KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 13, 2010

Salah guna kuasa dan pecah amanah Kerajaan Pusat, Petronas


KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas mendakwa Kerajaan Persekutuan telah menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan bayaran royalti atau bayaran tunai tidak kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan juga telah melakukan pecah amanah kerana telah membelanjakan wang tersebut secara tidak telus dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat Terengganu yang dijanjikan terbela dan terjamin.

Tegasnya lagi, Petronas pula telah melakukan pecah perjanjian terhadap Kerajaan Negeri Terengganu kerana tidak membayar royalti atau bayaran tunai seperti mana yang termaktub dalam perjanjian dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

Tun Salleh mendedahkan perkara ini sewaktu diwawancara Harakah, bagi menjelaskan kemelut isu royalti petroleum yang membabitkan tuntutan Kelantan terhadap Kerajaan Pusat yang kini sedang berlangsung.

Tegas beliau, bayaran Tunai (Cash Payment) di bawah Akta Petroleum 1974 adalah bayaran yang 'wajib' dibuat oleh Petronas walau atas nama apa sekali pun yang diberi sama ada bernama Royalti, Wang Ihsan atau Dana Khas.

"Wang tersebut tetap kepunyaan Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia wajib dibayar di bawah Akta Petroleum 1974. Seperti mana yang telah saya nyatakan sebelum ini, 'Wang Ihsan' adalah suatu pemberian yang tidak wajib di mana tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan.

"Manakala, Royalti adalah bayaran yang diwajibkan mengikut Akta dan Undang-undang.

Tun Salleh yakin wang royalti untuk Negeri Terengganu (wang ihsan) ini tidak boleh dianggap sebagai hasil Kerajaan Persekutuan kerana sekiranya ia adalah hasil Kerajaan Persekutuan, ia mestilah dibayar masuk ke dalam 'Federal Consolidated Fund'.

"Yang mana perbelanjaan dan pengeluaran hendaklah melalui bajet dan Akta Bekalan (Supply Act). Ada kemungkinan besar, wang ini tidak dianggap sebagai hasil kerana ianya dibayar masuk ke dalam satu dana yang dinamakan 'Dana Khas' yang diurus oleh Kerajaan Persekutuan," tegas beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu sewaktu PAS memerintah Terengganu.

Ini bermakna, tegas Tun Salleh lagi, wang ini sebagai wang teras (wang amanah) dan mesti dibayar mengikut cara amanah, jika tidak, nescaya berlakulah pecah amanah (breach of trust).

"Setakat ini tidak ada ketelusan, bagaimana wang ini dibelanja dan apakah akaunnya?

"Kita juga tidak tahu adakah ianya diaudit oleh Ketua Audit Negara (Auditor General) dan adakah dengan cara ini, hasrat kerajaan Dr. Mahathir semasa mengeluarkan Kenyataan akhbar (press release) pada 5 September 2000 untuk membela rakyat Terengganu tercapai," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Kewangan yang juga pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tetap tidak bersetuju royalti diganti dengan wang ihsan walaupun RM20 juta dijangka akan diberikan kepada Kelantan Mac ini.

Dalam sidang medianya Jumaat lalu, Ku Li berkata, "Tidak ada perjanjian lain, yang saya 'sign' dan yang saya buat inilah dia! Tak ada yang lain, dan ini yang kita pakai sekarang kalau dia (Petronas) 'sign' kemudian hari perjanjian ini tidak laku la. Kalau ini tidak laku bermakna tidak sahlah Petronas tu.

Sambil mendedahkan surat perjanjian Petronas itu kepada media, Ku Li tetap mempertahankan bahawa hanya ada satu perjanjian sahaja dan Petronas seharusnya mengikut syarat perjanjian itu iaitu memberi royalti kepada Kerajaan Kelantan.

"Kita ada perjanjian, kita ada undang-undang. Jadi kita kena ikut undang-undang yang terpakai. Kita tidak boleh ikut selera kita sahaja, undang-undang ini Parlimen yang luluskan!

"Bukan perkara ini kita ambil tepi jalan, perjanjian ini Petronas dengan kerajaan negeri yang mewakili rakyat. Bukan perkara kecil. Tidak boleh hendak main-mainkan," tegas Ku Li.

Tiada ulasan: