KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 13, 2010

Benarkah Kerajaan Johor bakal muflis pada 2012?

KUALA LUMPUR: PAS Johor akan menggerakkan perhimpunan rakyat sebelum menyerahkan memorandum kepada Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail ekoran kedudukan kewangan kerajaan negeri itu yang didakwa sangat lemah sehingga dijangka muflis pada 2012.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, bagi menggerakkan perhimpunan rakyat tersebut, PAS Johor akan mengambil masa dua hingga tiga bulan bagi memberi penerangan kepada rakyat negeri itu mengenai masalah kewangan Johor.

Jelasnya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, 8 Februari lalu, kempen berkenaan akan diisi dengan jelajah ke seluruh daerah di Johor, forum, ceramah, serta edaran risalah berkaitan.

Tambahnya lagi, jawatankuasa tersebut sedang mendapatkan sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan parti-parti politik.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad yang turut serta dalam sidang media tersebut mendedahkan kedudukan kewangan dan ekonomi negeri Johor tidak sehebat yang digambarkan.

"Pakar ekonomi meramalkan ekonomi (KDNK) negeri Johor akan berkembang 5 peratus pada 2010 mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional iaitu tiga peratus. Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan terus asing (FDI) sebanyak RM 40 bilion daripada sasaran RM47 bilion sehingga 2010.

"FDI yang diterima Johor dalam 2008 sebanyak RM 9.4 bilion merupakan 21 peratus daripada keseluruhan FDI yang diterima Malaysia. Sehingga Jun 2009, Johor dikatakan menerima RM2.6 bilion FDI iaitu merupakan 16.3 peratus daripada keseluruhan FDI yang diterima Malaysia. Angka-angka muluk ini sebenarnya indah khabar dari rupa," katanya.

Beliau mendedahkan, bagi tempoh tiga tahun berturut-turut negeri itu mengalami defesit sebanyak RM2.04 juta (bajet 2008), RM2.746 juta (bajet 2009) dan RM1.5 juta (bajet 2010).

Dalam masa yang sama katanya, hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan meningkat 20.6 peratus daripada RM841.13 juta pada 2007 kepada RM1,010 juta atau RM1.01 bilion pada 2008.

Jelasnya lagi, menurut laporan Ketua Audit Negara 2008, kecairan tunai (Liquidity Ratio) kerajaan Johor adalah rendah kerana jumlah aset semasa hanyalah berjumlah RM201.53 juta (Tunai RM36.37 juta dan pelaburan RM165.16 juta) berbanding tanggungan semasa yang berjumlah RM943.54 juta.

"Dengan kata lain, jumlah aset semasa tidak dapat menampung jumlah tanggungan semasa. Sebagai perbandingan jumlah aset semasa negeri Johor adalah RM1,424.66 juta manakala Pulau Pinang adalah RM1,025.89 juta," katanya.

Menurut Zulkifli, PAS Johor mengharapkan agar Sultan Johor campur tangan dalam urus tadbir kewangan Johor Corporation (Jcorp) dan kerajaan negeri yang sedang mengalami krisis yang serius.

Tambahnya lagi, perbelanjaan negeri Johor lebih kurang RM785 juta setahun atau RM65 juta sebulan dan ini bermakna jika tiada pendapatan baru diterima, maka jumlah aset semasa sebanyak RM201.53 juta hanya membolehkan Kerajaan Johor bertahan selama tiga bulan sahaja sebelum diisytiharkan muflis.

Jelasnya, hutang terkumpul Jcorp pula berjumlah RM4.032 bilion.

Beliau juga mempersoal kemampuan Jcorp menampung kekurangan sebanyak RM2 bilion atau RM2,000 juta memandangkan purata keuntungan sebelum cukai Jcorp adalah lebih kurang 600 juta setahun.

"Ini bermakna menjelang tahun 2012, Jcorp hanya mampu mengadakan lebih kurang RM1.5 bilion bagi menebus bayar bon. Kemungkinan Jcorp dan kerajaan negeri Johor akan mengambil jalan pintas dengan cara menjual aset-aset ataupun hartanah strategik milik mereka.

"CEO Iskandar Investment Berhad (IIB) juga telah membuat kenyataan baru-baru ini bahawa IIB telah membeli Menara Pejabat Plaza Kotaraya daripada Jcorp dan tapak CIQ di Stulang daripada kerajaan Johor. Sedangkan kedua-dua aset atau hartanah tersebut mempunyai lokasi yang sangat strategik dan sangat baik untuk disimpan sebagai pelaburan jangka panjang," kata Zulkifli.

Sehubungan itu, PAS Johor mendesak Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedudukan kewangan Jcorp dan kerajaan negeri yang sedang kritikal serta memberikan penjelasan kepada rakyat Johor sebab kedudukan kewangan negeri berada pada tahap sedemikian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga katanya seharusnya segera melakukan siasatan secara menyeluruh ke atas Jcorp dan 392 anak syarikatnya bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan kerugian besar yang dialami Jcorp serta menyeret mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Oi.. dah nak hujung 2012 ni, bila Johor nak bengkrap ni oi?

Nampak beno PAS penipu... Ptuiih.