KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 13, 2010

Umno gagal seret PAS dalam isu kalimah Allah - Chua Jui Meng


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Dato' Chua Jui Meng mendakwa isu penggunaan kalimah Allah yang menimbulkan kontroversi di negara ini dicetuskan Umno untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Jelasnya, Umno pada mulanya menganggap isu ini akan dipertahankan PAS sebaliknya, PAS dan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk mempertahankan penggunaan kalimah ini.

Chua yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat KeADILan sewaktu berucap sebagai ahli panel dalam Forum Perdana Kalimah Allah anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan penggunaan kalimah Allah sehingga tercetusnya insiden pembakaran gereja dan rumah ibadat adalah isu politik bukannya isu agama.

"Umno terkejut kerana pada mulanya mereka ingat PAS akan bersama-sama menyokong mereka tetapi selepas kejadian pembakaran gereja itu, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang pergi melawat kawasan tersebut, menyebabkan para peimpin Umno terkejut dengan tindakan PAS.

"Ditambah pula selepas pembakaran tersebut, penganut agama Kristian tidak memberontak dengan insiden itu dan mengampuni orang membakar gereja mereka," katanya.

Chua yang juga bekas Naib Presiden MCA mendakwa isu membakar gereja di Desa Melawati dan dua gereja di Petaling Jaya yang terletak di Selangor, negeri di bawah Pakatan Rakyat cuba digunakan sebagai strategi Umno untuk merampas kuasa di Selangor seperti yang pernah mereka lakukan di Perak sebelum ini.

Jelasnya, Umno akan mengharapkan orang Kristian membalas dendam di atas insiden yang berlaku dan seterusnya akan menimbulkan huru haru.

"Sekiranya tercetus ketegangan atau keadaan yang tidak aman di Selangor maka Umno akan mengisytiharkan darurat. Kita lihat apa yang berlaku di Kelantan pada 1977, ketika itu Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

"Ada pihak tertentu mengupah orang untuk membakar kedai serta harta orang Cina sehingga mencetuskan huru haru. Akhirnya darurat diisytihar dan pilihan raya diadakan. Akhirnya PAS tumbang di tangan Umno," katanya.

Chua menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tekanan kepada akhbar Herald Khotalik setelah penganut agama Kristian dikatakan cenderung menyokong Pakatan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke 12.

Ini kerana jelasnya, sebelum Pilihan Raya Umum 2008, berlaku demonstrasi besar-besaran oleh BERSIH dan Herald menyiarkan di muka hadapan artikel dan gambar demonstrasi BERSIH itu.

Beliau mendakwa menteri ketika itu mengeluarkan surat serta tekanan kepada NGO supaya menariknya balik, maka Herald Katolik tidak ada cara lain selain menuntut keadilan di mahkamah.

Tiada ulasan: