Punca kematian Baharuddin terus jadi misteri...
KEENGGANAN pihak berkuasa mendedahkan laporan bedah siasat kematian Baharuddin Ahmad yang dikatakan akibat sakit jantung telah mengundang persoalan sama ada laporan daripada polis itu palsu atau sebaliknya.
Menurut Ketua Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin, beliau percaya ada perkara yang tidak kena dan menimbulkan keraguan berhubung laporan bedah siasat Baharuddin yang tidak didedahkan dan tidak diserahkan kepada keluarga. Ini kerana katanya, polis tetap konsistan dengan kenyataannya bahawa Baharuddin meninggal dunai bukan kerana keganasan polis sebaliknya akibat komplikasi jantung.
"Justeru laporan bedah siasat mendedahkan sebaliknya telah menimbulkan persoalan apakah laporan bedah siasat daripada polis palsu dan tidak berasaskan fakta yang sebenar," soalnya. Beliau mendesak kerajaan jangan berselindung dalam perkara ini dan keluarga mangsa perlukan inkues kerana jelas ia membabitkan kematian.
Jelas Shamsul, sepatutnya dalam kes yang kononnya dipertahankan polis mangsa meninggal dunia kerana jantung seharusnya laporan itu dedahkan kepada keluarga bukannya menggunakan mahkamah untuk mengetahui laporan itu.
"Jika benar ada masalah jantung, sudah tentu tercatat dalam laporan bedah sisasat. Ini tidak, keluarga pula terpaksa membuat tindakan menggunakan mahkamah untuk dapatkan laporan itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat dan apatah lagi keluarganya," katanya. Tambahan pula katanya, pihak polis beriya-iya mempertahankan tindakan yang terlalu minima digunakan terhadap peserta Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
"Saya nak tanya, apa yang polis nak sorokkan? Seba telah jelas dalam laporan-laporan media, isteri kepada allahyarham menegaskan suaminya tidak sakit dan tidak pernah ada masalah jantung," tegas beliau.
Sementara itu, Peguam yang mewakili keluarga Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika perhimpunan Bersih 9 Julai lalu, berkata banyak perkara yang diragui tentang kematiannya, termasuk punca kematian yang ditulis pada sijil kematian. Menurut Ahmad Jufliz, sijil kematian yang dikeluarkan pada 11 Julai itu hanya ditulis 'pending laboratory analysis' di butiran punca kematian.
"Laporan bedah siasat hanya mengambil masa sekitar dua minggu untuk siap, namun keluarga mangsa masih lagi tidak diperolehi sebarang dokumen bedah siasat," ujarnya. Allahyarham sebelum ini turut dikesan mengalami patah tulang rusuk, patah gigi dan luka pada bibir.
Pada 1 Ogos lalu balu allahyarham, Rosni Malan memfailkan notis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya laporan bedah siasat suaminya didedahkan kepada umum. Rosni, 55 turut merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantunya mencari kebenaran dan keadilan terhadap arwah suaminya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan