KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 11, 2010

Kalimah Allah dalam konteks Siyasah Syariah - Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Oleh USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal'.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.
Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah: "Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" - (al-Zukhruf: 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.

TETAPI... Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan. Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk UK dan Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negera-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah diskrip menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap agar rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN Berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Kalimah Allah: Kenapa PAS bersetuju dan tidak bersetuju?

Oleh Herman Samsudeen

DALAM artikel saya yang bertajuk "Allah itu tuhan Manusia bukan untuk umat Islam sahaja" saya membahaskan sedikit tentang Allah sebagai tuhan kepada semua makhluk termasuk kaum Kristian. Maka dalam artikel ini saya akan menjelaskan kenapa kaum kristian boleh gunakan nama Allah dan kenapa tidak boleh kerana ada hukum yang mubah atau harus disana.
Tiada Larangan Mengunakan Nama Allah Bagi Bukan Islam Zaman Rasulullah

Untuk membahaskan perkara ini terus terang saya katakan bahawa saya tidak beriman kepada perlembagaan Malaysia. Dalam menghadapi kaum Nasrani, Yahudi, Majusi dan musuh-musuh Islam yang lain Allah swt berfirman dalam surat At-Taubah ayat 29;

"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk."

Dijelaskan disana bahawa mereka yang bersetuju duduk dengan aman dibawah Kerajaan Islam mempunyai pilihan utk mengamalkan kepercayaan mereka walaupun bertentangan dengan Islam asal sahaja membayar Jizyah. Jizyah ialah pajak atau cukai per kepala yang dipungut oleh pemerintah Islam dari orang-orang yang bukan Islam, sebagai imbangan bagi keamanan diri mereka.

Janji Allah ini selari dengan arahan yang dikeluarkan Rasulullah kepada panglima perangnya termasuk Khalid al Walid di mana sebelum perang berlangsung, mereka akan memberi 3 pilihan kpd musuh iaitu:

Bayar jizyah dan duduk dibawah naungan kerajaan Islam dengan bebas mengamalkan agama masing-masing.

Diperangi dan dirampas harta mereka jika kalah Rasulullah juga tidak lupa akan ayat 120 surah A-Baqarah kerana ia lebih dulu diturunkan sebelum Perlembagaan Madinah dibentuk;

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."

Tetapi semasa Perlembagaan Madinah dibentuk, Surah At-Taubah ayat 29 menjadi garis panduan dalam hubungan politik, sosial, ekonomi dan agama bagi umat Islam dan kaum Yahudi Nasrani yang bernaung dibawah Kerajaan Islam Madinah. Pilihan yang kedua itu (Jizyah) sentiasa ada walaupun Rasulullah sedar bahawa Nasrani mengatakan Allah tuhan mereka yang mempunyai anak kerana Rasulullah beriman dengan ayat 29 surah At-Taubah.

Surah Al-Kafirun ayat 6 memperjelaskan lagi dasar Islam kepada agama-agama lain: "Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku."

Seterusnya Firman Allah SWT: "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, Maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul (tali) yang amat Kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. -al-Baqarah: 256)

dan; "Katakanlah (wahai Muhammad): kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir..." - al-Khafi 18:29.

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud, "Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad), kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada menolaknya dan sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan, bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)." -Al-Ghasyiyah 88: 21-22

"Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekelian manusia yang ada di muka bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?" - (Yunus 10:99)

Islam bukan agama paksaan, dan orang-orang bukan Islam tidak dipaksa masuk Islam. Tetapi orang-orang yang masuk Islam dengan hati yang rela perlulah menerima segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Islam termasuk hudud. Hidayah itu milik Allah dan Allah jualah yang akan membalas manusia-manusia yang kufur padaNya diakhirat kelak.

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, kami akan membakar mereka di dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” - an-Nisa; 56.

Jangan lupa juga kisah Saidina Umar Al-Khattab yang memasuki Gereja Yahudi ketika Baitulmaqdis ditawan juga tidak menyuruh tenteranya membakar gereja, bible dan salib. Umar membiarkannya sahaja, dan bersolat diluar bangunan kepada Allah tanpa sebarang pertikaian. Perkara yang sama berlaku bila Sultan Salahuddin al Ayubbi menawan Baitulmaqdis.

Dalam sirah perjuangan Rasulullah, sahabat dan tabien kita tidak menemui isu pengharaman nama Allah berlaku, hatta ketika Sultan Muhammad Al Fateh menakluk constantinople atau Instanbul pun baginda mengutarakan 3 pilihan diatas sebelum menyerang. Cuma zaman baginda Gereja Hagia Sofia ditawan dan dijadikan Masjid Aya Sofia setelah kaum Kristian kalah dan lari meninggalkan kota Constantinople.

Saya mohon diperbetulkan fakta-fakta di atas jika ada bukti Rasulullah dan para sahabat pernah melarang agama lain mengunakan nama Allah.

Kenapa Zaman Rasulullah Nama Allah dibenarkan untuk kaum Nasrani?

Persoalan ini mendatangi saya sejak memikirkan isu nama Allah ini berkali-kali. Mungkin ulama'-ulama' mengetahui lebih dalam hal ini. Tetapi berdasarkan kajian saya sendiri saya boleh membuat kesimpulan bahawa pada zaman Rasulullah dan sahabat, mereka menegakkan Al-Quran sebagai perlembagaan dan berhukum dengan hukum hudud.

Mana-mana umat Islam yang murtad kerana terpedaya dengan dakyah kaum kafir atau atas kehendak diri sendiri maka hukuman bunuh akan dijatuhkan ke atasnya setelah diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk bertaubat tetapi masih mahu murtad. Rasulullah bersabda;

“Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia” - Riwayat Bukhari

Hadis ini selari dengan firman Allah yang mengecam orang-orang yang murtad iaitu: "Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata." - al-Ahzab:36

dan; “Sesiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu mati dalam kekufuran, maka merekalah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat. Dan merekalah ahli Neraka yang kekal di dalamnya” - Surah al-Baqarah: 217.

Maka, bila Al-Quran jadi perlembagaan dan undang-undang hudud diamalkan maka tiada seorang pun umat Islam yang berani untuk keluar dari Islam. Jika mereka keliru atau tidak faham termasuklah disebabkan oleh pengaruh agama Kristian Nasrani maka mereka akan merujuk kepada Rasulullah.

Rasulullah juga sudah banyak menjelaskan kepada para sahabat tentang beza kepercayaan kaum Kristian dan Islam. Antara yang menjadi rujukan adalah Surah Maryam ayat 88-91: "Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak". Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!. Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap. Kerana mereka mendakwa mengatakan: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". - (Surah Maryam)

Sahabat-sahabat tiada pertikaian dalam hal ini kerana mereka memahami kedudukan Allah dalam kepercayaan Islam dan kaum Kristian. Dan tidak timbul kerisauan terhadap isu-isu murtad kerana ada undang-undang yang menguruskannya.

Yang risau pada zaman Rasulullah adalah kaum Kristian sendiri sebab bila mereka gunakan nama Allah pengikut-pengikutnya akan membandingkan dengan Allah yang umat Islam percaya hingga akhirnya berbondong-bondonglah kaum Kristian memeluk Islam kerana yakin Allah itu tiada beranak dan tidak diperanakan.

Kaum Kristian ini membaca dalam kitab Bible dan makalah agama mereka dan terdapat ayat-ayat berikut yang membuktikan Allah itu Maha Esa sesuai dengan apa yang di syahadahkan oleh umat Islam:

“I (ALLAH) am the Lord, and there is no other; apart from Me there is no God.” - Isaiah 45:5.

Moses (pbuh) said: “Hear, O Israel: The Lord (ALLAH) our God, the Lord is one.” - Deuteronomy 6:4.

“This is eternal life, that they may know You, the only true God (ALLAH), and Jesus Christ whom You have sent.” -John 17:3

“How can you believe, when you receive glory from one another and you do not seek the glory that is from the one and only God (ALLAH)?” -John 5:44

“The most important commandments,” answered Jesus, “is this: ‘Hear, O Israel, the Lord our God, is one Lord (ALLAH)"-Mark 12:29


Akibat dari masalah ramainya umat Kristian memasuki Islam dan tiadanya undang-undang yang boleh menghukum kaum krsitian yang memasuki Islam, maka kitab-kitab Bilble dan ucapan serta penulisan kaum Kristian berubah mengunakan nama Allah kepada God atau Tuhan. Dahulunya nama-nama Allah tertulis dalam kitab mereka seperti yang saya catatkan dalam kurungan "(ALLAH)" diatas. Tetapi selepas zaman perluasan empayar Islam, mereka sudah tiada menggunakan perkataan Allah kerana mereka amat takut umat Kristian murtad dan peluk Islam ramai-ramai.

Isu Nama Allah Di Malaysia

Islam di Malaysia tidak seperti Islam dizaman Rasulullah dan para Sahabat. Islam di Malaysia disandarkan oleh Kerajaan Umno-BN yang beriman dengan Perlembagaan Malaysia ciptaan Lord Reid. Islam di Malaysia hanyalah Agama Rasmi bukan menjadi dasar Kepada Perlembagaan itu sendiri.

Dalam Perlembagaan disebutkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan

Hal ini dijelaskan lagi dalam Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Kaum Kristian Malaysia bertegas dengan mengunakan fasal 3 (a)- Tiap-tiap kumpulan agama berhak - menguruskan hal ehwal agamanya sendiri.

Dan umat Islam bertahan dengan Fasal 4 -Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Sekali imbas, ramai umat Islam Malaysia fikir bahawa Perlembagaan itu sudah berjaya memberikan perlindungan kepada Islam.

Tapi saya tidak melihat begitu kerana Kaum Kristian Malaysia dalam kes Semakan Kehakiman akhbar mingguan The Herald-Catholic Weekly yang dikemukakan oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Datuk Murphy Pakiam berhujah bahawa akhbar berkenaan hanya diedarkan kepada orang Kristian Katolik sahaja.

Malah dalam Perlembagaan pun tidak sebut bahawa perkataan "Allah" itu hanya untuk umat Islam. Maka mereka menganggap larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan mereka mengunakan nama ALLAH bertentangan dengan Perkara 11 Fasal 3 (a) Perlembagaan Malaysia.

KDN pula mendesak dengan mengunakan kuasa di bawah Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Malaysia atas kekhuatiran akhbar berkenaan bakal menimbulkan salah fahaman dan menyesatkan umat Islam.

Tetapi sedarkah kita bahawa melalui Perkara 11 Fasal 4 ini kita hanya boleh menghalang mereka menyebarkan akhbar itu kepada umat Islam tetapi tidak boleh menghalang mereka menyebarkannya kepada Kaum Kristian.

Kita terperangkap disini, kerana kita memang khuatir akan wujud penyebaran kepada umat Islam yang disengajakan secara diam-diam tetapi kita belum ada bukti yang kuat tentang hal ini melainkan dengan peningkatan kes-kes murtad yang berlaku. Tetapi itu pun mereka yang murtad ini menjawab dimahkamah bahawa mereka mahu murtad atas kerelaan sendiri bukan kerana pengaruh Gereja atau akhbar Kristian yang selama ini tidak pun mengunakan nama Allah.

Perlembagaan dan Undang-undang agama di Malaysia keseluruhannya tidak boleh menghalang umat Islam Murtad. Sebagai contoh, Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang membenarkan seorang yang ingin keluar agama membuat permohonan di Mahkamah adalah satu undang-undang yang ultra vires ( bertentangan ) dengan undang-undang Islam yang sebenar.

Memang lawak, bagaimana Mahkamah yang kononnya berdiri atas nama Islam boleh membuka ruang untuk umat Islam membuat permohonan murtad sedangkan zaman Rasulullah dan Sahabat dahulu kadi dan Mahkamahnya tidak pernah membuka ruang ini.

Jadi ketakutan umat Islam terhadap isu akhbar Herald sebenarnya berpunca kelemahan sistem perundangan yang tidak mengikut Islam. Undang-undang kita telah dimurtadkan sebelum adanya umat Islam memohon murtad.

Jadi tidak hairanlah bila ada sahaja usaha kaum Kristian dan bukan Islam lainnya untuk mendekati umat Islam secara halus kita tak mampu menghalang sebab mereka boleh bermain dengan undang-undang dan Perlembagaan yang terlalu lemah hingga memberikan ruang kepada mereka mengambil kesempatan.

Saya bertegas agar Kerajaan Malaysia kembali mengambil Al-Quran sebagai Perlembagaan dan menjadikan hukum Hudud untuk umat Islam sebagai undang-undang syariah rasmi bagi melindungi umat Islam dari serangan dakwah Kaum Kristian dan gejala murtad ini.

Nama Allah: Kenapa PAS Setuju dan Tidak Bersetuju

Ketika mula-mula kes ini dibawa ke Mahkamah, PAS melalui Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong permintaan Gereja Katolik ini atas alasan-alasan yang saya kemukakan diatas dan kita jelas bahawa Allah pada tafsiran umat Islam adalah Esa dan tidak sama dengan Allah pada tafsiran Kristian yang mana tuhan mereka itu ada anak dan isteri.

Namun melihat kepada pergolakkan dan politiking yang berlaku dalam isu ini hingga membuka ruang kepada perpecahan dalam masyarakat majmuk, maka PAS mengkaji hal ini kembali dan melihat bahawa mudaratnya lebih besar jika kita membiarkan nama "Allah" digunakan oleh Herald. Maka hukum mubah atau harus itu boleh bertukar menjadi haram demi menjaga kemaslahatan rakyat keseluruhannya.

PAS bukan berdolah-dalih dalam isu ini, tetapi kita mengkaji dari keseluruhan fakta dan sejarah. Kerana masalah ini timbul kerana kelemahan umat Islam Malaysia sendiri yang dipimpin oleh Kerajaan Umno yang enggan mengangkat Al-Quran sebagai Perlembagaan dan Hudud sebagai perundangan bagi melindungi kesucian Islam yang sebenarnya.

Maka, PAS memilih jalan keamanan dan menasihatkan agar Gereja Katolik kembali kepada pengunaan asal mereka itu 'God' atau 'tuhan' bagi sebarang penerbitan dan ucapan bagi mengelakkan ketegangan agama menjadi lebih buruk dinegara ini.

PAS tidak mahu kerana hal ini akan berlaku lagi Perang Salib versi abad ke-21 dan akhirnya Gereja-gereja bertukar kepada Masjid sebagaimana yang berlaku kepada Gereja Hagia Sofia yang menjadi Masjid Aya Sofia dizaman Sultan Muhammad Al-Fateh. Apakah kita mahu perkara itu berlaku?

Salah satu pihak kena bertolak ansur dalam hal ini dan saya lihat pihak Herald kena menarik balik tuntutan mereka kerana selama ini mereka tidak pernah mengunakan nama "Allah" dalam penerbitan mereka, tetapi ia masih dapat diedarkan. Jadi saya tidak melihat apa-apa masalah jika perkara ini tidak ditimbulkan mereka.

Walaupun ia berpunca dari kelemahan pentadbiran umat Islam tetapi ia bukanlah alasan untuk Herald menanguk di air keruh hingga boleh mencetuskan pergeseran antara agama.

Saya berharap agar Kerajaan mengkaji semula Perlembagaan Malaysia dengan meletakan Al-Quran sebagai Perlembagaan tertinggi yang mampu memberikan keadilan kepada semua. Saya juga mengharapkan agar undang-undang hudud dijadikan undang-undang syariah Malaysia bagi memastikan masalah murtad dapat ditangani dan sekaligus melenyapkan kerisauan umat Islam terhadap ancaman gejala ini.

Saya juga berharap Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negara ini memainkan peranan bagi menyelesaikan kemelut ini.

Begitu daifkah tahap keselamatan negara hingga enjin jet F-5E?

MUQADIMAH: Isu pokoknya ialah soal keselamatan. Dalam kes yang besar mencuri dua enjin Jet F-5E milik TUDM bernilai ratusan juta ringgit dianggap sudah selesai hanya menyeret dua individu Sarjan TUDM N Tharmendran dan ahli perniagaan K Rajandran Prasad. Belum lagi disiasat bagaimana bom C4 boleh diseludup keluar, seperti senjata dalam Tragedi Sauk. Sejauh mana ketahanan keselamatan negara, apabila melihat kebanjiran pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara? Ikuti interbiu SALMIYAH HARUN bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Abdul Khalid Samad bagi melihatnya dari dekat.

Menteri Pertahanan, Dato Seri Zahid Hamidi berpuas hati dengan pendakwaan terhadap dua orang pegawai bawahan berhubung kehilangan dua enjin jet TUDM. Mengapa dalam kes sebesar ini 'ikan bilis' sering menjadi mangsa?

IR ABDUL KHALID SAMAD: Nampaknya kes ini tidak ubah seperti kes pembunuhan Altantuya. Sekali lagi orang yang merupakan dalang utama terlepas kerana dalam kes seperti ini tidak mungkin ianya mampu dilaksanakan oleh seorang sarjan dan seorang prebet semata-mata. Kelulusan untuk membawa keluar enjin jet berkenaan sudah pasti datang dengan arahan daripada 'orang atasan'. Kawalan terhadap barangan yang bernilai puluhan juta, mungkin langsung tidak ada oleh pihak pengurusan dan pentadbiran atau dipejamkan mata sahaja oleh pihak tertentu.
Tidak mungkin TUDM yang begitu profesional dan dibangga-banggakan terlibat bermacam-macam program, menyerahkan soal pengurusan, pemantauan dan pengendalian barang yang begitu bernilai kepada seorang sarjan atau prebet semata-mata?
Sungguh menakjubkan. Saya pertikaikan hal ini kerana kejadian ini amat memalukan.

Peguam Negara turut menegaskan kehilangan enjin itu kerana kecurian, dan tidak semestinya ada pembabitan 'orang besar'... Ini macam mana pula?

Ini bermakna kes-kes kecurian enjin sebesar dan setinggi itu nilai RMnya, boleh dikeluarkan tanpa 'orang besar' seperti mencuri skru yang boleh diletakkan di dalam kocek. Jawapan Zahid Hamidi berhubung curi skru itu saya boleh diterima.
Tetapi dalam kes ini, ia melibatkan peralatan yang besar. Enjin ini sudah tentu tidak boleh bergerak atau diangkat tanpa menggunakan lori dan jentera pengangkut, untuk dibawa keluar daripada pagar atau pintu. Tentu ada kawalan keselamatan pihal lain di kawasan terbabit.
Mengikut ceritanya, enjin itu dikeluarkan oleh 'arahan pihak tertentu' tetapi tidak sampai ke tempat yang sepatutnya. Ini tidak pasti sejauhmana kebenaran ceritanya.
Tetapi kalau itulah caranya, maka ia menunjukkan kepada kita tentang satu pengawalan dan pengurusan aset yang bernilai melalui kaedah yang cukup cuai dan tidak selamat.
Misalnya kita poskan surat. Kita akan pastikan surat itu sampai, seperti juga kita fakskan dokumen, kita akan hubungi sama ada terima atau tidak.
Apatah lagi, kita hendak hantar enjin jet! Keadaan yang sukar dipercayai sekiranya benar-benar ini terjadi. Ia menunjukkan betapa teruknya TUDM dan sistem keselamatan negara di tempat pertahanan.

Adakah soal keselamatan negara berada pada tahap rendah?

Menteri Pertahanan sepatutnya meletakkan jawatan kerana memalukan TUDM. Tragedi ini membuktikan TUDM tidak mempunyai sistem pengawalan yang canggih dan boleh ditipu oleh seorang sarjan atau prebet dengan begitu mudah sekali.
Bagi saya, mesti ada 'orang besar' terbabit kerana alasan yang diberi itu memalukan seluruh anggota dan bekas anggota TUDM. Mustahil tahap keselamatan atau kawalan TUDM sedhaif itu.

Saudara berpuas hati dengan alasan Peguam Negara yang mendakwa enjin tersebut telah dijual sebagai besi buruk atau batu ladung?

Ini tidak mungkin berlaku. Orang yang mengambil barang bernilai itu sudah tentu amat memahami tentang risikonya yang tinggi, dan tidak mungkin hanya dijadikan besi buruk atau batu ladung untuk memancing.
Takkan orang yang mencurinya untuk dijadikan besi buruk lebih berani kerana barang tidak bernilai dan berisiko tidak tinggi. Sebab itu apabila dia mencuri enjin jet yang bernilai dan melibatkan keselamatan negara serta perkara ini bukan sahaja membabitkan kes jenayah tetapi ia adalah kes pengkhianatan terhadap negara.
Peguam negara tidak sepatutnya mengemukakan alasan 'bodoh' seperti itu. Harga jutaan ringgit, hanya untuk dijual sebagai besi buruk...

Kehilangan enjin ini menjejaskan keselamatan negara?

Ia menjejaskan kemampuan kerajaan mempertahankan negara apabila enjin jet ini tidak ada, kecuali apa yang dimaksudkan oleh Zahid Hamidi bahawa memang enjin jet ini memang tidak bernilai.
Tetapi kalau dia kata tidak bernilai maka mengapakah dia sebut harganya bernilai RM20 juta. Melainkan enjin jet sudah memang tidak berguna dan rosak sebagainya. Maklumat sepatutnya perlu dimaklumkan. Saya menolak ianya adalah besi buruk.

Kalau kita masih ingat C4 diseludup dan digunakan untuk membunuh Altantuya begitu juga senjata canggih diseludup dalam Tragedi Sauk. Sekaligus memperlihatkan tentang keadaan keselamatan negara yang memang boleh dibolos. Apa reaksi saudara?

Mungkin benar. Zahid sendiri mengesahkan memang mudah berlaku kecurian. Ini dibuktikan dengan penyeludupan keluar bom C4 dalam kes Altantuya dan banyak senjata diangkut keluar kem dalam Tragedi Sauk. Mungkin ada lagi yang kita tak tau.
Ia cukup mencurigakan. Menterinya yang dipertanggugjawabkan patut letak jawatan. Sebab ini soal membabitkan keselamatan negara. Jika tahap kawalan dan keselamatan pusat-pusat pertahanan begitu dhaif, apa jadi kepada peralatan senjata dan lain-lain alat pertahanan?

Adakah terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes-kes yang membabitkan keselamatan negara dan bolehkah keadaan ini terjadi?

Memang... dalam semua hal yang membabitkan kes seperti ini kemungkinan terlibatnya rasuah orang atasan. Ianya tidak boleh kita tolak mentah-mentah.
Itulah sebabnya saya rasa kerajaan Malaysia sudah lama hilang integriti dan kes-kes seperti ini memang sepatutnya disiasat oleh satu Suruhanjaya Di Raja yang turut dianggotai pihak pembangkang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan dan suasana keselamatan dalam negara kita.
Tidak boleh kita pandang remeh dan memberi jawapan-jawapan yang mudah kerana akhirnya persoalan keselamatan akan terbabit sama. Kalau perkara itu boleh berlaku begitu sahaja mesti akan menimbulkan kekhuatiran di kalangan rakyat kemudian persoalkan keselamatan.

Dalam kes-kes yang lain contohnya membabitkan komisyen melampau pembelian kapal selam Scopene RM540 juta juga dibimbangi sebagai memperjudikan keselamatan negara...

Kalau kita terima apa yang disebut oleh Zahid Hamidi nampaknya seolah-olah soal pengurusan dan pentadbiran angkatan tentera Mindef keseluruhannya boleh dipersoalkan.
Maka apa jaminan bahawa kapal selam itu memang dalam keadaan sepatutnya dan apa lagi jaminan perkara-perkara yang telah dihapuskan dan dijual dan sebagainya.

Semua ini boleh dipertikaikan?

Ya... Mengapa persoalan hendak mengembalikan integriti, kredibiliti anggota angkatan tentera itu amat diperlukan. Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa satu dua individu yang terlibat itulah asas penting, disamping kredibiliti dan integriti angkatan tentera khususnya kementerian haruslah telus, penuh amanah dan tanggungjawab perlu dilakukan. Orang yang terbabit tidak wajar diberikan perlindungan ataupun keselamatan.

Selain daripada masalah dalam sistem pertahanan negara yang diheboh kini, masalah kebanjirann warga asing juga satu lagi bukti keselamatan negara bolos dengan mudah. Sejauhmana saudara melihat situasi ini?

Pendatang yang datang melalui proses yang sah memang tidak dinafikan terlalu ramai dan boleh mengundang pelbagai masalah. Ini sudah menjadi perkara biasa tetapi harus dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun pendatang asing tanpa izin masuk ke negara ini sama ada di Sabah atau Sarawak, memang perlu di pantau dan diatasi kerana jika tidak boleh menimbulkan ancaman keselamatan negara. Soalnya menagapa terlalu mudah mereka menyeludup masuk ke negara ini? Macam mana pantauan pasukan keselamatan? Ini yang membimbangkan kita.

Anak-anak bilis sering jadi mangsa dalam pelbagai penyeleweng mega

MUQADIMAH: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan yang juga Ahli Parlimen Subang, Sivarasah Rasiah turut kecewa denmgan pelbagai penyelewengan yang didedah tetapi tiada hukuman dijatuh. Jerung terlepas, hanya percubaan mneyabitkan anak-anak bilis. Ikuti pendapat beliau bersama INTAN ABDULLAH.

Isu ketirisan wang negara pada masa pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir 22 tahun sebanyak USD 100 bilion masih diperkatakan...

SIVARASAH: Bagi saya ini ketirisan dan kebocoran yang terlalu besar menunjukkan begitu teruk kegagalan institusi-institusi penting di bawah kedua-dua pemimpin ini - yang kini masih diteruskan untuk mencegah dan mengawal masalah rasuah di negara kita.
Maksud institusi penting ini seperti SPRM yang dulu dikenali sebagai BPR, pihak polis dan juga peguam negara dan akhirnya sistem kehakiman dan juga media.
Semua institusi ini mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan ada satu sistem pengurusan yang baik dan telus.
Jadi hakikat kebocoran ini menunjukkan kegagalan institusi-institusi penting dan ini merupakan kesan secara terus pemerintahan Umno-BN di mana wujud undang-undang yang menindas dan menyekat kebebasan yang telah menyumbang kepada masalah ini.

Maksud saudara?

Maksud saya... kalau kita ada media yang bebas itu akan menjadi check and balance tetapi media kita disekat dengan akta yang menindas dan ini telah menyumbang kepada masalah rasuah yang besar.
Begitu juga dengan akta-akta lain seperti akta rahsia rasmi, dan akta lain yang menindas dan menyekat kebebasan.
Yang kedua ialah Impak ketirisan besar ini, kita tidak boleh mengambil perkara ini secara ringan kerana walaupun negara kita cukup kaya dan dari segi perkapita kalau kita menilai kekayaan negara kita dari segi sumber perkapita atau resources per kapita, kita boleh dianggap sebagai antara negara-negara yang terkaya di dunia.
Tetapi malangnya apabila kita melihat kepada hakikat ekonomi kita dan tahap kedudukan kita di dunia sememangnya kita bukan di antara yang tertinggi.
Dan ini lah impak daripada rasuah besar sebagaimana yang sedia maklum iaitu ketirisan ini telah menurunkan tahap peningkatan ekonomi kita.

Ketirisan? Bagaimana...

Ia memastikan ada segolongan besar di negara kita yang masih menjalani hidup dalam keadaan yang kurang baik, kadar kemiskinan masih besar, khususnya di beberapa negeri termasuk di Sabah dan Sarawak, dan pengagihan kekayaan di negara ini masih teruk di mana kita melihat golongan kaya menjadi terus kaya dan golongan miskin semakin bertambah.
Jadi, impak rasuah ini terus kepada ekonomi dan kepada kesejahteraan hidup majoriti rakyat.
Bagi saya, ini merupakan kesan yang negatif yang berlaku. Sebab itu rasuah bukan sahaja satu tindakan jenayah, dan tidak bermoral tetapi ada impak ekonomi negatif kepada setiap rakyat di negara.
Ini merupakan cabaran terbesar kepada kita untuk menghadapi situasi sekarang. sebab itulah ianya diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan yang besar ini.

Skandal PKFZ melesapkan sejumlah wang RM12 bilion tetapi sehingga kini tiada jerung yng ditangkap?

PKFZ adalah merupakan satu lagi contoh dalam saga ketirisan atau kebocoran rasuah dalam negara. Inilah episod terbaru yang dimana kita dapat lihat pada tahun ini beberapa pendedahan besar ketirisan yang berlaku.
Memang skandal PKFZ telah diketahui beberapa tahun sebelum ini iaitu lima tahun, tetapi secara terperinci sekarang ini.
Sekarang kita sudah faham bahawa kehilangan atau kerugian yang berlaku mencecah RM12 bilion dan beban yang besar ini terpaksa ditanggung oleh setiap rakyat Malaysia dan juga generasi akan datang.
Anak-anak kita akan menanggung beban ini kerana wang ini bukan sahaja dibayar oleh kita bahkan mereka ini juga. Inilah skala besar jenayah ini di mana impaknya adalah cukup besar.
Malangnya sampai sekarang walaupun ada beberapa orang yang telah dituduh di mahkamah saya masih melihat mereka bukan ikan bilis di bawah tetapi inilah orang tengah yang telah diarahkan untuk melaksanakan jenayah ini.
Tetapi ahli politik dan yang terlibat iaitu pemimpin Umno-BN masih tidak didakwa di mahkamah walaupun kita tahu yang didakwa di mahkamah sekarang ini seperti OC Phang, dan arkitek semuanya tidak akan melakukan apa-apa tanpa mendapat arahan politik daripada pihak atasan.

Mereka hanya orang suruhan sahaja?

Mereka adalah seperti pelaksana jenayah tetapi yang mengarahkan jenayah itu masih tidak dapat dikenal pasti dan masih tidak dibawa ke forum keadilan.
Ini merupakan kegagalan Umno-BN dan the lack of political will untuk menangani isu ini yang cukup besar. mereka pun faham jika mereka mengambil tindakan terus daripada kalangan pihak atasan mungkin akan menjejaskan kedudukan politik di negara ini sebab mereka sendiri akan hancur.
Kalau mereka ambil tindakan ke atas pemimpin atasan mungkin ia akan melibatkan YB Tiong iaitu Ahli Parlimen Bintulu. Ini adalah kegagalan ahli parlimen BN secara keseluruhan iaitu tidak dapat menangani masalah rasuah dan sebagainya yang sudah menjadi kanser yang besar dalam masyarakat kita.

Bagaimana pula dengan isu misteri kehilangan enjin jet pejuang F5 TUDM?

Insiden ini cukup menarik sebab ia mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri sekarang - ia berlaku semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan.
Bagi saya kalau ini berlaku di negara lain yang demokratik menteri itu sudah tentu akan meletakkan jawatannya dan memikul tanggungjawab.
Tetapi kita lihat kedua-dua enjin ini berlaku mengikut keterangan daripada Ketua turus angkatan tentera udara yang telah dikenal pasti pada 2007 - pada masa itu Najib adalah Menteri Pertahanan.
Tetapi rakyat dan media tidak tahu kerana semua perkara ini ditutup dan diselindungi. Kita baru sahaja mendapat tahu bermaksud Najib telah mengambil tanggungjawab atas hakikat bahawa perkara ini ditutup daripada mata rakyat iaitu kehilangan besar bukan sahaja dari segi duit tetapi kejadian ini juga menjejaskan keselamatan negara dengan cara yang serius.

Soal keselamatan macam mana?

Apabila dua enjin jet ini dicuri dan dibawa ke negara luar untuk dijual, nampak betapa dhaifnya keselamatna negara kita. Bagi saya ini merupakan aspek yang cukup serius bahawa Perdana Menteri sendiri terlibat dalam menutup hal ini dan apabila hal ini diketahui pada 2007 dan laporan polis hanya dibuat pada 2008 - sampai sekarang tiada seorang pun didakwa di mahkamah untuk satu jenayah yang cukup besar dan serius.

Umno makin jelas, bukan lagi penyelamat Melayu

Oleh Idris Samad

UMNO sudah semakin tua dari segi usianya. Namun, dari segi perangai atau disebut fiil, Umno tidak pernah berlagak seperti orang tua yang penuh ilmu dan pengalaman. Malahan, tindak-tanduk Umno betul-betul merugikan Melayu.

Dalam banyak-banyak hal, satu perkara serius yang orang Melayu perlu renung secara mendalam ialah langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika menjadi Presiden Umno merubah sistem pelajar-pelajar Melayu ke universiti dari sistem kuota ke meritokrasi.

Dari data muktahir yang dikutip, jelas bilangan pelajar Melayu yang berada di fakulti tertentu termasuk perubatan dan undang-undang, merosot teruk tetapi tiada siapa pun di antara pemimpin Umno, khususnya Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno yang sanggup untuk menyuarakannya.

Jika dulu, Umno boleh mengharapkan Pergerakan Pemuda untuk menjadi juara dalam memperjuangkan hal-hal seumpama ini tetapi disebabkan yang merubah sistem kuota kepada meritokrasi itu ialah Dr. Mahathir, maka di kalangan Pemuda Umno, terkancing mulut masing-masing.

Kerana apa jadi begitu? Adakah kerana permusuhan Dr. Mahathir-Khairy Jamaluddin yang tidak berkesudahan menyebabkan Khairy Jamaluddin tidak mahu memulakan sesuatu serangan terhadap dasar ini?

Dulu, ketika Dr. Mahathir memulakan PPSMI, semua menteri kabinetnya bersetuju dengan apa yang mahu dimulakan itu tetapi apabila Dr. Mahathir sudah berundur dan memilih untuk menjadi pengkritik kepada dasar-dasar kerajaan, bukan main susah tindakan memansuhkan PPSMI mahu dilaksanakan.

Siapa yang menjadi mangsa apabila PPSMI ini ternyata gagal?
Bukankah anak-anak Melayu, khususnya yang di luar bandar kerana kemudahan peralatan mengajar tidak sempurna seperti yang dicanangkan.

Dr. Mahathir bukan berseorangan melakukan perkara ini. Walaupun dia Perdana Menteri dan Presiden Umno, tetapi dia mempunyai pasukannya. Ada Majlis Tertinggi Umno dan ada anggota kabinet.

Malangnya, kesemuanya menikus dan yang menjadi mangsa selama ini ialah orang-orang Melayu walaupun ada sekerat dua yang berjaya menjadi jutawan termasuklah yang akhirnya terpaksa ke mahkamah kerana masalah rasuah dan penyelewengan.

Begitu juga dengan biasiswa yang kini sudah dikenali dengan skim PTPTN – satu bentuk pinjaman pelajaran yang perlu dibayar, selain pinjaman dari MARA dan sebagainya.

Akhirnya anak-anak Melayu, khususnya graduan tidak bebas selepas habis belajar hanya kerana mereka berhutang, termasuk tidak boleh ke luar negara.

Apakah kita masih ingat bagaimana Dr. Mahathir tidak mahu orang-orang Melayu diberikan tongkat kerana bimbang Melayu akan menjadi bangsa terhina seperti Red Indian?

Hari ini, pemimpin-pemimpin Umno boleh melihat sendiri bagaimana mereka sudah mengurangkan tanah-tanah rezab Melayu dengan alasan pembangunan?

Maka, apa lagi yang mahu diharapkan kepada Umno selepas ini?
Walaupun pemimpin silih berganti, tetapi mereka tidak mempunyai semangat untuk kembali membantu Melayu. Yang mereka ada ialah kata-kata yang mengambarkan Melayu terancam kerana perpecahan tetapi mereka juga terlibat dengan perpecahan itu.

Terbaru, orang-orang Umno (baca: Melayu) dihambat dengan hutang TEKUN. Dulu, ada cerita sesiapa yang memerlukan bantuan TEKUN perlu mengisi borang Umno. Sekurang-kurangnnya, perlu sokongan pemimpin Umno. Dengan lain perkataan, mesti ahli Umno barulah dapat sokongan dan pinjaman diluluskan.

Kini, semua mereka ini, yang suatu ketika ghairah mendapatkan pinjaman TEKUN, sudah dihambat dengan surat menangis dari TEKUN.
Percayalah, selepas ini kesemua peminjam yang gagal membayar balik pinjaman TEKUN ini akan dihina dengan kata-kata yang menguris perasaan.

Sebenarnya, tindakan para pemimpin Umno hanyalah untuk populariti jangka pendek. Perancangan jangka panjang untuk membela bangsa Melayu, jauh sama sekali. Mereka tidak mahu mengikut pepatah Cina, beri ikan kepada seseorang, akan dimakannya ikan itu tetapi jika beri pancing kepada seseorang, ia akan menyebabkan orang itu berusaha mencari rezeki.

Apa lagi yang Umno mahu lakukan selepas ini? Berbanggakah ahli-ahlinya kerana mempunyai KLIA, Menara Berkembar Tertinggi, Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya dan beberapa bangunan mega?
Dalam masa yang sama, masih ada keluarga di sudut kampung yang makan sekali sehari dan dinafikan dengan bekalan air bersih?

Hari ini, kebanjiran buruh asing ke Malaysia perbuatan siapa? Siapa yang menjadi Menteri Dalam Negeri selama ini yang mempunyai kuasa membenarkan seramai mana pun orang asing memijak dan mencari rezeki di bumi Malaysia?

Apabila semakin ramai orang asing di bumi Malaysia, pihak berkuasa tidak berkemampuan untuk mengawal mereka. Terjadilah macam-macam gejala social termasuk ada yang membawa anak gadis Melayu lari ke negara mereka.

Tampillah seorang dua anggota Pemuda Umno pergi menjemput mereka pulang. Sewaktu mereka melarikan diri, mereka adalah anak-anak gadis sunti tetapi selepas ditemui, mereka adalah ibu kepada beberapa orang anak dan isteri kepada lelaki asing.

Sibuklah wartawan dan media arus perdana menyiarkan berita tersebut kononnya Umno membela nasih perempuan-perempuan Melayu ini tetapi mana mungkin kita lupa siapakah yang menyebabkan anak-anak gadis Melayu yang naïf ini dilarikan ke luar negara, jika bukan pemimpin Umno?

Jika ada undang-undang yang membolehkan statistik dikeluarkan, berapakah jumlah kemasukan pendatang asing dalam era setiap seorang menteri (Umno) menjadi Menteri Dalam Negeri, supaya rakyat tahu dari tempoh si A menjadi Menteri Dalam Negeri, sekian banyak orang asing masuk ke Malaysia, dari tempoh si B pula, sekian banyak yang dibawa masuk.

Berapa komisyen yang mereka kutip, tidak perlulah ditanya kerana ia mungkin menyukarkan SPRM tetapi ini adalah bukti bahawa Umno bukan lagi boleh digambarkan sebagai penyelamat Melayu di Malaysia ini tetapi Umno sudah boleh dikaitkan sebagai mengkhianati Melayu.

Orang Melayu bukan sahaja tidak mampu bersaing dengan kaum Cina dan India di Malaysia tetapi angkara mereka yang berkuasa kerana Umno memerintah negara, kini terpaksa bersaing pula dengan orang-orang Indonesia yang semakin ramai berniaga, orang Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Thailand, Combodia dan banyak lagi pendatang termasuk dari Afrika dan Singapura – malahan kehidupan orang-orang Melayu kini semakin terancam.

Ikutilah perkembangan ini secara halus kerana jika kita menangis kerana membaca tragedi Natrah di Singapura suatu ketika dahulu, kini sudah semakin ramai yang menjadi Natrah kerana Umno sibuk untuk mengekalkan kuasa, mengumpul kekayaan luar biasa dan menyampaikan ucapan berapi-api kononnya mereka sahaja pejuang bangsa tetapi orang lain, sudah menjajah kita angkara Umno.

Dapatkah Umno memperjuangkan nasib peniaga-peniaga Melayu di Pasar Budaya (Central Market)? Berjayakah Umno meletakkan peniaga-peniaga Melayu di KLCC? Siapa yang menguasai perniagaan teras seperti pembekal dan pemborong?

Lupakah kita bahawa Amanah Saham 1Malaysia yang dikhaskan untuk Melayu melangganinya, masih belum habis terjual sedangkan yang dikhaskan kepada bangsa lain, hampir-hampir memenuhi kuota?

Umno nampak semua ini atau Umno memang tidak ada masa untuk memikirkan perkara-perkara kecil seperti ini kerana ia tidak melibatkan taikun dan korporat berjenama!

Lainlah kalau ada Melayu yang mahu menguasai bank atau IJN – barulah ada pihak yang akan melompat untuk menumpang populariti yang tidak lansung menyentuh denyut nadi rakyat di bawah.

Anak muda India yakin dasar-dasar PAS dan kepimpinan ulama

MUQADIMAH: Keahlian Kelab Penyokong PAS Kaum India telah mencecah 22,096. Sebahagian keahlian itu terdiri daripada golongan muda. Dengan pengiktirafan yang diberikan PAS, kepimpinan Kelab Penyokong PAS Kaum India berkeyakinan, sokongan terhadap PAS yang merentasi kaum dan agama akan bertambah. NYZA AYOB mendapat pandangan Ketua Pemuda, Kelab Penyokong PAS Kaum India, Balendran mengenai perkara ini.

PAS telah mengiktiraf Kelab Penyokong PAS dengan menaik taraf kepada Dewan Perhimpunan Penyokong PAS. Apa reaksi saudara?

BALENDRAN: Memang inilah yang kita tunggu selama ini. Sebab jika sekadar diikitiraf sebagai kelab, kami hanya berperanan sebagai ahli bersekutu dan bukan ahli penuh. Jadi, apabila dijadikan sebagai dewan, kita percaya PAS mengambil perhatian terhadap golongan bukan Islam serta meningkatkan lagi sokongan terhadap PAS.
Sekarang apabila kita diiktiraf sebagai dewan, kita mempunyai hak untuk sama-sama memberi idea dalam setiap perbincangan yang dilakukan. Jika sebelum ini, apabila diadakan mesyuarat Dewan Harian atau di Peringkat Pusat, kami tidak terlibat.

Golongan muda dilihat lebih berfikiran progresif. Pada pandangan saudara, adakah sokongan golongan muda di kalangan bukan Islam berdasarkan keputusan politik semata-mata atau kerana benar-benar mengiktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam untuk semua kaum dan agama?

Berdasarkan maklumat yang saya terima terutama apabila mereka mengisi borang keahlian, penyertaan mereka atas dasar PAS sendiri dan bukannya bergantung kepada isu semasa.
Mereka percaya kepada dasar Islam yang diperjuangkan PAS. Sebab itu mereka dapat memberi sokongan penuh terhadap PAS. Jika tidak, tidak ada sebab untuk mereka menyertai kelab penyokong ini.
Selain itu, mereka meyakini dengan kepimpinan PAS yang juga dipimpin golongan ulama. Semua ini telah jelas bagi kami. Kami juga tahu perjuangan PAS untuk semua kaum sesuai dengan fungsi Islam itu iaitu 'membawa kerahmatan' kepada semua.

Sehingga kini berapakah jumlah keahlian Kelab Penyokong PAS Kaum India?

Sehingga kini, borang keahlian yang telah diserahkan kepada Presiden PAS ialah 22,096. Keahlian tersebut daripada penyokong-penyokong India di Pahang, Perak dan Kedah. Sehingga kini kami belum menerima borang-borang keahlian dari negeri lain.

Secara peribadi, bagaimana saudara tertarik menyertai Kelab Penyokong PAS dan seterusnya 'bersusah payah' memimpin golongan muda di kalangan kaum India?

Sebagaimana yang saya tegaskan, Islam membawa kebaikan kepada semua isi alam. Jadi, dasar yang dibawa PAS itu juga membawa kebaikan kepada semua. Saya juga berkeyakinan dengan kepimpinan PAS.
Sebelum ini, sebelum kita mengenali PAS, kita rasakan jurang antara Islam dan bukan Islam agak jauh. Tetapi setelah mengenali PAS, kita merasa senang dan berkeyakinan satu kepimpinan yang boleh membawa kebaikan kepada semua.
Dan saya juga ingin tegaskan... saya tidak rasa 'susah' apabila cuba menarik golongan India menyertai PAS. Apabila sokongan terhadap PAS meningkat, saya yakin kita semua dapat mengecapi 'kesenangan' bersama. Perjuangan kita bersama-sama demi masa depan negara.

Komponen Barisan Nasional (BN), MIC juga mempunyai kepimpinan muda. Adakah saudara yakin PAS berupaya untuk menarik golongan muda di kalangan mereka?

Setiap individu yang menyertai Kelab Penyokong PAS, mereka datang dengan sendiri. Mereka datang, bukan kerana imbuhan tertentu. Tetapi jika kita bandingkan penyertaan mereka dalam Briged Muda MIC atau Makkal Sakti, jelas mereka mempunyai 'sifat kebendaan' dan mereka tahu, mereka akan mendapat sesuatu daripada MIC.
Seperti Makkal Sakti yang ditubuhkan secara tergesa-gesa untuk menarik sokongan India, akhirnya mempunyai masalah dan akhirnya mereka berpecah diantara Presiden dan Timbalan Presiden. Jika individu ini benar-benar mendekati PAS tanpa sifat kebendaan, itu yang membezakan tarikan PAS dengan parti-parti lain.

Zahid Hamidi tewas bersilat di Pulau Pinang tuntut Pengerusi BN dari gerakan

Oleh Idris Samad

TIBA-TIBA Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan mahu jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang diserahkan kepada Umno dan dilucutkan dari Gerakan.

Serta-merta Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menepis dengan mengatakan sudah 35 tahun jawatan itu disandang partinya kenapa sekarang Umno memintanya?

Di bawah, cakap-cakap mengenai isu ini merebak dengan begitu pantas. Rata-rata menganggap Ahmad Zahid sebagai tok dalang dalam persembahan wayang kulit ini, kerana selepas Datuk Ahmad Ismail dibebaskan dari hukuman penggantungan, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera ini tentunya masih berdendam dengan Gerakan yang menjadi salah satu sebab mengapa dia dikenakan tindakan disiplin parti dahulu.

Ketika Umno meminta jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepadanya, apakah kejayaan Umno di Pulau Pinang yang sudah dibuktikan setakat ini?

Adakah Umno pernah memenangi mana-mana pilihan raya kecil di Pulau Pinang selepas PRU 12 yang lalu?

Untuk catatan, Umno tewas dua kali pilihan raya kecil di Pulau Pinang dan satu pilihan raya kecil tidak ditandingi kerana bimbang termasuk perangkap Pakatan Rakyat.

Umno tewas di Permatang Pauh dan Pematang Pasir manakala di Dun Penanti, Umno enggan meletakkan calon.

Kedengaran amaran Ahmad Zahid ketika mahu menghadapi pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir bahawa Umno tidak akan teragak-agak memecat mana-mana ahlinya yang mensabotaj calon BN – tetapi sehingga rencana ini ditulis, tiada seorang pun yang dihukum, mungkin kerana tiada seorang pun ahli Umno yang mensabotaj calon BN yang kalah teruk di situ.

Sebelum orang lain bercakap soal prestasi Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang, adalah lebih baik jika timbulkan cerita menuntut jawatan Pengerusi BN negeri.

Ada isu yang mampu melindungi Ahmad Zahid yang belum membuktikan apa-apa di dalam Umno Pulau Pinang, selain rekod PRU 12 yang lalu, menang 11 kerusi Dun.

Kedudukan 11 kerusi Dun bukan kerana Ahmad Zahid dan jika ada satu atau dia kerusi lagi yang Ahmad Zahid dapat tambahkan di Dun Pulau Pinang, alangkah baiknya tuntutan itu dibuat.

Ini, belum lagi membuktikan apa-apa kejayaan sebagai Pengerusi Umno negeri, tiba-tiba mengejar jawatan Pengerusi BN negeri. Walaupun Ahmad Zahid berkata ini bukan kehendaknya tetapi kehendak ketua-ketua Umno bahagian, tetapi kalau Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan kehendak itu, mana mungkin ia terkeluar dari bilik mesyuarat?

Menoleh sejarah politik Ahmad Zahid, Gerakan tidak perlu risau. Jika Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak bersetuju, serta-merta Ahmad Zahid akan menarik balik kenyataannya itu. Ingat ketika dia mengeluarkan kenyataan mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno?

Apabila Najib memanggilnya ke pejabat, serta-merta dia menarik diri. Dulu, ketika dia mengeluarkan kenyataan keras terhadap Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, tidak lama selepas itu dia menyusun sepuluh jari, memohon maaf.

Begitu juga dengan isu nepotime, kronisme dan korupsi yang pernah dilaungkannya ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Apabila berdedai-dedai masuk ke tahanan ISA, termasuk Ahmad Zahid – dia melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Jadi, jika sesiapa mengenali Ahmad Zahid dan sejarah politiknya, tiada apa yang perlu dibimbangkan – kerana kalau kena gayanya, dia akan menarik balik kata-katanya itu dan mungkin dengan jawatan Pengerusi Umno negeri pun dilepaskannya.

Dalam politik Umno, memang ramai pelawak. Cuma, apakah senarai mereka masih dalam senarai lama, atau sudah dikeluarkan dari senarai itu dan dimasukkan ke senarai baru pula.

Pelakon-pelakonnya, orang-orang biasa sahaja dan bukan orang baru.
Satu legasi meminta maaf yang Ahmad Zahid tinggalkan, diwarisi penggantinya, Dato' Seri Hishammuddin Hussein yang turut meminta maaf (tetapi tidaklah sampai mencium tangan) kepada MCA kerana isu menghunuskan keris di Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno yang dikatakan menjadi sebab mengapa pengundi Cina tidak mengundi BN dalam PRU 12 yang lalu.

Apa buktinya pengundi Cina tidak mengundi BN dalam PRU 12 yang lalu disebabkan isu menghunus keris, tidak pula dibuktikan. Cuma, kerana mahu menjaga hati Pemuda MCA, cepat-cepat Hishammuddin memohon maaf.

Isnin lalu, Najib sudah memberi amaran, hentikan perdebatan mengenai jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang. Jika Najib memanggil Ahmad Zahid nanti kerana isu ini, dengan serta-merta Ahmad Zahid akan mengadap Tsu Koon untuk meminta maaf. Jika Najib berdiam diri dalam isu ini, Ahmad Zahid juga akan berdiam diri.

Kalau dia melayan karenah ketua-ketua Umno bahagian di Pulau Pinang yang banyak bercakap dari bekerja Ahmad Zahid akan keletihan. Kalau pasal bercakap, berilah pembesar suara kepada mereka. Mereka akan bercakap tanpa berhenti macam orang memimpin pasukan boria.

Dari 15 kerusi Parlimen, Umno bertanding di empat kawasan iaitu Permatang Pauh, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau.

Umno menang dua iaitu di Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamad Yakcob manakala dua lagi kawasan, Permatang Pauh dan Balik Pulau dimenangi KeADILan.

Melihat isu ini secara dekat, sama-sama kita nantikan apakah berjaya perjuangan Umno Pulau Pinang yang mahukan jawatan Pengerusi BN atau, Umno Pulau Pinang akhirnya mendapat seorang Pengerusi Umno negeri dari kalangan orang Pulau Pinang sendiri dengan Ahmad Zahid diundurkan.

Biasanya, politik Ahmad Zahid dia akan menang untuk politik peribadi tetapi perjuangan untuk orang ramai – habis bergitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian.

Perkasa masuk daud, MB Perlis makin cemas pertahan kuasa

Oleh Idris Samad

APABILA Ustaz Hashim Jasin (PAS–Sanglang) melihat tiada elemen pembinaan insan yang disentuh Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Dr. Md Isa Sabu ketika membentangkan Bajet 2010 baru-baru ini yang mempunyai defisit sebanyak RM75.6 juta, ramai yang tersenyum sinis.

Orang ramai tersenyum sinis kerana Md Isa yang khabarnya mendapat bantuan mentadbir negeri dari seorang yang pernah menjadi menteri dan Setiausaha Agung Umno, sepatutnya menunjukkan kelebihan yang lebih ketara dari bekas-bekas Menteri Besar sebelumnya.

Malangnya, apa yang heboh diperkatakan di Kangar sekarang, apabila orang bercakap pasal politik Umno, mereka tersenyum sinis, macamlah gambar Menteri Besar yang tersenyum di bulatan dekat Hotel Putera Palace – senyuman mengejek!

Jangan salah faham. Bukan Menteri Besar yang mengejek tetapi senyuman sinis orang ramai, senyuman sinis itu senyuman yang penuh makna.

Baru-baru ini, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Ameir Hassan dilantik menjadi YDP Perkasa – sebuah pertubuhan NGO mengejutkan Menteri Besar.

Md Isa yang kesihatannya sering terganggu, memang tidak boleh sering terkejut. Ia akan menyebabkan tekanan darahnya menjadi tidak stabil.

Khabarnya, ada usaha menghalang majlis perlancaran Perkasa peringkat Negeri Perlis ketika mahu diadakan.

Timbalan Presiden Perkasa, Dato' Fuad Tan Sri Hasan yang juga Ketua Pengarah JASA diberitahu oleh pihak-pihak tertentu bahawa orang Melayu Perlis tidak memerlukan Perkasa. Kalau boleh, batalkan sahaja hasrat untuk menubuhkan cawangan Perkasa di Perlis kerana kehadirannya tidak dialu-alukan.

Kata sumber itu lagi, orang Perlis sudah ada Pemanis – satu pertubuhan orang-orang Melayu Perlis yang memperjuangkan nasib orang Melayu, mungkin selepas Umno sudah tidak mampu diharapkan melakukan sesuatu yang menyakinkan.

Namun, pemimpin Pemanis sendiri khabarnya bertemu dengan Md Isa memberitahu bahawa Pemanis perlu bersama-sama Perkasa kerana Pemanis hanya di peringkat negeri tetapi Perkasa di peringkat nasional.

Walaupun tidak berlaku pertengkaran antara Ameir Hasan dengan Md Isa, tetapi majlis perlancaran yang dijadualkan berlangsung di Dewan Sivik di Arau terpaksa dipindahkan di sebuah dewan di Hotel Putera Palace.

Nampaknya, Md Isa bukan sahaja bermasalah dengan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim tetapi turut bermasalah dengan bekas Setiausaha Politiknya sendiri yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Arau.

Dulu, heboh orang Perlis menceritakan bahawa tujuan Md Isa melantik Ameir menjadi Setiausaha Politiknya kerana mahu mengendurkan pengaruh Shahidan Kassim di Perlis – tetapi langkah mencabar Shahidan sebagai Ketua Umno Bahagian Arau gagal dilakukan.

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Umno Negeri Perlis, Dato' Hashim Suboh yang juga pemimpin besar 4B Kebangsaan berkali-kali mengeluarkan kenyataan ramai ahli-ahli Umno di Kangar sedang menimbangkan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR kerana kecewa dengan kepimpinan Umno Perlis.

Hashim dikatakan orang kuat Shahidan di Perlis dan suatu ketika dikatakan cukup berpengaruh di Bahagian Kangar. Tidak pula diketahui sejauh mana pengaruhnya sekarang selepas Md Isa berjaya menjadi Ketua Umno Bahagian Kangar, mengambil tempat Dato' Bakri Ali yang memberi laluan kepadanya.

Kalau Pakatan Rakyat dapat menyusun gerak kerja yang padu di Perlis, PRU 13, Pakatan Rakyat tidak ada masalah untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri ini.

Rakyat bukan sahaja sudah meluat dengan pertelagahan demi pertelagahan kepimpinan Umno di Perlis, malahan, mereka sudah mula terasa bahawa kepimpinan negeri sibuk dengan perbalahan tetapi perkhidmatan kepada rakyat, dipinggirkan.

Di seluruh simpang-simpang dari Arau ke Kangar, Arau ke Kuala Perlis, Kangar ke Padang Besar dan sekitar Jejawi, poster-poster besar gambar Menteri Besar terpampang. Bukan sedikit belanja digunakan untuk tujuan tersebut tetapi lihatlah longkang dan parit di kawasan-kawasan tersebut penuh dengan sampah dan longkang tersumbat.

Jangan sesiapa yang ingin ke Perlis tidak dapat mencari sebuah pun warung atau restoran yang boleh dikatakan bersih kerana PBT dikatakan tidak mengambil berat soal-soal kebersihan tempat makan di sekitar Kangar, Arau, Jejawi dan Padang Besar.

Dengan kehadiran Perkasa di Perlis dengan YDPnya bekas Setiausaha Politiknya, Md Isa akan lebih sibuk sekarang ini untuk mengekalkan kuasa selain musuh-musuh politik yang sedia ada, Hashim Suboh, Shahidan dan mereka yang tidak sebulu dengannya dan dengan bossnya, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Jika ketika Shahidan menjadi Menteri Besar, secara terbuka Shahidan menyebut dia bermasalah dengan Radzi dan bekas seorang lagi Menteri Kabinet, Dato' Seri Azmi Khalid, kini, Md Isa terpaksa mengaku bahawa sebelum dia menjadi MB Perlis, mungkin dialah yang menjadi sebab mengapa Shahidan dengan Radzi tidak pernah berdamai.

Bertanyalah dengan sesiapa sahaja orang-orang Umno, bukan sahaja di Perlis malahan dari luar Perlis juga tahu bahawa Radzi dilihat adalah Menteri Besar di belakang tabir di Perlis manakala Md Isa tidak berperanan apa-apa sebenarnya jika tanpa restu Radzi.

Md Isa pernah menafikan bahawa Radzi lebih berkuasa darinya di Perlis tetapi sebagai bekas Setiausaha Sulit Radzi ketika Radzi menjadi Timbalan Menteri suatu ketika dahulu, tiada siapa percaya yang Md Isa mentadbir Negeri Perlis tanpa tangan-tangan ghaib membantunya.

Dari segi politik nasional, peranan Umno Perlis seperti tidak langsung dihargai oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana tiada seorang pun, dari ketiga-tiga Ahli Parlimen Perlis dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kabinet.

Kelab Penyokong PAS kini diiktiraf sebagai dewan

MUQADIMAH: PAS menempa satu lagi sejarah dalam perjuangan dakwah dan politiknya apabila kini Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diserap menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS bertaraf sayap parti. Dasar-dasar yang telah didrafkan sebagai legitimasi kepada dewan ini memberi kelansungan kepada sinar politik dan pengharapan masyarakat bukan Islam dalam meneruskan sokongan kepada PAS. Mengupas perkembangan terkini, WAN NORDIN WAN YAACOB menemubual Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Boleh Dr jelaskan bila terbentuknya keputusan mengenai Himpunan Penyokong PAS, diperingkat pusat, dan bagaimana ia dipertimbangkan hingga terbentuknya dewan yang bersejarah ini?

Dr MUJAHID YUSUF: Terima kasih kepada pihak Harakah. Ingin saya maklumkan bahawa ia bermula dengan pembentangan awal draf ini pada 'retreat' PAS Pusat Jun tahun 2009 di Alor Setar.Kemudiannya, kali kedua setelah selesai beberapa pilihan raya kecil, dalam dua tiga bulan yang sudah. Selepas itu ia dibincang lagi dalam mesyuarat terakhir baru-baru ini, dibentang lagi.Bermakna dah tiga kali draf ini dibentangkan. Draf ini membawa makna ia legitimasi kepada undang-undang yang menuju kewujudan kelab ini. Contohnya, dia ada struktur sendiri, keahliannya, disiplinnya dan hak keperwakilannya ke dalam muktamar atau mesyuarat-mesyuarat PAS Pusat, negeri, hingga ke kawasan. Ia juga ada syarat-syarat keanggotaan dan sebagainya.

Maknanya ia sudah dipersetujui pada dasarnya?

Draf ini telah dibentang tiga kali dan pada mesyuarat terakhir di peringkat Pusat telah bersetuju dari segi dasarnya. Bagi saya ia hampir selesai. Cuma pembetulan dari segi teknikal bahasa sahaja, iaitu kita akan siapkan sebelum mesyuarat akan datang pada 10 Januari 2010.Dari segi dasar, tiada masalah bahkan pada mesyuarat lalu mereka mahu namanya diberi sedikit kekuatan dengan diberi nama Dewan Perhimpunan Penyokong PAS supaya dilihat ia sayap yang berperanan penting seperti dewan lain. Itu drafnya. Kita telah sediakan dan bekas Senator Ustaz Haji Hassan Shukri dilantik jadi pengerusi.

Baik, bagaimana kedudukan penyokong yang menjadi ahli dewan ini, terutamanya dalam muktamar dan peranan mereka dalam PAS?

Kita cuba elakkan terutamanya soal keahlian. Jika mereka hendak dijadikan ahli penuh maknanya PAS perlu meminda perlembagaan. Ia akan melibatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Pengalaman PAS dalam berurusan dengan ROS ini sebenarnya, jika nak hantar satu pindaan yang besar, melibatkan satu prinsip atau asas dalam perlembagaan, ia akan mengambil masa panjang untuk ROS luluskan.Malah, ia perlu dibawa ke muktamar untuk pindaan. Oleh kerana kita nak elak ia menjadi masalah yang panjang, kita menggunakan peruntukan (klause) yang ada dalam perlembagan kita yang menyatakan AJK PAS Pusat berhak membentuk apa-apa jawatankuasa yang dirasakan perlu.

Jadi keahlian mereka macam mana?

Jadi dengan peruntukan itu, kita telah diberi kuasa menubuhkan jawatankuasa ini dan kita setuju keahlian dewan ini keahlian di peringkat dewan sahaja tak melibatkan ahli menyeluruh kerana berasaskan kepada masalah yang saya sebutkan tadi. Namun demikian, status sebagai dewan perhimpunan ini tetap memberi hak hadir mesyuarat, hadir muktamar dan beri pandangan dan lebih dari itu jadi sayap parti khusus dalam persoalan bukan Islam.

Adakah mereka juga berhak untuk mengundi atau memilih perwakilan?

Oleh kerana macam saya kata tadi, pindaan perlembagaan secara besar-besaran tidak berlaku, yang berlaku hanya klause yang menyatakan jawatankuasa boleh membentuk.Di sana ada isu-isu yang menyentuh hak untuk mengundi di muktamar. Dia tak menyebut nama dewan ini sebab belum dipinda. Kita letak status mereka sebsagai pemerhati rasmi. Mereka berperanan macam perwakilan lain tetapi mereka tak boleh mengundi dan diundi buat masa ini. Namun, status itu tak kekal, maknanya ia boleh berubah tak kekal statusnya setakat itu sahaja.

Ada keperluan diubah pada masa akan datang?

Kemungkinan besar ada keperluannya nanti. Ini kerana kita baharu pada peringkat awal. Ia berpadanan dengan bersifat pemerhati rasmi sahaja, namun bila kita lihat adanya keperluan kita akan pinda lagilah.

Apakah respons penyokong bukan Islam terhadap pembentukan dewan ini?

Sebelum ini, mereka setia dengan Kelab Penyokong PAS (KPP), sudah tentulah gembira bila PAS mengiktiraf mereka jadi dewan dan ada undang-undang sendiri dan boleh hadir muktamar dan mesyuarat. Bagi mereka yang setia bersama KPP, ini satu perubahan besar. Mereka yakin masa depan dengan PAS sangat cerah. Dan bagi mereka yang bukan penyokong, akan dapat melihat ini sebagai satu pembaharuan yang PAS lakukan bukan hanya retorik sahaja.

Timbul persoalan, dalam menyentuh soal calon bagi pilihan raya kecil ataupun umum. Apakah mereka dari kelab boleh bertanding dengan lambang PAS seperti yang pernah dituntut KPP sebelum ini?

Kalau kita tengok dalam draf undang-undang ini, antaranya ada disebutkan mencalonkan ataupun mencadangkan calon-calon untuk pilihan raya apabila dikehendaki atau diminta PAS Pusat. Maknanya potensi mereka jadi calon ada. Namun ianya terpulang kepada pertimbangnan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama yang biasanya menapis calon-calon ini.Malah, ia juga bergantung kepada suatu rundingan dengan sahabat-sahabat dalam Pakatan Rakyat untuk letakkan di tempat yang sesuai. Draf juga menyebut mereka boleh jadi calon kepada kita untuk kita pertimbangkan. Mereka bukan sahaja duduk kekal sebagai dewan tetapi boleh jadi calon untuk mereka. Ini tidak mustahil akan berlaku. Isu ini perlu diperincikan keperluan siapa dan di mana. Secara peribadi saya rasa sangat perlu letak calon bukan Islam kalau tak ramai beberapa indidvidu di kawasan yang staretgik

Dengan kekecamukan parti komponen BN seperti MIC, PPP dan MCA, apakah peranan dewan ini dalam mendepani kemelut yang membadai mereka supaya sokongan bukan Islam akan terarah kepada PAS?

Peranan dewan ini besar walaupun kini kita tumpukan soal penjelmaan dewan ini. Ini bukan mudah. Insya-Allah akan kita selesaikan secepatnya.Tetapi pada waktu yang sama juga apa yang berlaku ialah kekecamukan dalam MIC, MCA dan PPP... di peringkat PAS memerlukan mereka sertai kita. Tetapi ditegaskan mereka yang nak masuk kena yakin dasar dan perjuangan PAS dan ada syarat dalam keahlian. Kita alu-alukan. Kita juga mahu penyertaan mereka dengan keyakinan dengan dasar-dasar PAS. Kita dah siap moduluntuk mereka masuk serap jadi ahli dewan kita dan kita adakan model latihan perkenalkan PAS.

Apakah terbentuknya dewan ini, sokongan kepada PAS akan meningkat, atau rakyat hanya akan melihat ia satu perubahan politik semata?

Sudah tentu meningkat. Salah satu sebab mengapa ditubuhkan atau diangkat jadi dewan ialah kerana aktivis kelab ini...mereka rasa mereka mahu lebih dihargai dan berperanan.Mereka mahu jadi sebahagian dari kita dan seterusnya orang bukan Islam ini bila lihat serap jadi dewan mereka lebih yakin dan bukan retorik lagi. Kita jadikan mereka sebahagian orgnaisasi kita. Ini komitmen PAS yang begitu telus dalam garap persoalan bukan Islam ini. Ini pengiktirafan besar. Kita harap ia berkembang dalam memperkenalkan PAS. Bukan lagi dari mulut orang Islam tetapi dari mulut orang bukan Islam.Saya juga ingin berpesan, Lajnah Perpaduan Nasional mahu minta semua pengerusi lajnah negeri memberi kerjasama erat supaya usaha kelab di negeri masing-masing diberi perhatian dan disokong supaya mereka dapat diserap dengan licin dengan daftar keahlian dan struktur negeri yang lebih tersusun.Beri kerjasama atas arahan lajnah pastikan proses ini berjalan lancar.