KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 13, 2010

Double standard Umno dan Rais yang merapu 'kipas' Najib!

RAKAN saya IDRIS SAMAD menulis begini: Tidak ada sesiapa yang terperanjat sebenarnya dalam seminggu dua ini apabila membaca terlalu banyak kenyataan keluar dari mulut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr. Rais Yatim.

Ada kenyataannya boleh dianggap lelucon, ada yang mengampu dan ada yang dilihat sekadar menunjukkan dia masih menjadi menteri dan sedang menjalankan kerja.

Yang dianggap lelucon ialah kenyataan yang menegaskan tindakan tidak perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang sudah meminta maaf atas keterlanjurannya – merujuk blogger yang mengutuk dan memburuk-burukkan Almarhum Sultan Iskandar Johor yang mangkat baru-baru ini.

Namun, apabila diserang hebat, Rais menarik balik kenyataan lucunya itu dan bersetuju siasatan dan pendakwaan terhadap blogger itu.

Kenapa Rais terlalu banyak bercakap? Adakah kerana dia seorang menteri yang memang diberikan peranan bercakap atau kerja sebagai Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memang mesti banyak bercakap, termasuk yang bukan bidang kementeriannya?

Ramai yang tertawa apabila Rais dipetik sebagai berkata, Tengku Razaleigh Hamzah sudah berubah dengan kenyataannya mengenai royalti minyak, berbanding dengan 10 tahun yang lalu.

Malahan, ada yang melihat Rais sebagai seorang yang pandai buat lawak kerana Rais sendiri juga berubah-ubah sebenarnya, jika sesiapa tahu 'tesis' yang dibuatnya dulu untuk melayakkannya mendapat PhD.

Cuma, disebabkan Rais yang kalah kerusi Naib Presiden Umno selepas banyak kali mencuba, menarik diri dan merajuk tidak pernah jemu untuk bercakap, seolah-olah di kalangan menteri yang ada dalam kabinet Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, dia sahajalah yang dilihat bekerja dan lebih penting, tahu membalas budi.

Bayangkan, dari semua calon Naib Presiden Umno yang tewas, hanya Rais seorang sahaja yang dilantik menduduki kerusi MT Umno, sedangkan mereka yang mendapat undi yang lebih tinggi dari Rais pun diketepikan seperti Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Rasanya Rais memang ditatang bagai minyak yang penuh oleh Najib.

Dulu, ketika Rais menyertai Parti Melayu Semangat 46, Rais pernah menjadi Timbalan Presiden parti itu tetapi dalam sejarah politik, dialah satu-satunya Timbalan Presiden parti pembangkang yang tidak pernah menang pilihan raya, sama seperti dalam Umno, dia tidak pernah menang kerusi Naib Presiden.

Namun, disebabkan dia pandai bercakap, banyak bercakap dan rajin bercakap dalam pelbagai isu, termasuk isu Menteri Besar Terengganu akan gugur seperti nangka masak – Rais nampaknya masih diterima oleh setiap Perdana Menteri, bermula dari Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Najib.

Rais mungkin mahu melupakan cerita Menteri Besar Terengganu akan gugur seperti nangka masak tetapi disebabkan ada orang yang tidak akan memaafkan kenyataannya itu, menuntut Rais membuat ucapan kononnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu berbeza dengan negeri-negeri lain.

Dari segi berubah, seperti kata Tengku Razaleigh ketika mengulas mengenai kata-kata Rais terhadapnya, Rais seorang sahaja yang tahu sejarah tetapi orang lain tidak tahu.

Tengku Razaleigh sebenarnya banyak tahu siapa yang lebih jauh berubahnya antara dirinya dengan Rais. Bukan setakat Tengku Razaleigh sahaja yang banyak tahu tetapi kawan-kawan Rais di Jelebu juga banyak tahu, termasuk orang yang pernah melantik Rais menjadi Penasihat Umno Bahagian Jelebu hingga menyebabkan akhirnya Rais menentang orang yang melantiknya itu dan Rais juga memecat orang itu dari jawatan Setiausaha Politik.

Inilah politik Umno sebenarnya. Mereka yang pandai buat lelucon pun masih boleh diterima sebagai seorang menteri yang dianggap penting kononnya!

Hari ini, ramai yang menunggu siapakah di kalangan Umno yang berani mencadangkan secara terus terang supaya Tengku Razaleigh dipecat.

Dalam Umno ada 'double standard'. Bila Tengku Razaleigh dianggap melakukan kesalahan melanggar disiplin parti, ramai yang menyerangnya termasuk mencadangkan Tengku Razaleigh supaya keluar dari Umno.

Tetapi dalam kes ada 10 Adun di Terengganu memboikot sidang Dun, tiada siapa pula yang berani mencadangkan supaya tindakan dikenakan terhadap 10 Adun ini.

Terbaru, ada dua Adun di Terengganu dari kalangan BN, menyerang Menteri Besar yang nyata menyalahi peraturan whip BN kerana mereka mempunyai ruang untuk bercakap dalam 'pre council' tetapi semua orang Umno, yang kecil dan yang besar, yang berjawatan dan yang tidak berjawatan tidak berani mencadangkan supaya tindakan dikenakan terhadap kedua-dua Adun ini.

Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh lebih besar dari kesalahan 10 Adun BN di Terengganu yang memboikot sidang Dun?

Soalan yang sama juga boleh ditujukan kepada dua Adun BN yang berucap seperti pembangkang di sidang Dun Terengganu, apakah kesalahan yang dilakukan mereka ini tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh?

Inilah yang tidak boleh diterima dalam Umno. Hukuman berbeza dari kesalahan yang serupa. Dulu, ketika Mohd Isa Samad dikenakan dakwaan politik wang ketika pemilihan Umno, dia digantung tiga tahun, dilucutkan jawatannya sebagai Naib Presiden Umno, Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Ketika Dato' Seri Mohd Ali Rustam ditangkap atas dakwaan serupa, dia dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno tetapi kemudiannya dilantik menjadi Ahli MT dan kekal sebagai Ketua Menteri Melaka dengan jawatannya sebagai ketua bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka dikekalkan.

Apakah Tengku Razaleigh akan mengalami nasib seperti Mohd Isa Samad?
Sementara 10 Adun BN di Terengganu pula akan dikekalkan di situ dan tiada apa-apa tindakan malahan mungkin diberi ganjaran lagi oleh pucuk pimpinan?

Malahan, perundingan 10 Adun ini dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim juga tidak diambil kisah oleh Perdana Menteri kerana Najib dan Muhyiddin mungkin ada perkiraan sendiri terhadap nasib Menteri Besar Terengganu yang dikatakan dilantik pihak istana dan bukan pilihan parti.

Tiada ulasan: