BELUM terlambat untuk saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga sahabat saya, Allahyarham Roslan Shahrom yang meninggal dunia tengahari Isnin lalu (9hb Februari). Kali terakhir saya bertemu beliau ketika menghadiri Majlis Makan Malam Seniman Paksi Rakyat di Bangunan SUK, Shah Alam tahun lalu.
Allahyarham seorang yang tenang, suka berbicara isu-isu politik kalau berjumpa, dan mahir dalam perubatan secara Islam As-Syifaq. Ketika saya aktif sebagai Ketua Penerangan PAS Parit, Allahyarham adalah antara rakan yang akan saya hubungi untuk mengisi program ceramah di sana. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh, beriman.
Semalam, 8hb Februari saya berada di Ipoh Perak dan melihat kalibat beliau pada malam Himpunan Rakyat Mempertahankan Kerajaan Perak di kediaman rasmi Menteri Besar. Pagi esoknya saya kembali ke Kuala Lumpur dan setiba di Pejabat Harakah, abang saya menelefon bertanya untuk mengesahkan satu sms tentang Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia tengahari itu.
Saya terkejut lalu menghubungi Khalilur Rahman, Setiausaha Eksekutif PAS Perak yang ketika itu berada di Tampin. Tidak lama selepas itu, Intan Abdullah memanjangkan sms Misbahul Munir yang mengesahkan kematian Roslan. Kira-kira setengah jam, Buletin Utama TV3 melaporkan tentang kematian Roslan.
Malaysiakini semalam melaporkan begini: Ahli Parlimen Bukit Gantang Perak, Roslan Shaharum dari PAS meninggal dunia hari ini. Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar dan ketua penerangan PAS, Mahfuz Omar. Allahyarham diserang sakit jantung ketika sedang berbasikal dekat rumahnya di Changkat Lallang, Batu Gajah pagi tadi.
Ini disahkan oleh PAS pada kira-kira jam 1.30 tengahari tadi. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Safiah Harun bersama 10 orang anak. Ini bermakna, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang ialah DUN Changkat Jering yang diwakili Mohd Osman Mohd Jailu yang keluar PKR dan menyokong Barisan Nasional (BN) Perak.
Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan mengalahkan bendahari Umno, Datuk Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi. Roslan mendapat 20,015 undi manakala Abdul Azim menerima 18,449 undi. Manakala calon bebas, M Morgan mendapat 872 undi.
Bukit Gantang merupakan kerusi Parlimen majoriti Melayu, dengan 27 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India.
Menurut Harakahdaily, Roslan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.Pegawai Khas Allahyarham, Shaharudin Ahmad Sani berkata allahyarham yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya dari luar negara.
Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.
1 ulasan:
al fatehah ....amin
Catat Ulasan