KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 05, 2011

Oktober atau Disember: Beranikah Najib istihar pilihan raya awal?


Najib Tun Razak berada dalam dilemma?

TIADA siapa boleh menolak bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan diadakan secara mengejut. Ini terpulang kepada gerak hati Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, jika beliau merasakan sesuai mencadangkan pembubaran Parlimen bagi diadakan pilihan raya.

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin juga sudah acapkali berkata di depan Ahli-ahli Parlimen BN dan ketua-ketua Umno bahagian yang ditemuinya secara berperingkat-peringkat bahawa "anggaplah PRU 13" sudah dekat.

Namun, ramai yang percaya, Najib dan Muhyiddin tahu bahawa PRU 13 tidak mungkin diadakan awal, iaitu secara mengejut kerana Umno-BN sendiri belum cukup bersedia dan belum cukup keyakinan dapat sokongan dari rakyat.

Yang lebih penting, Najib dan Muyiddin sendiri cukup risau dengan prestasi Umno-BN. Jika sekarang mereka mempunyai 137 kerusi Parlimen, Najib dan Muhyiddin tahu kali ini Umno-BN hanya mampu memperolehi 120 kerusi sahaja.

Untuk menubuhkan kerajaan, Umno-BN pelru memenangi 112 dari 222 kerusi dan 120 ini adalah kekuatan sebenar Umno-BN sekarang, jika dikira atas kertas. Inilah yang merisaukan Najib dan Muhyiddin. Dari jumlah itu, macam-macam boleh jadi kerana tidak mustahil Umno-BN akan gagal menubuhkan kerajaan kali ini, jika keputusan PRU 12, Mac 2008 diambil kira.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini belum bersedia atau dengan lain perkataan belum mendapat signal dari kerajaan untuk membuat persiapan pilihan raya mengejut. Jika mereka sudah mendapat signal, mereka tentunya tidak sibuk-sibuk bercakap soal biometrik. Mahu memulakan program biometrik, bukan sesuatu yang mudah.

Lagipun, jika betul-betul SPR mahu menggunakan biometrik, tentulah ia perlu membuat pesanan kepada pembekal dan bolehkah pembekal membekalkan alatan-alatan ini dalam masa terdesak seperti sekarang, untuk persiapan mengadakan pilihan raya mengejut?

Ramai yang merasakan, cerita mahu menggunakan biometrik ini adalah alasan untuk melambatkan pilihan raya. Jika kelulusan menggunakan biometrik sudah diluluskan, bererti SPR perlu membuat persiapan rapi ke arah penggunaannya. Mustahil dalam sebulan dua, ketika Umno sendiri mahu mengadakan perhimpunan agungnya dalam bulan November, PRU 13 mahu diumumkan!

Satu perkara yang perlu diketahui, Najib dan Muhyiddin sebenarnya cukup hampa dengan sokongan kaum Cina terhadap BN. Tiap kali acara turun padang yang mereka anjurkan, tidak mendapat sokongan. Walaupun ada, tetapi tidak mencukupi untuk mereka merasakan pengundi Cina sudah kembali menyokong BN.

Pengumuman perlantikan G. Palanivel, Presiden MIC sebagai menteri penuh di Perhimpunan Agung MIC juga dibuat Najib sebab mahu menarik sokongan kaum India kepada MIC-BN. Hakikatnya, pengundi India bukan tidak menyokong MIC-BN kerana jawatan menteri penuh seorang atau dua orang, tetapi kerana mereka rasakan nasib kaum India lebih terbela di bawah Pakatan Rakyat.

Mustahil Najib tidak tahu bahawa Palanivel tidak menunjukkan sikap yang baik terhadap keputusan pucuk pimpinan BN ketika namanya tidak dicalonkan semula bertanding di Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor tidak lama dahulu.

