain, mereka cuba mencerminkan keadaan walaupun penindasan berlaku.

"Malah negara yang tidak demokratik ini mampu mengendalikannya.  Sebaliknya, Malaysia langsung tidak maju dalam hal ini, teruskan dengan penindasan, penipuan dan penafian.  Ini amat mengecewakan," kata Ngeow Chow Bing.

Kerajaan mengambil tindakan terhadap Bersih 2.0 sejak Jun 2011, termasuk menggeledah pejabat sekretariat Bersih 2.0, mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram, menangkap dan mendakwa mereka yang berpakaian kuning, membuat sekatan jalan di sekitar Kuala Lumpur, malah berdolak-dalih selepas menjanjikan stadium untuk perhimpunan Bersih 2.0.

Tindakan ini menghalang kelancaran perhimpunan Bersih 2.0 sebermulanya, disusuli pula dengan pelepasan gas pemedih mata menghala ke pemimpin pembangkang, malah ke dalam perkarangan hospital.  Kritikan terhadap tindakan polis pula dinafikan, malah diberi pujian bahawa polis telah menjalankan tugas secara profesional.

Cabaran: Impak Bersih ke dalam desa

Selepas 10 hari berlalu, adegan perhimpunan Bersih 2.0 seolah-olah masih jelas di depan mata.  Namun, pengaruh Bersih 2.0 nyata lebih lemah di kawasan pedalaman, berbanding kawasan bandar yang lengkap dengan kemudahan internet.

Ketiga-tiga orang penganalisa berkongsi pandangan yang sama, iaitu impak Bersih lebih terbatas di kawasan bandar, golongan muda-mudi dan mereka yang memperolehi maklumat dari internet. Ibrahim Suffian berkata, impak ini masih "dalam proses" merebak, namun lebih terbatas kepada kawasan bandar dan belum menembusi kawasan pedalaman.  

Untuk penduduk di kawasan pedalaman, maklumat yang diterima mereka masih berada pada tahap awal, yang disajikan media arus perdana, iaitu perhimpunan ini adalah haram, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga yang difitnah, perhimpunan yang didalangi pembangkang.

Ibrahim Suffian dan Ong Kian Ming bersetuju bahawa impak 709 boleh dibawa ke kawasan pedalaman, seandainya peserta perhimpunan dan bahan rakaman perhimpunan dibawa ke kawasan itu, dan bukan hanya bergantung kepada sebaran melalui internet.

"Sekarang, keadaan menjadi dua ekstrem.  Penduduk bandar lebih memberi perhatian, berhasrat menyampaikan mesej kepada kerajaan.  Pembangkang pula lebih aktif, untuk membawa 709 ke kawasan desa.  Namun penduduk desa tidak mempunyai maklumat yang seimbang.  Jadi, adalah satu cabaran untuk menjelaskan kepada golongan ini, tentang kepentingan sistem pilihan raya yang adil dan bersih."

Tsunami politik 2.0

Ngeow Chow Bing pula menganggap, impak BERSIH 2.0 hanya boleh mengekalkan prestasi PRU 12, yang tercetus kerana perhimpunan BERSIH tahun 2007. Beliau menjangkakan bahawa nisbah pemerintah-pembangkang tidak akan mengalami perubahan besar, kerana ia lebih kepada fenomena di bandar.

Ong Kian Ming juga menganggap 709 memberi impak di kawasan bandar, terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor, sedangkan kebanyakan kerusi parlimen dan Dun telah menjadi milikan pembangkang.   Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya tsunami politik 2.0, bergantung kepada sejauh manakah impak 709 menembusi kawasan desa.

Oleh ONG VIC KEE  ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, diterjemah dan disunting daripada teks asal.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hi, ӏ believe уour sіte coulԁ ρossibly be haѵing
browser cοmpаtibility problems. Whеn I take a loоk at your blog іn Safarі, it loοκs finе
but when opening in Internet Explorer, it has ѕome overlapρing iѕsuеs.

I simρly wanted to pгovide you with a quick heads
up! Apart from that, еxcellent blog!

my blog poѕt payday loans