PERISTIWA menarik Himpunan Bersih 2.0 yang berlangsung pada 9 Julai 2011 sebenarnya telah mencipta satu momentum yang cukup baik kepada rakyat, yang mahu memberi tahu BN bahawa mereka tidak usah bercakap banyak lagi kerana rakyat sudah muak.
Itulah sebabnya, kesan daripada penganjuran Himpunan Bersih 2.0 telah berbekas di hati setiap mereka yang tidak dapat menghadirkan diri, tetapi menanam cita-cita mahu menumbangkan BN dalam PRU 13 akan datang.
Kalau kita belajar dari sejarah, gerakan reformasi tahun 1998 dahulu, ialah dengan hadirnya anak-anak muda setiap Sabtu di Dataran Merdeka hingga menakutkan. Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu terfikir untuk mengujudkan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana takut dengan perkembangan ketika itu.
Boleh dikatakan anak-anak muda tidak memihak kepada BN ketika itu dan Dr. Mahathir dianggap sebagai musuh kepada generasi muda yang dikatakan sebagai bakal pemimpin negara. Ia cukup menakutkan dan hingga timbul kertas-kerja yang dicadangkan Allahyarham Prof Dr. Ahmad Fawzi Basri.
Anak-anak muda yang sudah menghabiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditarik menyertai PLKN dan kenal asal-asas penubuhan negara dan tidak diberi peluang menghadirkan diri pada setiap Sabtu di Dataran Merdeka. Apakah sejarah ini akan berulang dengan peristiwa Sabtu 9 Julai 2011 lalu?
Jika ia berlaku, tentulah Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Najib Tun Razak terpaksa mencari idea baru, bagaimana mahu mencegah dan menyekat momentum kuning, setiap Sabtu ini. Walaupun mereka tidak mungkin berhimpun di Dataran Merdeka setiap Sabtu hingga memaksa FRU dan polis terpaksa berkawal di situ, tetapi jika mereka menyarung jersi kuning Bersih seperti jersi pasukan bola Malaysia, tentulah Najib terasa.
Lena Najib akan terganggu dengan warna kuning yang dulu pernah menjadi warna Parti Melayu Semangat 46, sebelum ia berkubur dan kini, menjadi uniform Bersih. Memetik kata-kata Menteri Dalam Negeri (KDN), kuning tanpa lambang Bersih tidak salah tetapi jika kuning ini dipakai setiap Sabtu, insyaAllah kuning yang tidak berlambang bersih juga akan diharamkan.
Kesihan warna kuning. Warna yang melambangkan Raja-Raja Melayu kini sudah menjadi masalah kepada polis dan BN, walaupun bukan masalah sepanjang masa tetapi akan menjadi masalah setiap Sabtu. Kalau ada mana-mana uniform sekolah yang berwana kuning, barangkali akan ada arahan, warna itu perlu ditukarkan kepada warna lain, asalkan jangan warna kuning.
Dulu, kain samping pelajar lelaki dan kain sarung pelajar perempuan sekolah agama berwarna hijau ditukarkan ke warna merah, tidak mustahil warna kuning bagi pasukan kuning di sekolah-sekolah akan ditukarkan kepada warna coklat.
Nah! Bersiap sedialah ibu bapa semua, kerana mereka mungkin akan dipaksa mengeluarkan belanja ke arah itu dek kerana ada yang takut dan fobia kepada warna kuning. Perkara ini mungkin terjadi dan mungkin tidak, tetapi polis sudah acapkali memberi ingatan "jangan memakai baju kuning berlambang Bersih" kerana ia adalah suatu kesalahan.
Sehingga tulisan ini dapat dibaca, Himpunan Bersih 2.0 sudah lebih tiga minggu berlalu, namun perbincangan mengenainya sudah lebih dua bulan diperkatakan. Walaupun polis mengatakan sekitar lima hingga enam ribu sahaja yang menghadiri Himpunan Bersih 2.0 tetapi ada pihak lain yang mendakwa lebih 15 ribu telah berjaya mengadakan perhimpunan tersebut.
15 ribu dari 26 juta penduduk Malaysia sebenarnya satu jumlah yang cukup kecil hingga memaksa Najib berkata, sokongan senyap lebih besar lagi berbanding yang keluar berhimpun, namun ia tidak menyebabkan Najib dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain mahu berhenti bercakap mengenainya.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said telah bercadang mahu menarik balik biasiswa beberapa orang pelajar di Mesir yang dikatakan turut terlibat dengan Himpunan Bersih di Mesir. Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohd Khaled Nordin telah menyerahkan kepada pihak IPTA mengkaji bentuk tindakan terhadap hampir 500 mahasiswa yang dikatakan terlibat dengan Himpunan Bersih 2.0.
Setakat ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah sahaja yang bersendirian mempertahankan bahawa demokrasi tidak menghalang demontrasi. Tidak pula diketahui, apakah respons pucuk pimpinan Umno terhadap timbalan menteri ini.
Kalau ada sesiapa terserempak dengan timbalan menteri ini berbaju t kuning setiap Sabtu, eloklah merakamkan gambarnya untuk disiarkan di mana-mana portal atau media, bagi menyampaikan mesejnya kepada seluruh alam, bahawa demokrasi tidak menghalang demontrasi.
Pengerusi Tan Sri Aziz Yusof dan Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar semakin sibuk kini memenuhi undangan menghadiri wacana, seminar dan ceramah. Nampaknya mereka berdua, lebih sibuk dari Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan kebelakangan ini.
Mereka terpaksa mencadangkan kepada kerajaan, supaya menggunakan biometrik dan bukan dakwat celup dan memaksa Najib meluluskan peruntukan segera untuk menjayakan hasrat SPR itu namun, adalah mustahil jika ia mahu dimulakan, bimbang takut sempat digunakan untuk PRU 13.
Berbuih mulut Tan Sri Aziz Yusof mempertahankan bahawa cadangan menggunakan dakwat celup sebagai ketinggalan zaman dan hanya dibuat di negara-negara miskin, tetapi pihak yang menuntut mengunakan dakwat celup tetap mempertahankan hujah mereka.
Cuma, secara bergurau beberapa pihak berkata, mungkin dengan menggunakan dakwat celup, ia murah tetapi kalau menggunakan biometrik ia akan menelan belanja yang bukan sedikit – jadi siapakah yang bakal diberikan kontrak membekalkan mesin biometrik tersebut?
Jadi, dari semua perkembangan ini tidak menyebabkan mereka mahu melupakan baju t kuning setiap Sabtu dan mungkin akan menambah tugas polis untuk memeriksa beg-beg sandang sama ada berisi t-shirt kuning atau tidak.
Momentum ini akan berterusan sehinggalah selesai PRU-13 dan khabarnya dari satu sumber yang layak dipercayai, BN hanya yakin dapat mempertahankan 120 kerusi Parlimen, sedangkan sekarang mereka mempunyai 137 kerusi dari 222 kerusi.
Ketika BN berhempas pulas mahu memecahkan hubungan antara PAS-DAP, BN juga sedang memperkemaskan jentera partinya yang berpecah. Umno sendiri tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan yang berpanjangan di peringkat bahagian-bahagian hingga menyebabkan banyak pihak tidak yakin Najib akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Jika ramai yang bert-shirt kuning setiap Sabtu, mungkin akan menyebabkan Najib lebih terganggu dan sedikit sebanyak akan memberi pengaruh kepada pemikirannya untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Segala-galanya bergantung kepada momentum ini, sama ada semakin menguning macam padi masak di tengah bendang atau ia terus menghijau seperti padi muda yang menunggu masa hendak masak.
Oleh SAFAR JUMAAT - penulis prolifik yang rapat dengan serambi kuasa PWTC.
1 ulasan:
Just want tο say your articlе іs as аmazing.
Thе clarіty οn yоuг put up is just
ехсellent and i can аѕsume
уou arе an expert in this ѕubjeсt.
Well аlong with youг ρеrmissiοn allοω me to snatсh
yоur RSS fеed to ѕtay up to dаte with impеnding ρоst.
Thankѕ а million and please kеep up the enjoyable ωork.
Here is my wеb-ѕite: payday loans
Catat Ulasan