Di hari pengumuman calon, Palanivel tidak menghadirkan diri kerana membantah BN memilih Kamalanathan. Adakah ini satu tindakan bijak? Tetapi demi mencari sokongan dari kaum India, Najib terpaksa mengorbankan perasaan pimpinan komponen lain dengan melantik Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

MIC kini, mereka mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri. Selain Palanivel, Dr. S. Subramaniam adalah Menteri Sumber Manusia dan dua timbalan menteri itu ialah Saravanan (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar) dan Devamany (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Kepada pengundi Cina, Najib dan Muhyiddin tahu bahawa MCA dan Gerakan nyata ditolak oleh pegundi Cina. Najib dan Muhyiddin sudah hampir putus asa dengan prestasi MCA dan Gerakan setakat ini tetapi BN tidak mempunyai banyak pilihan, melainkan melaungkan slogan 1Malaysia secara berterusan bagi memberi keyakinan baru kepada orang-orang Cina.

Dari cerita seorang kenalan, orang Cina tidak marah apa-apa kepada BN tetapi mereka merasakan mereka sudah lama menjadi penyokong BN dan kali ini mereka mahu menukar sokongan. Mereka mahu mencuba sesuatu yang baru dan mereka yakin, dengan membuat perubahan, nasib orang-orang Cina akan lebih baik.

Cerita-cerita ini yang menakutkan BN dan menyebabkan Najib belum mempunyai cukup keberanian untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Jika Najib sudah yakin bahawa pengundi Cina sudah kembali menyokong BN, mustahil Najib mahu menangguhkan tarikh pembubaran Parlimen.

Era kepimpinan Najib ini mungkin boleh menyebabkan orang-orang Melayu teruja dengan cerita-cerita kehebatan Allahyarham Tun Razak Hussein tetapi untuk menarik sokongan kaum Cina dan orang-orang muda, Najib seperti buntu dibuatnya.

Program belia dan usaha mendekati orang muda nampaknya masih belum menampakkan hasil tetapi Najib dan Muhyiddin mahu terus dilihat sebagai dua orang pemimpin yang sedia bertemu dengan golongan pengundi muda ini.

Jadi, cerita penggunaan biometrik sebenarnya akan mampu menjadikan PRU 13 lewat dan tidak boleh diadakan segera. Ketika PAS menuntut untuk diadakan dakwat celup, SPR nampaknya beria-ia sangat mahu mencadangkan biometrik.

Padahal, menggunakan dakwat adalah lebih mudah dan murah berbanding dengan penggunaan biometrik yang mahal dan mengambil masa untuk melaksanakan – tetapi jelas SPR mahu bertahan dengan keputusannya itu bagi menyenangi hati Perdana Menteri.

Hari ini, Pengerusi SPR dan timbalannya sibuk dengan macam-macam aktiviti termasuk menghadiri majlis-majlis wacana bagi memberi penerangan dan penjelasan. Kadang-kadang kesibukan mereka berdua ini mengalahkan kesibukan Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Mazlan yang dilihat terpaksa memainkan peranan secara lebih serius mempertahankan Felda.

Apa pun, tarikh pilihan raya sebenarnya masih terletak di tangan Najib. Jika beliau yakin BN boleh menang walaupun tidak lebih baik dari keputusan PRU 12 yang lalu, Najib dan Muhyiddin mungkin akan bersetuju supaya pilihan raya umum diadakan segera, hujung tahun ini.

Pakatan Rakyat kena bersedia. Tidak ada yang mustahil dalam istilah politik. Mereka boleh buat ketika mereka merasakan mereka kuat dan mereka boleh menangguhkan ketika mereka merasakan mereka masih lemah. Ia berbeza dengan Indonesia, Pemilu diadakan apabila tempoh penggal pemerintahan tamat dan tarikhnya sedia diketahui umum.

Di Malaysia, ia adalah kepunyaan "mutlak" Perdana Menteri dan Presiden parti pemerintah, yang mungkin tidak diamalkan di negara-negara lain. 

Oleh SAFAR JUMAAT - penulis yang rapat dengan serambi kuasa PWTC.

Tiada ulasan: