KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 28, 2009

Zahid Hamidi sebenarnya "ganggu" Peguam Negara kerana nak tunjuk dia "hero" bangsa dan Raja-Raja Melayu!



KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Pejabat Peguam Negara agar segera menyiasat Pengerusi DAP, Karpal Singh disifatkan sebagai 'mainan wayang' Zahid bagi menunjukkan kononnya beliau hero kaum Melayu dalam isu raja-raja.

Ketua Penerangan Muslimat PAS, Athirah Aiman, berkata tindakan Zahid juga dilihat cuba mencampuri urusan Peguam Negara, selain cuba mengarahkan badan itu berbuat mengikut telunjuknya.

"Apa hak Zahid dan siapa dia untuk mengarahkan Peguam Negara? Tindakan Zahid itu seolah-oleh menafikan kebijaksanaan Peguam Negara, selain bersikap terpilih dalam kes-kes berkaitan pemimpin Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Sambil melahirkan rasa muak dengan sikap Zahid dan BN yang dilihat cuba mencampuradukkan badan kehakiman, eksekutif dan legislatif, Athirah mempersoalkan kelantangan Zahid ini dan Naib Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang sibuk mencabar Karpal.

"Mengapa apabila kes bekas Exco Kedah, V. Arumugam membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau diugut, Zahid tidak selantang ini? Mereka sibuk meminta Peguam Negara menyiasat Karpal yang dikatakan kononnya menghina Sultan, sedangkan mereka (BN) jugalah yang mula-mula menghapuskan imuniti raja sehingga boleh diheret ke mahkamah," kata Athirah lagi.

Sementara itu, Naib Presiden KeADILan, Mustafa Kamil Ayub, berkata tidak ada cara lain bagi memastikan semua agensi dapat menjalankan peranan mereka dengan profesional melainkan dengan menukar kerajaan sedia ada.

Katanya ketika dihubungi, hampir semua institusi yang sepatutnya berfungsi secara bebas dan profesional hari ini telah dipengaruhi BN yang mengakibatkan ia tidak dapat berperanan bebas.

Mengulas lanjut kenyataan Zahid kononnya kredibiliti Pejabat Peguam Negara akan terjejas apabila tidak menyiasat Karpal dengan segera, Mustafa menyatakan bahawa sudah lama BN mengamalkan sikap 'double standard' apabila bertindak memilih-milih kes untuk disiasat.

"Mengapa berpuluh-puluh, beratus-ratus aduan berkenaan pemimpin BN yang dilaporkan pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah disiasat, sedangkan jika pemimpin BN begitu cepat disiasat dan diambil tindakan?" soal beliau.

Sambil memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan memberi ruang kepada agensi-agensi seperti SPRM, Peguam Negara, polis dan sebagainya menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional, Mustafa berkata kebimbangan BN dengan pelbagai salah laku yang dilakukan mereka menyebabkan BN bertindak mempengaruhi badan-badan ini hingga menyekat tindakan profesional mereka.

Tiada ulasan: