KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 31, 2013

PENDUDUK KAMPUNG CHUBADAK TAMBAHAN, SENTUL DITUDUH PENCEROBOH OLEH DBKL


Slogan "Rakyat Didahulukan" kegemaran Perdana Menteri hanya menjadi gula-gula pilihan raya apabila Kampung Chubadak Tambahan yang berusia lebih 100 tahun cuba dihapuskan dari Mukim Setapak. Tanpa usaha pihak agensi kerajaan berunding terlebih dahulu dengan penduduk kampung, dua unit rumah diroboh jentolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 23 Oktober lalu.

Lebih menyedihkan, DBKL dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan bersekongkol bertindak di luar batasan kemanusiaan ke atas penduduk terbabit. Rumah penduduk diroboh ketika mangsa tiada jaminan tempat perlindungan dan beberapa ahli keluarga ditumbuk dan dilayan secara kasar untuk mereka meneruskan operasi meroboh. Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Ramli Ahmad, 44, (gambar kanan) memberitahu, penduduk berjuang mempertahankan hak tanah mereka kerana bayaran pampasan yang ditawarkan tidak setimpal. 

"Mereka janji pampasan 'air liur' (bukan secara bertulis) kepada kami. Ada serendah RM7,000 sedangkan nilai hartanah di sini sudah mencecah ratusan ribu ringgit. Itu masalahnya," kata beliau ketika ditemui Harakah pada hari kejadian. Ujarnya, sebelum ini pihak penduduk telah berkali-kali menghantar surat rayuan kepada PTG untuk bersemuka bagi tujuan rundingan tetapi tiada maklumbalas yang sewajarnya diterima.

Dilema penduduk di kampung berstatus Tanah Rizab Melayu itu juga dirumitkan lagi dengan percaturan birokrasi daripada segi kawalan pentadbiran tanah. Menurut Setiausaha Badan Bertindak Surau Ikhlasiah, Zaini Abdullah, 41, (gambar bawah) tanah kampung seluas kira-kira 60 ekar itu seolah-olah dibahagi kepada empat pemilik. Penduduk yang sudah lebih tiga atau empat generasi tinggal di sini boleh dianggap penceroboh ketika tanah kampung mereka dipegang oleh Suruhanjaya Tanah Negara, Kementerian Kesihatan selain DBKL dan pemaju, dedahnya.

"Seolah-olah ada kerjasama jahat antara agensi atau jabatan kerajaan tertentu yang hampir 100 peratus Melayu dengan pihak pemaju yang difahami milik Cina. Kita sudah hantar surat kepada Yang Dipertuan Agong dan Pejabat Perdana Menteri bulan lepas tetapi sampai hari ini tiada jawapan," katanya.

Sehubungan itu, Zaini mewakili penduduk kampung memberi amaran keras kepada pihak DBKL dan PTG supaya tidak lagi meneruskan operasi roboh sehingga Dato' Seri Najib Tun Razak turun bersemuka menemui mereka. Pemilik rumah pertama dirobohkan, Abd Hamid Saad, 60, memaklumkan pemaju bahkan DBKL dan PTG sama sekali tidak pernah datang berunding secara rasmi bersama penduduk. Jelas isteri beliau, Mahwiyah Daud, 55, mereka terdiri daripada 11 anak dan ahli keluarganya berasa amat teraniaya dengan tindakan angkuh pihak berkuasa terbabit.

"Kami masih dalam proses mahkamah bagi menguruskan tuntutan penduduk berdepan kerakusan pemaju itu. Bahkan, 11 November depan giliran kes bagi tapak rumah kami akan disambung bicara semula. Undang-undang macam sudah ada di tangan mereka. Datang rumah orang siap tumbuk tanpa belas kasihan kepada kami orang tua," rintih beliau di atas runtuhan rumahnya yang diroboh pagi itu. 

Anaknya, Amirah Nabiha Abd Hamid, 24, menceritakan babak mereka sekeluarga dikasari penguatkuasa sejurus keseluruhan rumah mereka diroboh ketika sejumlah peralatan dan barangan masih ada di dalam rumah. 

"Tiba satu peringkat mak saya mungkin terlalu stres terbaring di depan pintu tetapi ada seorang pegawai DBKL tetap bagi arahan kepada anak buahnya dengan lantang, 'Masuk saja!' Saya marah bila anggota DBKL itu selamba mahu melangkah saja ibu saya yang terbaring. Adik lelaki saya pun ditumbuk beberapa kali kerana menghalang rumah kami daripada diceroboh," ujar beliau sambil mencari barangan yang masih boleh diguna di celah runtuhan rumahnya.

Mengulas tindakan biadap itu, saksi yang juga penduduk kampung, Nasir Yahya, 49 mengesahkan pegawai bermisai tebal itu bernama Raja Zaini berdasarkan tanda nama tertera pada uniformnya. Pemilik rumah kedua yang turut menjadi mangsa mahu dirobohkan,  diduduki pasangan suami isteri warga emas yang mempunyai empat anak dan 16 cucu. 

Namun, ketika DBKL merobohkan sebahagian dapur rumah yang dihuni lebih 50 tahun itu, kehadiran Pembantu Khas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip berjaya menghalang operasi perobohan itu daripada diteruskan. 

Selepas rundingan berlangsung di antara beliau dengan pegawai PTG dan DBKL, operasi zalim itu dihentikan sehingga perbincangan selanjutnya bagi menyelesaikan tuntutan penduduk diadakan. Mangsa, Halim Abd Hamid, 75, dan isterinya, Wahida Salleh, 72, kecewa dengan tindakan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa.

"Kami tinggal tiga keluarga di rumah ini. Sejak tahun 1964 lagi saya di sini sebagai konduktor bas GTC (sebelum bertukar nama kepada Srijaya) ketika itu," ujarnya menahan sebak. Jiran mereka, Suhaimah Alang Dom, 71, biarpun berkerusi roda tetap hadir memberi sokongan kepada sahabat karibnya, Wahida. Suhaimah yang masih mempunyai empat anak dan 22 cucu dengan empat cicit kini tinggal di kampung itu bersama cucunya. 

"Saya menghuni di sini sejak tahun 1963 dan sudah lama berjiran dengan Wahida dan bercucu cicit di kampung ini. Masa itu bahagia walaupun belum ada bekalan air sempurna dengan keadaan masih lagi berbukit-bukau. Tapi sekarang saya paling sedih bercampur marah apabila Kerajaan BN begitu mudah mahu halau kami dari sini," katanya yang dipercayai orang kampung paling tua di kampung itu.  

Tindakan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan PTG meroboh rumah penduduk kemudian menawarkan rumah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) disifatkan ibu kepada tiga cahaya mata, Norhalmi Ahmad, 32, (gambar kanan) sebagai amat melampau.

"Roboh dulu kemudian paksa orang kampung tanda tangan ambil rumah PPR. Adilkah begitu? Ini rumah orang kampung bukan reban ayam," tegas anggota tentera yang lahir dan dibesarkan di kampung itu. Bagi Abdul Aziz Zainon, 29, tindakan jabatan kerajaan terbabit bersekongkol dengan pemaju semakin jelas selepas didapati anggota DBKL, PTG serta polis akan memasuki kawasan Kondominium Sentul Utama yang terletak bersebelahan kampung mereka.

"Sudah jadi kebiasaan, habis saja mana-mana operasi, mereka akan masuk ke kondominium yang kami percaya terdapatnya pejabat pemaju di sana," dedahnya. Intipan Harakah kemudiannya di luar tembok kondominium yang dimaksudkan pada jam 4 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas operasi meroboh dihentikan mendapati maklumat penduduk tersebut benar.

Beberapa kenderaan pihak berkuasa terbabit kelihatan melepasi kawalan keselamatan di pintu masuk kondominium itu. Daripada celah tembok batu kelihatan beberapa anggota DBKL menjamah hidangan di ruang terbuka di bawah kondomonium tersebut.  Sebuah van polis turut dilihat cuba memasuki kondominium itu tetapi berpatah balik selepas menyedari pergerakan mereka diperhatikan Harakah - Lapor Arif Atan Wartawan Meja Harakah Kuala Lumpur

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebelum berbicara..sila kaji secara teliti HAK TANAH tersebut dan jangan menyalak seperti anjing nampak hantu.. Kalau betul tanah tersebut adalah HAK penduduk "sementara" disitu, sila pergi ke pihak/saluran yang betul dan mintak penjelasan dari A smp Z. Bercakap mestilah berlandaskan fakta. Untuk pengetahuan semua, kerja2 perobohan akan dilakukan selepas mendapat kebenaran. DBKL atau PTG tidak akan membabi buta @ aci redah nk buat semua tu...Sila pahami keadaan sebenar...T/kasih..

Tanpa Nama berkata...

Yang komen 10/6 ni dah kaji ke hak tanah? ke main hentam org je reti? suruh org kaji hak tanah tapi dia x buat apa2

Razif J berkata...

Dari arkib Utusan 25/08/2008

"Menurut maklumat yang diperoleh, tanah di kampung tersebut telah memperolehi pengiktirafan milikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1998 yang mengatakan bahawa ia adalah milik peneroka-peneroka bandar dan perlu membayar ganti rugi kepada mereka sekiranya ingin memajukan kawasan tersebut."

Tanpa Nama berkata...

klo nak byr...bayar betul2
ni stakat brpe ribu...tanah dah mahal.terutamenye dekat kawasan bandar.. x kan begitu muurah sekali bayarnnya..lagipun rumah dah mahal...semua dah naik.baranglah itulah inilah...

Unknown berkata...

apa salah nya kerajaan ambik alih dan buat perumahan tuk setinggan tu dan penduduk asal kg tu,sekarang ni tanah kem tentera yg startegik di johor k.l,dan negeri lain pun kerajaan tak kwal,pemaju mesti bkn bangsa melayu,kerajaan tidak sedar dan hanya tahu keuntungan,bkn berfikiran jangka masa panjang,suatu hari nanti kalau rakyat terpaksa memilih yg salah,jgn nak salahkan rakyat.

Tanpa Nama berkata...

pkr cuba main politik kotor, kena fikir cuba aku ambil tanah kerajaan negeri selagor duduk dekat situ tak ada geren tanah, pasti juga halau oleh pkr,pkr akan tak ada banyar pampasan, kena sedar tanah orang tetap tanah orang

Tanpa Nama berkata...

hanya mereka yang dari dbkl, pbt dan polis korup atau yang seangkatan dengannya yang sokong perbuatan keji ini dan rela dianjingkan oleh pemaju tak ader telor

Tanpa Nama berkata...

Aku setuju betol2 dengan komen wran ranggo, krajaan nak membangunkan sentul, kenalah ade sikit roboh sini bina situ... sakai bangang pi titwangsa buat kacau, maki, buat bodoh depan wartawan .... orang public skrang ingat kampong tu mangkuk betul, pi la mahkahmah berdebat ! pi la putrjaya buat hal! pi la tempat rosmah ! cukup sakai...sedih nampak penduduk diperbodohkan mcam tu...

Tanpa Nama berkata...

ape logik ni...duduk setempat yg tadek geran, ape2 pengiktirafan black & white pun tak de... ade saje cakap mulut... aduh....bait skrang aku ni pergi mane2 tempat yg aku suka, bina rumah sendiri, dan panggil saje tempat tu miliki cucu-cicit aku ni....kayelah aku ni! happy gile oh!