Kerja-kerja pembinaan tapak asrama tahfiz sedang dilakukan. Ia dibina bersebelah dengan masjid untuk kemudahan jangka panjang masyarakat Islam di daerah ini.
HARAPANNYA begitu tinggi. Untuk menyiapkan bangunan dua tingkat Asrama Tahfiz Masjid Nurul Iman, Kg. Khosutin, Kampong (Negeri) Cham, Kemboja. Di kampung ini tiada ustaz mahupun ustazah yang boleh membimbing masyarakat Islam setempat.
Bagi Timbalan Mufti Kampong Cham, Dato' Musa Ali (gambar kanan), sokongan dan sumbangan umat Islam daripada Malaysia amat diperlukan. Tiada tempat lagi untuk mereka mendapat biaya mendirikan asrama berkenaan. Masjid yang tersergam indah itu pun hasil sedekah umat Islam di Malaysia.
Setelah terbinanya masjid itu, kelas tahfiz dimulakan sejak 2009. Kini pelajarnya sudah mencecah 35 orang. Tetapi mereka tiada asrama sempurna dan tiada kelas untuk belajar. Kelas dan tempat tidur mereka, di dalam masjid itulah.
Kadang-kadang pelajar ini terganggu dengan aktiviti masjid dan kadang-kadang juga jemaah masjid pula 'tak tahan' dengan ragam mereka. Ia dilihat kurang sihat untuk pembelajaran anak-anak tahfiz ini.
Di Kemboja, pihak kerajaan tidak memperuntukkan wang untuk membina masjid, surau mahupun sekolah agama. Rata-rata masyarakat Islam di negara ini hidup dalam keadaan miskin. Pembinaan masjid dan surau, lebih 100 buah yang terbina, adalah sumbangan orang Islam dari luar Kemboja khasnya daripada Malaysia.
Atas kesedaran itulah, maka Ustaz Musa berusaha untuk melahirkan pendakwah daripada anak-anak Kemboja sendiri bagi membimbing genarasi Melayu Kemboja pada masa depan.
Kata, Ustaz Musa, pembelajaran mereka tidak ketahuanhala dalam keadaan yang tidak terurus. Tetapi semangat tinggi mereka untuk belajar dan menebus maruah umat, kelas tahfiz dan ta'alim ini terus bertahan.
"Di masjid kami tiada ceramah agama. Tiada kuliah agama macam di Malaysia. Tiada sambutan Maulidur Rasul atau Badar Kubra. Yang kami tahu, solat lima waktu dan puasa.
"Ustaz-ustaz tinggal agak jauh. Kami tak boleh bayar mereka kerana kami miskin. Sebab itu tak ada kelas agama atau ceramah agama. Kg. Khosutin adalah sebuah pulau di tengah-tengah Sungai Mekong," ujar beliau.
Ustaz Musa yan kini berada di Kuala Lumpur memberitahu, beliau datang untuk mendapatkan sumbangan bagi membiayai juadah berbuka puasa di Kemboja. (Gambar: Sebahagian pelajar tahfiz yang menginap di Masjid Nurul Ihsan, Kg. Khosutin, Kampong Cham, Kemboja).
"Sedekah umat Islam di sini amat bermakna. Kami di sana hanya makan nasi putih bila berbuka puasa. Susah nak jumpa lauk, ayam atau daging. Kemiskinan menjadikan hidup kami daif dan melarat," katanya kepada Harakah.
Ustaz Musa antara yang cukup dikenali di Malaysia, atas kerja-kerjanya memungut sumbangan umat Islam bagi menjayakan misi dakwah di Kemboja. Di tangan beliau, tidak kurang dari 10 buah masjid berjaya dibina.
Kini beliau mahu, asrama tahfiz dua tingkat ini menjadi kenyataan. Kos pembinaannya dianggarkan RM260 ribu. Kerja-kerja pembinaan tapak sudah dimulakan bulan lalu atas inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Peduli Kasih yang diusahakan oleh PAS Kawasan Batu.
Peduli Kasih telah dilancarkan oleh bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Ustaz Ahmad Awang di Markas Tarbiyah PAS Pusat. Ustaz Musa turut berucap sewaktu pelancaran.
Kira-kira RM10,000 telah disalurkan kepada Ustaz Musa untuk pembinaan tapak. Asrama ini dibina bersebelahan dengan Masjid Nurul Iman. Ia bakal menempatkan pejabat pentadbiran, perpustakaan, kelas dan asrama pelajar serta guru dan bilik tamu.
Bersempena Ramadan yang berkat, Ustaz Musa sangat mengalu-ngalukan sumbangan umat Islam Malaysia bagi menjayakannya. Sesiapa yang berminat boleh hubungi Dato' Suhaimi Abdul Rahman (019-3648805) atau masukkan ke akaun CIMB Islamik 1219-0001028-10-7 atas nama Peduli Kasih. - Oleh DATO' ISMAIL YAHYA


2 ulasan:
Alangkah mulianya hati Melayu Malaysia apabila melihat saudara seagamanya menderita dan sanggup menghulurkan bantuan berupa tenaga dan wang ringgit demi membangunkan Islam di Kemboja. Tapi yang amat menyedihkan disini apabila mengenangkan saki baki pelarian Kemboja Islam yang telah diterima dan bermastautin di negara ini. Sebahagian besar mereka telah amat berjaya menaikkan taraf ekonomi mereka dengan berniaga kain dan sebagainya. Apakah sumbangan mereka pula kepada kaum dan saudara mereka di sana? Dari pemerhatian, mereka di sini kebanyakkannya seperti 'enau dalam belukar' atau 'kacang lupakan kulit' terhadap sesama saudara mereka di Kemboja. Malah taraf ekonomi mereka di sini jauh lebih tinggi melampaui penduduk tempatan, malah kebanyakan penduduk tempatan di sini berkerja dan menjadi kuli untuk mereka ini yang telah bergelar towkeh. Mahukah mereka ini membantu saudara Islam mereka di sana?
assalamualaikum, saya sangat berterima kasih kepada seluruh umat islam malaysia yang telah banyak mmbntu umat islam kemboja,tapi apa pun satu perkara saya nak jelaskan, ustaz musa dia bukan mufti dan bukan juga timbalan mufti, yang saya tahu dia hanya seorang ustaz yang tinggal di pulau kohsutin,dia hanya pernah belajar agama kalau tak silap saya mengajar pun belum lagi, macam mana boleh jadi ustaz? bukan pula ustaz malah jadi mufti?
Catat Ulasan