KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Februari 15, 2009

Rampasan kuasa, Nizar cabar kesahihan perlantikan Zambry di mahkamah



RAKAN saya, Wan Nordin Wan Yaacob yang memburu Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Nizar Jamaluddin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, 13 Februari lalu melaporkan, Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin telah memfailkan saman terhadap Dato' Dr Zambry Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu berikutan 'rampasan kuasa' yang berlaku di Perak.

"Kita failkan saman ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (13 Februari 2009) untuk nyatakan pendirian kerajaan Pakatan Rakyat Perak bahawa kami dianiaya oleh Umno BN yang dipimpin oleh Najib (Dato' Seri Najib Tun Razak)," kata Nizar selepas memfailkan saman ke atas Zambry di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat Jalan Duta.
Beliau memfailkan saman bernombor MK25-25-09 di bahagian Pendaftaran Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di tingkat satu mahkamah tersebut.

Turut hadir bersama beliau para peguam antaranya Hanipa Maiden; Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Dato' Ngeh Koo Ham; Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Ghazali, Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad; Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas; Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani (Adun Paroi) dan Ahli MT KeADILan, Badrul Hisham Shaharin selain 200 penyokong.

Bercakap lanjut pada sidang media selepas memfailkan saman pada jam 11.30 pagi, Nizar menegaskan beliau dan ahli Exco memfailkan saman untuk menuntut hak mereka selaku kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat Perak pada pilihan raya umum lalu secara sah.
"Umno/BN telah melaksanakan rampasan kuasa, jadi untuk itu saya ambil tindakan mahkamah untuk menuntut deklerasi atau isytihar perintah bahawa saya adalah dari setiap masa dan material masih MB Perak," tegasnya.

Kenyataan tegas Nizar itu disambut dengan laungan takbir dan reformasi para penyokong menyebabkan perkarangan mahkamah gegak gempita.

Mengulas lanjut perintah deklerasi ini kata Nizar, ia sejajar dengan tafsiran fasal 16 (6) daripada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Beliau menuntut atas sebab dan dalam keadaan keadaan pertamanya beliau selaku Menteri Besar Perak ingin dan telah memberi nasihat kepada Sultan untuk pembubaran Dun Perak. Keduanya kata beliau tidak terdapat pembubaran Dun Perak sehingga kini, dan ketiga tidak terdapat usul tidak percaya Menteri Besar Perak (Nizar). Seterusnya, keempat tidak terdapat perletakan jawatan Menteri Besar samada oleh atau telah dikosongkan sehingga kini, katanya.

Justeru writ dikeluarkan kepada responden (Dr Zambry Abdul Kadir) memerintahkan responden untuk meminta responden menunjukkan sebab bagaimana di bawah dasar dan di dasar atau kuasa mana responden berhak memegang jawatan Menteri Besar Perak. Selain responden kononnya bertindak atau menjalankan atau melaksanakan tanggungjawab fungsi Menteri Besar, katanya.

"Yang keempat responden tidak berhak atau untuk menjawat MB pada bila-bila masa yang material, dan yang kelima perintah injunksi untuk halang responden, agen-agen responden atau pengkhidmat responden dari bertindak atau jalankan tugas-tugas MB Perak," tegasnya.

Nizar hadir dengan ahli Exco dan Adun Pakatan Rakyat ke mahkamah untuk meminta hak diberikan semula kepada rakyat Perak agar dibubarkan Dun Perak seterusnya menjalankan pilihan raya kecil Dun Perak.

"Saya berterima kasih atas sokongan seluruh dan kita tunggu keputusan mahkamah secepat mungkin," katanya.

Sebelum mengadakan sidang akhbar, Nizar sempat mengetuai bacaan doa di atas tangga tingkat satu Mahkamah Tinggi tersebut sambil diaminkan para penyokong. Selesai mengadakan sidang akhbar itu, Nizar bersalaman dengan para penyokong dan pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir bagi memberikan sokongan kepada beliau.

Kelihatan juga beberapa orang pegawai polis berpakaian bebas sibuk mengambil gambar kalangan aktivis dan kepimpinan Pakatan Rakyat yang mengiringi Menteri Besar Perak yang sah itu. Nizar meninggalkan perkarangan mahkamah sambil melambai tangan kepada penyokong dengan laungan 'takbir, reformasi dan makkal sakhti' kepada penyokong.

Tiada ulasan: