PRK Bukit Gantang akan menjadi rujukan dunia terhadap referendum rakyat kepada istana dan BN dalam berdepan dengan kemelut dan krisis perlembagaan di Perak
BANYAK pihak tertanya-tanya siapakah calon PAS yang bertuah untuk mewakili Pakatan Rakyat di Bukit Gantang? Sehingga hari ini, tiada maklumat bawah karpet yang memperkatakan siapakah calon PAS itu.
Barangkali, andaian awal boleh diperkatakan, jika anak tempatan menjadi "taruhan" maka sudah tentulah Ustaz Idris Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang pernah menjadi calon PAS pada pilihan raya kecil Dun Changkat Jering 10 tahun lalu, boleh disenaraikan.
Walaupun desakan kuat dari akar umbi meminta Menteri Besar, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin bertanding di kerusi itu, tetapi sejak awal-awal lagi, Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz sudah menolak kemungkinan itu. Namun, semuanya boleh jadi terbalik semula seperti di Kuala Terengganu.
Sekalipun Tok Guru pada awalnya mahu Mohamad Sabu diletakkan di Kuala Terengganu atas alasan tertentu, namun akhirnya kehendak Tok Guru itu dirasionalkan semula. Barangkali, di saat akhir, nama Nizar boleh diperhalusi semula.
Pada congakkan saya, nama seperti Ustaz Ahmad Awang selaku Naib Presiden dan Pesuruhajaya PAS Perak mungkin disenaraikan. Diikuti Timbalan Pesuruhjaya yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak serta AJK PAS Pusat, Asmuni Awi barangkali akan di ketengahkan. Nama lain lagi kalau ada, mungkin Dr Khairuddin Dato' Abdul Malek, anak Speaker BN Perak yang kini Bendahari PAS negeri.
Pada PRU Ke 12 lalu, Khairuddin bertanding menentang Rafidah Aziz di Kuala Kangsar tetapi tewas. Sementara Asmuni tidak bertanding. Begitu juga dengan Ustaz Ahmad Awang. Tetapi saya yakin, PAS Perak ada calonnya yang tersendiri dari jangkauan umum yang saya kemukakan ini.
Malah, nama Mohamad Sabu juga diperkatakan. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan setakat ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan, PAS kawasan Bukit Gantang sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut 7 April depan.
Yang Dipertuanya, Mohamad Nordin berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama tersebut kepada Pejabat Agung PAS awal bulan ini. Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu jumlah calon yang yang dihantar itu atas alasan arahan dari PAS negeri.
"Boleh jadi empat atau lima nama, tetapi rahsia saya tidak boleh beritahu," katanya ketika dihubungi hari ini. Mohamad juga enggan memberitahu sama ada calon-calon tersebut merupakan pemimpin PAS dari kawasan Bukit Gantang. Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Bukit Gantang, Zulkifli Hashim berkata, pihaknnya menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
"Tidak perlulah kita sibuk-sibuk memilih calon kerana bukan kita yang membuat keputusan. 'Terima siapa saja...' Siapa yang mereka putuskan, kita menerima sahaja," katanya.
Mengenai persiapan menghadapai pilihanraya tersebut, Zulkifli berkata, cawangan-cawangan PAS kawasan Bukit Gantang telah membuat persiapan awal. Katanya, ia termasuk memasang bendera PAS di tempat masing-masing.
"Kerja-kerja ini akan menjadi semakin rancak selepas hari penamaan calon 29 Mac ini. Ketika itu petugas-petugas PAS dari luar Bukit Gantang mula datang membantu jentera parti," katanya.
Pilihnaraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum awal bulan ini.Dalam pilihanraya umum lalu, wakil PAS itu mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Azim Zabidi yang juga bendahari Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan