KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 31, 2013

PAS JANGAN JADI MACAM UMNO, PASTIKAN KEPIMPINAN PARTI DITERIMA MASSA


Muktamar Agung PAS ke-59 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini adalah masa penting bagi PAS untuk menonjolkan imejnya yang baik kepada rakyat berbanding Umno. Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Hu Phang Chaw berkata, para pemimpin PAS jangan sekali-kali menghilangkan kepercayaan masyarakat bukan Islam kepada PAS untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan. 

Menurut beliau, Umno dan PAS adalah dua parti Melayu utama di negara ini dan kedua-dua parti ini pula berkebetulan akan berhadapan dengan dua perhimpunan besar pada November ini yang turut mengadakan pemilihan bagi jawatan tertingginya. Katanya, selepas PRU13 lalu, seluruh rakyat negara ini terutama masyarakat bukan Melayu sedang memerhatikan dengan penuh minat perkembangan yang berlaku dalam Umno dan PAS. 

"Jika PAS juga dilihat sama dengan Umno, ia pasti akan menghilangkan kepercayaan mereka terhadap PAS," tegas beliau ketika mengunjungi Harakah, 10 Okt lalu. Umno sekarang memang kucar lanar. Lebih 30,000 orang sedang merebut jawatan dalam parti itu di semua peringkat. Pemimpin Umno terpaksa mengingatkan kesemua pihak yang bertanding agar jangan cetuskan politik wang. Ini menunjukkan politik wang adalah perkara biasa dalam Umno," katanya.

Menurut Phang Chaw, untuk menghadapi pemilihan November ini, Umno juga turut menggunakan polis untuk menjaga peti undi dan ini jelas membuktikan parti itu telah menyalahgunakan aset awam bagi kepentingannya, memandangkan polis dan segala kemudahan awam itu adalah aset rakyat. Beliau berkata, mengikut dakwaan Umno mahu memartabatkan bangsa Melayu dan Islam, tapi sejak dulu sehingga sekarang, rakyat tidak nampak pun jasa yang dilakukan bagi memartabatkan bangsa Melayu dan mempertingkatkan syiar Islam.

"Hanya PAS yang dilihat oleh rakyat yang benar-benar mahu memartabatkan bangsa Melayu dan mempertingkatkan Islam. Dan PAS yang benar-benar mengutamakan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini dan dalam partinya. Jadi pada muktamar kali, inilah masa yang penting bagi PAS untuk menunjukkan imejnya yang baik itu supaya rakyat nampak perbezaan antara PAS dan Umno. Dengan itu baharulah PAS akan terus disokong oleh keseluruhan rakyat negara ini pada PRU14 akan datang," tegasnya. 

Sehubungan itu, Phang Chaw berharap agar para pemimpin PAS akan mengekalkan status quo yang ada dalam barisan kepimpinan sekarang terutama di peringkat pusat pada Muktamar ke-59 nanti.  "Janganlah ada perebutan dalam parti. Ini amat penting bagi membuktikan kepada rakyat bahawa para pemimpin PAS bukanlah golongan yang gilakan pangkat dan jawatan seperti dalam Umno.

"Sebaliknya, kitalah yang benar-benar berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu, untuk kepentingan Islam, untuk kepentingan rakyat. Ia bagi kepentingan negara, ke arah yang lebih baik dalam semua aspek termasuk politik, ekonomi, agama, pendidikan, adat resam, IT dan lain-lain lagi," katanya. Phang Chaw juga mengingatkan kepada mereka yang akan bertanding pada Muktamar ke-59 nanti agar sentiasa ingat bahawa PAS telah ditubuhkan sejak tahun 1961 dan telah menghadapi pelbagai rintangan.
  
"Kini telah tiba masanya untuk kita tentukan hala tuju kita menghadapi PRU14 akan datang. PAS bukan parti untuk satu kaum sahaja. Ini samalah juga dengan Islam yang bukan agama untuk satu kaum sahaja. Kita mestilah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan sokongan segenap lapisan masyarakat. Golongan muda dalam PAS juga mestilah berpandangan jauh. Saya tak tolak ulama, tetapi pemimpin-pemimpin dalam PAS mestilah pelbagai. Jika hanya satu kelompok sahaja, ia hanya akan jadi satu arah," tegas beliau.

Walaupun dalam PAS ulama adalah sebagai tonggak, tetapi golongan profesional juga amat penting digandingkan seperti yang dikehendaki oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hanya dengan perpaduan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS baharulah parti boleh maju, dan upaya membawa negara ini ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan semua pihak.

Phang Chaw menegaskan, sekiranya dalam PAS juga turut berlaku perebutan jawatan seperti dalam Umno, ia pasti akan menghilangkan kepercayaan masyarakat bukan Islam terhadap PAS termasuk ahli-ahli DHPP sendiri. 

"Jadi janganlah hilangkan kepercayaan masyarakat bukan Islam kepada PAS yang sangat kami sayangi. Sebelum ada DHPP, pernahkah PAS menang di kawasan bukan Islam dalam pilihanraya seperti yang berlaku dalam PRU-13 lalu?" tanya beliau - Lapor Aziz Muda Meja Harakah Kuala Lumpur

23 TAHUN KELANTAN REDAH RANJAU DURI BERSAMA KEMPIMPINAN ULAMA


Tanggal 21 Oktober 1990 Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan tanggal 21 Oktober lalu juga genap 23 tahun kerajaan di bawah kepemimpinan ulama. Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, bermula detik tersebut permulaan era baru berlaku di bumi Serambi Mekah.

"Kelantan menjadi perhatian banyak pihak, mereka mempersoal bolehkah Islam mentadbir? Sebaliknya selangkah demi selangkah kita menapak ke hadapan. Dalam tempoh 23 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya mengharungi pelbagai halangan dan karenah serta berjaya meletakkan asas yang jelas. Beliau telah meninggalkan satu laluan. Rakyat ditanamkan keyakinan cara mentadbir dan memerintah berpandukan hukum syariat," katanya pada sambutan 23 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, 21 Oktober lalu.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Abdullah Ya'kub; Pegawai Kewangan, Dato' Faudzi Che Mamat; anggota-anggota Exco dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nik Kazin Nik Yusof serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. Program sambutan bermula dengan munajat dan solat hajat jam 3.30 pagi.

Menteri Besar berkata, tugas beliau bersama pimpinan lain meneruskan perjalanan dengan membawa visi dan misi yang diasaskan bekas Menteri Besar. Visi kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang terlaksana nilai-nilai hidup Islam dan mendapat keredhaan Allah. Manakala misi melaksanakan agenda pembangunan negeri dan ummah berdasar ajaran Islam melalui pembangunan insan serta perancangan strategik.

"Kerajaan negeri telah menggubal wawasan bagi tempoh 2013-2018 untuk membolehkan rakyat menikmati keberkatan, kemakmuran dan kebajikan, penuh bermaklumat serta hidup sejahtera. Usaha itu digembling dengan mengoptimumkan hasil menerusi amalan urus tadbir cekap, telus dan berintegriti selari dengan visi, misi dan objektif dasar MBI," ujarnya. Wawasan itu meliputi usaha dilakukan bagi menguat dan mengembangkan agama, kedua, menggantikan ketakutan dengan keamanan.

Ketiga, keluasan kepada rakyat untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT. Kata Ustaz Ahmad, kerjasama yang utuh jentera pentadbiran negeri amat diperlukan bagi memastikan dasar MBI yang diperkenal 23 tahun lalu.

"Sejauh mana pun kita menanamkan cita-cita dan melakukan gerak kerja, Islam sebagai dasar dan asas tidak boleh dikesampingkan. Kita tidak gemar bercakap bahasa retorik. Kita lebih berminat kepada pelaksanaan janji dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.

Oleh itu beliau berharap agensi pelaksana di bawah setiap Exco digerakkan secara maksimum bagi memastikan lebih 50 program dan projek yang terkandung manifesto pilihan raya umum lalu dapat dijayakan. "Di samping itu kesemua komitmen Tuan Guru sebelum ini seperti projek lebuh raya, bekalan air, pembinaan stadium dan seumpamanya diambil tindakan serius ke arah mencapai realiti," katanya.

Menteri Besar juga berharap Pejabat Mufti, Majlis Agama Islam Kelantan, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam hendaklah berperanan lebih pro aktif ke arah pelaksanaan hukum Islam di Kelantan. Katanya, agensi terbabit hendaklah melangkah setapak ke hadapan membuat kajian dan mengutara apa jua bentuk program yang boleh dimanfaat kerajaan dan rakyat.

"Jika gerak kerja seperti itu wujud, misi untuk melihat Kelantan muncul sebagai sebuah tapak pengembangan agama serta menampilkan Islam yang lebih profesional lebih cepat dapat direalisasikan," tambahnya. Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelan pembangunan negeri berpandukan model Sistem Perancangan dan Pemantauan Projek Kelantan (S3PK).

Pelan tersebut katanya, merupakan pendekatan terkini Kelantan pasca 100 hari dan pelaksanaan tawaran pembangunan lima tahun (2013-2018). Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim pula berkata, Kelantan berjaya menjadi guru sehingga beberapa program yang dilaksanakan menjadi ikutan pihak lain. Katanya, kerja lima hari seminggu dan cuti bersalin tiga bulan telah diikuti kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain. Begitu juga skim pinjaman kenderaan, komputer dan perumahan tanpa faedah.

"Turut menjadi ikutan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahnu), pengharaman premis judi, pengawalan penjualan minuman keras, pusat hiburan dan sebagai. Ini sebagai petunjuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh kerajaan negeri memelihara syariat Islam," katanya. Teks ucapannya dibaca Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Nik Kazin Nik Yusof.

Dr Zainuddin berkata, pelaksanaan dasar Islam bukannya membantut kecemerlangan dalam perkhidmatan awam. Menurutnya, sepanjang 23 tahun pendekatan Islamik yang dilaksana telah membuahkan kejayaan termasuk mencapai tahap empat bintang dalam pelaksanaan star rating pejabat-pejabat SUK seluruh negara pada 2011.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato’ Ngeh Koo Ham turut merakam ucapan tahniah kepada kerajaan Kelantan. Sambutan ulang tahun tersebut berakhir jam 12 malam dengan ceramah menampilkan pemimpin utama Pakatan. Naib Presiden KeADILan, Nurul Izah Anwar mewakili parti tersebut dan Ngeh mewakili DAP. Turut hadir Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sebelum itu pada sebelah petang orang ramai beratur memberi pelbagai cenderahati kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz - Analisis Lanjusoh, Ketua Biro Harakah Kelantan. Foto Rizal Tahir & Zamani Mohd Zain

JAWATAN UTAMA JADI FOKUS MUKTAMAR PAS NOVEMBER INI SETELAH TG ABDUL HADI TIDAK DICABAR


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding sebagai Presiden PAS, setelah seorang lagi calon didapati tidak layak bertanding untuk merebut jawatan itu kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, disebabkan penolakan satu lagi pencalonan itu, borang pencalonan yang sah dan diterima oleh pihaknya bagi jawatan Presiden hanya satu sahaja.       

Bagaimanapun, Ustaz Abdul Hadi hanya akan diisytiharkan menang tanpa bertanding jika menerima pencalonan itu dengan memberikan jawapannya sebelum 8 November depan. Katanya, sehingga pencalonan ditutup pada 20 Oktober lalu, pihaknya menerima enam pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala satu daripadanya ditolak.  

Lima yang dicalonkan ialah Mohamad Sabu (penyandang jawatan), Dato' Husam Musa, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah, Salahuddin Ayub dan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini 24 Oktober lalu. 

Bagi jawatan Naib Presiden, pihaknya menerima 12 borang pencalonan, tetapi dua daripadanya ditolak kerana tidak memenuhi syarat. Seramai 10 pencalonan itu ialah Salahuddin Ayub (penyandang), Dato' Husam Musa (penyandang), Dato' Mahfuz Omar (penyandang), Ustaz Idris Ahmad, Mohamad Sabu, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah, Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa, Ustaz Nasrudin Hassan, Dato' Ustaz  Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Abu Bakar Chik.

Bagi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2013-2015 ini, pihaknya menerima 134 borang pencalonan daripada kawasan seluruh negara, tetapi 31 borang ditolak, menjadikan jumlah borang pencalonan yang sah dan diterima hanya sebanyak 103 borang sahaja.  

Asmuni berkata, calon-calon tersenarai boleh mengambil sendiri borang penerimaan pencalonan bermula 28 Oktober ini sebelum jam 2 petang dan sekiranya mereka tidak berbuat demikian, pihaknya akan menghantar borang penerimaan tersebut secara pos ekspres kepada mereka.

Semua calon perlu memberikan jawapan kepada Jawatankuasa Pemilihan pada 8 Nov sebelum jam 5 petang, sama ada bersedia untuk bertanding atau menarik diri. Bagi pemilihan kali ini, setiap calon perlu memberikan jawapan pada tarikh yang ditetapkan itu. Peraturan ini berbeza berbanding sebelum ini. 

"Sebelum ini calon yang tidak memberikan jawapan sama ada menerima atau menarik diri, dianggap sebagai terima. Tetapi untuk kali ini, kami menetapkan setiap calon yang gagal berbuat demikian (memberi jawapan pengesahan untuk bertanding) sebagai tidak layak untuk bertanding," ujarnya. 

Menurut Asmuni lagi, Jawatankuasa Pemilihan juga akan mengadakan satu lagi prosedur saringan selepas menerima jawapan pengesahan bertanding daripada calon-calon, bagi memastikan calon yang bertanding tidak berstatus muflis. Turut serta pada sidang media itu Pengarah Muktamar PAS Pusat, Dato' Takiyuddin Hassan. Muktamar PAS ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 Novomber ini di Shah Alam, Selangor. 

Dewan Pemuda PAS Pusat

Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, pihaknya menerima tujuh borang pencalonan, tetapi satu daripadanya ditolak, menjadikan hanya enam pencalonan sahaja yang sah dan diterima. Mereka terdiri daripada Ustaz Nasrudin Hassan (penyandang), Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Raja Yaakob,  Riduan Mohd Nor, Suhaizan Kaiat, Zulhazmi Sharif dan Kamarulzaman Mohamad.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula, 13 pencalonan diterima tetapi hanya enam layak untuk bertanding. Mereka ialah Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Aziz (penyandang), Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi,  Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Raja Yaakob, Kamarulzaman Mohammad dan Suhaizan Kaiat.

Bagi jawatan Naib Ketua pula, 20 borang pencalonan yang diterima, tetapi hanya lima sahaja yang layak bertanding iaitu Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Raja Yaakob (penyandang), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi, Mohd Khairul Nizam Khairuddin, Ustaz Nazri Chik.

Sebanyak 115 kawasan membuat pencalonan untuk jawatan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat, tetapi 32 borang ditolak menjadikan hanya 83 borang pencalonan sahaja yang sah dan diterima oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan. 

Dewan Muslimat PAS Pusat

Bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, sebanyak enam borang pencalonan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan, tetapi dua daripadanya ditolak. Mereka ialah Siti Zailah Mohd Yusof (penyandang), Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Halimah Ali dan  Ustazah Nuridah Salleh.

Bagi jawatan Timbalan Ketua, tujuh daripada lapan pencalonan yang diterima yang terdiri daripada Dr Siti Mariah Mahmud (penyandang), Mumtaz Mohd Nawi, Siti Zailah Mohd Yusof, Dato' Siti Aishah Ghazali, Dr Najihatussalehah Ahmad, Dr Halimah Ali dan Ustazah Nuridah Salleh.

Sebanyak 122 kawasan membuat pencalonan untuk jawatan dalam Dewan Muslimat PAS Pusat, namun 13 daripadanya ditolak, menjadikan hanya 109 borang pencalonan sahaja yang sah dan diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan.

UNTUK TAWAN MALAYSIA, TUMBANGKAN BN, BERSIH 4.0 PERLU DIGERAKKAN DARIPADA SEKARANG!


Harapan rakyat negara ini untuk melihat PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei lalu diadakan dengan bersih, adil dan telus, akhirnya berkecai. Meskipun menjelang pilihanraya, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin Umno-BN lain, sering melaungkan transformasi politik, transformasi yang dilaungkan hanyalah slogan kosong semata-mata.

Realiti yang berlaku dalam PRU13 lalu tetap sama dengan pilihanraya-pilihanraya umum sebelumnya. Perjalanan pilihanraya masih diselaputi pelbagai kepincangan, penipuan, manipulasi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa oleh Umno-BN dalam pelbagai aspek, sehingga menyebabkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selaku badan bebas terus kekal menjadi alat pihak memerintah. 

Sebelum PRU13 berlangsung, rakyat telah mendesak kerajaan Umno-BN yang memerintah agar melaksanakan lapan perkara. Kelapan-lapan tuntutan itu dikemukakan menerusi siri himpunan aman yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), dengan dimulai Himpunan Bersih di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 10 November 2007 yang dihadiri lebih 100,000 rakyat dari seluruh negara. 

Menerusi Himpunan Bersih ini, pihak penganjur menuntut pihak pemerintah agar melaksanakan empat tuntutan utama. Pertama, penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketempangan yang sedia ada dapat dihapuskan. Kedua, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda. 

Tuntutan ketiga, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara, manakala keempat, akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihanraya supaya semua parti politik boleh menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia. Kesemua tuntutan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan oleh pihak penganjur kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra.

Setelah perhimpunan aman Bersih berlangsung, dengan pelbagai risiko yang terpaksa ditanggung oleh rakyat ekoran pelbagai provokasi pihak berkuasa, rakyat terus bersemangat untuk mengikuti himpunan aman Bersih 2.0 pada hari Sabtu, 9 Julai 2011, dengan matlamat untuk membersihkan perjalanan pilihan raya di Malaysia. Bersih 2.0 turut memperlihatkan penyertaan rakyat dengan lebih menyeluruh dengan disertai hampir 500,000 orang. Menerusi Himpunan Bersih 2.0, pihak penganjur memperkemaskan lagi desakannya dengan mengemukakan lapan tuntutan untuk dilaksanakan oleh pihak pemerintah. 

Tuntutan tersebut terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin oleh kepimpinan utama Bersih yang dipengerusikan bersama Dato' S. Ambiga dan Dato' A Samad Said. Lapan tuntutan tersebut terdiri daripada bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa kempen minimum 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selepas Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, Kerajaan BN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan perkara bagi menambahbaik pilihan raya. Pada 3 April 2012, laporan jawatankuasa itu telah dikemukakan ke parlimen, namun cadangan jawatankuasa itu ke arah penambahbaikan perjalanan pilihanraya tetap juga tidak dipedulikan oleh kerajaan.

Sebaliknya, Kerajaan BN hanya seperti 'bermain wayang' dengan rakyat melalui penubuhan jawatankuasa itu. Cadangan PSC, antaranya agar daftar pemilih dibersihkan dan kerajaan melaksanakan akses media yang bebas dan adil tetap tidak dipedulikan. Malah, pelbagai alasan pula diberikan oleh pihak pemerintah untuk tidak melaksanakan perkara itu, tetapi dengan jawapan yang penuh putar belit.

Permainan politik kotor Umno-BN itu telah dapat dibaca pihak Bersih, para pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO-NGO yang prihatin. Akhirnya Bersih terpaksa mengadakan pula Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 di pusat bandar Kuala Lumpur. Perhimpunan yang dikenali "Duduk Bantah" itu diadakan dengan dukungan kuat Pakatan Rakyat dan turut disertai 84 buah NGO dan ia diadakan serentak di seluruh negara dan di seluruh dunia. 

Menerusi perhimpunan itu, pihak penganjur konsisten dengan lapan tuntutannya seperti yang terdapat dalam memorandum Bersih 2.0. Selain itu, menerusi Bersih 3.0, pihak penganjur turut menuntut kerajaan membenarkan pemerhati antarabangsa memantau perjalanan pilihan raya di Malaysia. Alasan pihak Bersih, jika Kerajaan Myanmar dan Thailand pernah menjemput Malaysia memantau pilihanraya di negara mereka, mengapa tidak dengan Malaysia? Kebangkitan rakyat sememangnya disedari oleh Umno-BN. Untuk menunjukkan ketelusan, SPR telah bersetuju untuk melaksanakan salah satu daripada lapan tuntutan Bersih, iaitu penggunaan dakwat kekal. 

Namun setelah PRU13 berlangsung, rakyat ternyata telah ditipu apabila dakwat yang dikatakan kekal itu sebenarnya tidak kekal. Bukan boleh tahan lima hari, malah dakwat itu boleh ditanggalkan dengan mudah hanya beberapa minit setelah disapu pada jari. Dengan ratusan ribu kes dakwat tidak kekal bersama 1,500 laporan polis serta pelbagai dakwaan dan bukti penipuan lain, BN masih boleh mengisytiharkan kemenangannya pada PRU13 lalu. 

Dengan kemenangan penuh penipuan dengan sokongan minoriti kurang "47 peratus", BN terus memerintah negara ini dengan memijak-mijak rakyat untuk kemewahan tidak terperi kaum kerabat serta kroni mereka. Menjelang pilihanraya, pemimpin Umno-BN berjanji kepada rakyat untuk tidak menaikkan harga petroleum, barangan dan tambang pengangkutan awam, tetapi setelah lima bulan memerintah kembali, harga petroleum khususnya RON95 dan diesel telah dinaikkan sebanyak 20 sen menjadikan harganya meningkat kepada RM2.10 dan RM2.00 seliter.

Harga ayam turut naik. Untuk mengatasinya, menteri 'cap ayam' telah meminta rakyat beralih kepada ikan, pada hal harga ikan jauh lebih tinggi daripada harga ayam. Kini turut pula kedengaran subsidi gula akan dikurangkan. Ini akan menjadikan harga gula meningkat tidak lama lagi. Menteri 'cap ayam' pula mengatakan tindakan itu dilakukan untuk kesejahteraan rakyat. Amat banyak kepincangan yang berlaku sepanjang negara berada di bawah pemerintahan BN. 

Selain rasuah yang semakin membarah dalam seluruh sistem pentadbiran kerajaan, penyelewengan, pemborosan dan ketirisan yang bermaharajalela, hutang negara semakin meningkat sehingga kepada kadar 53.3 peratus sekarang, manakala hutang isi rumah pula meningkat kepada 83 peratus.  Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini turut mendedahkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pelbagai agensi kerajaan. 

Laporan Ketua Audit Negara tahun-tahun sebelum ini turut mendedahkan perkara yang sama berserta cadangan untuk mengatasinya, namun para pemimpin Umno-BN ternyata tidak pernah berusaha ke arah itu. Majoriti rakyat sudah semakin sedar dengan segala salah laku dan salah urus kerajaan Umno-BN selama ini, namun rakyat gagal menukar BN kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya. 

Setelah keputusan PRU13 diumumkan, Pakatan Rakyat telah melancarkan #Black505, namun menemui jalan buntu. Malah ia tidak terkesan secara menyeluruh kerana tiada hasil yang nyata. Akhirnya rakyat letih untuk meneruskan perlawanan di jalanraya kerana telah masak dengan 'endingnya', iaitu hanyalah dengan ceramah, sedangkan ceramah tidak pun berjaya membawa perubahan yang diharapkan.

Kini sudah tiba masanya untuk Bersih menggerakkan satu aksi yang mampu membawa perubahan baharu. Setelah berjaya mengadakan Himpunan Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 secara aman, para pemimpin Bersih kini perlu menggerakkan pula Himpunan Bersih 4.0 bagi membolehkan PRU14 nanti benar-benar diadakan dengan bersih, adil dan telus. 

Bagi mencapai maksud itu, pihak Bersih perlu menyusun langkah yang lebih kemas dan berkesan untuk menarik penyertaan yang lebih ramai. Jika pada Himpunan Bersih 3,0 lalu disertai sekitar 500,000 orang, Himpunan Bersih 4.0 perlu disasarkan dengan penyertaan yang benar-benar mencapai sejuta orang. Sesungguhnya, tiada cara lain lagi untuk mengajar Umno-BN supaya akur dengan desakan rakyat selain mempamerkan kebangkitan rakyat kepada mereka. 

Langkah ini patut dimulakan sekarang bagi membolehkan momentum kebangkitan rakyat berterusan sehingga Umno-BN benar-benar berjaya ditumbangkan menerusi pilihanraya yang bersih, adil dan telus pada PRU14 pada tahun 2018 nanti. PAS, KeADIlan dan DAP yang berada dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak boleh 'berehat' panjang. Sokongan yang padu perlu diberikan kepada Bersih agar menggerakkan himpunan aman Bersih 4.0 daripada sekarang, bagi membolehkan tampuk pemerintahan negara beralih kepada Pakatan Rakyat pada PRU14, atas matlamat untuk menyelamatkan negara daripada terus dihancurkan oleh para pemimpin Umno-BN yang tidak bertanggungjawab - Analisis Aziz Muda, Harakah

PENDUDUK KAMPUNG CHUBADAK TAMBAHAN, SENTUL DITUDUH PENCEROBOH OLEH DBKL


Slogan "Rakyat Didahulukan" kegemaran Perdana Menteri hanya menjadi gula-gula pilihan raya apabila Kampung Chubadak Tambahan yang berusia lebih 100 tahun cuba dihapuskan dari Mukim Setapak. Tanpa usaha pihak agensi kerajaan berunding terlebih dahulu dengan penduduk kampung, dua unit rumah diroboh jentolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 23 Oktober lalu.

Lebih menyedihkan, DBKL dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan bersekongkol bertindak di luar batasan kemanusiaan ke atas penduduk terbabit. Rumah penduduk diroboh ketika mangsa tiada jaminan tempat perlindungan dan beberapa ahli keluarga ditumbuk dan dilayan secara kasar untuk mereka meneruskan operasi meroboh. Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Ramli Ahmad, 44, (gambar kanan) memberitahu, penduduk berjuang mempertahankan hak tanah mereka kerana bayaran pampasan yang ditawarkan tidak setimpal. 

"Mereka janji pampasan 'air liur' (bukan secara bertulis) kepada kami. Ada serendah RM7,000 sedangkan nilai hartanah di sini sudah mencecah ratusan ribu ringgit. Itu masalahnya," kata beliau ketika ditemui Harakah pada hari kejadian. Ujarnya, sebelum ini pihak penduduk telah berkali-kali menghantar surat rayuan kepada PTG untuk bersemuka bagi tujuan rundingan tetapi tiada maklumbalas yang sewajarnya diterima.

Dilema penduduk di kampung berstatus Tanah Rizab Melayu itu juga dirumitkan lagi dengan percaturan birokrasi daripada segi kawalan pentadbiran tanah. Menurut Setiausaha Badan Bertindak Surau Ikhlasiah, Zaini Abdullah, 41, (gambar bawah) tanah kampung seluas kira-kira 60 ekar itu seolah-olah dibahagi kepada empat pemilik. Penduduk yang sudah lebih tiga atau empat generasi tinggal di sini boleh dianggap penceroboh ketika tanah kampung mereka dipegang oleh Suruhanjaya Tanah Negara, Kementerian Kesihatan selain DBKL dan pemaju, dedahnya.

"Seolah-olah ada kerjasama jahat antara agensi atau jabatan kerajaan tertentu yang hampir 100 peratus Melayu dengan pihak pemaju yang difahami milik Cina. Kita sudah hantar surat kepada Yang Dipertuan Agong dan Pejabat Perdana Menteri bulan lepas tetapi sampai hari ini tiada jawapan," katanya.

Sehubungan itu, Zaini mewakili penduduk kampung memberi amaran keras kepada pihak DBKL dan PTG supaya tidak lagi meneruskan operasi roboh sehingga Dato' Seri Najib Tun Razak turun bersemuka menemui mereka. Pemilik rumah pertama dirobohkan, Abd Hamid Saad, 60, memaklumkan pemaju bahkan DBKL dan PTG sama sekali tidak pernah datang berunding secara rasmi bersama penduduk. Jelas isteri beliau, Mahwiyah Daud, 55, mereka terdiri daripada 11 anak dan ahli keluarganya berasa amat teraniaya dengan tindakan angkuh pihak berkuasa terbabit.

"Kami masih dalam proses mahkamah bagi menguruskan tuntutan penduduk berdepan kerakusan pemaju itu. Bahkan, 11 November depan giliran kes bagi tapak rumah kami akan disambung bicara semula. Undang-undang macam sudah ada di tangan mereka. Datang rumah orang siap tumbuk tanpa belas kasihan kepada kami orang tua," rintih beliau di atas runtuhan rumahnya yang diroboh pagi itu. 

Anaknya, Amirah Nabiha Abd Hamid, 24, menceritakan babak mereka sekeluarga dikasari penguatkuasa sejurus keseluruhan rumah mereka diroboh ketika sejumlah peralatan dan barangan masih ada di dalam rumah. 

"Tiba satu peringkat mak saya mungkin terlalu stres terbaring di depan pintu tetapi ada seorang pegawai DBKL tetap bagi arahan kepada anak buahnya dengan lantang, 'Masuk saja!' Saya marah bila anggota DBKL itu selamba mahu melangkah saja ibu saya yang terbaring. Adik lelaki saya pun ditumbuk beberapa kali kerana menghalang rumah kami daripada diceroboh," ujar beliau sambil mencari barangan yang masih boleh diguna di celah runtuhan rumahnya.

Mengulas tindakan biadap itu, saksi yang juga penduduk kampung, Nasir Yahya, 49 mengesahkan pegawai bermisai tebal itu bernama Raja Zaini berdasarkan tanda nama tertera pada uniformnya. Pemilik rumah kedua yang turut menjadi mangsa mahu dirobohkan,  diduduki pasangan suami isteri warga emas yang mempunyai empat anak dan 16 cucu. 

Namun, ketika DBKL merobohkan sebahagian dapur rumah yang dihuni lebih 50 tahun itu, kehadiran Pembantu Khas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip berjaya menghalang operasi perobohan itu daripada diteruskan. 

Selepas rundingan berlangsung di antara beliau dengan pegawai PTG dan DBKL, operasi zalim itu dihentikan sehingga perbincangan selanjutnya bagi menyelesaikan tuntutan penduduk diadakan. Mangsa, Halim Abd Hamid, 75, dan isterinya, Wahida Salleh, 72, kecewa dengan tindakan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa.

"Kami tinggal tiga keluarga di rumah ini. Sejak tahun 1964 lagi saya di sini sebagai konduktor bas GTC (sebelum bertukar nama kepada Srijaya) ketika itu," ujarnya menahan sebak. Jiran mereka, Suhaimah Alang Dom, 71, biarpun berkerusi roda tetap hadir memberi sokongan kepada sahabat karibnya, Wahida. Suhaimah yang masih mempunyai empat anak dan 22 cucu dengan empat cicit kini tinggal di kampung itu bersama cucunya. 

"Saya menghuni di sini sejak tahun 1963 dan sudah lama berjiran dengan Wahida dan bercucu cicit di kampung ini. Masa itu bahagia walaupun belum ada bekalan air sempurna dengan keadaan masih lagi berbukit-bukau. Tapi sekarang saya paling sedih bercampur marah apabila Kerajaan BN begitu mudah mahu halau kami dari sini," katanya yang dipercayai orang kampung paling tua di kampung itu.  

Tindakan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan PTG meroboh rumah penduduk kemudian menawarkan rumah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) disifatkan ibu kepada tiga cahaya mata, Norhalmi Ahmad, 32, (gambar kanan) sebagai amat melampau.

"Roboh dulu kemudian paksa orang kampung tanda tangan ambil rumah PPR. Adilkah begitu? Ini rumah orang kampung bukan reban ayam," tegas anggota tentera yang lahir dan dibesarkan di kampung itu. Bagi Abdul Aziz Zainon, 29, tindakan jabatan kerajaan terbabit bersekongkol dengan pemaju semakin jelas selepas didapati anggota DBKL, PTG serta polis akan memasuki kawasan Kondominium Sentul Utama yang terletak bersebelahan kampung mereka.

"Sudah jadi kebiasaan, habis saja mana-mana operasi, mereka akan masuk ke kondominium yang kami percaya terdapatnya pejabat pemaju di sana," dedahnya. Intipan Harakah kemudiannya di luar tembok kondominium yang dimaksudkan pada jam 4 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas operasi meroboh dihentikan mendapati maklumat penduduk tersebut benar.

Beberapa kenderaan pihak berkuasa terbabit kelihatan melepasi kawalan keselamatan di pintu masuk kondominium itu. Daripada celah tembok batu kelihatan beberapa anggota DBKL menjamah hidangan di ruang terbuka di bawah kondomonium tersebut.  Sebuah van polis turut dilihat cuba memasuki kondominium itu tetapi berpatah balik selepas menyedari pergerakan mereka diperhatikan Harakah - Lapor Arif Atan Wartawan Meja Harakah Kuala Lumpur

MAMPUKAH NAJIB TUN RAZAK MENANGANI TEMPIAS EKONOMI RAPUH AMERIKA SYARIKAT?


Mukadimah: Belanjawan Pakatan Rakyat minggu lalu didahului dengan pendedahan realiti semasa ekonomi dunia yang rapuh ekoran ketidaktentuan Amerika Syarikat dalam menyelesaikan hutang negaranya. Pakatan juga menyedari kemelesetan ekonomi yang melanda Eropah selain prestasi ekonomi China yang kurang memberangsangkan serta kelembapan pemulihan ekonomi India. Ikuti kupasan pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop yang juga bekas Penolong Gabenor Bank Negara mengenai isu ekonomi global ini dan tempiasnya kepada Malaysia bersama wartawan Harakah, ARIF ATAN. 

HARAKAH: Boleh Dr terangkan secara ringkas tentang 'had hutang' (debt ceiling) kerajaan Amerika ini? 

DR ROSLI YAAKOP: Had hutang atau 'debt ceiling' adalah jumlah hutang terkumpul tertinggi yang dibenarkan oleh undang-undang kerajaan AS boleh meminjam. Apabila hutang terkumpul telah mencecah had ini, AS tidak boleh lagi meminjam atau menambahkan hutang melainkan had itu dinaikkan melalui kelulusan majoriti Dewan Kongres dan Senat. Had hutang kerajaan Amerika sekarang ialah USD16.699 trilion. Berdasarkan anggaran, hutang terkumpul AS akan mencapai had ini pada 1 Oktober 2013. Dewan Kongres dan Senat sehingga 30 September 2013 telah gagal mencapai persetujuan untuk menaikkan had itu ke paras yang lebih tinggi sesuai dengan keperluan dana untuk menampung perbelanjaan negara dan membayar hutang. Akibatnya, Kerajaan Amerika terpaksa menutup pelbagai perkhidmatan kerajaan yang 'non-essentials' dan mengarahkan kakitangan awam terbabit pergi bercuti tanpa gaji berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2013. 

Kenapa Kongres enggan meluluskan usul menaikkan had hutang yang dikemukakan Presiden, Barrack Obama kepada Kongres sehinggalah ke saat-saat akhir? 

Perlu diingat sejak tahun 2001, Kongres dan Senat Amerika telah menaikkan had hutang kerajaan sebanyak 10 kali. Ada ketikanya sampai hanya tinggal satu atau dua hari sahaja lagi sebelum 'default' atau kegagalan membayar hutang bakal berlaku. Namun, selama ini Kongres tidak pernah gagal mencapai persetujuan untuk menaikkan had hutang itu ke paras yang lebih tinggi sekaligus mengelakkan berlakunya 'default'.  Hanya kali ini – dalam tahun 2013 - Kongres Amerika yang dikuasai Parti Republican (Presiden Amerika, Barrack Obama dari Parti Demokrat) gagal mencapai persetujuan untuk menaikkan had hutang lalu mencetuskan 'debt-ceiling crisis' yang membawa kepada penutupan operasi kerajaan. Kongres yang dikuasai Parti Republikan (majoriti 232-200) menolak usul Presiden Obama untuk menaikkan had hutang. Hanya pada pada hari Khamis, 17 Oktober 2013 Kongres  mencapai persetujuan menaikkan had hutang dengan undi majoriti 285-144 dan seterusnya diluluskan oleh Dewan Senat dengan undi majoriti 81-18. Maka berakhirlah 'krisis had hutang' dan perkhidmatan kerajaan  yang telah ditutup selama dua minggu dibuka semula.  

Apakah ia benar-benar berakhir?

Dilaporkan ahli Kongres dari Parti Republikan 'begrudgingly agreed to support the measure'. Perwakilan Parti Republikan enggan menyokong usul Presiden untuk menaikkan had hutang kecuali ia diluluskan bersama-sama program pengurangan perbelanjaan yang diusulkan oleh parti itu. Mereka juga menolak program 'healthcare' (Obamacare) yang melibatkan penambahan besar dalam belanjawan tahunan kerajaan Amerika.  Presiden Obama telah memeterai 'Affordable Care Act' yang meluaskan pengliputan 'health care' kepada berjuta-juta lagi rakyat Amerika yang dilihat sebagai 'counter-productive' kepada usaha untuk mengurangkan defisit belanjawan.   

Macam mana penutupan operasi Kerajaan AS sejak 1 Oktober lalu - buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun ekoran pertelingkahan belanjawan - menjejaskan rakyat negara itu? 

Akibat daripada kegagalan Kongres mencapai persetujuan menaikkan had hutang, AS pimpinan Presiden Obama terpaksa menutup operasi 'non-essential services'.Akibatnya, lebih 700,000 kakitangan awam terpaksa mengambil cuti tanpa gaji (unpaid leave) dan operasi pelbagai perkhidmatan seperti national parks, tourist sites, government websites, government office buildings dan sebagainya tergendala. Seandainya Kongres terus gagal mencapai persetujuan untuk menaikkan had hutang sebelum 17 Oktober 2013, kerajaan Amerika akan kehabisan tunai untuk membayar pelbagai perbelanjaan termasuk pembayaran hutang negara. Dalam sebuah laporan, Perbendaharaan Amerika memberi amaran bahawa kegagalan kongres meningkatkan had hutang akan membawa padah berikut: "A default would be unprecedented and has the potential to be catastrophic. Credit markets could freeze, the value of the Dollar could plummet, US interest rates could skyrocket, the negative spillovers could reverberate around the world and there might be a financial crisis and recession that could echo the event of 2008 or worse". Dalam dua minggu pertama bulan Oktober, kadar bunga jangka pendek (bawah 6 bulan) di AS sudah pun meningkat. 

Apa yang dianggarkan oleh para penganalisis ekonomi?

Penganalisis menganggarkan penutupan operasi kerajaan dalam tempoh 1 sehingga 17 Oktober 2013 telah menyebabkan ekonomi Amerika kerugian sebanyak USD300 juta sehari. Penganalisis di Goldman Sach pula menganggarkan bahawa penutupan operasi kerajaan boleh membawa kepada penurunan sebanyak 0.2 peratus ke atas kadar pertumbuhan KDNK Amerika  bagi setiap minggu penutupan itu berterusan. Syarikat penarafan antarabangsa, Standard & Poor pula menganggarkan bahawa ekonomi AS kerugian RM24 bilion akibat penutupan operasi kerajaan selama dua minggu itu. Krisis had hutang Amerika, seandainya tidak diselesaikan segera, dikhuatiri boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi dunia. Ketua ahli ekonomi, kumpulan Kewangan Antarabangsa (IMF), Oliver Blanchard melihat kegagalan menyelesaikan krisis itu boleh menggagalkan pemulihan ekonomi yang sedang berlaku di AS sekarang.Bahkan, gejala itu boleh menjerumuskan ekonomi negara itu ke kancah kemelesetan sekaligus membawa kesan buruk kepada hampir semua negara di dunia. 

Tun Dr. Mahathir Mahathir mendakwa ekonomi negara tidak terjejas ekoran penutupan operasi Kerajaan AS. Kata Mahathir, nilai perdagangan antara Malaysia dan Amerika dulu sebanyak 20 peratus tetapi sekarang sudah berkurangan dan apa berlaku di negara itu, kata Mahathir, tidak memberi kesan besar kepada Malaysia. Bagaimana Dr melihat kenyataan Mahathir itu? 

Benar, kedudukan AS sebagai rakan dagang Malaysia telah mengecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi ia masih penting di tempat kelima selepas China (pertama), Singapura (kedua), Jepun (ketiga) dan EU27 (keempat). Dalam tahun 2012, eksport Malaysia ke Amerika bernilai RM15.4 bilion sementara import Malaysia dari Amerika bernilai RM12.4 bilion. Ianya lebih besar kalau eksport dan import melalui Singapura diambil kira selain pelaburan asing langsung (FDI) banyak mengalir ke Malaysia dari AS dalam puluhan billion ringgit setiap tahun. Lagipun, sebahagian besar rizab luar negara kita (Malaysia’s external reserves) dilabur dalam 'USD-denominated assets'. Bayangkan apa yang akan berlaku ke atas nilai rizab luar negara kita sekiranya nilai pertukaran American Dollar merosot teruk. Oleh itu, tidak tepat untuk menganggap krisis ekonomi AS tidak akan membawa mudarat yang signifikan ke atas ekonomi Malaysia. Sebaliknya, krisis hutang Amerika, jika berlarutan, pasti memberi kesan negatif yang signifikan ke atas ekonomi Malaysia.  

Akhirnya, pada 17 Oktober 2013, Kongres Amerika telah meluluskan penambahan had hutang AS. Apa kandungan penting di dalam penyelesaian krisis had hutang yang telah di capai oleh Kongres Amerika pada hari Rabu, 17 Oktober 2013? 

Kandungan penting dari persetujuan yang telah dicapai dalam menyelesaikan had hutang negara AS adalah seperti berikut: Pertama, membenarkan Perbendaharaan Amerika membuat pinjaman sehingga 7 Februari 2013 dan mengekalkan kuasa meminjam secara darurat (emergency flexibility) bagi mengelakkan 'default' untuk satu tempoh sementara selepas tarikh tersebut. Kedua, membenarkan kerajaan berbelanja sehingga 15 Januari 2014 dan membenarkan kakitangan awam berkerja semula dan segala gaji tertunggak akan dibayar. Ketiga, mengarahkan ahli-ahli Kongres dan Senat untuk terus merundingkan and mencapai persetujuan mengenai belanjawan negara sehingga bulan Disember 2013. Keempat, memasukkan peruntukan mengkehendaki pengesahan pendapatan bagi penerima subsidi di bawah 2010 Health-care Law (Obamacare). 

Apakah ini langkah penyelesaian?

Jelas, langkah penyelesaian yang diambil bersifat 'stop-gap measures'. AS memerlukan satu langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah keberhutangannya yang terlalu besar dengan sebahagian besarnya, menurut majoriti penganalisis ekonomi, berpunca dari perbelanjaan perang di Afghanistan dan Iraq.   

MALAYSIA PALING TINGGI BERHUTANG 53.3 PERATUS DI KALANGAN 12 NEGARA ASIA SELEPAS SRI LANKA


Peningkatan kadar hutang isi rumah sehingga 83 peratus jelas menunjukkan seluruh rakyat Malaysia kini berada dalam bahaya dan rakyat Malaysia bukan sekadar akan kehilangan rumah, kereta dan harta benda, malah boleh menjadi bankrap pada bila-bila masa. 

Pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop berkata, peningkatan kadar hutang isi rumah setinggi itu, seluruh rumah, kereta dan harta rakyat Malaysia boleh tergadai pada bila-bila masa sahaja jika berlaku kemelesetan ekonomi. Katanya, kemelesetan ekonomi bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya banyak peluang pekerjaan di negara ini tersekat, kilang-kilang ditutup, barangan tidak laku atau tidak boleh dijual. 

Keberhutangan isi rumah yang tinggi ini sebenarnya berpunca dari kesilapan dan kegagalan kerajaan kerana gagal memastikan pendapatan isi rumah mencukupi, gaji rakyat rendah berbanding keperluan perbelanjaan mereka, sehingga menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan hidup, ujarnya.

"Kejadian ini berlaku kerana harga rumah di Malaysia mahal, harga kereta mahal dan kadar tambang pengangkutan awam yang mahal, sehingga memaksa rakyat berbelanja melebihi pendapatan mereka sehingga terpaksa berhutang," katanya ketika dihubungi 18 Oktober lalu.   

Dr Rosli yang juga bekas Penolong Gabenor Bank Negara menegaskan, peningkatan kadar hutang isi rumah sehingga 83 peratus menjadikan kadar hutang isi rumah di negara ini kini sudah berada dalam keadaan yang kritikal. Katanya, keadaan itu amat berbeza berbanding kadar hutang yang selesa yang paling tinggi hanya sekitar 30-40 peratus sahaja seperti yang dialami oleh rakyat di negara-negara lain. 

"Antara sebabnya, harga barang di Malaysia mahal dan sering naik, manakala kenaikannya pula jauh lebih laju daripada peningkatan pendapatan mereka. Akhirnya mereka terpaksa buat pinjaman bank, manakala sebahagian yang lain terpaksa meminjam dengan along," tegasnya. 

Menurut Dr Rosli, peningkatan kadar hutang itu boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada rakyat dan kerajaan, sehingga menyebabkan individu terbabit hidup dalam keadaan tertekan dan terdesak sehingga akhirnya boleh terlibat dengan rasuah terutama di kalangan kakitangan awam.

Selain peningkatan kadar hutang isi rumah, beliau turut kesal dengan peningkatan kadar hutang negara kepada KDNK sehingga 53.3 peratus, sehingga menjadikan kadar hutang Malaysia sekarang paling tinggi di kalangan 12 negara Asia selepas Sri Lanka.

"Ini bukan sahaja soal kedudukan hutang negara yang tinggi, tetapi juga menjadikan seluruh rakyat Malaysia berada dalam berhutang. Keberhutangan yang tinggi ini tidak melambangkan sesuatu yang menggembirakan bagi masa depan ekonomi Malaysia. 

"Dengan kadar hutang sebanyak 53.3 itu jelas menunjukkan kadar hutang negara kita di luar negara sekarang sudah mencecah paras bahaya. Mengikut standard atau piawaian yang digunakan di kebanyakan negara di dunia ini, jika kadar hutang melebihi 50 peratus, ia dikira berada pada tahap kritikal," katanya.

Menurut Dr Rosli, peningkatan kadar hutang negara berlaku disebabkan kegagalan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara dengan baik, malah penuh dengan pembaziran dan rasuah, di samping menunjukkan amalan berhutang sudah menjadi budaya yang semakin menular dalam pentadbiran kerajaan sejak 16 tahun lalu.        

Data terbaharu yang dikeluarkan oleh Bank Negara menunjukkan kadar hutang negara kepada KDNK sekarang meningkat kepada 53.3 peratus, menjadikan kadar hutang Malaysia sekarang paling tinggi di kalangan 12 negara Asia selepas Sri Lanka. Kadar hutang isi rumah berbanding KDNK pula jauh lebih tinggi pada kadar 83 peratus pada 2013, meningkat berbanding 66.7 peratus pada 2004, yang kedua tertinggi di Asia - Lapor Harakah

RM1.08 BILION DUIT PETRONAS LEBUR HANGUS UNTUK SELAMATKAN SYARIKAT SWASTA KRONI


Sebanyak RM1.08 bilion wang syarikat milik negara Petronas digunakan untuk menampung kerugian sebuah hospital mewah swasta, Prince Court Medical Centre (PCMC) sejak penubuhannya pada tahun 2008. Lebih mendukacitakan, pembinaan hospital bernilai RM544 juta yang juga turut ditanggung Petronas tidak pernah mengalami keuntungan dan yang menyukarkan keadaan, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen boleh mendapat akses kepada status kewangan menyeluruh Petronas melainkan Perdana Menteri kerana tertakluk pada Seksyen 3(2) Akta Pembangunan Petroleum.

Menurut Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, pada tahun 2008 PCMC mengalami kerugian RM111 juta, RM192 juta kerugian pada tahun 2009 dan RM450 juta kerugian pula pada tahun 2010.

"Hingga tahun berakhir 31 Disember 2011, jumlah kerugian yang dicatatkan hospital mewah swasta yang ditanggung Petronas itu ialah RM1.08 bilion. Adakah wajar wang negara, wang rakyat digunakan untuk menampung kerugian syarikat swasta?" soalnya. Menimbulkan persoalan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan prestasi yang ditunjukkan PCMC jauh berbeza dengan hospital-hospital swasta yang lain, lapor Roketkini.

"Mengikut Laporan Kewangan IHH Healthcare 2012, Parkway Pantai yang mempunyai rangkaian hospital swasta di malaysia dan Singapura mencatat perolehan RM4.75 bilion dalam tahun 2012 manakala RM818 juta keuntungan," dedah Zairil.

Dalam hal ini tegasnya, Petronas tidak sepatutnya terlibat dalam aktiviti perniagaan di luar bidang seperti hartanah dan kesihatan dan sepatutnya memberi tumpuan kepada industri petroleum dan gas sepertimana yang dipraktikkan oleh syarikat-syarikat petroleum yang lain. "Apa yang berlaku ini mewujudkan satu keperluan mendesak agar hal ehwal kewangan Petronas diawasi memandangkan ia merupakan syarikat pengeluar minyak negara," jelas Zairil - Lapor Harakah

Rabu, Oktober 16, 2013

RAGAS bangga dua wakil rakyat DAP tidur di rumah penduduk untuk rasai "penderitaan" mereka


Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) bangga dua orang wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Kai Loon sanggup bermalam di rumah penduduk Kampung Tok Subuh, Bukit Mertajam semata-mata ingin merasai penderitaan penduduk yang masa depan tidak menentu.

Pengerusinya, Zolkifly Md Lazim berkata, sikap yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Adun Machang Bubuk harus dicontohi oleh pemimpin yang lain kerana tindakan sedemikian boleh melegakan perasaan penduduk di samping merapatkan lagi ikatan antara pemimpin dan rakyat.

"Kalau bermalam dapatlah mereka mengenal pasti masalah penduduk dengan lebih mendalam. Bahkan, dapat menurunkan perasaan gelisah mereka yang rata-rata tidak tempat lain untuk berteduh. Dua Yang Berhormat tersebut mesti diberikan pujian," ujarnya pada Harakah.

Zolkifly mengingatkan penduduk, agar bersatu membantu badan bertindak yang sedang memperjuangkan nasib mereka. Beliau yakin apa yang dikorbankan oleh dua 'Yang Berhormat' itu beserta kerja kuat Badan Bertindak Selamatkan Hak Penduduk Kampung Tok Subuh yang diketuai oleh Hamidah Che Embi akan mendapat kejayaan.

Baru-baru ini program komuniti diadakan serentak dengan pemeriksaan kesihatan percuma dan program derma darah "Kampung Kami Tempat Tumpah Darah Kami" anjuran RAGAS dengan kerjasama Hospital Kepala Batas dan DBM Hospital Permatang Pauh.

Sementara itu, kedua wakil rakyat itu ketika ditanya, berjanji akan menyelesaikan masalah itu sejauh mana kemampuan mereka.

"Kita akan menyelesaikan masalah di Kampung Tok Subuh sejauh mana kita mampu, " jelas mereka dalam sidang akhbar di hari berkenaan - Lapor Mohd Sabri Said, Meja Harakah Pulau Pinang.

Menteri Dalam Negeri sahkan Shahidan Kassim seorang "gengster" di Ayer Keroh


Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato' Seri Shahidan Kassim sebagai seorang 'gengster'. Ia disahkan secara tidak langsung oleh Zahid ketika berucap pada Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat pada 5 Oktober lalu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka, yang dilihat acara kerajaan itu bertukar menjadi kempen Umno.

Menurut Zahid, setelah ISA, EO dan RR dimansuhkan, kini kerajaan tidak lagi mempunyai sebarang undang-undang khusus sepertinya untuk mengatasi jenayah, sehingga memaksa beliau berusaha mencari undang-undang lain untuk menggantikannya. Sehubungan itu, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Peguam Negara, Gabenor Parlimen, tiga line dari Perlis, IGP tentang apa yang patut dibuat.  

"Cari punya cari rang undang-undang, akta macam-macam, terjumpa Akta pencegahan Jenayah 1959 yang ternampak oleh Peguam Negara yang belum dihapuskan. ISA dah hapus, EO dah habus, RR dah hapus, dia ternampak yang Akta Pencegahan Jenayah belum dihapuskan," katanya. 

Selepas itu, beliau terus berpakat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan penasihat undang-undang mereka untuk melakukan sesuatu bagi membolehkan undang-undang itu diguna pakai. Namun, hasrat beliau ditentang oleh SB yang menjelaskan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) itu tidak boleh digunakan kerana ia digubal pada tahun 1959, sedangkan ketika itu Sabah dan Sarawak belum lagi menyertai Malaysia dan sekiranya digunakan, ia hanya boleh dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sahaja.

"Saya kata ok, kita bawa ke Parlimen. Dato' Seri Shahidan Kassim memang gengster, bolehlah pakat dengan dia. Dia boleh pakai ni. Pakat punya pakat, bawak ke ke Kabinet, Kabinet luluskan. Kabinet luluskan bawa ke Parlimen. 

"Bila bawa ke Parlimen, parti pembangkang ramai lowyer. Lowyer India lebih ramai. Lowyer Melayu pun ramai, lowyer buruk. Pakat dengan Dato' Seri Shahidan Kassim supaya tiba masanya Speaker Dewan Rakyat berada bersama dengan kita, Setiausaha Dewan Rakyat bersama dengan kita, jadi kita bentangkan," katanya.

Setelah PCA pindaan 2013 itu dibentangkan di Parlimen, pihaknya mengambil masa yang agak panjang untuk diluluskan sehingga lapan jam 50 minit bermula jam 4.00 petang hingga 12.50 pagi.

"Saya memang tabik betullah kepada Speaker, seorang Pendekar, seorang al-amin, seorang yang mulia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Hebatlah, orang Sabah ni, hebat, tak turun daripada kerusi, tak turun kencing. Tak kencing, hairannya tu," ujarnya.

Sambil bergurau, Zahid berkata, beliau sudah mengarahkan Gabenor Parlimen menyelidik sama ada Tan Sri Pandekar memakai pampers atau tidak, tetapi sehingga kini belum ada jawapannya lagi. 

"Tetapi saya yakin kerana beliau daripada Sabah, beliau boleh solat jamak Zohor dan Asar. Dua campur dua. Solat jamak dan qasar pasti sembahyang Zohor dulu kemudian Asar. Maghrib dengan Isyak dia tak payah sembahyang ketika itu sebab dia lepas habis baru boleh dia jamak. 

"Tapi saya hairan sungguh, tak minum, tak makan, tak kencing, tak turun langsung. Bila kita kata Tan Sri Speaker turunlah, bagilah kepada Timbalan Speaker ambil alih. Dia kata, saya tak mahu. Ini undang-undang penting, ini mesti saya selesaikan. Wah, inilah kita. Walaupun dia (Pendikar) tak ada, tapi kita boleh berikan tepukan gemuruh kepada dia. Tetapi Speaker jadi hebat kerana menteri yang jaga Parlimen dan Dato' Parlimen pun hebat," ujar beliau.  

Majlis terbuka diadakan secara tertutup, tetapi portal berita Malaysiakini berjaya mendapatkan rakaman audio sepanjang 20 minit yang berisi ucapan tersebut untuk tatapan rakyat negara ini - Lapor Aziz Muda, Meja Harakah Kuala Lumpur

Isnin, Oktober 14, 2013

JPJ serah pada Polis Trafik, kamera puaka AES terus menjadi beban rakyat dan kerajaan


Kerajaan memutuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diserahkan kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Sebelum ini, diselenggarakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sejauh mana keberkesanan sistem itu dapat dilaksanakan apabila berlaku pengambil alihan ini? Wartawan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan butiran lanjut mengenai isu ini bersama peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Zul Hazmi Sharif (gambar atas) melalui wawancara pada 7 Oktober lalu di Pejabat Editorial Harakah.

HARAKAH: Kerajaan memutuskan serah operasi AES daripada JPJ kepada PDRM. Apakah ini boleh menyelesaikan segala isu bersangkutan dengan AES sebelum ini?

ZUL HAZMI SHARIF: Kerajaan menyerahkan operasi JPJ kepada PDRM  kononnya menilai semula AES. Apabila Dato' Seri Hishamudin Hussin umumkan perkara ini, ia bukannya penyelesaian. Ia hanya mengalih isu daripada satu masalah kepada satu perkara yang lain. Ia bukan menyelesaikan masalah tetapi merumitkan. Tetapi rakyat ramai yang tidak tahu. Mereka ingat ia penyelesaian masalah. Kenapa saya kata bukan penyelesaian? JPJ adalah kerajaan. Apabila dia mengatakan kerajaan mengambil alih AES, diserahkan kepada PDRM, itu bukan kerajaan ambil alih. Memang daripada awal lagi pelaksanaan AES dikendali kerajaan, bukan swasta. Yang melibatkan swasta hanya pemasangan kamera dan penyediaan sistem. Pelaksanaan dan operasinya adalah kerajaan. Jika dilihat pada FAQ AES yang ada dalam web site JPJ, agensi yang bertanggung jawab terhadap AES adalah Kementerian Pengangkutan. Macamana boleh kata kerajaan ambil alih sedangkan daripada awal memang dikendali Kementerian Pengangkutan?

JPJ bertanggung jawab melaksana AES secara langsung... 

MIROS bertanggung jawab dalam lokasi pemasangan kamera. JKJR pula bertanggung jawab dalam advokasi dan kemepn kesedaran jalan raya mengenai AES. Jadi, di sini secara jelas menunjukkan AES hak milik kerajaan. Cuma sekarang peralihan tugas daripada JPJ kepada PDRM.

Sehingga kini kerajaan enggan dedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat terbabit, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn bhd sedangkan rakyat perlu tahu perkara ini.

Ini yang kita bangkitkan. Isu Beta Tegap dan Ates ini sudah lama sejak 2009. Tapi 2009 bukan Ates tapi Commercial Circle Sdn Bhd. Commercial Circle menubuhkan Ates. Apa yang dua syarikat ini buat ialah menyediakan kamera, sistem dan peralatan lain yang berkaitan AES seperti kenderaan dan  komputer. Kamera yang menangkap kesalahan pengguna jalan raya akan dihantar ke pusat operasi. Pusat operasi ini dimiliki oleh syarikat itu juga. Semua peralatan operasi adalah milik syarikat, cuma dikendalikan JPJ. Ini juga menyebabkan timbul kekeliruan. Bila ia mengatakan Kementerian Pengangkutan tuan empunya, pun salah. Tuan punya bagi AES ini adalah syarikat. Semua milik syarikat untuk tempoh lima tahun. Sebab kerajaan menggunakan prinsip outsource. Kerajaan tidak mengeluarkan duit satu sen pun. 

Semua kos dikeluarkan oleh syarikat bukan kerajaan?

Kedua-dua syarikat ini mengeluarkan kos RM 717 juta yang merangkumi kamera dan peralatan. Apabila kerajaan mengatakan mengambil alih, ia menjadi hak kerajaan. Apabila kerajaan mengambil alih itulah, ditubuhkan sebuah GLC dinamakan AES Solutions. AES Solutions mengambil alih syarikat, bukan peralatan. Itupun satu masalah. Kita hendak ia ambil alih peralatan dan menjadi hak milik Kerajaan Malaysia. Jika kata kerajaan mengambil alih, maksudnya yang kita hendak ialah kerajaan beli terus peralatan dan sistem serta hak milik syarikat RM 717 juta. Jadi, selesai masalah. Apa yang kerajaan nak buat dan uruskan, terpulang pada kerajaan. Apa yang berlaku sekarang ini kerajaan cuma sewa kepada syarikat. Jadi syarikat boleh ambil bila-bila masa. 

Apakah PDRM mampu kendalikan kes-kes AES sedangkan banyak lagi kes saman berkaitan PDRM yang tidak selesai?

Perkara ini juga menjadi masalah. Kita kena faham operasi AES sendiri. Maknanya, syarikat set up kamera, buat sistem dan apabila kesalahan dikesan akan dihantar ke centre. Centre ini JPJ dan juga syarikat. Apabila pegawai JPJ mendapat saman, dia akan tengok gambar dan akan semak dengan database. Siapa pemilik kenderaan. Jadi keluarlah nama.  Berlaku kesalahan terus ditanda tangan dan terus keluar saman. Sekarang ini jika polis yang akan buat perkara ini, yang pertama, adakah polis mempunyai kepakaran? Yang kedua polis pun nak kena pakai database JPJ. Sebab semua berkaitan pengkalan data adalah di bawah JPJ. Jadi polis nak kena buat dua tiga perkara. Polis kena juga semak dengan JPJ.  

Kenapa tidak JPJ yang laksanakan AES ini? 

Apa masalah yang kena serahkan kepada polis sedangkan polis juga tidak cukup kakitangan? Apabila diberi kepada polis, adakah polis hendak tubuhkan satu unit baru di bawah jabatan trafik iaitu unit AES pulak? Sedangkan polis boleh buat perkara lain. Polis sendiri ada 15 juta lebih saman dan notis yang tidak selesai. Polis sendiri tidak dapat menyelesaikan saman, bagaimana nak uruskan satu benda baru? Adakah sekarang ada latihan diberikan kepada anggota polis yang hendak jaga operasi AES? Segala persoalan ini kerajaan perlu jelaskan kepada kita. Jika kerajaan buat keputusan AES ini diserahkan kepada polis, perlu dijelaskan bagaimana berlaku pertukaran tersebut. Adakah pegawai polis take over dalam centre itu? Sebab itu yang kita tahu centre adalah JPJ. Sekarang ini pun kita tidak pasti. Sedangkan Dato' Seri Zahid Hamidi kata diserahkan serta merta kepada polis. 

Betul sekarang ini polis menjalankan operasi tersebut? 

Jika kita tengok di jalan, masih lagi JPJ yang buat. Sebagai contoh ada 14 lokasi AES. Di Lembah Klang ada tujuh. Daripada tujuh ini ada dua unit bergerak dan yang bawa hilux ini adalah JPJ. Ini bermakna AES masih di bawah JPJ dan bukan polis. Bagaimana Zahid dan Hishamudin boleh cakap AES sudah diserahkan kepada polis? Serah yang bagaimana? Adakah saman sahaja diserahkan kepada polis? Perkara ini memang tidak jelas.

Kerajaan cuba alihkan isu mengenai AES sahaja...

Sekarang ini bila dikatakan polis ambil alih AES, orang akan lihat polis lebih tinggi daripada JPJ. Bila polis dah buat, nak pertikai apa lagi? Sedangkan JPJ dengan polis, daripada segi undang-undang keselamatan jalan raya ini sama sahaja levelnya. Malah JPJ lebih tinggi sebab JPJ berkuasa penuh terhadap kenderaan. Kalau polis hendak black list, dia kena minta kerjasama JPJ. Sebab itu kita lihat ia akan merumitkan apabila penguatkuasaan AES ini diserahkan daripada JPJ kepada polis di samping membebankan polis dengan tugas-tugas yang baru. Kita sebenarnya bukan bermasalah dengan JPJ tetapi kita bermasalah dengan perlaksanaan AES itu sendiri.

Sejak awal penguatkuasaan AES ini, Kase bertegas saman AES tidak perlu dibayar dan pengguna yang dikenakan saman hendaklah membawanya ke mahkamah. Terbaru kerajaan mengenakan kompaun RM 150 dengan menggunakan konsep 'the more you delay, the more you pay'...

Kase masih berpegang kepada desakan dan pendirian kami iaitu saman AES, saman trafik atau saman ekor tidak perlu dibayar. Bukan bermaksud kita tidak mengaku bersalah. Konsep saman ialah arahan ke mahkamah. Masalah rakyat Malaysia, apabila dapat surat saman itu, dia tidak baca sepenuhnya. Jika kita lihat pada saman AES yang diperolehi, maksud saman tertulis: Kamu dengan ini diperintahkan supaya hadir sendiri atau bersama peguam di hadapan mahkamah majistret (di tempat kesalahan dibuat). Jadi, ini bermakna saman ini meminta hadir ke mahkamah. Tidak pula dituliskan: Kamu dengan ini dikehendaki membayar RM 300 disebabkan melakukan kesalahan. Cuma yang orang tidak faham apabila ditulis: Kesalahan ini boleh dikompaun dan kamu boleh membayar kompaun sebanyak RM 300 pada tarikh (yang dinyatakan). Perkataan yang ditulis adalah "boleh bayar" bukan "wajib bayar". Sekarang ini jika kita tidak mahu bayar, kita hadir ke mahkamah. Dalam isu saman AES ini, kita bertegas saman bukanlah yang patut dibayar. Kalau kompaun diturunkan daripada RM 300 ke RM 150, ke RM 1 sekalipun, tidak wajib dibayar kompaun itu. Jika orang tidak bayar, apa kerajaan boleh buat? Konsep 'the more you delay, the more you pay' digunakan seperti konsep saman ekor. 

Boleh bagi contoh?

Contohnya saman dikeluarkan hari ini dan sehingga hari ke 14 kompaun RM 150. Hari ke 15 hingga ke 20 RM 200. Dan hari ke 20 hingga hari ke 30 RM 300, iaitu maksima kompaun. Jadi, berapa yang di offer, isunya kita boleh memilih sama ada hendak bayar atau tidak bayar. Sekarang ini, apabila peguam negara keluarkan arahan sejak 18 Disember 2012, Peguam Negara keluarkan arahan semua saman AES tidak akan didaftarkan di mahkamah. Jadi, apa value saman ini? Kenapa kita hendak bayar kompaun? Sekarang ini kita hendak pergi mahkamah, tapi peguam negara kata AES tidak perlu pergi mahkamah. Sebab itu saya cabar, Tan Sri Ghani Patail, Dato' Seri Zahid Hamid, Ketua Pengarah JPJ atau sesiapa sahaja terlibat dalam AES ini atau dalam undang-undang, buktikan kepada saya kalau ada satu ayat dalam saman itu mengatakan "wajib" bayar saman, saya bersedia bayar semua 600,00 ribu lebih saman AES setakat 6 Jun 2011. Tapi jika tidak ada tolong batalkan semua saman tersebut serta pulangkan semua kompaun. Sampai hari ini cabaran itu tidak disahut langsung. Kita bukan pertikai validity saman, ia dikeluarkan ikut kaedah. Tapi adakah saman itu bernilai apabila peguam negara umumkan saman itu tidak akan didaftarkan di mahkamah.

Korban Perdana PAS Batu di Madrasah At-Tarbiyyah Kg Bandar Dalam, 16 Okt ini hari raya kedua


PAS Kawasan Batu telah menutup penyertaan ibadah korban anjurannya kepada ummat Islam, 11 Oktober lalu setelah berjaya mendapat 10 ekor lembu untuk tujuan ibadah korban kali ini. PAS Batu dengan kerjasama Bilik Berita Harakah sebelum ini mempelawa umat Islam untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini dengan harga termurah hanya RM390 untuk satu bahagian.

Bendaharinya, Rosden Yassin (gambar) memberitahu Sanggahtoksago, beliau sangat berpuashati dengan penyertaan kali ini kerana tempoh iklan dan kempen menyertai ibadah korban ini dilakukan dalam masa yang singkat, kurang 10 hari dengan harga termurah berbanding kadar biasa RM450 malah ada yang mencecah RM500 untuk satu bahagian. 

Ketua dewan Muslimat PAS Pusat, YB Zailah Mohd Yusoff sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu kali ke-28 pada 29 September lalu telah melancarkan Korban Perdana PAS Batu 2013 di Dewan Masyarakat, jalan 2, Taman Gombak.

Menurut Rosden, upacara sembelih lembu korban akan diadakan pada hari raya kedua, 16 Oktober di perkarangan Madrasah At-Tarbiah, Kg Banda Dalam bermula jam 8.00 pagi. Ahli-ahli PAS dijemput hadir untuk membantu dan bergotong-royong menyelenggarakan lembu korban. Majlis akan dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin.