KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 26, 2009

Penasihat Undang-undang Negeri Perak cabuli Perlembagaan Negeri... Tunggulah nasibnya!

MENURUT Perakdaily.Com, tindakan Dr Zambry Abdul Kadir melantik tiga penasihat bertaraf exco adalah salah kerana tiada peruntukan untuk beliau berbuat demikian di bawah Perlembagaan Negeri.

Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri turut sama bersubahat dengan Dr Zambry dalam melaksanakan agenda di luar peraturan itu. Dato Dr Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-undang, Dato Kamal kini turut sama terdedah untuk diambil tindakan undang-undang kerana terbabit sama mencabuli peraturan negeri.

Perakdaily bertanya, elokkah penasihat undang-undang sendiri mencabuli peraturan dan perlembagaan negeri? Kalau setakat Dr Rahman cabuli taklah menghairankan lagi, kerana tentunya dia akan berbuat apa saja untuk memenuhi kehendak kembarnya itu. Tindakan Rahman membuang barangan milik Nizar di pejabatnya tempohari juga satu kesalahan besar.

Zamry MB 'de facto', Nizar MB 'de jure'? Krisis Perlembagaan telah membuka mata rakyat terhadap kerakusan BN dengan kuasa!

Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin memperkatakan banyak isu tersirat berkenaan kemelut yang melanda poitik Perak kepada krew Harakah di kediamannya


HASSAN KARIM, Presiden Partai Rakyat Malaysia (PRM) memperkatakan tentang kemelut Perak yang makin kronik. Agak menarik juga:

KEADAAN politik di Perak beransur-ansur kembali tenang. Masa selalu disebut akan merawat luka. Tetapi krisis politik di negeri yang pernah kaya dengan bijih timah itu belum selesai. Pertarungan kini berpindah ke gelanggang baru iaitu mahkamah keadilan, dan itu adalah sewajarnya berlaku bagi sebuah masyarakat moden yang berbudaya dan bertamadun. Sementara itu satu lagi pentas aksi politik bagi rakyat Perak akan diadakan dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April depan.

Dalam hal di Perak ini, ada baiknya dikaitkan dengan falsafah negara yang dipanggil Rukun Negara yang kadang-kadang dipandang remeh dan dipersenda tetapi sebenarnya adalah relevan.

Pertama Kepercayaan kepada Tuhan. Ertinya percaya kepada Tuhan Maha Esa dalam menentukan sesuatu. Lihatlah selepas pilihan raya 8 Mac 2008 sebuah kerajaan campuran Pakatan Rakyat dipilih oleh rakyat dan diperkenan oleh raja. Istana bersetuju memilih Datuk Seri Nizar Jamaludin dari PAS menjadi Menteri Besar Perak walaupun PAS hanya menguasai 6 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi Sultan dengan bijaksana telah melantik Nizar berdasarkan Undang-Undang Tubuh Perak.

Sultan boleh memilih ADUN dari Behrang atau ADUN Cangkat Jering dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk jadi MB kerana mereka berdua itu juga Melayu dan beragama Islam. Tetapi Sultan memilih Nizar dari PAS parti yang minoriti untuk mengetuai kerajaan negeri. Jadi ini semua ketentuan Illahi. Tidak terfikir sebelum ini di negeri Perak yang ramai penduduk bukan Islam dan PAS parti minoriti tiba-tiba Nizar boleh menjadi Menteri Besar menerajui negeri.

Politik di dunia fana dan prinsip pertama Rukun Negara kelihatan di pentaskan dalam pergelutan kuasa di Perak pada 5 dan 6 Februari lalu. Mengapa Nizar kelihatan berani dalam menghadapi raja di istana?

Dalam prinsip terakhir Rukun Negara di sebut kesopanan dan kesusilaan. Ketika menghadapi raja di istana, Nizar tetap bersifat sopan dan bersusila walaupun dia assertive atau tegas. Nizar tidak lembik mengalah (submission) atau keras kurang ajar (agression). Nizar menggunakan bahasa istana. Memanggil dirinya patik. Nizar boleh berkata saya tidak setuju Tuanku apabila Sultan mengarahkannya meletak jawatan. Sebaliknya Nizar memilih bahasa untuk golongan feudal dengan berkata "patik mohon sembah derhaka".

Mengapa Nizar kelihatan begitu berani dan assertive dalam setiap masa dan dia sentiasa kelihatan sopan dan berkesusilaan bila berdepan raja?

Saya melihat kerana Nizar seorang Melayu, seorang Muslim yang berjiwa merdeka yang diajar oleh Islam bahawa Allah itu Maha Besar. Tiada lain yang besar melainkan Allah. Nizar menghadapi Sultan sebagai raja memerintah negeri yang ada kuasa tetapi masih terikat dengan undang-undang negeri. Sultan masih seorang manusia bukan nabi yang maksum.

Berjiwa merdeka seperti Nizar ini bukannya biadap atau derhaka. Ia tidak menyalahi undang-undang negara. Jiwa hamba telah lama ditolak oleh orang-orang Melayu dan juga rakyat Malaysia. Setia kepada Raja dan negara prinsip kedua Rukun Negara adalah bermaksud menerima institusi Raja Berperlembagaan dan semangat cintakan tanahair.

Sebenarnya ada hikmah untuk dipelajari oleh setiap rakyat Malaysia ini lebih-lebih lagi ahli-ahli politik, para pengamal undang-undang dan para akademik di bidang guaman di universiti kerana apa yang berlaku di Perak itu terutama babak-babak di Istana Kinta, Ipoh antara MB Nizar dan Sultan amat kaya dengan rempah ratus perundangan di bidang perlembagaan (constitutional law).

Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar di Perak telah tumbang. Kerajaan baru BN pimpinan Dr Zambry telah angkat sumpah dan kini memerintah. Mana satu kerajaan yang sah di Perak sekarang berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk diputuskan. Ini kerana Nizar telah memfailkan kesnya di mahkamah tersebut.

Untuk menghormati mahkamah dan tidak bertindak "subjudice" atau memandai-mandai, maka kita biarkan saja isu siapa sebenar MB yang sah di Perak diputuskan oleh Mahkamah.

Tetapi kita harus berasa bersyukur bahawa krisis di Perak itu bergolak dengan agak terkawal. Masing-masing mengawal diri (restrain). Ada kematangan di semua pihak sama ada di kalangan Pakatan Rakyat, BN, Istana, polis dan rakyat jelata termasuk protagonis dan antagonis utamanya seperti Nizar, Dr Zambry, Anwar, Najib, Hadi, Sultan Perak dan Abdullah Badawi. Tidak ada sesiapa yang mati atau bangunan dan harta benda di bakar setakat ini seperti apa berlaku di negara jiran kita di sebelah utara baru-baru ini.

Masing-masing yang marah hanya sekadar berarak, menjunjung sepanduk, menunjuk rasa dan lepas itu kembali reda apabila satu demi satu memilih mahkamah untuk jadi tempat terakhir mencari keadilan. Di sinilah prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang memainkan peranannya. Maka amat melegakan apabila Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang hanya ada kuasa beberapa minggu lagi dan hari-harinya boleh dihitung mengumumkan ISA tidak akan digunakan sewenang-wenang dalam krisis politik di Perak.

Suara Abdullah itu adalah suara rasional dan waras. Nizar juga respon dengan rasional dan waras dengan langkahnya akan meninggalkan kediaman rasmi MB dan perlahan-lahan terpaksa akur bahawa Dr Zambry dan kerajaan BN adalah kerajaan 'de facto' di Perak setakat ini.

Soal "de jure" kerajaan Perak pimpinan Dr Zambry ini akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tetapi satu perkara perlu difahami dalam episod di Perak ini bahawa orang-orang Melayu dan rakyat yang menyokong Nizar dan Pakatan Rakyat bukan menentang Sultan Perak atau institusi raja. Yang mereka protes sebenarnya ialah Umno, BN dan Najib terutamanya. Hal ini akan dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang pada 7 April nanti.

Kenapa kerajaan memanjakan Air Asia? Apa agenda pemimpin Umno dalam AirAsia?

PAS menempelak tindakan kerajaan yang dilihat terlalu memberikan keistimewaan kepada syarikat penerbangan Air Asia. Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar mempersoalkan tindakan kerajaan yang sanggup menimbang permintaan Air Asia terhadap LCCT yang baru merangkumi soal caj meletak pesawat dan sebagainya.

"Air Asia terlalu dimanjakan sehingga apa saja permintaan mereka akan cuba dipenuhi biarpun mendapat banyak bantahan," tegas beliau.

Biarpun kerajaan sudah membatalkan pembinaan LCCT East di Labu, nampaknya kerajaan tegas Kamaruddin masih mengikut telunjuk Air Asia dengan memberikan projek pembinaan LCCT baru yang akan dibina dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerajaan tegas beliau sepatutnya meluluskan projek menaik taraf LCCT yang sedia ada bukan membina satu terminal baru. Bagi Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali turut mempersoalkan keistimewaan yang diperolehi oleh Air Asia dalam isu pembinaan LCCT baru. Tegas Azmin, keputusan membenarkan pembinaan LCCT baru di KLIA menandakan ada ruang untuk pemimpin Umno-BN terus menipu rakyat.

"Kita bimbang jika terdapat perjanjian yang disorokkan antara Air Asia dan kerajaan hingga menyebabkan rakyat akan ditipu," tegas Azmin ketika ditemui.

Ahli parlimen Gombak itu juga menegaskan tindakan kerajaan ini memberikan gambaran ada kepentingan pihak-pihak tertentu dalam Air Asia yang harus dijaga.

Pada 22 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan menyatakan projek LCCT Labu tidak diteruskan sebaliknya projek LCCT yang baru, akan dibina dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Cuma yang masih dalam rundingan kini, kata Timbalan Perdana Menteri ialah kaedah-kaedah pelaksanaan projek termasuk permintaan Air Asia terhadap LCCT yang baru merangkumi soal caj meletak pesawat dan sebagainya.

DUN perlu segera bersidang, tamatkan kekaburan. Mahu tidak mahu Sultan mesti perkenan kerana ini bukan di bawah kuasa "budibicara" Baginda!


TERDAPAT isu menarik berkenaan Dun Perak dan kuasa Speaker. Saya berbincang dengan Profesor Dr Abdul Aziz Bari tentang perkara ini. Masih terlalu luas kuasa speaker, apabila ada pihak yang menghina Dewan tidak digunakan. Hatta, kenyataan PM, Abdulah Ahmad Badawi yang memerintahkan Dr. Zamry Abdul Kadir agar tidak menghiraukan keputusan penggantungan oleh Speaker dewan, sebenarnya boleh diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman. Namun saya bertanya, apakah yang perlu lakukan sekrang di Perak. Begini jawapan Dr Aziz Bari dan saya melaporkannya:

DUN Perak perlu bersidang dengan segera bagi menyelesaikan kekaburan yang ada sekarang. Demikian pandangan Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas mengenai permohonan Speaker S. Sivakumar kepada Sultan Perak untuk mengadakan Sidang Khas Dewan 23 Februari lalu.

Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

"Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong", jelas beliau ketika dihubungi.
Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.

"Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu," tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.

"Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi," tambahnya lagi.

Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata "pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN".

Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.

Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Aziz menjelaskan, "Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan."

Tiga hari lalu Pandikar Amin dipetik di dalam media sebagai berkata speaker dewan harus adil dan tidak memihak.

Aziz menambah di sisi perlembagaan, Anwar sebenarnya tidak perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008 kerana Abdullah adalah ketua kerajaan dan bukan ketua dewan.

"Mungkin apa yang Anwar lakukan itu sekadar strategi politik, tetapi ia bukan satu syarat. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai budaya politik yang ganjil dan tidak mesra perlembagaan dan strategi seperti itu perlu," ujar Aziz. Abdullah bagaimanapun menolak mentah-mentah sidang tersebut. Pandikar Amin juga enggan memberi laluan.

Aziz berpendapat di dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong bertanggung jawab menitahkan sidang kerana isu sokongan majoriti amat penting dan ia adalah nyawa bagi sesebuah kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

"Pada saya ini selaras dengan kehendak peruntukkan yang berkenaan, khususnya Perkara 43(2)(a), 43(4) dan 55(1) di baca bersama," tambahnya. Keadaan yang sama wujud di Perak sekarang, kata Aziz.

Beliau berkata "jika sidang DUN tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh DUN dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan."

Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, "itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya."

Aziz berkata sokongan majoriti itu terpakai kepada Zambry dan Mohamad Nizar. Beliau menjelaskan soal sokongan majoriti itu boleh dibangkitkan di dalam dewan bila-bila masa sebagaimana yang biasa dilakukan di United Kingdom umpamanya.

"Katakan Zambry kalah kali ini, beliau boleh lepas ini membawa usul undi tidak percaya terhadap Mohamad Nizar pula kalau beliau berasa sokongan ahli dewan terhadap beliau bertambah. Begitu juga dengan ahli dewan yang lain yang berasa mereka mempunyai sokongan yang cukup. Proses ini dizinkan malah dikehendakki oleh perlembagaan," tegasnya.

Tiada peruntukan gugurkan Speaker Dun Perak, BN mula panik dan mengelabah!

MUQADIMAH: Kemelut politik di Perak amat berbeza dengan suasana yang berlaku sama ada di Sabah ataupun di Kelantan tidak lama dahulu. Di Perak ianya boleh dianggap pertama kali berlaku dalam negara ini. Bagaimanapun kemelut itu mungkin dapat dirungkaikan dengan hadirnya satu pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Malah pengosongan kerusi Bukit Gantang itu dikatakan menjadi ruang pernafasan bagi rakyat Perak untuk menyatakan isi hati mereka sebenarnya. Apa kata Ahli Parlimen Kota Bharu Dato' Wan Rahim Wan Abdullah yang juga bekas Speaker DUN Kelantan selama tiga penggal.

Tempoh mengadakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau terlalu panjang. Mengapa SPR mengambil tempoh sehingga 58 hari dari tarikh kematian penyandang atau peletakan jawatan wakil rakyat untuk mengadakan pilihan raya semula?


DATO' WAN ABDUL RAHIM: Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan SPR tetapi menampakan susunan yang dibuat ini ianya berbeza dengan amalan yang dibuat SPR sebelum ini. Biasanya SPR mempercepatkan proses pilihan raya, iaitu tempoh yang diberikan undang-undang selama 60 hari dan biasanya diselesaikan dalam tempoh sebulan. Maknanya tidak sampai sehingga 58 hari.
Jadi ini satu keputusan SPR yang agak baru. Boleh jadi sesuai dengan pengerusinya yang baru. Walau bagaimanapun ia masih dalam bidang kuasa SPR. Tetapi apa yang jelas susunan untuk melambatkan tempoh pilihan raya kecil ini memberi keselesaan kepada Umno di dalam membuat persiapan pilihan raya, yang sedia maklum akan mengadakan Perhimpunan Agung Umno akhir Mac ini. Ini tidak dapat dinafikan, sama ada kebetulan atau dirancang kita tidak ada maklumat secara khusus.

Tidakkah dalam tempoh yang panjang itu akan memberi impak kepada BN dan bagaimana PAS akan memanfaatkan jangka masa itu?

Dari sudut pengalaman kita, masa yang terlalu lama kadang-kadang akan membuatkan jentera kita tidak begitu mengoptimumkan pergerakan jentera. Kita sebagai satu parti yang sumber kewangan tidak banyak, akan terasa kepenatan dalam pengendalian jentera terlalu lama. Keadaan ini kita alami sejak pilihan raya umum masa zaman dahulu.
Dari sudut lain kita juga boleh manfaatkan masa ini bagi membuat penyusunan lebih rapi, dan pihak parti dapat menggerakkan dan menyelaraskan kerja dengan ketiga-tiga parti iaitu PAS, KeADILan dan DAP dengan lebih selesa dan kita akan cuba manfaat masa yang ada. Tahun 60an tempoh kempen memang panjang kemudian dipendekkan menjadi dua minggu dan akhir-akhir ini di pendekkan lagi menjadi lapan hari.

Pada pendapat Dato' apakah PRK Bukit Gantang mampu memberikan lonjakan baru kepada Perak untuk memberi mesej jelas kepada BN. Tetapi bagaimana jika hari mengundi telah dipilih pada hari bekerja, 7 April. Adakah ini akan menganggu peratusan orang keluar mengundi?

PRK di Perak seolah-olah di takdirkan Allah, dan ini memberi peluang kepada rakyat Perak mendapat satu lorong keluar daripada kemelut sedang berlaku. Ianya sebagai lorong pernafasan melalui proses Raja Berperlembagaan. Rakyat diberi proses khusus untuk menyatakan sikap dan pendirian masing-masing.
Rakyat mengharapkan keputusan PRK ini memberi satu mesej yang jelas kepada semua pihak tidak kira parti politik yang bertanding supaya terima hasrat dan keperluan hati budi rakyat. Saya melihat peluang PRK ini adalah peluang rakyat Perak menyatakan secara jelas mesej kepada semua pihak mengenai sikap mereka memerlukan suasana yang sebenarnya.
Walaupun kita kehilangan satu kerusi YB Roslan Shahrom, kami memang terasa kehilangan walaupun diganti dengan Abdul Wahid Endut. Terasa sangat ketika sesi perasmian yang berlangsung pada Isnin lalu. Tetapi inilah peluang seolah-olah Allah tahu apa kehendak rakyat. Kita sudah ada pengalaman di Permatang Pauh, memang tidak dinafikan Pengerusi SPR tidak realistik.
SPR meramalkan 90 peratus keluar mengundi adalah tidak praktikal. Oleh kerana semasa PRK hanya 73 peratus sahaja keluar mengundi. Kalau betul-betul SPR hendak naikkan peratus kepada 90 peratus keluar mengundi sepatutnya SPR buat pilihan raya pada hari cuti sama ada Ahad atau Sabtu. Nampak sangat SPR gelabah kali ini.
Dalam masa yang sama mereka mahu peratus keluar mengundi tinggi tetapi tidak menetapkan hari keluar mengundi pada hari minggu. Dia mahukan hasrat dicapai tetapi tindakan dia bercanggah. Ini saya tidak faham dengan tindakan SPR. SPR akan tahu peratus keluar mengundi akan terjejas.
Misalnya di Permatang Pauh dibantu dengan kerajaan negeri yang mengisytiharkan cuti pada hari itu. Saya juga berharap kerajaan Perak dan Kedah akan mengisytihar hari membuang undi 7 April nanti sebagai hari cuti. Dan saya secara peribadi mohon kedua-dua negeri jadikan hari itu hari cuti. Ini sahaja yang boleh membantu untuk mempertingkatkan peratus keluar mengundi.

Sehingga kini apakah PAS berpuas hati dengan peranan SPR dalam menangani isu pilihan raya termasuk penolakan badan itu terhadap pengosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Behrang, Cangkat Jering dan Jelapang, yang 'melompat' di Perak.

Ini dua perkara yang berbeza, satu perkara tindakan SPR mempertikaikan surat yang dikemukakan oleh Speaker Dun Perak V. Sivakumar merupakan satu tindakan di luar daripada bidang tugas SPR. Kalau saya jadi Speaker Perak saya akan bawa perkara ini ke mahkamah sebab SPR bertindak di luar bidang tugasnya.
Dalam perlembagaan dinyatakan bahawa ada tiga bidang tugas SPR iaitu mempersempadankan kawasan pilihan raya, mendaftar pemilih dan mengendalikan pilihan raya sama ada PRK atau umum.Tidak ada tugas SPR seperti yang dinyatakan untuk mempertikaikan keputusan Speaker. Sebab Speaker mempunyai autoriti tertinggi untuk memastikan sama ada kerusi kosong atau tidak.
Hanya Speaker sahaja. Misalnya kes di Kelantan tahun 1992 dahulu surat yang sama yang ditunjukkan oleh speaker kepada SPR akhirnya ia terima. Jadi, oleh kerana speaker Kelantan pada tahun itu menyatakan kedua-duanya kosong memandangkan pindaan perlembagaan Kelantan yang menyatakan wakil lompat parti dan kekosongan kerusi maka SPR akan mengendalikan pilihan raya seperti mana tugas yang diberikan oleh perlembagaan.
Oleh kerana kes itu dibawa ke mahkamah dan mengisytiharkan kekosongan itu tidak sah kedua-dua Adun Sungai Pinang dan Limbongan itu masih lagi kekal walaupun ianya menyertai parti lain. Mahkamah sebenarnya pihak yang berautoriti. Apabila perkara ini berlaku mahkamah membuat satu tindakan yang mengatasi keputusan DUN dan speaker atau SPR.
Walaupun ada pihak yang menang dan masuk dewan peringkat awal tetapi ia tidak diiktiraf daripada mahkamah. Apabila mahkamah membuat keputusan semua pihak menerima. apabila SPR buat keputusan seolah-olah ia mengambil kuasa mahkamah. Tetapi saya secara pribadi, oleh kerana pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz masih baru sangat mungkin dia tersilap. Dan kesilapan beliau adalah kesilapan yang besar yang tidak pernah berlaku dalam beberapa pengerusi SPR sebelum ini.
Dari merdeka sehingga ke hari ini. Keputusan ini yang cukup berani, membuat keputusan solah-olah dia tu mahkamah. Saya secara peribadi ia memberikan ruang kepada SPR oleh kerana kita sebagai 'player' atas padang pilihan raya maka kita menyertainya walaupun terkilan dan tidak puas hati. Tetapi masih lagi menghormati keputusan SPR untuk menetapkan kedua-dua pilihan raya.

Apakah Pengerusi SPR yang baru bersikap profesional dalam menangani isu PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau serta keengganan SPR mengiktiraf surat pengosongan kerusi Dun oleh Speaker Perak.

Saya melihat dua isu yang berbeza. PRK yang berlaku iaitu satu kematian dan satu lagi sebab perletakkan jawatan. Satu tindakan SPR yang tidak mengiktiraf surat speaker berhubung perletakan jawatan tiga adun bebas itu. Tindakan SPR ini tidak boleh diterima. Kita kena minta mahkamah membuat keputusan bahawa SPR bertindak di luar bidangnya.
PRK kecil ini ceritanya berbeza, sebagai pemain kita akan mengambil bahagian sama dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini. Saya cukup yakin dengan latar belakang serta pengalaman Tan Sri Abdul Aziz yang berdisiplin. Kecuali tindakan surat adun itu. Saya akan terus beri keyakinan beliau mampu mengendalikan pilihan raya berdasarkan PRK di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sehingga kini, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah mencabar kesahihan perlantikan Menteri Besar baru Dato' Zambry Abdul Kadir. Sejauh mana tindakan ini berkesan untuk selesaikan kemelut di Perak.

Dalam ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong menekankan bahawa semua pihak harus menghormati Perlembagaan Persekutuan yang paling utama. Jadi semua ini diterima baik oleh semua pihak. Jadi masalahnya siapa yang sebenarnya yang boleh menentukan kehendak pentafsir perlembagaan dan undang-undang. Nizar bawa kes ini ke mahkamah.
Dia sudah guna peluang yang baik dan memanfaatkan sususan yang ada semua pihak memuji tindakannya. Hanya mahkamah yang mempunyai kuasa yang cukup menyelesaikan kemelut di Perak. Mahkamah hanya boleh mentafsir. Tidak mustahak sama ada kita kalah atau menang tetapi keputusan itu akan diterima semua pihak.
Yang membawa kes pun kena terima yang didakwa pun kena terima. Dalam kehidupan demokrasi di Malaysia semua boleh terima keputusan mahkamah. Saya kagum dengan kegigihan sikap Nizar, insyallah perkara ini akan diselesaikan.

Speaker Dun Perak V.Sivakumar masih sah dan tidak boleh dipecat. Apa akan berlaku sekiranya dewan bersidang terhadap tiga adun yang melompat dari segi tempat duduk, pembangkang dan kerajaan dalam Dun begitu juga kedudukan Speaker.

V. Sivakumar sebagai speaker DUN perak mencipta sejarah malahbeliau mengalami satu suasana istimewa dalam sejarah politik demokrasi nagara kita. Keadaan ini tidak pernah berlaku lagi. Perkara ini pernah berlaku di negara komanwel seperti di England di mana speaker mempunyai kedudukan yang istimewa dalam dewan dan di pandangan semua ahli.
Di England pernah speaker yang bertanding bagaimanapun parti yang berlawan tidak meletakkan calon bagi menghormati kedudukan dia sebagai speaker. Di England parti konservatif yang memerintah pernah tetapi speaker daripada parti buruh. Dari sudut roh pengendalian Dun speaker tidak semestinya dari parti yang memerintah.
Dalam negara kita hasil daripada persidangan speaker memutuskan kedudukan spaeker sama ada di Dewan Rakyat atau DUN bahawa speaker boleh dilantik di kalangan bukan wakil rakyat. Usaha meletakkan speaker satu institusi dan lembaga yang perlu dihormati.
Misalnya, Speaker Dewan Rakyat yang meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno adalah satu tindakan yang cukup baik. Ini mencerminkankewibawaanya yang tidak terlibat secara langsung dalam parti. Jadi Sivakumar akan mempunyai peluang mengendalikan sidang dalam hubunga kait kerajaan BN yang baru, dan saya bersimpati dengan beliau sebagai orang baru yang berdepan dengan suasana yang begitu mencabar dalam DUN Perak.
Beliau yang dilantik sebagai speaker akan kekal sebagai speaker.Oleh kerana peruntukan seluruh negeri menjelaskan speakar boleh bertukar kerana perletakan jawatan atau kematian atau selepas PRU maknanya kedudukan spaeker lebih kukuh daripada Menteri Besar dan Exco. Yang lain apabila bubar dewan semua gugur kecuali MB dan speaker akan menjadi sementara.
Tetapi kalau speaker dia akan terus kekal menjadi speaker selama masa sehingga parti yang menang dipanggil semula dan melantik speaker yang baru. Siva tetap jadi speaker walaupun parti mana yang memerintah. Tidak ada dalam sejarah speaker diusulkan tidak percaya, memang tidak ada. Dan tidak pernah ada speaker yang dipecat daripada ahli dewan.
Saya mengharapkan semoga Sivakumar akan dapat mengendalikan dirinya dengan baik berdepan dengan suasana politik yang ada. Mohon fahaman semua pihak biarlah dia jadi speaker dan bertindak sebagai speaker dengan tidak terlibat dalam kepartian.

Sekiranya ada usaha untuk gugurkan Speker Pakatan Rakyat, bagaimana ia boleh dilakukan dalam kedudukan 28 kerusi BN dan 28 kerusi Pakatan Rakyat.

Tidak pernah ada satu peristiwa di mana speaker di gugurkan oleh ahli dewan. Kalau ahli DUN Perak nak buat sejarah dia nak gugurkan speaker, dia patut bawa usul untuk gugurkan speaker. Pentafsiran benda macam ini, mahkamah boleh selesaikan. Kalau BN hendak cipta sejarah silalah, memang tidak ada peruntukan menggugurkan speaker dan tidak pernah dibuat. Jadi sebab dalam amalan demorakrasi komenwel memang speaker dihormati.Speaker DUN Perak dapat menjalankan tugas sebaiknya.

Andainya BN gagal untuk menggugurkan Speaker V. Sivakumar apa akan terjadi kepada sidang DUN?

Sivakumar tidak boleh memihak kepada parti yang disokong walaupun dia DAP, kalau menampakkan dia memihak kepada DAP memang dia gagal mengendalikan tugasnya dengan baik.Dia speaker, memang ada cabaran yang cukup besar, saya memang cuba berdasarkan pengalaman saya selama 3 penggal. Memang cabaran untuk kita tidak memihak dan memperlihatkan ke arah kepartian.Siva mampu untuk cipta sejarah. Dia kena melihat semua parti yang di depannya adalah ahli dewan tanpa ada fahaman parti.

Baru-baru ini V. Sivakumar akan menghadapkan Menteri Besar BN Dato' Zambry dan empat Adun BN serta empat penasihat yang baru dilantik ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan DUN. Bolehkah perkara ini dilakukan oleh Sivakumar.

Suasana di Perak pertama kali berlaku di Malaysia. Tetapi berlainan pula berlaku di Sabah maka ketua menteri pada waktu itu menasihat kepada Tuan Yang diPertua membubarkan dewan dan memang dewan bubar, selesai masalah.Saya cukup kecewa dengan pandangan yang diberikan oleh Timbalan Speaker pada hari perasmian parlimen, Timbalan Speaker memberi pandangannya berhubung suasana di Perak. Cukup tidak sopan.
Seorang timbalan memberi pandangan mengenai speaker DUN dalam keadaan speaker Dewan Rakyat tidak memberi apa-apa kenyataan berhubung situasi negeri itu. Sepatutnya timbalan perlu sedar kedudukannya tidak boleh mengatasi speaker. Untuk makluman speaker di seluruh Malaysia ada persidangan setahun sekali, kita saling bertukar pandangan dan hormat satu sama lain.
Tidak ada hak timbalan speaker mengeluarkan pandangan terhadap speaker di DUN Perak.Jadi nak nasihat kepada speaker Perak kena berunding dengan Penasihat Undang-undang. Justeru, speaker negeri Perak perlu berhenti daripada menjadi ahli parti, tidak boleh jadi pimpinan parti, tidak boleh menggunakan jawatan speaker untuk mengendalikan urusan parti. Itu urusan Menteri Besar. Speaker perlu mendapat penghormatan semua pihak. Speaker perlu runding dengan penasihat undang-undang negeri yang berwibawa.

Speaker Dun tidak lut mahkamah, Sivakumar anggap siasatan SPRM suatu penghinaan. Apa nak jadi SPRM?

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar berkata beliau berasa kecewa dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasatnya, walaupun segala tindakannya sebagai Speaker Dewan dibuat secara sah.

"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi DUN dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai SPRM di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam.

Jumaat lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata Suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN berkuatkuasa serta merta.

Sivakumar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh berkata sebagai Speaker, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".

Bagaimanapun, menurutnya beliau yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM dari Ibupejabat di Putrajaya selama kira-kira dua jam, bermula dari pukul 6 petang.

Sivakumar seterusnya berkata siasatan itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Kereta peribadi, jariah lembu: Sultan Selangor tiada halangan. Tan Sri Khalid akan saman Pengerusi Gerak dan minta penjelasan SPRM


Mstar Online melaporkan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak membantah penggunaan kereta peribadi sebagai kenderaan rasmi jika semua prosedur undang-undang dipatuhi.

Beliau berkata, selain itu, dalam isu lembu korban yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, Sultan tidak mempunyai halangan terhadap usaha sedekah malah menggalakkan segala usaha kebajikan seperti itu diteruskan.

"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah mematuhi segala proses undang-undang yang telah ditetapkan berhubung penyelenggaraan kereta tersebut. Dalam isu derma lembu korban pula, Tuanku Sultan malah menggalakkan segala usaha kebajikan ini diteruskan dan dipanjangkan kepada kawasan Kuala Lumpur termasuk Bandar Tun Razak," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di pejabatnya di sini.

Khalid berkata demikian ketika mengulas hasil majlis menghadap beliau dengan Sultan Selangor semalam di Istana Mestika di sini yang antara lain membincangkan isu dakwaan penyalahgunaan wang rakyat oleh beliau bagi penyelenggaraan kereta persendirian dan 46 ekor lembu korban yang diderma di kawasan Parlimennya di Bandar Tun Razak pada Aidiladha tahun lalu.

Khalid berkata, beliau akan menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagi meminta penjelasan berhubung kenyataan beliau sebelum ini bahawa suruhanjaya itu mempunyai bukti kukuh mengenai kedua-dua dakwaan tersebut.

"Dalam pada itu, salah satu proses undang-undang akan dibuat terhadap Pengerusi GERAK atas segala tohmahan salah guna kuasa seperti yang disiarkan media," katanya.

Gerak Malaysia sebelum ini membuat aduan kepada SPRM berhubung penyalahgunaan kuasa yang dikatakan dilakukan oleh Khalid.

Sultan Selangor dukacita perbuatan ceroboh hak 'privacy' individu dijadikan alat untuk menjatuhkan maruah seseorang!

Apakah karier politiknya akan berakhir di sini? Eli seorang yang aktif bermain muzik, profesional dalam fotografi dan aktivis alam sekitar perlu mengambil masa untuk pulih kembali!


Elezabeth Wong menjadi mangsa "permainan politik" pihak tertentu dan dijatuhkan hanya melalui sekeping gambar yang mengaibkan beliau!


Berikut ialah kenyataan penuh SultanSelangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Elizabeth Wong, yang dikeluarkan oleh Datuk ela Bakti Setiausaha Sulit kepada baginda, Datuk Mohamad Munir Bani:

Sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Abdul halid bin Ibrahim, Dato' Menteri Besar Selangor telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada hari Rabu, 25 Februari 2009 dan menyembah kepada Baginda perkembangan hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor serta isu yang melibatkan Yang Berhormat Elizabeth Wong Keat Ping, Adun Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa Baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizibeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Yang Berhormat Elizabeth Wong dalam politik.

Sebagai Sultan Selangor, Baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic).

Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya.

Baginda turut merasa dukacita dan amat bimbang kerana sejak akhir-akhir ini perbuatan menceroboh hak peribadi dan 'privacy' individu telah dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai.

Kepada Yang Berhormat Elizabeth Wong, Baginda melahirkan rasa sedih da simpati di atas insiden yang telah berlaku dan berharap agar beliau dapat bertenang, sabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan ini dan meneruskan kehidupan seharian beliau.

Dato' Haji Mohamad Munir bin BaniDato' Lela Bakti
Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor

Gambar bogel Eli: Sultan Selangor serah atas kebijaksanaan Tan Sri Khalid Ibrahim selesaikan kemelut

Pertemuan singkat MB Selangor dengan Tuanku Sultan Selangor semalam bagi membincangkan isu membabitkan Adun Bukit Lanjan

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang gambar bogelnya disebarkan kepada umum baru-baru ini.

Pendirian Sultan Selangor itu dinyatakan kepada Khalid semasa beliau menghadap baginda hari ini untuk mendapat nasihat mengenai kedudukan Elizabeth yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan ekoran kontroversi tersebut. Baginda mengambil keputusan itu memandangkan isu Elizabeth masih dalam siasatan polis dan sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik, lapor Bernama.

"Sultan Selangor menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizabeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Yang Berhormat Elizabeth Wong dalam politik.

"Sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik," kata Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Kes Nizar lwn Zambry: Ariff terpaksa undur atas desakan dan bantahan Peguam Negara

AKHIRNYA, Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamad Ariff Md Yusof hari ini memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar kes berhubung jawatan menteri besar Perak, lapor Malaysiakini.

Mohamad Ariff - bekas rakan kanan dalam firma guaman Cheang and Ariff dan bekas ahli PAS - memutuskan demikian ekoran bantahan daripada Jabatan Peguam Negara. Penasihat Undang-undang Perak, Ahmad Kamal Mohd Shahid, yang berkata beliau mewakili Datuk Zambry Abdul Kadir, juga turut mengemukakan bantahan pelanggannya terhadap Mohamad Ariff mendengar kes tersebut.

Menteri Pesar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai peguam kanan, Sulaiman Abdullah. Pejabat Peguam Negara diwakili oleh Kamaluddin Md Said dan Suzana Atan.

Mohamad Ariff berkata keputusan dibuat demi ketelusan dan keadilan bagi mengelak sebarang andaian yang beliau berat sebelah.

Calon PAS Bukit Gantang masih rahsia, mungkin Ahmad Awang, Idris Ahmad, Mohamad Sabu atau siapa?

PRK Bukit Gantang akan menjadi rujukan dunia terhadap referendum rakyat kepada istana dan BN dalam berdepan dengan kemelut dan krisis perlembagaan di Perak

BANYAK pihak tertanya-tanya siapakah calon PAS yang bertuah untuk mewakili Pakatan Rakyat di Bukit Gantang? Sehingga hari ini, tiada maklumat bawah karpet yang memperkatakan siapakah calon PAS itu.

Barangkali, andaian awal boleh diperkatakan, jika anak tempatan menjadi "taruhan" maka sudah tentulah Ustaz Idris Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang pernah menjadi calon PAS pada pilihan raya kecil Dun Changkat Jering 10 tahun lalu, boleh disenaraikan.

Walaupun desakan kuat dari akar umbi meminta Menteri Besar, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin bertanding di kerusi itu, tetapi sejak awal-awal lagi, Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz sudah menolak kemungkinan itu. Namun, semuanya boleh jadi terbalik semula seperti di Kuala Terengganu.

Sekalipun Tok Guru pada awalnya mahu Mohamad Sabu diletakkan di Kuala Terengganu atas alasan tertentu, namun akhirnya kehendak Tok Guru itu dirasionalkan semula. Barangkali, di saat akhir, nama Nizar boleh diperhalusi semula.

Pada congakkan saya, nama seperti Ustaz Ahmad Awang selaku Naib Presiden dan Pesuruhajaya PAS Perak mungkin disenaraikan. Diikuti Timbalan Pesuruhjaya yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak serta AJK PAS Pusat, Asmuni Awi barangkali akan di ketengahkan. Nama lain lagi kalau ada, mungkin Dr Khairuddin Dato' Abdul Malek, anak Speaker BN Perak yang kini Bendahari PAS negeri.

Pada PRU Ke 12 lalu, Khairuddin bertanding menentang Rafidah Aziz di Kuala Kangsar tetapi tewas. Sementara Asmuni tidak bertanding. Begitu juga dengan Ustaz Ahmad Awang. Tetapi saya yakin, PAS Perak ada calonnya yang tersendiri dari jangkauan umum yang saya kemukakan ini.

Malah, nama Mohamad Sabu juga diperkatakan. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan setakat ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, PAS kawasan Bukit Gantang sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut 7 April depan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Nordin berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama tersebut kepada Pejabat Agung PAS awal bulan ini. Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu jumlah calon yang yang dihantar itu atas alasan arahan dari PAS negeri.

"Boleh jadi empat atau lima nama, tetapi rahsia saya tidak boleh beritahu," katanya ketika dihubungi hari ini. Mohamad juga enggan memberitahu sama ada calon-calon tersebut merupakan pemimpin PAS dari kawasan Bukit Gantang. Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Bukit Gantang, Zulkifli Hashim berkata, pihaknnya menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

"Tidak perlulah kita sibuk-sibuk memilih calon kerana bukan kita yang membuat keputusan. 'Terima siapa saja...' Siapa yang mereka putuskan, kita menerima sahaja," katanya.

Mengenai persiapan menghadapai pilihanraya tersebut, Zulkifli berkata, cawangan-cawangan PAS kawasan Bukit Gantang telah membuat persiapan awal. Katanya, ia termasuk memasang bendera PAS di tempat masing-masing.

"Kerja-kerja ini akan menjadi semakin rancak selepas hari penamaan calon 29 Mac ini. Ketika itu petugas-petugas PAS dari luar Bukit Gantang mula datang membantu jentera parti," katanya.

Pilihnaraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum awal bulan ini.Dalam pilihanraya umum lalu, wakil PAS itu mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Azim Zabidi yang juga bendahari Umno.

Khir Toyo terpaksa berdepan skandal babitkan penerimaan bayaran RM17 juta hasil jualan Al Marwa Tower di Makkah!

Khir Toyopun kalau SPRM telus dan berani, barangkali tidak akan terlepas dari sebarang skandal dan penyelewengan. Banyak laporan polis dibuat, BPR dan media memperkatakannya tetapi beliau bernasib baik, kerana beliau pemimpin Umno yang duduk di serambi kuasa!

PENDEDAHAN Harakahdaily pada 25 Feb dan disiarkan pada muka depan Harakah cetak Bil 1418 sebagai berita kedua utama cukup terkesan untuk melihat gelagat mantan MB Selangor, Khir Toyo.

Beliau yang sebelum ini menjadi juara untuk menyeret Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya telah menyalahgunakan wang rakyat negeri itu, rupa-rupanya kalau SPRM betul-betul telus, mungkin lebih banyak penyelewengan yang menelan wang rakyat Selangor pada skala besar dapat dibongkar.

Pendedahan Ahmad Lutfi Othman tentang kegiatan rasuah dan penyalahgunaan Khir sewaktu jadi MB dulu, belum terjawab sehingga hari ini. Kalau ditanya SPRM, sudah tentulah jawapannya tiada bukti kukuh. Tetapi kalau yang "terkena" itu dari pemimpin Pakatan Rakyat, maka sudah pasti juga jawapannya, bukti kukuh sudah diperolehi.

Berbalik kisah Khir Toyo tadi. Harakah melaporkan, setelah menjadi juara dakwaan penyelewengan kuasa membabitkan pengagihan 46 lembu korban dan caj servis kenderaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; mantan Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Khir Toyo kini terpaksa berhadapan skandal membabitkan penerimaan bayaran RM17 juta daripada seorang individu hasil jualan tujuh unit hartanah Al Marwa Tower di Makkah, Arab Saudi.

Pembayaran tanpa sebarang resit rasmi itu diterima hasil jualan tujuh daripada 12 unit hartanah yang dibuat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Makkah. Apa yang menghairankan, Resolusi Pengarah PNSB bertarikh 14 September 2007 hanya meluluskan pembelian lima unit kediaman berjumlah RM8,352,427.66 sedangkan rekod PNSB menunjukkan sejumlah RM25,603,545 telah dibayar ke akaun individu di Arab Saudi dari 17 September hingga 19 September 2007.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor, 24 Februari lalu, kesemua transaksi dibuat atas nama Mohd Khir selaku Pengerusi PNSB atas alasan Arab Saudi hanya membenarkan hartanah di Makkah dibeli oleh individu muslim.

"Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) berhasrat mendapatkan jawapan terhadap persoalan di atas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika kes ini membabitkan unsur jenayah," kenyataan akhbar itu dipetik.

Sebelum ini dua orang Pegawai PNSB telah diminta bercuti selama sebulan bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan. Siasatan tersebut berhubung dakwaan kelemahan dan kesalahan urusan simpanan rekod perakaunan anak syarikat kerajaan negeri.

Abdul Khalid selaku Pengerusi PNSB telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod tersebut.

PERSOALANNYA, adakah kerana mahu menyimpan lebih banyak pekung yang dilakukan oleh Khir Toyo, maka Tan Sri Khalid mesti dilenyapkan dari Bangunan SUK itu bagi menghalang lebih banyak skandal dan penyelewengan lain terbongkar?

Namun saya yakin, Khir ada alasan yang tersendiri apabila menjawab pertanyaan media kelak dan tentunya beliau akan bersilat dan berkuntau untuk membersihkan namanya itu, terutama tidak sampai sebulan lagi, pemilihan Ketua Pemuda Umno Malaysia bermula!

Rabu, Februari 25, 2009

Anak Ketua SPRM, Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said Hamdan dituduh mengimpot bahan lucah?

SAYA MEMETIK BERITA PANAS DARI AUSTRALIA... Tapi dikutip dari blog cucu Yoep Majlis. Orang Lambor Kanan juga. Satu kampung dan rumah Allahyarham Yoep Majlis tak berapa jauh dari rumah ayah saya di Kg Teluk Bedayung tu. Blog beliau sudah dilinkkan pada sudut sebelah kanan blog ini. Namanya Abdul Rahman Hasyim, orang kuat Umno Setiawangsa. Bapa Saudaranya, Dato' Hambal Yoep Majlis pernah jadi Adun Bota dan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Kisahnya begini, lapor Blog Locengwangsa: Anak kepada Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said Hamdan (Foto) Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama AHMAD SHAUQI BIN AHMAD SAID yang bekerja sebagai seorang Juruterbang MAS telah ditangkap dan didenda oleh mahkamah Australia kerana kesalahan membawa masuk bahan lucah kanak-kanak bawah umur (child pornography) ke negara Australia.

Ahmad Shauqi bin Ahmad Said kelihatan digari di Mahkamah Majistret Adelaide kerana dituduh mengimpot bahan yang dilarang itu. Menurut sumber-sumber berita yang dipetik daripada beberapa laman web antarabangsa diantaranya 'AdelaideNow' (www.news.com.au/adelaidenow) bertarikh 8 Februari 2009, begitu juga berita ini disensasikan di dalam laman web ABC News.

Pegawai kastam Australia dikatakan telah menahan Shauqi yang berumur 25 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide, selepas menemui 3 fail video mengandungi bahan lucah kanak-kanak bawah umur. Video-video itu bertajuk "Reped (sic) Virgin', "10-Year Old" dan "High School Students."

Baca DI SINI ada banyak lagi!


"Bahan-bahan itu menjijikkan dan sangat tidak boleh diterima - sesiapa yang baik akan menerima kesan buruknya," kata Majistret Simon Smart.

Mr Smart berkata terdapat satu adegan rogol yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun yang dipaksa untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki yang lebih tua usianya.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan MAS telah menggantung Ahmad Shauqi nombor kakitangannya 1086993 daripada melakukan penerbangan bagi membolehkan satu siasatan dalaman diambil oleh syarikat penerbangan nasional itu.

Di dalam beberapa kupasan/forum di internet rata-rata memberikan pendapat betapa kehinaan yang telah menimpa Ahmad Said Hamdan sebagai satu "balasan" terhadap sikap Ketua SPRM itu yang telah menjadi bahan kritikan rakyat yang kerana beliau dikatakan terlalu "banyak melakukan kesalahan pilih kasih dan bias" di dalam beberapa tindakannya.

Baru-baru ini Ahmad Said Hamdan telah mengeluarkan kenyataan semberononya yang mengaitkan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang dikatakannya telah disiasat oleh SPRM berhubung dengan satu aduan yang menyebutkan Menteri Besar itu telah menyalahgunakan kuasanya berkaitan dengan penyenggaraan kereta peribadinya dan juga isu pembelian lembu korban yang dilihat ada kes untuk didakwa. Menurutnya kes ini akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Banyak pihak mempertikaikan cara Ahmad Said bertindak, kerana mereka berpendapat Suruhanjaya (SPRM) hanya perlu menyerahkan hasil siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara dan jabatan tersebut yang seharusnya menentukan samada ada kes atau tidak terhadap Khalid Ibrahim. Kalau Ahmad Said boleh membuat kenyataan sedemikian, maka agensi lain seperti Polis juga boleh membuat kenyataan bahawa hasil dari siasatan mereka, contohnya kes bunuh, "sianu dicadangkan didakwa kerana terdapat bukti dia telah membunuh mangsa".

Kini, SPRM sayap baru bagi Umno? Semakin galak dan ligat menggodam pemimpin Pakatan dan membersihkan pemimpin BN!


IRWAN Muhamad Zain melaporkan dari Parlimen patang tadi; PAS mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak telus dan berintegriti serta tidak bertindak menjadi satu lagi sayap Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menegaskan SPRM seharusnya menyiasat semua kes rasuah tanpa mempedulikan pemimpin parti mana yang terlibat.
"SPRM tidak sepatutnya bertindak pantas jika ianya kes yang melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat sebaliknya amat perlahan bila kes yang membabitkan pemimpin Umno," tegas beliau.

Mahfuz juga menegaskan jika SPRM terus menerus mengamalkan sikap pilih kasih, ia akan menjejaskan kreadibiliti dan integriti suruhanjaya tersebut.
Beliau turut menempelak kenyataan media Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Ahmad Said Hamdan pada 20 Februari lalu berhubung tuduhan salah guna kuasa Menteri Besar Selangor.

Tegas beliau, Ahmad Said tidak sepatutnya mendahului mahkamah dengan membuat kenyataan seolah-olah MB Selangor itu sudah terbukti bersalah.

"Sekalipun SPRM mempunyai bukti kukuh ia tidak boleh didedahkan kerana ia masih merupakan dokumen satu kertas siasatan yang tidak sepatutnya didedahkan kepada umum sehinggalah Tan Sri Khalid dipertuduh secara rasmi di mahkamah oleh Jabatan Peguam Negara jika diputuskan terdapat kes terhadap MB Selangor itu," tegas Mahfuz.

Mahfuz menegaskan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu adalah jelas menyalahi tatacara urusan dokumen sulit yang sepatutnya tidak boleh didedahkan.

Beliau seterusnya berkata, tindakan Ahmad Said itu seolah-olah mempunyai niat jahat bagi menjatuhkan reputasi Tan Sri Khalid Ibrahim selain bertujuan untuk mempengaruhi pihak Jabatan Peguam Negara dan mahkamah untuk mendakwa dan menghukum Mb selangor tersebut.

Sehubugan dengan itu beliau mendesak agar kerajaan mengantung tugas Ahmad Said atau mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengambil cuti agar imej suruhanjaya tersebut tidak terus tercalar.

Pertemuan Imam Emran dan keghairahan penduduk Lambor Kanan menantikan ketibaan Nizar Jamaluddin!

Berbual tentang politik semasa bersama Imam Emran Hj Ahmad (baju Melayu biru) di rumah saya, di Kg Lambor Kanan, Parit Perak pada Hari Raya Cina baru-baru ini


PADA 22 Feb lalu, Menteri Besar, Dato' Seri Nizar Jamaluddin tidak berkesempatan untuk datang solat Maghrib dan menyampaikan Kuliyah Maghrib di Masjid Redzuaniah, Lambor Kanan , Parit. Rakan saya, Imam Emran adalah imam tetap di masjid tersebut.

Sewaktu PAS menang di Parlimen Parit pada PRU 1999 dulu, Imam Emran adalah Pembantu Khas (PA) kepada Ahli Parlimen, Ustaz Basir Rahmat dan saya sebagai Setiausaha Politiknya. Kekuatan PAS Parit waktu itu cukup utuh dan tidak digugat dengan persempadanan baru menjelang PRU 2004. Ustaz Basir menjadi 'giant killer' kerana dapat menumbangkan Dato' Seri Megat Junid Megat Ayub, Menteri Hal Ehwal Pengguna.

Imam Emran memberitahu saya, Nizar berada di Tanjung Malim memenuhi undangan masyarakat di sana dan tak dapat datang ke masjid Lambor Kanan. Tetapi katanya, selepas itu Nizar akan berkejar ke Markaz PAS Titi Gantung di Bota, Parit, Perak untuk berceramah. Beliau tak dapat ke sana kerana hujan turun agak lama.

Namun tempat Nizar di Masjid Lambor Kanan digantikan oleh SU Politiknya, Misbahul Munir Masduki. Beliau menyampaikan tazkirah sebagai pengisian dan ukhwah.

Penduduk yang tidak dimaklumkan lebih awal, menunggu Nizar penuh sabar. Sekitar 250 orang menunggunya penuh ghairah. Mahu bertemu muka, kata mereka. Penduduk Lambor sudah jauh berubah berbanding 20 tahun lalu dari segi pegangan politik mereka. Dulu mereka kuat BN tetapi sejak semenjak dua menjak ini, kian luntur kepercayaan mereka kepada BN.

Imam Emran Haji Ahmad, imam besar masjid tersebut, adalah orang yang sering memaklumkan info setempat kepada saya sejak sekian lama. Pengaruhnya, boleh dikatakan melata di pelusuk kampung dalam Kg Lambor Kanan itu. Beliau mengajar kitab untuk kaum ibu di surau-surau dan masjid.

Pada Hari raya Cina baru-baru ini, Imam Emran ada datang bersembang panjang dengan saya di rumah, di Kg. Teluk Bedayung Lambor Kanan. Rumah itu telah lama tidak berpenghuni. Sesekali balik kampung, di sinilah tempat kami berborak. Banyak yang diceritakan dari hal politik setempat hinggalah menerjah ke Bangunan SUK, sebelum digodam BN....

Selasa, Februari 24, 2009

Hanya pembubaran DUN Perak mampu selesaikan kemelut. Kerajaan Dr Zamry lumpuh. BN terngaga tindakan Speaker V Sivakumar!


SAYA berada di Impiana Morib, pagi Jumaat, 20 Feb lalu. Menemani isteri berkursus Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Perkembangan politik Perak kian menarik apabila Speaker menggantung Dr. Zamry Abdul Kader dan Exconya. Saya terus menghubungi Profesor Dr. Abdul Aziz Bari untuk mendapatkan ulasan terkini berkenaan tindakan tersebut. Terdapat info yang tidak diketahui orang, tentang status atau kuasa Speaker dalam keadaan kemelut di Perak itu. Saya melaporkan begini:

Hanya satu sahaja yang dapat menyelesaikan kemelut politik yang semakin meruncing di Perak sekarang, bubarkan DUN Perak supaya pilihan raya negeri dapat diadakan. Hanya rakyat yang dapat menyelesaikan krisis politik yang makin meruncing sekarang.

Demikian dinyatakan oleh pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas penggantungan Dato Dr Zambry Kadir yang dilantik oleh Sultan Perak mengetuai kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional 6 Februari lalu. Bagaimanapun beliau bersama 7 orang anggota EXCO yang dilantik kemudian digantung oleh Speaker DUN Perak V.Sivakumar 18 Februari lalu kerana……

Tindakan speaker itu telah dikutuk oleh para pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beberapa laporan polis turut dibuat.

Mengulas perkembangan itu Aziz berkata meskipun tindakan Speaker DUN Perak itu kelihatan melampau ia adalah di dalam bidang kuasa beliau. “Mereka yang tidak puas hati dengan tindakan speaker itu boleh mengutuk atau membuat laporan polis; tetapi apa yang polis boleh buat? Undang-undang dalam DUN Perak sama dengan Dewan Rakyat dan kita telah lihat bagaimana Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli-ahli parlimen seperti Karpal Singah dan Fong Po Kuan; ada yang langsung tidak mendapat elaun.

Bagaimanapun tidak ada apa
yang boleh dilakukan kerana itu semua memang kuasa speaker, bagaimana tidak logik dan zalim sekalipun” katanya.

Dalam beberapa isu penting, speaker Dewan Rakyat, baik Tan Sri Pandikar Amin Mulia maupun Allahyarham Tun Mohd Zahir, menolak mentah-mentah usul yang dikemukakan oleh pihak Pakatan Rakyat.

Ditanya apakah wajar tindakan Speaker DUN Perak yang dituduh oleh Barisan Nasional sebagai menyalahgunakan kuasa, dendam dan sebagainya Aziz berkata. “Mereka boleh kata apa mereka suka; kuasa speaker memang begitu dan mahkamah sendiri pun tidak akan campur. Dan sekiranya mereka tidak berhati-hati mereka boleh dikenakan hukuman kerana engkar arahan speaker atau menghina DUN Perak”, jelas Aziz lagi.

Di dalam senario di Perak itu kata beliau ubat yang paling mujarab ialah pembubaran DUN supaya pilihan raya dapat diadakan. Aziz menjelaskan pembubaran dapat menyelesaikan banyak perkara termasuk “status tiga ADUN yang melompat itu, kes mahkamah yang ada sekarang dan yang paling penting mewujudkan kestabilan di negeri Perak”.

Beliau berkata krisis politik yang berterusan sejak awal Februari itu memberikan gambaran yang negatif tentang negeri Perak dan itu tidak baik bagi pembangunan ekonomi yang amat penting bagi kesejahteraan rakyat.

“Sejak awal lagi saya berpendapat sultan sepatutnya membubarkan DUN dan bukan melantik kerajaan baru meskipun kuasa itu ada di tangan baginda. Apa yang berlaku sejak dua minggu ini jelas menunjukkan ketidakwajaran itu”, kata profesor undang-undang itu lagi.

Perlantikan itu, kata Aziz lagi, menyebabkan beberapa persoalan yang telah sedia muncul tidak diselesaikan. “Status ADUN itu dikaburkan oleh SPR yang menolak notis speaker dan sebab itu saya tidak terperanjat dengan tindakan menggantung Zambry dan rakan-rakan EXCOnya”, katanya.

Aziz berkata sekiranya rakyat tidak diberi peluang membuat keputusan selagi itu kerajaan yang ada akan terus menyeret istana ke kancah politik. Tiga hari lalu Perdana Menteri menuduh speaker DUN Perak tidak menghormati sultan dengan tindakannya menggantung Zambry dan para EXCOnya.

Mengenai kemungkinan kerajaan persekutuan mengisytiharkan darurat di Perak Aziz berkata ia tidak mudah untuk berlaku. “Memang ia boleh dibuat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tetapi saya tidak fikir Tuanku Mizan akan mengikut begitu sahaja. Kita sudah lihat bagaimana Datuk Seri Idris Jusoh ditolak oleh istana meskipun beliau mempunyai majoriti yang jelas dalam DUN Terengganu. Apa yang penting di sini ialah betapa Tuanku Mizan tidak mengikut apa sahaja yang dinasihatkan oleh kerajaan”, tegas Aziz.

Kerajaan persekutuan pernah mengisytiharkan darurat di dua buah negeri yang dilanda oleh krisis politik sebelum ini. Kali pertama ialah pada 1966 apabila Sarawak dilanda kemelut ekoran kengganan Ketua Menteri Dato Stephen Kalong Ningkan meletakkan jawatan. Ini diikuti oleh perisytiharan yang sama di Kelantan sewaktu Menteri Besar Datuk Mohamed Nasir enggan meletakkan jawatan meskipun tewas dalam undi tak percaya pada 1977.

Aziz menjelaskan dengan perisytiharan darurat kerajaan persekutuan akan “menggantung perlembagaan negeri dan kemudian mengambilalih pentadbiran negeri”.

Bagaimanpun beliau tidak yakin kerajaan pusat berani berbuat demikian kerana ini akan menyebabkan mereka dianggap perampas dan tidak popular. Beliau berkata meskipun kerajaan pusat pernah melakukannya mereka tidak berbuat demikian sewaktu Sabah dilanda krisis politik pada 1985 dan 1994.

Menyelami maksud tersirat PAS Selangor dalam isu skandal kereta peribadi dan korban lembu MB Selangor!

Tan Sri Khalid Ibrahin kini dalam dilema, terpaksa berdepan dengan risiko tindakan SPRM yang makin ligat menggodam beliau


Dato' Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Selangor yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Selangor selepas Mesyuarat Khas Dewan Harian PAS Selangor yang dipengerusikan oleh YB Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor yang berakhir tengah malam semalam.

KENYATAAN MEDIA PAS SELANGOR BERHUBUNG ISU SALAHGUNA KUASA YAB MENTERI BESAR SELANGOR TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

PAS Selangor ingin merakamkan rasa simpati terhadap apa yang dilalui oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama dengan keluarga khususnya yang berkaitan dengan pertuduhan salahguna kuasa seperti yang dilaporkan kelmarin. PAS Selangor sentiasa berdiri dibelakang Tan Sri untuk mewujudkan pentadbiran negeri yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Adalah amat malang pertuduhan itu terkena kepada Tan Sri sendiri yang tidak jemu-jemu mengingatkan ahli EXCOnya supaya pada setiap ketika mengamalkan prinsip-prinsip ketelusan dan keamanahan itu.

Rakyat telah memilih parti-parti komponen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri Selangor dan menjadikannya negeri idaman, bersih, maju, beramanah dan berkebajikan. Dalam masa kurang setahun, Menteri Besar Selangor bersama dengan pasukan EXCOnya telah berjaya melahirkan persekitaran bersih itu.

Memandangkan faktor integriti menjadi kriteria utama pilihan rakyat dalam memilih kerajaan, maka adalah menjadi satu pilihan yang munasabah untuk pihak-pihak tertentu berusaha mencederakan imej pimpinan atasan.

Asakkan-asakkan ini dijangka bertambah genting dalam bulan-bulan mendatang. PAS Selangor mengutuk dengan sekeras-kerasnya segala usaha menumbangkan kerajaan negeri dengan berselindung disebalik isu-isu yang berkaitan dengan keamanahan padahal langkah-langkah tersebut mempunyai agenda tersembunyi.

PAS Selangor sebaliknya mengalu-alukan usaha badan-badan penguatkuasaan undang-undang seperi SPRM menyiasat segala aduan yang ada kaitannya dengan persoalan integriti dan keamanahan atas pinsip "without fear and favor" dan tidak mendakwa secara berpilih-pilih.

Dalam kes yag melibatkan Menteri Besar Selangor ini, PAS Selangor berpegang kepada prinsip-prinsip berikut:

A) Bersama dengan komponen parti Pakatan Rakyat mempertahankan hasrat dan kehendak Menteri Besar Selangor untuk meletakkan negeri di atas kerangka bersih, amanah, telus dan berintegriti;

B) Bersama dengan komponen parti Pakatan Rakyat menuntut supaya tidak berlaku pendakwaan secara berpilih-pilih;

C) Supaya Menteri Besar Selangor tidak menjadi mangsa kerakusan mana-mana pihak untuk mengganggu gugat kestabilan negeri Pakatan Rakyat;

D) Supaya Pakatan Rakyat bertambah kukuh dan Selangor terus menjadi negeri di barisan hadapan dalam mempertahankan prinsip-prinsip ketelusan dan keadilan.

Atas prinsip sedemikian, PAS Selangor:

a) Meminta ruang masa daripada Tan Sri Khalid untuk mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan pimpinan PAS negeri bagi mengetahui kedudukan perkara yang sebenarnya;

b) Merujukkan pandangan yang akan diambil kepada pimpipinan tertinggi parti;

c) Meminta ahli dan penyokong PAS khasnya dan rakyat negeri Selangor amnya mengambil sikap bertenang dan berlapang dada dalam menghadapi permalasalahan ini;

d) Meminta SPRM dan Peguam Negara bertindak dengan penuh kewibawaan dan darjah profesianalisma yang tinggi;

e) Seandainya kes ini membawa kepada pertuduhan di mahkamah, atas dasar untuk menjulang kewibawaan pentadbiran negeri dan kestabilan politik dikalangan anggota komponen, adalah wajar bagi Tan Sri Khalid mengambil langkah-langkah yang difikirkan munasabah demi menjaga imej kerajaan negeri disamping tidak menganggu proses perjalanan undang-undang.

Akhirnya PAS Selangor mendoakan agar Tan Sri Khalid dan ahli keluarga beliau tabah menghadapi cabaran dan mehnah ini. Diharapkan cabaran ini menjadikan kita semua bertambah teguh dan istiqamah bagi memacu Selangor menjadi negeri idaman, maju bersih dan berkebajikan.

DVD Seks Chua Soi Lek kembali "menggegarkan" politik MCA. Adakah ini angkara musuh utamanya Ong Tee Kiat?


PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat menafikan kemunculan semula DVD seks Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ada kaitan dengan desas-desus yang mengatakan ada usaha untuk mengadakan sidang khas parti itu, untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap dirinya. Demikian lapor Malaysiakini hari ini.

Sebaliknya, beliau yang juga menteri pengangkutan menyifatkannya sebagai hanya spekulasi media semata-mata."Saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjawab soalan-soalan berbentuk spekulais ini."Mereka cuba hanya mahu membangkitkan dan kemarahan orang. Kita tidak akan terganggu," kata ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kemunculan semula DVD seks Chua dan siasatan terhadap timbalan presiden MCA itu berunsur politik, Ong berkata:"Jangan cuba mengaitkannya dengan perkara-perkara lain. Sekiranya anda tidak bersalah, maka anda tidak bersalah.

"Apakah perlu hendak berdebat lagi, adalah anda hendak menyalahkan seluruh dunia?"Polis menyiasatSemalam, polis mengesahkan bahawa timbalan presiden MCA itu kini sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan seks oral dalam DVD seks tersebut. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Hasnan Hassan berkata, polis sedang menyiasat DVD seks tersebut mengikut seksyen 377(A) Kanun Keseksaan.

Seksyen 377 (A) menyebut "mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie."Jika sabit kesalahan, hukuman bagi kesalahan tersebut ialah penjara sehingga 20 tahun, serta sebat.

Hasnan berkata, polis juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengedar DVD seks itu, mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan yang merangkumi pengedaran bahan lucah.Mereka yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan/atau didenda.

Jawatankuasa disiplinBerhubung siasatan tersebut, Chua telah dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada jam 10.30 semalam.Berikutan, Dr Chua menyifatkan perbuatan mengedar semula DVD seksnya sebagai satu usaha untuk 'menutup mulutnya".

Sementara itu, Ong juga ditanya sama ada jawatankuasa parti itu akan menyiasatkan dakwaan terhadap Chua."Jawatankuasa disiplin adalah sebuah badan bebas dan keputusan (untuk menyiasat) bergantung kepada jawatankuasa itu sendiri," tegasnya.

Ditanya sama ada, DVD seks itu akan mencemar imej parti, Ong menjawab: "Sama ada ada ia akan mencalar imej MCA, patut ditanya kepada orang yang melakukan perkara tersebut. Perkara ini berlaku pada tahun lepas, patutnya tanya kepada beliau. "Ditanya pendiriannya berhubung isu tersebut, Ong berkata: "Adakah awak berpendapat bahawa kami perlu menyokong perkara yang melanggar undang-undang? Kalau begitu sila beritahu kami..."

Guan Eng mahu saman Utusan, jangan bagi muka pada suratkhabar perkauman itu!


KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menafikan laporan akbar Utusan Malaysia hari ini bahawa kerajaan negeri tersebut telah menubuhkan majlis perundingan antara agama tahun lalu."Semua itu satu pembohongan... kita tidak ada majlis seumpama itu," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan peguamnya supaya memfailkan saman fitnah terhadap akhbar tersebut kerana menyiarkan berita yang tidak benar."Dan jika mereka mempunyai sebarang bukti yang kita menubukan majlis seumpama itu, maka bawalah ke mahkamah," katanya.

Utusan Malaysia menyiarkan di muka depannya laporan bahawa kerajaan Pulau Pinang telah menghina Islam dengan penubuhan majlis perundingan antara agama.Akhbar tersebut memetik Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya sebagai berkata, cubaan menyamakan Islam dengan fahaman agama lain ternyata menghina Islam dan tindakan seperti itu mesti dihentikan.

Katanya, MAINPP berasa cukup tersinggung apabila ada beberapa ahli jawatankuasa (AJK) majlis tersebut terdiri daripada orang Melayu, lapor Malaysiakini hari ini.


Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff Md Yusof (bekas ahli PAS) akan tarik diri atau tidak dengar kes Nizar Jamaluddin, 25 Mac


PESURUHJAYA Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff Md Yusof akan memutuskan Rabu ini sama ada beliau patut menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap penggantinya Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, lapor Bernama.

Mohamad Ariff berkata beliau akan memberi pertimbangan serius mengenai isu itu dan mengkaji hujahan peguam Sulaiman Abdullah selama sejam yang mewakili Nizar dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said bagi Pejabat Peguam Negara.

Rabu lepas, Mohamad Ariff melahirkan kebimbangan sama ada beliau mahu atau tidak untuk mendengar prosiding kerana pembabitan beliau dalam PAS sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, September tahun lepas.

Mohamad Ariff harus memutuskan semakan kehakiman yang dipohon oleh Nizar bagi mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar Perak.

Hari ini, Kamaluddin berkata Mohamad Ariff patut menarik diri daripada mendengar kes tersebut bagi mengelak persepsi negatif tentang unsur berat sebelah.

"Adalah pandangan Pejabat Peguam Negara bahawa bagi mengekalkan keyakinan awam dalam badan kehakiman dan demi kepentingan keadilan, adalah elok Yang Arif menarik diri," hujahnya.

Kamaluddin berkata wujud bahaya berat sebelah oleh hakim dengan alasan Mohamad Ariff adalah bekas anggota PAS dan Penasihat Undang-undang PAS dalam beberapa petisyen pilihan raya.

Hujahan itu dibantah oleh Sulaiman yang menyatakan bahawa mengikut Kod Etika Hakim, seorang hakim tidak dilarang mendengar kes parti politik selagi hakim berkenaan tidak menjadi anggota semasa dalam sebarang parti politik.

Beliau juga berkata tidak ada asas bagi Mohamad Ariff menarik diri daripada mendengar kes itu tetapi apa yang lebih penting adalah integriti dan keikhlasan hakim berkenaan.

"Jika anda menarik diri, anda memberi mesej bahawa anda tidak boleh membuat keputusan secara objektif dalam perkara yang kontroversi. Ini bukan mesej yang hendak diberikan," katanya.

"Penarikan diri Yang Arif mungkin mengundang komen yang tidak menyenangkan mengenai badan kehakiman," kata Sulaiman, yang menambah ujian sebenar bahaya soal berat sebelah dalam keadaan kes ini tidak dipenuhi.

Peguam Nga Hock Cheh, juga bagi Nizar, menukar topik hujahan apabila tibatiba membaca sajak empat rangkap dalam mahkamah berbunyi: "Harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan Adun, ada Adun lompat parti, memang tidak berprinsip dan berintegriti, cara BN rampas kuasa cabul demokrasi," katanya.

Peguam pemerhati bagi Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun, membantah dengan menyebut prosiding harus bertumpukan kepada isu undangundang dan bukan sebarang agenda politik.

Nizar diwakili oleh barisan lapan peguam manakala penasihat undangundang negeri Perak Datuk Ahmad Jamal Md Shahid bertindak bagi Zambry.

3 pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak soalsiasat Speaker V Sivakumar semalam


SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya kepada sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak.

Pasukan yang diketuai Ketua JSJK, Supt. Amarjit Singh mengambil keterangan beliau di pejabat guamannya di Jalan Tun Sambanthan di sini bermula dari pukul 2.45 petang hingga 5.15 petang semalam, lapor Bernama.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita selepas memberi keterangan itu, Sivakumar berkata beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai dari JSJK yang memperkenalkan dirinya sebagai S.C Ng, semalam yang memaklumkan bahawa beliau perlu hadir di Balai Polis Sungai Senam bagi membolehkan polis mengambil keterangannya. Bagaimanapun, katanya tujuan dan keperluan untuk kenyataannya itu direkodkan oleh polis tidak dinyatakan.

"Memandangkan saya mempunyai perkara lain yang perlu ditangani, saya memaklumkan kepada pegawai polis berkenaan bahawa saya bersedia menemui beliau pada 23 Februari (hari ini) untuk kenyataan saya direkodkan," katanya.

Sivakumar berkata beliau telah memberikan sepenuh kerjasama kepada polis dalam proses tersebut.

"Dengan bertemu pegawai polis berkenaan hari ini untuk merekodkan kenyataan saya, saya telah memberikan sepenuh kerjasama sehingga ke tahap kerjasama saya itu tidak melanggari atau menyalahi apaapa peruntukan undangundang di negara ini," katanya.

Turut kelihatan di pejabat guaman itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong A.Sivasubramaniam, Adun Canning Wong Kah Woh, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, dan Adun Pokok Assam Yee Seu Kai.

Gambar 'super impose' Elizabeth Wong bergentayangan di Internet, kerja siapa?


ENTAH untuk mendapatkan untung? Entah untuk memburukkan lagi keadaan, nampaknya terdapat usaha menyebarkan gambar 'super impose' Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong bagi menarik perhatian dan memberi tekanan hebat kepada beliau.

Belum pun reda dengan isu gambar kontroversi anggota exco kerajaan negeri Selangor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, kini gambar 'super impose' wanita itu pula tersebar di internet.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata polis mengesan beberapa keping gambar palsu Wong disebarkan oleh individu yang sengaja mengambil kesempatan ketika isu gambar beliau sedang hangat diperkatakan.

"Saya mengingatkan kepada mereka bahawa tindakan akan dikenakan sekiranya siasatan kita melalui internet mendapati mereka sengaja menyalurkan dan menyebarkan gambar palsu," katanya kepada pemberita di sini semalam, lapor Bernama.

Beliau berkata buat masa ini hanya ada dua keping gambar kontroversi Wong yang disiasat, tetapi mereka mengesan beberapa lagi gambar 'super impose' Wong disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini polis telah mengambil keterangan daripada 12 individu yang bertugas di lapangan media bagi membantu siasatan tersebut.

Menyentuh mengenai suspek yang merakamkan gambar Wong, Sabtu berkata pihaknya masih gagal menghubungi Hilmi Malek, bekas teman lelaki ahli politik PKR itu, yang disyaki merakamkan gambar kontroversi itu, yang dipercayai bersembunyi di Indonesia.

Wong yang mendapati gambar separuh bogelnya tersebar di internet telah membuat laporan di Balai Polis Damansara kira-kira pukul 11.05 malam pada 18 Feb lepas. Beliau kini khabarnya bercuti di Australia bagi meredakan keadaan dan mmebuat keputusan meletakkan jawatan Adun dan Exco Kerajaan Selangor.

SPRM cuba membela diri, Ketua Persuruhjaya SPRM boleh bercakap mengenai kes rasuah yang sedang disiasat


TIMBALAN Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya (Operasi) Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamad menjelaskan bahawa dibawah perkara 29 (4), Ketua Persuruhjaya SPRM boleh cakap mengenai kes rasuah yang sedang disiasat.

Katanya kenyataan Datuk Ahmad Said di Pulau Pinang Jumaat lalu bahawa SPRM ada bukti nak dakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai kes lembu korban dan selenggara kereta kereta adalah berdasarkan akta baru itu.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui para wartawan di PWTC Selasa selepas majlis pelancaran rasmi SPRM oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Abu Kassim diminta mengulas kenyataan para pemimpin pembangkang yang mengecam Ahmad Said kerana membuat kenyataan itu. Mereka dakwa Ketua Persuruhjaya SPRM itu ikut telunjuk Barisan Nasional.