KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 14, 2013

Pak Samad Said begitu tegar meraikan perjuangan akar umbi rakyat mustad'afin


Mukadimah: Beliau boleh dianggap Sasterawan Negara satu-satunya awal kurun ke-21 ini yang sanggup berdepan tembakan gas pemedih mata menyertai denyut nadi gerakan rakyat. Bermula demonstrasi membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2009, beliau tegar meraikan suara dan perjuangan rakyat. Ikuti Interbiu Eksklusif bersama Sasterawan Negara, DATO' A. SAMAD SAID, 81, tentang peng-libatannya dalam kesusasteraan, aktivisme rakyat dan perjalanan kerohaniannya oleh wartawan Harakah, ARIF ATAN dan HAZAYANI ZAKARIA daripada Harakahdaily di Bangsar baru-baru ini. 

HARAKAH: Penglibatan awal dalam bidang sastera?

DATO' A SAMAD SAID: Mula-mula masa muda dulu puisi cinta. Paling kurang ada 20 puisi tema cinta. Semua puisi itu memang benar berlaku bukan khayalan. Kalau ada orang tanya bila saya mahu tulis autobiografi. Saya jawab, semua yang saya tulis itu adalah autobiografi, kisah hidup saya. Baca saja karya saya untuk tahu cerita saya. Cerpen, novel, puisi saya dibangunkan daripada pengalaman dan kisah hidup saya. Cerpen saya yang paling awal, "Hari Ini Hari Gembira" contohnya. Itu kekasih saya yang kahwin, saya luka tapi judulnya sengaja dibuat gembira. Saya hadir perkahwinan bekas kekasih saya itu.

Puisi Pak Samad mutakhir ini, macam mana?

Sajak saya, "Senandung Rumah Pusaka" contohnya dalam buku, "Di Atas Padang Sejarah", halaman 53 itu tentang usaha menyelamatkan khazanah macam bangunan lama. Ramai kita tidak peduli. Kita robohkan saja. Kita mahukan pembangunan yang dianggap lebih moden. Kita lupa bangunan lama itu sejarah tetapi kita buang sejarah itu. Kita lebih berfikir tentang kebahagian segelintir orang pada masa kini. Jadi, kita kena memeliharanya sebagai bahan sejarah. Kita harus bangga dengan warisan itu. Kalau kita tidak menjadi contoh, orang lain akan ikut suka seperti apa berlaku pada Stadium Merdeka. Seolah-olah bangunan warisan itu bukan rakyat yang punya. Mahu bangunkan setinggi-tingginya dan hilangkan nilai sejarah yang ada. Kita tidak tolak pembangunan tetapi tempat yang ada nilai sejarah harus diperelok biar kekal. Kita mesti banggakan sejarah kerana sejarah itu sendiri sejauhmana kita telah berjaya berubah.

Peranan kuasawan (pemerintah) dahulu dan sekarang...

Ada dua jenis mereka ini. Kalau kuasawan campur niagawan, dia jadi ahli perniagaan. Kerjanya tukang sambut projek saja. Tapi kalau kuasawan yang mendampingi badan bukan kerajaan (NGO) perjuangkan lapangan hidup bagi kebahagiaan murbawan (rakyat biasa), mereka itu kuasawan yang berjuang. Rashid Maidin, Abdullah CD, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Chin Peng, Dr Burhanuddin al-Helmy pejuang kemerdekaan sebenar. Mereka semua ini berjuang untuk kemerdekaan sementara bangsawan penikmat kemerdekaan. 
Orang yang duduk di pejabat saja itu carma (cari makan). Saya namakan orang yang tidak berjuang tetapi mendapat hasil daripada perjuangan orang lain itu sebagai penikmat kemerdekaan. Golongan bangsawan misalnya penikmat kemerdekaan. Mereka tidak berjuang. Mereka menikmati hasil perjuangan orang lain. Penting sekali kuasawan mengutamakan nasib murbawan. Yang menyediakan kebahagiaan untuk murbawan tetapi jika kuasawan yang hanya untuk diri sendiri, bergabung dengan niagawan untuk menghitung keuntungan sendiri bukan untuk kebahagiaan untuk murbawan. Kadang-kadang dari niagawan masuk menjadi kuasawan juga ada asalnya kuasawan menjalar masuk menjadi niagawan.

Bendera Sang Saka yang dihebohkan pemerintah sehingga Pak Samad turut terheret? 

Bagi saya kita harus luhur dengan bendera itu. Kita harus jiwai dan hormati bahawa suatu ketika dalam sejarah ada wira yang berjuang untuk kemerdekaan dan bendera itu adalah panji. Kita tidak boleh menghina panji itu hanya kerana ada Jalur Gemilang. Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka. Sebab Sang Saka yang berjuang melahirkan Jalur Gemilang. Orang-orang pejuang di zaman British dan Jepun memerintah itu mahu tanahair ini merdeka. Rashid Maidin. Abdullah CD, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin mahu menyelamatkan tanahair ini.
Kita harus hormat orang ini. Merekalah yang mempercepatkan kemerdekaan tanahair. Mereka ini sebenarnya memberikan nyawanya. Bagi saya, dakwaan Sang Saka itu komunis ikut sedap mulut saja. Orang buta sejarah memang fikir begitu. Takkan bendera itu timbul begitu sahaja. Bendera itu mewakili suatu semangat perjuangan pengorbanan. Bendera itu simbol dari seluruh perjuangan itu. Cuba buktikan bendera itu adalah songsang, negatif. Bendera itu wakil semangat perjuangan. Walaupun tempatnya sudah tidak sepenting Jalur Gemilang tetapi bendera 14 jalur melintang itu harus hormat dan memahami oleh kerana ada Sang Saka berkembang jadi Jalur Gemilang. Kita tidak patut mencemuh. Sang Saka melahirkan Jalur Gemilang. Orang yang menikmati kemerdekaan yang mencipta Jalur Gemilang. Orang yang memperjuangkan kemerdekaan mencipta Sang Saka.

Pengalaman Pak Samad ditahan ekoran insiden bendera Sang Saka? 

Saya dihujani banyak soalan dalam sesi soal siasat. Lebih 20 tapi dijawab, saya hanya akan menjawab di mahkamah. Saya hanya akan jawab kalau soalan itu dimunculkan di mahkamah. Kalau hanya depan polis, saya tidak jawab. Sebelum itu, semasa hari saya ditangkap, saya sudah beritahu pengawal keselamatan di rumah saya. Saya jangka polis akan datang. Saya pesan pada 'guard' itu cakap pada polis, saya hari ini beriktikaf di Masjid Negara.
Bahkan, sudah ada beberapa wartawan tunggu dengan saya kerana mereka juga percaya polis akan datang tapi tidak ada. Kemudian Ketua Polis Negara boleh umum saya lari! Padahal saya di Masjid Negara. Malamnya itu memang polis datang ke rumah dengan mengucap maaf. Kata mereka mahu 'ambil' saya hanya untuk satu setengah jam saja bagi tujuan rekod saja dan selepas itu akan hantar saya balik. Dia cakap dengan Ibu (isteri Pak Samad). Tapi saya anjurkan mereka pulang dulu, esok pagi jam 10 pagi saya datang tapi dia kata tidak boleh sebab esok sudah kena hantar laporan kepada pihak atasan. Sekarang, kadang-kadang kalau saya jumpa polis atau polis jumpa saya sama ada dia segan atau saya juga segan. (ketawa)
Bagi saya, ramai anggota polis bawahan faham siapa saya. Itu sebab ada antara mereka segan seperti juga saya sendiri segan kepada mereka tapi pegawai atasan barangkali berbeza kerana mungkin dengan buat saya begitu itu satu cara cepat naik pangkat. Semasa demonstrasi Bersih sebelum ini pun, saya dipanggil polis juga. Jadi, sekarang ini hanya ulangan yang mengganggu saya tapi saya hormati orang yang bertanya kepada saya kerana itu tugasnya. Dia bertindak pun di atas arahan orang lebih atas. 

Himpunan rakyat sebelum ini macam mana? 

Waktu demonstrasi anti PPSMI, saya masih ingat waktu selepas sembahyang, semua orang baru mahu mula. Itu yang pertama saya ikut demonstrasi. Ada polis minta saya atau Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Allahyarham Dato' Hassan Ahmad Hassan Ahmad untuk buat pengumuman suruh ribuan peserta bersurai. Saya tidak pasti apa jawapan Hassan kepada polis. Tapi bila polis minta saya menasihatkan para demonstran supaya pulang, saya katakan kepada polis, kami datang untuk demonstran bukan mahu balik. Kalau kamu mahu mereka pulang, kamu sendiri umumkan. 
Ketika masa nak berarak pula ada polis ajak saya naik kereta. Katanya boleh pergi terus ke Istana Negara hantar memorandum. Saya jawab, buat apa saya naik kenderaan polis. Saya berdemonstrasi. Kalau saya naik ikut polis tidak berertilah saya turun ke jalan raya. Ketika berarak, tiba satu peringkat, di hadapan saya dan demonstrans semua ada deretan polis berbaris bersedia dengan senapang gas. Tapi ada seorang Inspektor Cina cepat bilang jangan tembak. Kalau tidak, hari itu juga mungkin habis riwayat tidak dapat sertai Bersih sebab sudah dibersihkan oleh sang penguasa (ketawa). Untuk himpunan Bersih pula, saya Pengerusinya. Ambiga juga sama. Paling saya tidak dapat terima melihatkan telatah sekumpulan mantan tentera. Lepas jadi askar jadi penari punggung depan rumah orang lain. Di mana maruahnya? Tiada maruah! Duit saja bagi mereka.Mereka juga carma (cari makan).

Pak Samad turun mogok Utusan Melayu 1961 dulu? 

Saya ada tapi waktu itu sudah bekerja di Berita Harian tetapi oleh kerana Usman Awang, Said Zahari, Awang Sarkam, Hasmi, Rasyidah Ismail dan teman-teman yang lain itu mogok, jadi saya datang. Datang untuk beri sokongan, bawa sumbangan makanan yang ala kadar. Saya datang itu tidak didorong oleh A. Samad Ismail sebab ada pendapat kata beliau di belakang saya. Sebelum mogok itu bersurai, tugas Usman menyediakan makanan untuk empat hari kepada peserta.Saya sediakan makanan untuk tiga hari. Derma daripada orang ramai sudah mulai makin tiada dan sudah mula ramai tinggalkan khemah. Bagi saya itu di puncak yang sangat menyedihkan. Jadi bila mogok itu bersurai saya cukup memikirkan sama soal bagaimana untuk menyelamatkan beberapa orang yang mogok. Antara yang saya lakukan dengan tidak sedar ketika itu sangat bahaya, saya mengambil 12 orang mogok untuk bekerja di Berita Harian.

Maksudnya... Pak Samad ketika usia muda sudah ada sikap 'gengster'?

Saya sebenarnya memang gangster juga waktu di Singapura (ketawa). Tapi ketika itu saya ditugaskan jadi tukang pungut wang daripada wanita-wanita joget juga sundalan saja. Di situ memang sejarah hidup saya yang paling kotor. Zaman muda saya, tidaklah bersih sebenarnya. Tapi dalam perjalanan hidup itu mungkin kerana kesedaran saya misalnya bila sudah diberi umur yang panjang ini saya makin insaf kerana Allah berikan saya masa untuk menjernihkan hidup saya.

Macam mana persatuan penulis sekarang dan perjuangannya?

Saya terkadang-kadang luka hati sebab rata-ratanya mereka ini membisu . Saya sebagai Sasterawan Negara yang bolehlah dikatakan "didera". Adakah kita dengar persatuan-persatuan penulis iu bercakap apa-apa? Apakah mereka buat ketika seorang Sasterawan Negara berumur 81 tahun terdera? Apakah mereka lihat saja? Padahal, dalam tulisanmembantah keras kepincangan, mahu masyarakat lebih adil dan sebagainya. Semasa saya Mogok Seni pun ramai sasterawan tidak secara terbuka menyokong saya walaupun apa yang saya perjuangkan untuk kebajikan sastera, untuk semua penulis. 
Akhirnya saya seorang saja.Nampak macam gengster. Golongan penulis yang merupakan sebahagian komponen intelektual takut. Hari ini penindasan itu berlaku kepada saya. Esok lusa giliran siapa pula? Apabila saya menyertai Bersih, ada seorang Sasterawan Negara menyatakan saya tidak harus melibatkan diri dalam gerakan. Ertinya setiap sasterawan bergerak secara individu. Jadi, tiada ertinya mewujudkan persatuan penulis. Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena), saya fikir harus menyatakan sikapnya dalam isu-isu penting tanahair. Jangan diam. Boleh saja menyokong saya kerana berjuang demi keadilan buat golongan murbawan.
Boleh juga menentang saya kononnya saya sekarang sudah jatuh dalam 'beras' pembangkang. Saya jadi hamba Lim Kit Siang. Saya jadi pengikut Ambiga. Saya sudah 81 tahun. Takkan saya tidak ada otak sendiri. Saya tahu bezakan mana yang baik, mana yang buruk untuk anak bangsa di negara ini. Mereka juga harus fikir. Betulkah Pak Samad jadi alat. Saya berlawan bukan untuk saya seorang. Saya adakan Mogok Seni untuk menuntut agihan royalti. Betul saya dapat. Orang lain pun dapat. Kalau tidak kita menulis tentang penderitaan rakyat tapi kita tak percaya apa yang kita tulis. Ini yang memang teruk. 
Adakah karya sastera baik cerpen mahupun puisi dalam akhbar media perdana menegur dasar kerajaan? Barangkali ada yang menyanggah tapi editornya halang tapi sekarang ada internet, kita boleh nyatakan pendirian.
Penulis janganlah jadi macai. Macai ini, dia tunggu bila cukup bulan. Kalau duitnya tidak masuk, dia tidak tulis. Saya perhatikan macai-macai ini tidak ada kecerdasan. Fikiran langsung tidak ada. Cemuhan saja. Saya faham bukan saya tidak faham. Kalau bercakap atas nama individu memang susahlah. 
Tapi kita ada persatuan. Kalau melalui kelompok kita boleh bersikap. Kalau penulis ada terdera, kelompok penulis harus ada sikap. Boleh bikin satu kenyataan setuju atau pun tidak setuju dengan kenyataan saya. Itulah sikap, pendirian. Kalau diam saja buat apa. Mana pergi fungsi persatuan? Lebih baik tubuhkan 'penceraian' bubarkan 'persatuan'. Untunglah sekarang ada Facebook, ada Twiterr. Orang sudah ada ruang nyatakan pendirian yang menyanggah. Pandangan yang bertentangan itu tidak salah. Harus berbeza untuk mencari ketulenan tapi untuk tidak berkata apa-apa, kita macam duduk di belantara seorang diri saja.

Bagaimana ada orang suka bercakap seperti, "aku berkecuali", "atas pagar", "tidak sebelah mana-mana"?

Itu kata-kata pengecut! Kita harus libatkan diri, ada pendirian sama ada di sebelah sini atau sebelah sana. Hidup mesti buat pilihan. Mesti ada sikap. Macam kahwin juga, kita harus timbang, mesti pilih. Sesudah buat pilihan kita harus pertahankan pilihan kita. Itulah cara kita melanjutkan hidup. Saya ingat lagi Usman Awang ada buat sajak tentang jangan diam.

Jumlah kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah semakin merosot...

Kerajaan barangkali rasa yang penting adalah perniagaan bukan kesusasteraan. Tapi bagi sasterawan sendiri sama ada kerajaan mementingkan perniagaan atau kesussasteraan atau mencemuh kesusasteraan, penulis sendiri harus memperkukuh dirinya. Jangan salahkah hanya kerana kerajaan tutup kelas sastera kita duduk dalam saja. Tidak. Kerajaan boleh tutup semua pintu tetapi kita masih boleh keluar ikut tingkap atau naik ke atas buka bumbung! Seniman harus bertindak bukan bertandak (menari). Masalahnya, ramai sekarang yang bertandak. 

Perjalanan rohani Pak Samad... 

Jalur kerohanian buat kita rasa bahagia. Saya sekarang senang mengikut puasa Nabi Daud. Satu hari puasa, satu hari tidak. Itu yang saya amalkan. Saya juga senang ke Masjid Negara beriktikaf di sana setiap hari Selasa dan Khamis. Kalau Jumaat, saya selalunya solat di KLCC. Telaah al-Quran. Kita petik mutiara-mutiara untuk dijadikan landasan. Apa lagi pada usia 81 tahun ini yang merupakan "masa kecederaan" (ketawa). Saya lazimkan diri baca surah Yassin lima kali setiap kali selepas sembahyang. Kemudian saya tambah dengan surah as-Sajadah. Itu amalan harian saya setakat ini. 

Karya selepas ini?

Saya sekarang tumpu kepada diari saya. Saya ada 22 buah diari tahunan yang boleh dibukukan. Itu semua setiap hari saya tulis. Itu belum masuk lagi eceran-eceran yang tidak sempat saya kumpul. Himpunan puisi, "Di Atas Padang Sejarah", Rahmat Haron yang kumpulkan. Saya tidak ada masa tetapi jika mahu kumpul lagi saya fikir ada dua antologi lagi. Saya bikin kata mula saja. Cinta sastera saya sebenarnya pada puisi dengan sajak pertama siar tahun 1953. Sekarang, kalau saya jalan-jalan, dapat saja ayat-ayat menarik, saya petik saja masuk dalam Facebook. Saya ada buku nota ketika berjalan. Melintas saja ilham terus saya catat tapi jika ditemuramah seperti ini saya tidak bawa buku nota (ketawa). Hanya bawa kad pengenalan dan sedikit wang tambang LRT. Saya sendiri bila ke masjid bawa al-Quran dan terjemahan.