KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 12, 2009

Kemelut Perak, Sultan tersilap memberi preskripsi - Profesor Dr Abdul Aziz Bari

Profesor Dr Abdul Aziz Bari sedang diwawancara oleh Tarmizi Mohd Jam di Kuala Lumpur bagi mencukungkil dan merungkai kemelut yang melanda Pakatan Rakyat Perak!

TRAGEDI 5 Februari dan implikasinya kepada politik dan masa depan negara Kemelut politik Perak yang menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat digulingkan secara tidak terhormat oleh BN benar-benar mengguris rakyat sebagaimana yang terserlah dalam demonstrasi aman di Kuala Kangsar 6 Februari lalu. TARMIZI MOHD JAM menemui pakar perlembagaan Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI untuk mendapatkan penjelasan mengenai beberapa perkara khususnya komplikasi undang-undang yang menunjangi krisis tersebut. Banyak pihak melihat rampasan kuasa yang diketuai oleh bakal Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak itu membelakangkan prinsip dan kewajaran perlembagaan.

Sebelum pergi jauh apakah komen awal profesor tentang tentang tragedi 5 Oktober lalu?

PROFESOR DR ABDUL AZIZ: Daripada satu sudut kemelut seperti itu bukanlah yang pertama kali dalam sejarah negara. Ia pernah berlaku di Terengganu pada 1961 dan Sabah pada 1994; tetapi kemelut di Perak pada 2009 ini lebih menyamai apa yang berlaku di Terengganu yang secara kebetulan di kepalai oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak. Selain itu perkembangan ini diikuti dengan teliti oleh rakyat; tidak seperti ketika itu sekarang kita mempunyai teknologi canggih yang membolehkan rakyat mengikuti perkembangan sehingga mereka boleh turut sama menyertainya. Jadi apa yang berlaku sebenarnya disaksikan oleh rakyat; sebab itu saya kadang-kadang berjenaka dan menyebut tragedi 5 Oktober itu sebagai satu broad day light robbery yang malangnya direstui oleh pihak yang tertinggi di dalam negeri. Satu tidak pasti itu disedari atau tidak tetapi itu yang saya nampak.

Pihak media perdana cuba meyakinkan rakyat yang BN melakukan rampasan kuasa itu menurut undang-undang, khususnya perlembagaan. Apakah dakwaan ini benar?

Apa yang berlaku di Perak ini terdiri dari pelbagai segmen dan isu yang kesemuanya berkaitan satu sama lain. Saya tidak menafikan yang tindakan sultan melantik kerajaan itu mungkin sah di sisi peruntukan yang ada. Tetapi sama ada ia satu keputusan yang bijak atau tidak itu soal lain. Yang pasti penyakit makin teruk dan ubat yang diberi oleh sultan tidak mujarab malah ia menyebabkan penyakit lain pula. Saya fikir rakyat bijak, dan bukan semuanya penyokong tegar Pakatan Rakyat. Jadi apabila mereka menyampah sudah pasti ada yang tak kena. Kalau kita berbalik kepada tradisi Islam ada hadith yang mafhumnya antara lain menyebut “Umatku tidak akan bersepakat dalam hal-hal yang salah”. Jadi kalau masyarakat sudah sepakat melihat apa yang Barisan itu sebagai jelek, saya fikir kita kena beri perhatian serius. Dan kita harus ingat ini bukan soal yang sulit dan pelik. Umpamanya soal teknikal undang-undang atau isu PPSMI, mungkin ada aspek yang sukar difahami. Tetapi dalam situasi di Perak rakyat tahu apa yang wajar dan apa yang tidak meskipun mereka tidak faham undang-undang sebagai satu ilmu yang saintifik.

Mohon profesor terangkan dengan lebih jelas yang dimaksudkan dengan betul tapi tak kena pada tempatnya dalam tindakan istana itu?

Maksud saya ialah kita perlu bijaksana dan bukan hanya menekankan soal peraturan sahaja. Itu sebabnya kuasa berkenaan diletakkan dalam bentuk budibicara, tetapi ini bukan bermaksud member lesen untuk berbuat sesuka hati atau mengambil kesempatan untuk kepentingan diri. Budibicara dalam undang-undang perlembagaan ada pengertiannya yang tersendiri dan berbeza dengan undang-undang lain. Sebab itu ada hakim dan peguam yang tersasar memahaminya. Melantik kerajaan dengan cara bercakap dengan setiap ADUN sesuai dalam keadaan selepas PRU 12; yakni di dalam keadaan di mana isu yang perlu diselesaikan ialah apakah mereka di dalam parti atau gabungan parti mahukan orang tertentu jadi ketua kerajaan. Dalam senario dua minggu lalu ia sedikit berbeza di mana ada elemen pencolekan, ghaib dan seumpamanya. Ini melibatkan dua parti yang berlawanan. Selain itu insiden berkenaan juga menyangkut soal status tiga orang ADUN yang kedudukannya di dalam dewan begitu meragukan. Sultan sepatutnya menyelesaikan isu-isu ini dahulu. Saya tidak fikir perlu tergesa-gesa melantik kerajaan kerana kerajaan masih ada. Lagipun kenapa tidak dibiarkan Dun bersidang dan tentukan melalui undi tak percaya? Kuasa mutlak speaker berhubung dengan status tiga ADUN itu juga perlu diselesaikan. Jadi apabila sultan melantik kerajaan dan menitahkan menteri besar yang ada meletakkan jawatan sudah tentu jadi kelam kabut. Pada saya sultan duduk sebelum terlunjur. Ini tidak salah tapi tentulah ganjil dan sukar diterima. Sebab itu tunggang langgang dan haru biru jadinya. Kalau kita naik kepalterbang kita boleh rasa juruterbang baru dengan juruterbang yang cekap dan berpengalaman. Masa turun khususnya.

Profesor ada menyebut sebelum ini yang Dun perlu dibubarkan. Apa kaitan dengan kekeliruan yang disebutkan di atas?

Perlembagaan tidak menyebut hal ini. Tetapi mereka yang masak dengan struktur dan operasi perlembagaan sedar bahawa pembubaran berkait dengan kerajaan; yakni jika kerajaan sukar dibentuk melalui dewan yang ada ia hendaklah dibubarkan supaya rakyat dapat member keputusan. Dalam perlembagaan sultan tidak boleh memberi mandat; hanya pengundi yang boleh berbuat demikian. Sultan cuma diberi kuasa melantik dan dalam keadaan tertentu boleh menggunakan budibicara baginda. Dalam senario Perak 2009 jelas kepada kita keadaan begitu kelam kabut dan saya tidak fikir kita boleh memaksa polis untuk menyiasat dakwaan pencolekan, atau dakwaan rasuah dan sebagainya. Sultan mempunyai kuasa untuk memperkenan permintaan membubarkan dan saya pasti ini akan menyelesaikan semua masalah yang saya kenalpasti di atas. Tidak ada siapa yang boleh mencabar atau mempertikai keputusan sultan membubarkan dewan. Dengan pembubaran maka pilihan raya perlu di adakan dan kita akan mendapat kerajaan yang lebih stabil, tidak aka nada lompatan sebagaimana yang berlaku dan istana juga terselamat dari dituduh berat sebelah dan sebagainya.

Pada satu tahap Sultan Azlan menitahkan supaya Menteri Besar Dato' Seri Mohd Nizar meletakkan jawatan; apakah ini mengikut undang-undang?

Umumnya tak boleh kerana perlembagaan jelas menyatakan bahawa menteri besar tidak memegang jawatan di bawah perkenan sultan: menteri besar berada di situ kerana sokongan yang dimiliki di dalam dewan. Mungkin sultan berpendapat Nizar sudah kehilangan sokongan dan perlu meletakkan jawatan.Secara teorinya ini betul tetapi dalam kes Nizar ini kita tidak fikir beliau telah terbukti hilang sokongan. Saya berpendapat sokongan tiga ADUN itu tidak boleh diambilkira; ia perlu diadili oleh mahkamah terlebih dahulu. Apa pun ini bukan kali pertama Menteri Besar Perak enggan meletakkan jawatan. Pada 1978 Tan Sri Ghazali Jawi juga enggan berbuat begitu sehingga menyebabkan Sultan Idris Shah ketika itu menyimpan janggut.Apa pun sultan bertitah baginda tidak ada kuasa untuk menyingkirkan menteri besar yang mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan. Saya tidak tahu apa yang terjadi antara mereka berdua tetapi yang penting Sultan tahu batasannya. Saya fikir saya perlu beri markah lebih kepada Sultan Idris Shah kerana jelas baginda lebih bijaksana dalam soal ini! Soal letak jawatan itu berbangkit kerana sultan tersilap memberikan preskripsi; dengan kata lain masalah itu timbul kerana keputusan baginda sendiri.

Umno nampaknya mula menggunakan isu ini untuk melabelkan Pakatan Rakyat sebagai derhaka, anti raja dan sebagainya...

Itu tidak memeranjatkan. Tetapi sejarah membuktikan sebaliknya. Berbanding dengan parti-parti Melayu yang lain Umnolah yang paling kerap biadab dengan Raja-Raja. Terbaru di Terengganu pada 2008, Kemudian masa pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993. Apa pun kita perlulah melihat konsep setia dan derhaka dari sudut Islam. Setahu saya dalam Islam setinggi-tinggi takwa ialah bercakap benar di hadapan raja yang zalim. Pepatah Melayu sendiri mengatakan raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah. Sekarang kita ada akses kepada teknologi maklumat dan saya tidak fikir orang percaya dengan dakwaan Umno itu. Saya fikir Raja-Raja pun tahu yang kita tidak menentang mereka. Kita cuma mempersoalkan cara kuasa-kuasa tertentu digunakan. Mengikut maklumat yang saya terima ada Raja yang berpendapat bahawa Sultan Azlan patut membubarkan dewan supaya rakyat dapat membuat pilihan. Jadi tidak timbul langsung kita menderhaka dan sebagainya. Kita sanjung inisiatif dan keberanian istana Terengganu pada 2008 umpamanya. Pada saya institusi raja ini baik dan berguna.

Apa akan berlaku selepas ini?

Kesemuanya berlaku dengan cukup pantas, saya sendiri tidak menjangka yang Barisan tergamak berbuat begitu. Dan memandangkan bahawa kemelut yang berlaku ini tidak pernah terjadi sebegini teruk saya sendiri tidak tahu apa akan terjadi. Saya ragu kepada kemampuan mahkamah; khususnya kemampuan ilmu dan keberanian hakim-hakim kita. Saya berani berkata begini kerana saya telah membaca semua penghakiman mahkamah dalam isu-isu yang kita bincangkan ini. Sebab itu saya fikir penyelesaian terbaik ialah dengan mengembalikan isu ini kepada rakyat. Biar rakyat yang tentukan. Saya tidak nampak kebijaksanaan keputusan sultan menolak permintaan membubarkan dewan. Sultan mungkin mengambil iktibar dari penolakan di Kelantan pada 1977 tetapi itu senario lain; waktu itu Menteri Besar Dato Mohamed Nasir telah pun tersungkur di dalam dewan kerana tewas dalam undi tidak percaya. Saya fikir Sultan Kelantan amat bijak di sini. Dan pada saya baginda berani kerana ketika itu Mohamed Nasir didokong oleh UMNO dan kerajaan pusat. Ertinya sultan benar-benar bebas. Sebab itu orang tidak harus menganggap kita derhaka kepada raja kerana kita tetap menghargai apa-apa yang baik yang dilakukan oleh raja. Selain itu kita punya hak untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Apakah cadangan profesor untuk menangani kemelut ini?

Apa yang pasti ialah perlembagaan tidak menyediakan apa-apa bagi menangani masalah yang kronik ini. Dan sultan telah melantik exco baru Selasa lalu. Di bawah teori perlembagaan sultan boleh bubarkan dewan tatkala melihat rakyat marah. Ini boleh dilakukan kerana suasana darurat memerlukan penyelesaian dan formula yang drastik juga. Malangnya ini tidak berlaku. Sultan juga boleh menarik perlantikan Dato Dr Zambry Kadir dan member alasan tersilap. Ini mungkin tidak logik. Jadi sebaiknya bubarkan dewan tanpa permintaan. Zambry tidak boleh buat apa-apa. Sama dengan Dato Seri Mohd. Nizar. Saya tidak nampak beliau boleh mengheret sultan ke mahkamah kerana sultan masih kebal; Raja-Raja hanya boleh didakwa di Mahkamah Khas. Itu pun tentang soal peribadi seperti bisnes, tak bayar hutang, memukul isteri dan seumpamanya. Bukan soal rasmi seperti yang berlaku di Perak.

Maksudnya Nizar perlu mengiktiraf Zambry?

Itu tidak perlu dan tidak berbangkit. Ini bukan soal pengiktirafan negara baru dalam undang-undang antarabangsa. Saya fikir apa yang sdr sebut itu bahasa dan ungkapan politik. Dalam proses politik yang adil dan telus, pihak yang tewas akan mengambil peranan sebagai pembangkang dan menjalankan segala fungsi yang mereka perlu lakukan. Kita perhatikan John McCain mengucapkan tahniah kepada Obama. Saya rasa kalau Nizar nak kata Zambry menteri besar haram sampai bila-bila pun tak mengapa. Cuma Nizar kena ingatlah apa kesannya di kalangan rakyat sebab dia orang politik. Dari segi undang-undang tidak ada apa-apa. Kita perlu bekerja supaya politik Malaysia bertambah baik. Apa yang berlaku di Perak malangnya menyongsang pula. Lebih malang lagi ia disertai oleh mereka yang selama ini berucap di sana sini mengajar dan menyeru kita supaya begitu dan begini.

Sekiranya anda mempunyai soalan berkaitan komplikasi undang-undang terhadap kemelut yang melanda Perak ini, sila kirimkan kemusykilan anda kepada emel:
editorxkutif@yahoo.com.my - ia akan dirungkai oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Tiada ulasan: