KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 21, 2013

Terkini: Najib Tun Razak akan umum bubar Parlimen Jumaat atau Isnin ini


Beberapa orang ahli parlimen Pakatan Rakyat menghubungi Bilik Berita Harakah memberitahu, Perdana Menteri Najib Tun Razak akan umumkan pembubaran Parlimen paling cepat esok, 22 Februari bersamaan hari Jumaat. Ini sama seperti SMS yang disebarkan sahabat saya, Dato' Tamrin Tun Ghafar sebulan yang lalu. SMS berdasarkan sumber daripada bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Sulaiman Mohamed.

Itu bukan soalnya. Ahli parlimen berkenaan juga memberitahu, jika bukan esok, Jumaat, kemungkinan besar pada hari Isnin, 25 Februari 2013 ini. Apakah yang membuatkan Najib memilih tarikh-tarikh ini, hanya beliau sahaja yag tahu. 

Tetapi, pada hari Selasa, 26 Februari, Najib akan mengumumkan Manifesto BN kepada rakyat. Kata MP itu, maklumat ini diberitahu sendiri oleh seorang menteri kabinet sebentar tadi kepada beliau. Apa macam? Are you ready for PRU13? Are you ready to Putrajaya?

Penyanyi tersohor Aishah Ariffin terkena "simptom infection" bukan demam denggi!


Pada mulanya saya diberitahu melalui SMS oleh Pengurus Abby Abadi, Mohamad Noor daripada Terengganu. Penyanyi tersohor yang kini aktif bersama PAS, Wan Aishah Wan Ariffin diserang demam denggi. Saya tidak mengesahkan lebih lanjut daripada Mohamad Noor tentang perkara itu. "Demam denggi?" bisik saya. Rasa terkejut juga macam ada yang tak kena.

Seperti biasa, ada hal-hal tertentu saya akan menghubungi Aishah, begitu juga sebaliknya termasuk kelam-kabutnya Aishah apabila mendapat SMS daripada seseorang mengatakan Leman Raja Lawak telah kembali ke rahmatullah hujung tahun lalu. Aishah bertanya saya, kebenaran cerita itu. Bergegas pula saya mencari kepastian ketika itu. Call handphone Leman, tak berjawab telefon. Saya terus hubungi MP Padang Terap, Nasir Zakaria... rupa-rupanya ada salah faham tentang satui posting dalam facebook Leman.

Tetapi Rabu lalu, terlintas untuk saya bertanya khabar darihal demam denggi yang didakwa Mohamad Noor sedang menyerang Aishah. Kebetulan saya ingin menjemput penyanyi bersuara emas itu untuk mengisi Karnival Budaya anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Hulu Bernam dalam Parlimen Hulu Selangor pada 17 Mac ini. Saya mahu Aishah menjadi moderator (standing comedy) untuk acara pertandingan memasak makan tradisional Melayu itu selama satu jam. 

Aishah menafikan beliau diserang demam denggi tetapi katanya, terkena "simptom infection" pada buah pinggang dan hempedu seperti virus kencing tikus. Keadaannya kembali pulih dan jadual kempennya untuk menumbangkan Umno-BN ligat seperti biasa. Alhamdulilah... semoga diberikan kemudahan oleh Allah SWT untuk berjuang PRU13 kali ini.

Dato' Ambiga belasah Umno-BN & SPR di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melawar 24 Feb ini


PAS Kawasan Batu meneruskan Marathon Ceramah Pakatan Ahad ini, 24 Februari 2013 jam 9:30 malam dengan menampilkan tokoh kontroversi, Pengerusi Bersih, Dato' S Ambiga bagi menjawab segala tohmahan liar Kerajaan Umno-BN khususnya mengenai perjalanan PRU13 yang cuba dikaitkan dengan kononnya Pakatan akan mencetuskan "huru-hara" jika ditakdirkan kalah.

Selain Ambiga, PAS turut mengundang Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Mariah Mahmud (PAS) dan tokoh Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak (DHPP) Ricard Wong bagi mengisi ceramah bertajuk "Huru-Hara PRU13" ini. Mariah juga ialah Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat. Begitu juga Ricard salah seorang Exco DHPP Pusat. Orang ramai dijemput hadir dan mengkongsikan baner ceramah ini dalam facebook, twitter dan blog masing-masing untuk sebarang umum.

Sebelum ini, Marathon Ceramah Pakatan telah dimulakan dengan program 17 Feb (Deepak lanyak Najib - Hanipa Maidin; Dr Tan Seng Giaw; Fariz Musa; Sayuti Omar); 13 Feb (Seret Dalang Projek IC - Dr Hatta Ramli; Manikavasagam; Dato' Ramli Buyung; Hishamuddin Rais, Mat Swandi Awi); 3 Feb (Tolak BN Listen Correct - Dato' Raja Bahrin Shah; Noreyn Aziz; Dato' Ismail Hamzah); 27 Jan (Listen! Listen! Listen! - Dato' Husam Musa & Dinsman). 

Rabu, Februari 20, 2013

Mohamad Sabu akan beraksi di Parlimen Pendang untuk meluncur ke Putrajaya?


Benarkah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan bertarung di Parlimen Pendang, Kedah yang kini diwakili Dato' Dr Hayati Osman? Saya tidak mengiyakannya tetapi amat berharap tokoh karismatik PAS ini mendapat kerusi parlimen yang selamat untuk membawa beliau ke Putrajaya. Mungkin ada yang tak setuju tapi parlimen Pendang adalah kawasan terbaik untuk seorang Timbalan Presiden PAS seperti Mohamad Sabu.

Khabarnya PAS Pendang juga sudah memberi "lampu hijau" kepada Abang Mad untuk beradu pengaruh di sini. Selepas kematian Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, kerusi ini terus disandang oleh Dr Hayati sehingga kini. Tetapi dalam PRK selepas kematian Ustaz Fadzil, Dr Hayati kalah tipis di kerusi ini sehinggalah beliau bertarung sekali lagi dalam PRU berikutnya, beliau menang. 

Dr Hayati dikatakan akan berpindah ke kerusi Dun Tokai bagi memberi laluan kepada Abang Mad. Dun ini sekarang diwakili Dato' Taulan Rasul, Exco Kerajaan Kedah yang juga Pemangku Yang DiPertua PAS Pendang. Adakah Abang Mad berjaya dalam misinya di Pendang, sama-sama kita ikuti wabak ini sehinggalah pada hari penamaan calon nanti.
  

Berani-berani perkenal calon PAS Parlimen Tampin lawan Menteri JKR BN


Ucapan pertama saya pada ceramah "Dedahkan Dalang Projek IC" di Markas Tarbiah PAS, Tampin Bandar pada 16 Februari lalu ialah mengajak hadirin menyokong dan membantu calon PAS Parlimen Tampin, Sdra Abdul Razak (gambar atas tengah) dalam PRU13 tidak lama lagi. Respons hadirin riang dan memberangsangkan. "Mood" rakyat kelihatan di celah-celah muka yang hadir. Mereka sudah bosan dengan Umno dan BN yang telah memerintah 56 tahun saat ini.

Ceramah dua hala saya, amat meyakinkan. Hadirin memberi respons baik setiap kali saya bertanya. Mereka akan menjerit menjawabnya. Mereka memang mahu ceramah yang pedas. Mereka tidak mahu "air suam" tapi "cili api hidup" yang dikunyah mentah. Saya berceramah akhir, selepas pemimpin pelajar Safwan Anang membentangkan hujahnya.Sebelum itu veteran PAS, Ali Maidin membedah "Projek IC" secara berfakta. 
  
Abdul Razak orang pertama ke rostrum memulakan majlis, dengan ucapannya sebagai tuan rumah. Dia seorang ahli perniagaan. Isterinya kakitangan kerajaan, seorang doktor gigi di hospital kerajaan dalam Parlimen Tampin. Minatnya dalam politik PAS, telah menampilkan beliau sebagai pemimpin utama di Tampin. Beliau adalah Naib Yang DiPertua PAS dan sudah dua kali bertanding PRU di parlimen ini.

Usai ceramah, kami berborak-borak sambil makan kudapan tengah malam, pulut panggang dan teh tarik di rumah Pak Pian, AJK PAS Tampin yang gagah dan kental usahanya. Tenaga muda juga ramai, selain bapak-bapak yang berpengalaman. Harapan PAS menang makin cerah dengan perkembangan hari ini, kata Pak Mahbob, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan mencelah.

"Kat tempat kita ceramah ini, Pakatan menang. Tapi DAP laaa. Ini Dun Repah," celah Iskandar, pimpinan Pemuda PAS yang menjadi moderator ceramah malam itu.

"Harapan PAS kat Dun Gemas dan Gemencheh, nampak ok. Kerja kuat kita kali ini, boleh tumbangkan BN. Mood rakyat pun lain macam. Tak serupa dulu (BN)...," balas Abdul Razak. 

Saya bersama rakan, Khairunas Moin (jurufoto) menaiki kereta Ali bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, pelbagai topik dikoyak satu persatu. Ada yang pahit, ada yang cuak dan tidak kurang juga yang manis-manis. Kebetulan cuaca pada malam itu sangat redup, persembahan ceramah kami lancar dan berinteraksi dengan hadirin, ada Melayu, Cina dan India. Terima kasih Pak Pian, Iskandar, Yazid dan rakan-rakan yang aktif di Tampin. 

Ceramah Ricard Wong membuatkan orang "terngaga" hairan dan kagum


Telah lama saya tidak mendengar ceramah oleh Sdra Ricard Wong (gambar atas). Dia seorang yang sempoi, Cina Kelantan yang petah berbahasa Melayu. Petah juga mengutarakan loghat Kelantan dalam selitan ceramahnya yang bersahaja. Tak ramai kaum Tionghua yang boleh berceramah begitu. Malah tak ramai juga orang Melayu yang boleh berceramah dan mengikat audien untuk terus mentelaah isi ceramahnya yang menggelikan hati dan menerujakan.

"Tarmizi ya. Kita pernah jumpa dulu...," kata Ricard kepada saya sebaik beliau masuk ke pentas ceramah. Ricard ialah Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak. Dia juga adalah Exco DHPP Pusat. 

Kali ini ceramah di kubu kuat Umno dalam Dun Kg Gajah, Pasir Salak, Perak. Ceramah Ricard dan saya ini, adalah ceramah kali ke tiga di Kg Telok Sareh. Penggunakan hujah, hadis dan ayat al-Quran yang dibaca Ricard tidak melelong. Tepat bagaikan beliau seorang Islam lagaknya. Sangat menerujakan saya malam itu. Menggeleng juga kepala seorang lagi penceramah handalan, Ustaz Shahril Long mendengarnya. 

"Agaknya inilah kesan tarbiah PAS, selama dia duduk berjuang, bermesyuarat dan bergelemak dengan parti Islam terbesar ini," usik hati kecil saya.

Kehadiran paling ramai kata penganjur pada malam itu. Tentulah mereka datang untuk melihat daripada dekat wajah ayu Abby Abadi. Pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Elite suatu ketika dulu. Aby memang ayu malam itu. Dia sampai awal dan duduk dikerusi utama sambil membelek-belek handpon. Wajahnya ceria. Senyumnya indah.  

Penganjur meminta saya tampilkan Abby di Kg Telok Sareh. Saya hubungi dan bawa "artis PAS" itu ke sini. Kaum hawa antara yang ramai keluar rumah malam itu, sebab nak tengok Abby. Jika tidak, "haram" mereka nak ke tempat ceramah PAS. Abby menjadi umpan yang lazat, untuk ajak kaum ibu mendengar ceramah PAS.

Namun, ceramah Ricard yang bersahaja itu betul-betul memikat hati saya. Ricard menyumbangkan dua lagu yang diubah liriknya, menjadikan lagu itu bertambah pedas rasanya. Satu lagu yang didendangkan oleh Jamal Abdillah dan satu lagi oleh Sallem Iklim. Sesuai dan kena pada iramanya.

Usai majlis, saya mengajaknya utnuk berceramah di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar pada Ahad ini, 24 Februari 2013 jam 9.30 malam. Dia bersetuju. Saya hubungi tokoh hebat, agar ramai orang dapat mendengar pidato Ricard.

Pengerusi Bersih, Dato' S Ambiga memberitahu, setuju atas jemputan saya untuk turun berceramah. Begitu juga Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Mariah Mahmud. Kedua-duanya perempuan. Saya gandingkan dengan Ricard untuk memberi impak lebih berkesan.

BN laksana dan canang 'Teori Huru-Hara' bagi semua situasi hadapi perang PRU13



Pasukan Umno-BN dipercayai sedang melaksanakan "Teori Huru-Hara" bagi semua situasi yang melibatkan komponen parti pemerintah selama 56 tahun itu untuk memulihkan pengaruh yang hilang, tegas AJK PAS Pusat, Dato' Dr Mujahid Yusoff. 

Katanya, kecenderungan Dato' Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan serta pemimpin Umno-BN yang lain secara berulang kali menyebut soal "huru-hara" akan tercetus sekiranya seolah-olah mereka inginkan keadaan tersebut berlaku bagi menyelamatkan BN.

"Kini cerita untuk menakutkan rakyat, terus diputar. Ugut, bunuh, tindakan samseng, pukul, halau, maki hamun makin menjadi-jadi. Inilah 'Teori Huru-Hara' yang sedang dipacu Umno-BN," tegasnya. Dr Mujahid berkata, apabila penyanyi Korea, Park-Jae Sang (Psy) dikatakan menerima ancaman bunuh sebagai "alasan" kukuh penyanyi K-Pop itu tidak naik ke pentas bersama-sama Najib dan pemimpin BN untuk menggaulkan "yee-sang" menguatkan lagi teori yang sedang dipopularkan ini.

Tegasnya kepada Harakah, Umno-BN juga seolah-olah menggambarkan kepada rakyat, bahawa pada PRU13 ini akan tercetus keadaan "huru hara" akibat kononnya Pakatan Rakyat tidak boleh terima kekalahan yang diperolehi mereka dalam PRU itu. Dr Mujahid juga menasihati Najib agar tidak lagi menimbulkan "Teori Huru -Hara" kerana apa yang diingini rakyat agar transisi politik berlaku secara aman melalui satu proses pilihan raya yang bersih.

"Kita tidak mahu teori seperti ini terus dimainkan kerana ini hanya akan menyusahkan pemindahan kuasa yang Pakatan sangat yakin, rakyat sudah sedar dan inginkan proses peralihan kuasa berlaku secara aman," ujarnya. Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar kesal dengan sikap Kerajaan Umno-BN yang menyembunyikan sumber penaja bagi bayaran melebihi RM 2 juta kepada penyanyi K-Pop Korea Selatan itu.

Katanya, sekalipun ia tajaan, bukan duit kerajaan, tetapi melayan artis luar negara dengan bayaran yang lumayan RM 2 juta hanya untuk lapan minit persembahan, cukup memualkan rakyat Malaysia.  "Ia tetap satu pembaziran sedangkan jumlah sebegitu besar boleh digunakan untuk perkara kebajikan yang jauh lebih bermanfaat. Rakyat nak minta bantuan kat Baitulmal, JKM pun susah, tetapi pembaziran ini...," sinis beliau.

Akibatnya, kata beliau, rakyat juga yang akan menanggung bebanan kos tersebut kerana penaja tidak semurah itu untuk melabur jika tiada projek yang diperolehi daripada Kerajaan Umno-BN.

Selasa, Februari 19, 2013

Abby Abadi seru penduduk Kg Telok Sareh tolak BN, undi Pakatan Rakyat PRU13 kali ini


Pelakon terkenal dan bekas penyanyi kumpulan Elite, Abby Abadi menyeruh penduduk Kg Telok Sareh dalam Dun Kg Gajah melakukan perubahan pada PRU13 kali ini dengan menjulang Pakatan Rakyat dan merehatkan BN. Beliau dijemput berceramah di pentas PAS pada 9 Februari lalu di Kg Telok Sareh menyifatkan peluang rakyat untuk mendapatkan kerajaan baru yang lebih mesra rakyat, kini terbentang luas.

Abby yakin, kebangkitan rakyat kini menyeluruh bermula daripada bandar sehingga ke kampung-kampung yang jauh kerana informasi telah dibawa oleh anak-anak mereka di bandar secara berkesan. Katanya kepada lebih 300 hadirin, jika Umno-BN kalah dalam PRU13 nanti, yang menang sudah pastilah PAS terdiri daripada orang melayu dan Islam juga. 

Turut berceramah Naib DHPP Perak, Ricard Wong; pendakwah tegar, Ustaz Shahril Long dan calon PAS bagi Dun Kg Gajah, Drs Ishak Shaari serta Editor Harakah, Dato' Tarmizi Mohd Jam. Ini adalah kali ketiga ceramah diadakan di Kg Telok Sareh berbanding sebelum ini ia tidak dapat ditembusi PAS dan Pakatan Rakyat.

Sabtu, Februari 16, 2013

Imej Najib sekupang tiga duit: PSY "belasah" BN atau BN Penang "pekena" Najib?


Mampukah Malaysia melalui peralihan kuasa yang aman dengan Pakatan Rakyat menggantikan BN sebagai Kerajaan Malaysia yang baru di Putrajaya pada PRU13? Demikian persoalan yang dilontarkan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berhubung pengiraan detik 56 hari menuju PRU13. Beliau berkata, sekiranya dapat dicapai dalam PRU13, maka ia akan mengubah aib Perdana Menteri di dalam kemelut Psy dan Gangnam Style yang menjadi rahmat kepada negara.

Ini, ujarnya, membolehkan Malaysia membuka halaman baru untuk mencapai "Merdeka Kedua" apabila rakyat Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan bukannya bersaing sesama sendiri tetapi dengan negara-negara lain dalam dunia. Kata Kit Siang, kemunculan Psy dan Gangnam Style pada pesta Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang sepatutnya menjadi hiburan dan rampasan kuasa politik di dalam sejarah negara sehingga Najib, Umno dan BN mendapat majoriti dua pertiga parlimen tetapi telah bertukar menjadi kemusnahan besar politik dan perhubungan awam.

Tambahnya, tiga aib besar yang menimpa Najib dan Umno-BN dan yang lebih buruk lagi turut memalukan negara, iaitu:

(1) Video satu minit "3 Ya untuk Psy dan 3 Tidak untuk BN" yang pantas tersebar selepas kemeriahan di Sekolah Han Chiang ditonton hampir setengah juta di You Tube daripada banyak laman sejak Isnin.

(2) Video lima minit "Psy tiada, Najib-BN merah muka ketika acara menggaul yee-sang", video kedua tentang kemunculan Psy di pesta Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang yang pantas tersebar, memaparkan Najib, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menteri kabinet menunggu bintang Korea itu selama lima minit untuk menyertai mereka dan tersipu-sipu meninggalkan pentas tanpa menggaul "yee-sang" apabila Psy menolak. Ini merupakan kejadian yang merosakkan maruah negara dan memalukan semua rakyat Malaysia tidak kira Pakatan atau BN – yang mana Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri terpaksa mengorbankan maruah negara demi kehangatan K-pop Korea.

(3) Psy menolak untuk mempersembahkan "Gangnam 1Malaysia Style". Najib telah mengumumkan di atas pentas selepas kerosakan "3 Ya untuk Psy dan 3 Tidak untuk BN" berkenaan "persembahan menarik" Psy, mengisytiharkan "(Psy) is ready for us and he will show you the proper Gangnam Style… and I am told he has a surprise for you – the Gangnam 1Malaysia Style" tetapi Psy tidak mempersembahkan kejutan "Gangnam 1Malaysia Style" dan ini menghancurkan harapan Najib dan peluang pemimpin BN seperti Menteri Pelancongan, Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen untuk menari "Gangnam 1Malaysia Style" dengan bintang pop Korea Selatan itu di Pulau Pinang.

Lagu Oppa Gangnam Style 'ludah' Najib, akibat teruja dengan PSY boleh tolong BN


Naib Presiden KeADILan, Tian Chua menempelak tindakan Perdana Menteri yang jelas berfikiran cetek dengan cuba menumpang populariti penyanyi popular Korea Selatan, Park Jae-Sang atau Psy yang popular dengan lagu "Oppa Gangnam Style". 

"Najib Razak terserlah sebagai pemimpin akal pendek. Dia barangkali tidak ingin ambil tahu pun mesej dalam lagu itu yang sebenarnya mengejek (ludah) dirinya dan Umno-BN sendiri. Bagaimana Najib dan isterinya, Rosmah yang semua tahu hidup mewah dan boros  boleh meraikan lagu yang sebenarnya mengkritik gaya hidup mereka?" tempelak Tian.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, kegilaan orang ramai terhadap lagu itu sebenarnya turut didorong fenomena rakyat menentang gejala luasnya jurang kaya dan miskin. Tambahnya, taktik "mahal" Najib itu dengan kos yang dilaporkan mencecah RM2 juta akhirnya hangus begitu sahaja kerana gagal menarik sokongan rakyat kepada Umno-BN. 

"Mereka datang kerana mahu melihat persembahan Psy. Selesai Psy menari kuda itu ramai balik meninggalkan program," katanya mengulas kecenderungan pengunjung di rumah terbuka Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang. Difahamkan, "Oppa Gangnam Style" bermaksud "Abang Gaya Gangnam" dengan "Gangnam Style" merujuk gaya hidup mewah golongan yang mendiami wilayah kelas elit di Tenggara Seoul.

Mari kita bantu Nur Farahin Fateen ringankan bebanan pengajian di Universiti Tanta, Mesir

Seorang ibu, Rosiah Ismail dari Kulim, Kedah merayu sum-bangan pembaca Harakah bagi menampung keperluan ke-wangan pengajian anaknya, Nur Farahin Fateen Ahmad, 20, yang kini menuntut di Fakulti Pergigian, Universiti Tanta, Mesir. Menurut Rosiah, beliau telah bersusah payah mendapatkan pembiayai pelajaran anaknya beliau daripada pelbagai pihak tetapi hasilnya mendukacitakan.

Katanya, anaknya sangat-sangat memerlukan sumbangan kewangan itu bagi menampung kos sara hidup termasuk sewa rumah, yuran, makan minum dan buku pengajian yang kese-muanya berjumlah hampir RM11,000 setahun. Rayuan beliau kepada Yayasan Pelajaran Mara, Yayasan Belia 1Malaysia dan Yayasan Islam Kedah serta Tan Sri Muhyidin Yassin, Dato' Seri Mohd Fuad Zarkarshi dan Dato' Aziz Sheikh Fadzir masing-masing gagal mendapat jawapan.

"Anak saya sudah lanjutkan pelajaran dua tahun di sana. Cemerlang dalam pelajaran, cuma tiga tahun saja lagi untuk menamatkan pengajian doktor. Kenapa kerajaan susah sangat nak bagi pinjaman?" keluhnya kepada Harakah baru-baru ini. Walaupun Nur Farahin memperoleh keputusan semua gred A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2010 tetapi tidak mendapat sebarang tajaan untuk melanjutkan pelajarannya.

Sehubungan itu, Rosiah merayu orang ramai yang sudi membayar zakat atau menderma dapat menghubungi beliau di talian 016-4080021 atau menyalurkan bantuan kepada nombor akaun CIMB Bank: 0208-0009497-52-2.

"Deepak Jaikishan Lanyak Najib" di Markas PAS Pusat Taman Melewar, Ahad 17 Feb ini


Ini adalah maraton ceramah PAS Kawasan Batu. Setelah beberapa siri ceramah diadakan pada minggu lepas, kini pada Ahad ini, 17 Februari 2013 bertempat di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar, sekali lagi ceramah pencerahan Pakatan Rakyat disajikan "Deepak Lanyak Najib". Menampilkan Peguam PAS, Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Kepong, YB Dr Tan Seng Giaw; Koordinator Jingga 13, Faris Musa; Penganalisa Politik, Sayuti Omar (MSO) dan Ishak Surin.

Menurut Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Dato' Tarmizi Mohd Jam, pihaknya telah menghubungi Deepak tetapi tiada respon. Beberapa SMS menjemput beliau hadir juga belum berbalas. Beliau berharap, Deepak akan muncul pada majlis ini bagi mendedahkan Akuan Sumpah ke-3 (SD3) yang diperkatakannya tentang ada "individu" yang diarah membunuh Altantunya oleh pegawai atasan Perdana Menteri. Orang ramai dijemput hadir dan share banner ceramah ini kepada blog, twitter dan facebook.

Transkripsi penuh Mesyuarat Huru-Hara terbongkar: "Mazlan buat kacau, ikut apa yang polis suruh!"


Berikut trankripsi rakaman video selama 14:22 saat Mesyuarat Perbincangan Menghalang Program "Jamuan Rakyat dan Penerangan" di Felda Sungai Tengi, malam 4 Februari lalu sehingga mencetuskan kekecohan. Rakan video ini boleh dilayari di  http: //www.youtube.com/ watch?v=NEwQ_ zaKPQw&feature=share. Ia telah dimuat naik ke Youtube sejak 7 Februari lalu dengan tajuk "Umno Dalang Felda Sungai Tengi".

SUARA 1: Tuan-tuan dan puan-puan datang ke Rancangan Felda Sungai Tengi. So... Saya tak dapat nak gambarkanlah berapa sayangnya saya kepada tuan-tuan yang sanggup datang ke rancangan saya untuk membantu masyarakat di rancangan kita ini. Saya rasa tuan-tuan dan puan-puan dah tahu sedikit sebanyak tujuan tuan-tuan datang ke rancangan ini. So untuk makluman saya ingin memberi gambaran sedikitlah. Pada Jumaat lepas ada lapan aduan laporan polis kita dah buat dekat balai polis Gedangsa ekoran daripada bantahan masyarakat di sinilah tidak setuju supaya majlis jamuan dan ceramah diadakan oleh Mazlan Aliman dan juga Syed Joned, bekas CEO Felda Plantation. So Mazlan Aliman Pengerusi Anak. 
Saudara sedia maklum Anak ini satu pertubuhan haram yang belum didaftarkan. So saya minta tuan-tuan dan puan-puan membantu sebab kita tidak cukup kakitangan. So kita minta bantuan daripada Perkasa, daripada MJFM, daripada Glokose dan banyak lagilah yang saya tidak sebutkan di sini. So kita tidak nak perkara seperti ini berlaku di negara kita. Buat macam-macam... fitnah dan andaian supaya memburuk-burukkan Felda. Jadi sampai masanya hingga ke peringkat atasan dia pergi ke Jengka dan pergi ke kawasan Perak... kawasan Terengganu pun dihalang masyarakat di sana. Bermakna orang tidak setuju dia masuk memberikan ceramah di rancangan dan kampung. Sampailah jadual dia sampai ke Rancangan Felda Sungai Tengi. So gerak kerja kita, kita hendak halang. Ada dua pintu masuk. 
Yang pertama menghala Bukit Tagar dekat dengan pintu gerbang dan satu lagi jalan masuk menghala Felda Soeharto. Kita minta kat situ dah tunggu. Kita tidak tahu pukul berapa dia sampai. Kalau dia dah sampai pun kita tahan dia, mungkin tuan-tuan dan puan-puan kenal dengan Mazlan Aliman kan? Kenal dak?

SUARA 2: Kenal...

SUARA 1: Gerak kerja kita, kita tahan di situ. Kalau dia terlepas juga masuk, sebagaimana yang pegawai polis cakap tadi, kita buat seolah-olah membantahlah. Kita buat huru hara. Tapi jangan bergaduh. Saya minta sangat lah jangan bergaduh.

MENYAMPUK: Kalau dah huru hara... (diiringi dengan ketawa ahli mesyuarat yang lain)!

SUARA 1: Kalau masuk-masuk buat huru hara... tengah ceramah tu kita buat bisinglah. Itu yang apa nama... pegawai polis daerah pesan kat saya tadi. Semasa berjumpa dengan saya pagi tadi. Supaya kita buat gangguan. Supaya batal... kita bising semuanya. Seolah kita hendak membatalkan program dia orang. Yelah dia cakap macam-macma kat kita. Takkan kita hendak tahan lagi. So dalam perkara ini, jadualnya pukul 9 sampai pukul 12 malam. Saya tanya polis tadi, sampai pukul 10 lebih tidak ada permohonan permit dibuat dengan polis. Maknanya dia tidak ada dapat permitlah. 
Tapi dia orang redah aje. Untuk makluman dia pun tidak buat permohonan dengan Pengurus untuk buat program tu. Tadi pun dah banyak aduan, banner sudah pun diruntuhkan. Biasalah. Nak buat macam manakan? Takkan saya nak duduk dekat situ, hendak halang satu-satu banner dia orang tegak lagi. Kita pun ada juga banner yang diruntuhkan mereka itu. Tapi saya minta malam ini kalau boleh jangan bergaduh apa lah. Sebenarnya tugas kita nak suruh halau mereka balik je. Itu je. Kita suruh halau balik. Ok lah. Kami tidak nak orang luar berceramah di rancangan kami. Cukuplah. Kami dah faham dah, tindak tanduk dia orang ni. So kalau dia dah balik, kita pun bolehlah beransur balik kan?

Suara ramai ahli mesyuarat...

SUARA 1: Ok itu serba ringkas daripada saya. Ada yang hendak tanya soalan?

SUARA 3: Tuan Pengerusi, sekiranya kita buat halangan terlepas, kalau boleh kita buat halangan tu semasa ceramah. Semasa jamuan kita tidak boleh ganggu sebab kita tidak tahu lagi kan?

SUARA 4: Orang tengah jamuan tidak elok diganggu. Biar dia makan...

SUARA 3: Bila dia ceramah dan kandungan ceramah itu yang dianggap mengganggu ketenteraman kita...

SUARA 5: Tuan Pengerusi, saya punya cadangan macam ini. Seandainya kita block terlepas, dia akan buat ceramah. Maka saya akan keluar ke depan dan saya akan berceramah.

RAMAI: (ketawa dan tepuk tangan sambil bersorak).

SUARA 5: Jika ditanya kenapa saya mengganggu, sebab saya pun tidak ada minta permit dan saya pun tidak buat permohonan polis (sambil ahli mesyuarat yang lain tepuk tangan dan ketawa). Dan saya akan turut berceramah. Apa kandungan ceramah saya? Apa saya cakap itu terpulang pada saya lah... (ahli mesuarat lain ketawa)

SUARA 1: Siapa nama saudara?

SUARA 5: Nama saya SUHAIMI BIN HAJI ADNAN.

SUARA 1: Encik Suhaimi sebgai leaderlah. Kita ramai backup kat belakang ni. Jangan bimbang. Jangan takut.

SUARA 5: Kalau takut tak datang (diiringi ketawa ahli mesyuarat yang lain sambil menepuk tangan dan bersorak).

SUARA 1: Semangat tu...

SUARA 5: Saya punya cadangan kita toksah bergaduh. Tapi seandainya dia terlepas... dia berceramah. Kita bagi dia mulakan majlis. Tapi saya pun akan keluarlah ke depan. Itu jelah. Dan saya minta kepada yang kenal muka saya, tidak kira apa saya bercakap, tentang ikan ke, tentang burung ke, menyampuk aje...

SUARA 1: Ikut sedap mulut lah...

SUARA 5: Haa... ikut sedap mulut lah...

SUARA 6: Minta maaf. Saya tolong Pok Nikki (ayat kurang jelas...). Saya nak tanya apa motif peneroka menolak kehadiran Anak yang diterajui Mazlan Aliman datang ke penempatan ini? Kita nak dapatkan kenyataan rasmi.

SUARA 1: Ok. Dia ginilah. Dia satu pertubuhan yang tidak didaftarkan. Jadi banyak benda-benda yang diperkatakan. Jadi ketua-ketua peneroka tidak bersetuju menerima. Itu sahaja. Saya tidak boleh sambung lagi. Sebab ketua-ketua peneroka dalam Mesyuarat JKKR tidak bersetuju. Ok?

SUARA 7: Bagi kita anak-anak peneroka di sini, dia masuk rumah kita, buat kacau, kita memang tidak setuju. Itu aje (diiringi tepukan ahli mesyuarat). Kalau dia datang hendak bersahabat. Itu tidak ada masalah. Datang buat kacau. Itu ini. Buat fitnah dan sebagainya. Kita anak peneroka mana tahan. Kita sudah duduk sini 30, 40 tahun menikmati faedah. Apa pasal dia nak buat kacau? Memang kita nak halang dia. Itu sahaja.

SUARA 8: Saya tambah sikit. Dulu masa keempat-empat rancangan keluar daripada Felda. Tidak ada sorang pun yang nak menjadi hero. Tapi 10 tahun lebih, bila sudah senang masa itu, tiba-tiba muncul orang seperti Mazlan Aliman ni, nak jadi hero. Bila dah senang ni dia nak jadi hero. Masa susah dulu sorang pun tak ada datang sini. Tanyalah peneroka-peneroka sini. Waktu dia orang susah, tanah digadaikan. Ada sesetengah tu terpaksa minta daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tapi bila dah senang macam ni, hari-hari mereka berceramah. Kalau batul-betul hendak berjuang pergilah tolong peneroka di Cahaya Baru ke... Ini menjadi keutamaan kita. Kita tidak mahu di Rancangan Felda ini dengan susunan yang cukup baik, penyatuan masyarakat, tiba-tiba ada dua tiga orang nak buat kacau. Jadi susah kita. Sebelum benda ini jadi melarat, kita halang mereka. Sekian terima kasih.

(Tepukan ahli mesyuarat)

SUARA 9: Assalamualaikum. Saya AZIZI MOHD DAUD. Apa yang kita menolak En Mazlan Aliman hadir ke Felda di Selangor memandangkan di negeri Johor... Mazlan Aliman asal Johor...negeri Johor pun menolak dia, apatah lagi Selangor. Bermakna apa yang dia cuba timbulkan adalah isu politik. Sebab bila dia berkecimpung dalam politik, dia mainkan pelbagai isu dalam Felda. Sebelum dia masuk dalam politik, kenapa tidak mengikuti untuk membina kerajaan? Di situ dah boleh bina kerajaan, bina Felda. Tapi bila dah berkecimpung dalam politik, baru dia mainkan pelbagai isu. Jika Johor menolak, Selangor pun menolak.

SUARA 1: Ok. Itu sahaja. Jika ada apa-apa masalah boleh jumpa dengan Encik Azhar. Terima kasih kepada tuan puan yang sudi datang ke Felda Sungai Tengi dan berkhidmat malam ini. Setakat inilah perjumpaan kita kali ini.

Selasa, Februari 05, 2013

Umno yang berjuang untuk Melayu mula cagar agama untuk tuba undi PRU13


Jika dahulu Umno sering menuduh PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik, sehingga ada cadangan supaya nama Islam pada PAS dibuangkan, kini dilihat terpaksa mengikut rentak di dalam memperjuangkan agama. 

Menurut AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, PAS memang wajib memperjuangkan Islam kerana tertera dengan jelas di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3 "Dasar PAS ialah Islam". Tetapi, katanya, apabila Umno bercakap tentang Islam, ianya agak janggal seperti pepatah "cakap tidak serupa bikin".
  
"Oleh kerana Umno wajib mendapat sokongan Melayu, maka pemimpin Umno terpaksa berlakon untuk menunjukkan mereka pembela agama. Contohnya, dalam isu kalimah Allah, Umno berlagak mempertahankan nama Allah, tapi hukum Allah Umno lawan," tegas beliau kepada Harakah.

Katanya, kempen Umno kepada orang Melayu, mereka seolah-olah bimbang  gejala murtad berlaku, tetapi yang peliknya suara Umno tidak kedengaran ketika Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin, Lina Joy meninggalkan agama Islam. 

Ustaz Idris berkata, Umno membisu seribu bahasa dan mereka mendakwa, mereka mempertahan nama Allah, tetapi ulamak yang mempertahankan ajaran Allah, mereka hendak tangkap. Ini yang terjadi kepada Dato' Dr Harun Din, Dato' Ishak Baharom, Dato' Ismail Kamus ketika Umno berkuasa di Selangor, dedahnya.

"Benarlah pemimpin Umno sejenis makhluk yang boleh menyerupai berbagai warna demi kepentingan politik. Di dalam isu kalimah Allah, Dato' Seri Hishamudin (Hussin) selaku Menteri Dalam Negeri telah mengeluarkan amaran akan menarik balik kebenaran mencetak Bible dalam bahasa Melayu jika berlaku penyalahgunaan. 

"Ertinya kerajaan Umno-BN sudah membenarkan. Sekarang kenapa Umno pula seperti orang dirasuk hantu kononnya menuduh PAS membenarkan Allah diterjemahkan ke dalam bahasa lain," soal beliau.

Begitu juga Dato' Seri Najib Tun Razak, tegasnya, cuba untuk menjadi juara Palestin, sedangkan seluruh dunia tahu, kepimpinan beliau tidak mengiktiraf Hamas, tetapi demi kepentingan undi Melayu, Najib sanggup berlakon mengadap pemimpin Hamas. 

Ustaz Idris berkata, apabila Najib balik ke Malaysia, para pengampu beliau mengarahkan penyokongnya untuk menyambut Najib sebagai wira Palestin. "Semua dilakukan demi kepentingan undi orang Melayu kepada Umno," tegas beliau.

Najib gagal lakukan: Misi harmonikan hubungan antara Islam-Kristian berjaya


Pertemuan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat bersama Bishop Katolik, Sebastian Francis 28 Januari lalu, amat bermakna kepada keharmonian agama di negara ini. "Alhamdulillah, dengan izin-Nya, misi mengharmonikan hubungan antara agama berjaya ketika berkunjung ke negeri Pulau Pinang. 

"Saya amat gembira kerana sempat menerima kunjungan Father Sebastian, Michael Uskop Roman Katholik bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Terima kasih YB Dr Mujahid yang menguruskannya," tulis Tuan Guru Nik Aziz pada Facebooknya.

Dalam pertemuan bersejarah itu, Tuan Guru Nik Aziz menghadiahkan sebuah kek kepada Bishop Sebastian, yang menerajui Penang Diocese yang meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan. Di atas kek itu tertera perkataan mudah tapi penuh bermakna "Kpd: Yg Mulia Bishop - Daripada: Tn Guru Dato Nik Aziz, Mursyidul Am PAS".

Menteri Besar Kelantan mempunyai jadual penuh di Pulau Pinang, namun beliau membatalkan satu program supaya beliau dapat bersemuka dengan Sebastian dalam tempoh yang singkat. Dalam pertemuan itu, Sebastian mendoakan kesihatan Tuan Guru Nik Aziz.

Dalam perbincangan ringkas mereka, Tuan Guru Nik Aziz menyentuh mengenai hal kerohanian, di mana perkara ini sangat dipersetujui oleh Sebastian yang turut merintih mengenai fokus berlebihan pada kebendaan dalam pembangunan insan masa kini.

"Negara ini perlukan kekuatan kerohanian Tuan Guru sebagai contoh," kata Sebastian yang dipetik Anil Netto, seorang wartawan yang hadir bersama dalam pertemuan bersejarah itu. Kedua tokoh turut bersetuju bahawa tenaga yang dihabiskan untuk pertelingkahan agama sepatutnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat.

Semasa mengambil gambar bersama, Tuan Guru Nik Aziz juga sempat bergurau mengenai pertemuan tersebut. "Saya tak pasti apa media media perdana akan tulis mengenai pertemuan kita," kata beliau. Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga Ahli parlimen Parit Buntar.

Umno pening kepala: Tok Guru Nik Aziz buktikan Islam-Kristian boleh duduk berbincang


Pertemuan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Bishop Wilayah Utara bagi Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kelantan, Sebastian Francis di sebuah hotel pada 28 Januari lalu membuktikan dua agama boleh duduk berbincang dan berdialog.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dato' Dr Mujahid Yusuf berpendapat, kesediaan Tuan Guru Nik Aziz dan Sebastian bertentang mata, berbual mengenai pengunaan kalimah Allah dan sebagainya, merupakan permulaan sesi untuk pengenalan dialog sekiranya ada pihak ingin melaksanakan kerja mulia itu.

"Itulah kerja Rasullullah SAW untuk berdakwah, bukan bersikap keras sehingga orang bukan Islam pandang serong terhadap keindahan yang ada dalam Islam. Saya juga harap selepas ini ada pertemuan yang lebih erat di mana-mana jua termasuk dalam gereja sekalipun," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Walaupun pertemuan itu terlalu ringkas namun katanya, kedua-duanya begitu teruja kerana masing-masing pertama kali bertemu serta berharap ianya akan berulang lagi demi memastikan kehidupan di dunia ini berada dalam keamanan dan kemakmuran.

Bagi Sebastian, jelas Dr Mujahid, pendiriannya terhadap isu yang lebih besar seperti kes kehilangan anak, moral, jenayah, rasuah dan gejala remaja masa kini perlu difikirkan oleh semua agama dan bangsa berbanding isu yang boleh mencetuskan kecurigaan.

Bagi beliau, isu seperti kontroversi kalimah Allah boleh diselesaikan dengan senang sahaja asalkan wujud perbincangan. Sikap positif Musyidul Am PAS itu jelasnya, memberi inspirasi kepada Lajnah Perpaduan untuk terus bekerja menerangkan konsep yang dibawa oleh PAS mendepani isu-isu semasa
di negara ini.

"Kita kena bersikap terbuka dengan mana-mana agama supaya perhubungan dapat dijalinkan dengan lebih mesra. Jangan pula sebagai umat Islam wujud prasangka dan perasaan sombong dengan agama lain. Sikap sedemikian merugikan perjuangan terutamanya PAS kerana Malaysia mempunyai etnik berbilang bangsa," tegasnya.

Tindakan Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali yang mahu membakar Bible yang tercetak kalimah Allah disifatkan beliau satu tindakan "gila" kerana ia tidak mewakili langsung kerahmatan Islam terhadap penganut agama lain.

Dr Mujahid juga mendesak Umno yang betul-betul mahu memperjuangkan kalimah Allah mengutuk kenyataan tersebut kerana ia akan memberi gambaran yang buruk terhadap agama Islam yang penuh dengan sifat rahmat di kalangan manusia.

Oleh  itu katanya, sejak 2010 lagi lajnah ini telah berusaha membuka pintu dialog supaya semua isu yang berkaitan agama diperbincangkan.

Untuk itu, hari Ahad lepas (27 Januari) Lajnah Perpaduan Nasional telah mengadakan pertemuan dan dialog di Gereja Laddy Fatima, Bintong di Kangar, Perlis serta pertemuan muhibbah dengan Ketua Agama Budha Perlis untuk menerangkan sikap keterbukaan PAS berdialog demi mencari titik persefahaman sesama sendiri.

Usaha BN nak jahanamkan PAS-DAP dengan "kalimah Allah" berkecai C4


Kunjungan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh, dianggap sebagai tindakan yang akhirnya mematikan segala tuduhan Umno-BN kononnya PAS dan DAP akan berpecah belah dan tidak sehaluan.

AJK PAS Pusat, Khalid Abdul Samad menegaskan, tindakan Tuan Guru itu cukup bijak, penuh strategik dan tanpa banyak penghujahan cukup menzahirkan ikatan PAS dan DAP semakin kukuh walaupun ada kalanya kedua-dua parti itu berbeza pendapat.

"Ada pihak cuba mengapi-apikan PAS dan DAP dengan persoalan agama termasuklah isu Khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jakim di Wilayah Persekutuan.

Namun pertemuan kedua-dua pemimpin ini menafikan sama sekali apa yang diuar-uarkan dalam media khususnya dicanang Umno-BN," katanya kepada Harakah.

Selain itu Khalid juga turut menyokong tindakan Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS bertemu dengan Bishop Katolik Sebastian Michael di Pulau Pinang kerana ia turut memberi gambaran Islam tidak menghendaki pertelagahan dan perpecahan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong turut menyifatkan Tuan Guru Nik Aziz dan Karpal merupakan rakan seperjuangan yang memang mengenali antara satu sama lain dan walau berbeza pendapat, semangat perjuangan kedua-duanya tetap sama.

"Berbeza pandangan adalah perkara biasa. Kalau mereka mempunyai pandangan yang sama, baik Tuan Guru Nik Aziz masuk DAP atau Karpal masuk PAS. Bagaimanapun perbezaan pendapat itu boleh diatasi dengan perbincangan dan terpulang kepada PAS atau DAP mengendalikan isu," katanya.

Di Pengkalan Chepa, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengakui beliau begitu teruja apabila dihadiahkan sebiji kek yang tertera tiga parti di bawah Pakatan Rakyat sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-82. Hadiah kek berkenaan diberikan Pengerusi DAP Karpal Singh, ketika bertandang ke rumah pemimpin parti itu di Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang 28 Januri lalu.

Kek yang dihias logo tiga parti di bawah Pakatan Rakyat itu, tertera tulisan di atasnya, "Selamat Hari Ulang Tahun Tuan Guru ke-82". Dengan perpaduan yang harmoni itu sekaligus membuktikan pakatan kerjasama parti itu tidak pernah goyah walaupun sering disensasikan oleh media terhadap dua orang pemimpin tertinggi dua-dua parti itu.

Menteri Besar Kelantan itu ketika mengenang kembali saat-saat gembira itu berkata, kunjungan pertama kali ke kediaman Karpal Singh memberikan pengertian yang cukup bermakna.

"Saya begitu terkejut di atas penghormatan yang diberikan kepada saya yang langsung tidak saya duga selama ini. Saya rasa gembira kerana perasaan Islam fobia langsung tidak wujud khususnya sejak kita sering mengadakan pendekatan yang harmoni bersama mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakah dan Harakahdaily di Putik pagi 29 Januari sekembalinya dari Kedah dan Pulau Pinang. Menurutnya, walaupun beliau dalam keadaan letih kerana mempunyai jadual padat di sebelah utara itu, namun beliau cukup gembira di atas sambutan pimpinan bukan Islam khususnya dari rakan Pakatan Rakyat terutamanya DAP.

Menurutnya, kecaman hubungan baik dengan bukan Islam bukan hanya diterima zaman ini, sebaliknya sejak Rasulullah lagi. "Andainya bukan jemaah Islam memberikan gambaran baik tentang agama Islam, siapa lagi, nak harapkan Umno?" soalnya. 

Katanya, sekarang ini tugas jemaah Islam memperkenalkan kesucian agama itu pada pihak luar disamping akhlak yang ada padanya (Islam). Beliau berkata, dakwah Islam sering disampaikan pada DAP dan KeADILan dalam ucapan dan perbincangan, untuk menerima terpulang pada mereka.